#7702: Keadilan Perundangan Islam dalam Sejarah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh ceritakan berkenaan bagaimana keadilan perundangan Islam yang pernah berlaku dalam sejarah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Keadilan merupakan instrumen penting dalam sesebuah pemerintahan. Bahkan dalam sejarah Islam menunjukkan teladan dalam keadilan pemerintahan dan perundangan Islam. Bahkan dalam al-Quran, Allah telah memerintahkan Nabi Dawud AS supaya berlaku adil dalam pemerintahannya sebagaimana Firman Allah SWT:

يَا دَاوُودُ إِنَّا جَعَلْنَاكَ خَلِيفَةً فِي الْأَرْضِ فَاحْكُم بَيْنَ النَّاسِ بِالْحَقِّ وَلَا تَتَّبِعِ الْهَوَىٰ فَيُضِلَّكَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ ۚ إِنَّ الَّذِينَ يَضِلُّونَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ بِمَا نَسُوا يَوْمَ الْحِسَابِ

Maksudnya: Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu.

(Surah Sad: 26)

Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menyebut: Maksud (فَاحْكُمْ بَيْنَ النَّاسِ بِالْحَقِّ) ialah Hukumlah manusia dengan keadilan dan ianya adalah arahan yang wajib dan ada kaitan dengan ayat yang sebelum ini. dan maksud ( وَلا تَتَّبِعِ الْهَوى) iaitu janga kamu mengikut hawa kamu yang menyalahi arahan Allah kerana ianya boleh memesongkan kami dari jalan ke Syurga. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 15/189)

Rasulullah SAW menitikberatkan isu persamaan yang mutlak pada pandangan hukum syara’ sebagaimana yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah R.anhuma, Sabda Rasulullah SAW:

يا أيُّها الناسُ إنَّ ربَّكمْ واحِدٌ ألا لا فضلَ لِعربِيٍّ على عجَمِيٍّ ولا لِعجَمِيٍّ على عربيٍّ ولا لأحمرَ على أسْودَ ولا لأسودَ على أحمرَ إلّا بالتَّقوى

Maksudnya: Wahai Manusia, sesungguhnya tuhan kamu semua adalah yang esa, tidak ada kelebihan bagi orang arab ke atas yang bukan arab, dan bukan juga bagi bukan arab ke atas orang arab, dan tidak ada kelebihan bagi yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam dan bukan juga yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah kecuali dengan (kelebihan) taqwa.

Riwayat Abu Nu’aim di dalam al-Hilyah al-Auliya’(3/100) dan al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman (5137). Hadith ini dinilai sahih berdasarkan kitab Ghayah al-Maram (313)

Imam al-Syaukani menyebutkan: Hadis ini menunjukkan penafian kepada kelebihan sebahagian orang kepada sebahagian yang lain dari sudut keturunan dan bangsa sebagaimana pada zaman Jahiliah kerana apabila tuhan itu esa, maka tidak ada seorang pun yang boleh mendakwa kelebihannya selain daripada taqwa. dan Hadith ini menunjukkan kelebihan taqwa dan menafikan selainnya. (Lihat Nail al-Awtar, 5/99)

Ucapan Abu Bakar al-Siddiq RA ketika ditauliahkan menjadi khalifah Islam adalah asas dan lambang cita-cita yang besar lagi luhur dalam menegakkan keadilan. Antaranya kata beliau:

أَمَّا بَعْدُ، أَيُّهَا النَّاسُ، فَإِنِّي قَدْ وُلِّيتُ عَلَيْكُمْ وَلَسْتُ بِخَيْرِكُمْ، فَإِنْ أَحْسَنْتُ فَأَعِينُونِي، وَإِنْ أَسَأْتُ فَقَوِّمُونِي، الصِّدْقُ أَمَانَةٌ، وَالْكَذِبُ خِيَانَةٌ، وَالضَّعِيفُ فِيكُمْ قَوِيٌّ عِنْدِي حَتَّى أُرِيحَ عَلَيْهِ حَقَّهُ، إِنْ شَاءَ اللَّهُ، وَالْقَوِيُّ فِيكُمْ ضَعِيفٌ حَتَّى آخُذَ الْحَقَّ مِنْهُ، إِنْ شَاءَ اللَّهُ،

Maksudnya: Hai Manusia, aku telah dilantik ke atas kamu dan bukanlah aku yang terbaik dalam kalangan kamu. Sekiranya aku memerintah dengan baik maka bantulah aku. Dan sekiranya aku memerintah dengan buruk, maka perbetulkan aku. Kebenaran itu merupakan amanah, dan pendustaan  itu adalah sebuah pengkhianatan. Mereka yang lemah di kalangan kamu adalah kuat di sisiku sehingga aku mengambil haknya daripada diri mereka dengan izin Allah,dan mereka yang kuat di kalangan kamu lemah di sisiku sehingga aku mengambil hak darinya dengan izin Allah, (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 5/248)

Sebagaimana ucapan Saidina Abu Bakar RA menunjukkan prinsip keadilan yang menjadi pegangan pemimpin bahawa mereka ibarat hamba kepada rakyat yang lemah. Pemimpin adalah pembela mereka, sehinggalah hak golongan lemah dikembalikan. Selain itu ucapan tersebut juga menunjukkan bahawa prinsip keadilan yang mesti ditegakkan pemerintahan Islam. Orang kuat akan hanya dianggap benar-benar kuat setelah dia memberikan hak untuk yang lemah dan tugas untuk memastikan hal itu berlaku adalah tanggungjawab pemimpin itu juga. Gabungan dua penegasan ini membentuk prinsip keadilan yang merupakan antara teras utama pemerintahan Islam. Hak dan keadilan adalah milik semua warga, tanpa mengira lapisan masyarakat atau batasan keturunan.

Lipatan sejarah Islam telah menyaksikan betapa sistem perundangan Islam telah menjamin keadilan dan keamanan bagi segenap lapisan rakyat dan masyarakat. Kami kemukakan di sini beberapa manifestasi keadilan Islam dalam catatan sejarah:

  • Keadilan Khalifah Umar ibn al-Khattab R.A

Pada zaman beliau, wilayah-wilayah Islam yang telah berkembang luas telah dibahagikan kepada beberapa bahagian. Setiap bahagian ditadbir oleh seorang gabenor. Mereka diberi kuasa dalam menguruskan urusan-urusan pentadbiran termasuklah memungut cukai di bahagian masing-masing. Walaubagaimanapun, kuasa mutlak dalam memutuskan sesuatu kes atau masalah berkaitan cukai tanah akan dirujuk kepada Khalifah Umar ibn al-Khattab R.A.

Tanah-tanah tersebut akan diukur dan dinilai terlebih dahulu sebelum ditentukan kadar cukai. Tanah yang telah ditentukan jenisnya itu, kemudian akan ditetapkan kadar cukai mengikut jenis tanah tersebut. Hal ini jelas menunjukkan keadilan sistem yang diterapkan oleh Khalifah Umar RA dalam sistem pemerintahannya. (Lihat Milkiyyah al-‘Aradi fi al-Islam: Tahdid al-Milkiyyah wa al-Ta’mim oleh Muhammad ‘Abd al-Jawwad)

Berkenaan kadar cukai pertanian, Khalifah Umar RA telah menetapkan iaitu 10 dirham bagi tanaman kurma dan 5 dirham bagi tanaman anggur. Cukai bagi setiap tanah yang sampai air sama ada diusahakan atau tidak adalah sebanyak satu dirham atau satu gantang (sa’). Manakala cukai sebanyak 1/10 dikenakan ke atas tanaman tamar yang diairkan dengan hujan sedangkan kadar 1/20 pula dikenakan untuk tanaman yang diairkan dengan tenaga sendiri. (Lihat Kitab al-Kharaj oleh Abu Yusuf, hlm. 46-47)

Walaupun begitu, sekiranya sesuatu tanah tidak mempunyai hasil pertanian, atau hasilnya terkena penyakit atau bencana alam, maka cukai tidak dikenakan. Cukai hanya dikenakan bagi tanah yang mempunyai hasil. Penetapan cukai kurma dengan kadar 10 dirham adalah disebabkan penanamannya yang memerlukan kepada tenaga, penjagaan yang rapi serta tanah yang subur.

Manifestasi keadilan pemerintahan Khalifah Umar RA dalam menentukan kharaj jelas terlihat dengan mengenakan cukai sebanyak satu dirham dan segantang bagi tanah yang sampai air sama ada ia diusahakan atau sebaliknya. Ini juga dapat menggalakkan para pemilik tanah untuk mengusahakannya. Begitu juga sikap adil beliau dapat dilihat pada kadar cukai 1/10 dan 1/20 sepertimana yang dijelaskan menzahirkan sikap beliau dalam menilai dan menghargai tenaga yang dicurahkan oleh pengusaha. (Lihat Milkiyyah al-Aradi fi al-Islam: Tahdid al-Milkiyyah wa al-Ta’mim, oleh Muhammad ‘Abd al-Jawwad)

Kami kemukakan di sini ungkapan Saidina Umar R.A:

لَوْ مَاتَتْ شَاةٌ عَلَى شَطِّ الْفُرَاتِ ضَائِعَةً لَظَنَنْتُ أَنَّ اللَّهَ تَعَالَى سَائِلِي عَنْهَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ

MaksudnyaKalaulah mati seekor kambing di tebing Sungai Furat dalam keadaan kehilangan rakan taulannya, nescaya aku merasa Allah SWT akan bertanya kepadaku pada Hari Kiamat. (Lihat Hilyah al-Auliya’ oleh Abi Nu’aim, 1/53)

  • Keadilan Khalifah Umar bin Abd al-Aziz

Pada zaman beliau juga telah menyaksikan banyak perkara keadilan ditegakkan. Dicatatkan, pada suatu ketika, penduduk kota Samarkand telah mengadu kepada Khalifah Umar bin Abdul Aziz berkenaan panglima pasukannya Qutaibah dan pasukan tenteranya yang telah masuk dan memerangi negara mereka tanpa memberi peringatan terlebih dahulu sebagaimana diwajibkan oleh Syariat Islam.

Amirul Mukminin kemudiannya lalu mengarahkan al-Qadhi untuk menghakimi pengaduan tersebut. Akhirnya al-Qadhi memutuskan agar pasukan Islam hendaklah keluar dari kota Samarkand. Keputusan ini memberi kemenangan kepada penduduk Samarkand.

Setelah penduduk Samarkand menyaksikan manifestasi keadilan Islam tersebut, mereka mengumumkan pengislaman mereka serta memuji sistem pengadilan Islam dan pasukan penaklukan. Mereka juga menyatakan penerimaan mereka terhadap hukum negara Islam. (Lihat Tarikh al-Rusul wa al-Muluk, 4/69)

Khalifah Umar bin Abd al-Aziz juga sangat menonjol dengan sistem pemerintahannya yang benar-benar memanifestasikan tadbir urus yang baikHal ini telah disebut oleh Ibn Khaldun dan beliau telah memujinya dalam kitab al-Muqaddimah.

Keadilan Khalifah Umar juga jelas ketikamana menaiki takhta, beliau mengambil tindakan untuk tidak mempunyai pengawal peribadi seperti sebelumnya. Begitu juga, beliau amat berhati-hati berkenaan dengan harta sehingga banyak yang dimasukkan semula ke Baitul Mal. Antara kelebihan Umar bin Abdul Aziz juga, ramai para ulama memberi nasihat kepadanya, sementelahan lagi ketika itu ramai tokoh-tokoh ulama yang ikhlas dan tegas. Inilah yang dinyatakan oleh Ibn Kathir dalam kitabnya, al-Bidayah wa al-Nihayah (9/221).

Khalifah ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz terkenal dalam sejarah sebagai seorang khalifah yang soleh dan adil. Sepanjang tempoh pemerintahannya, keadilan yang beliau terapkan telah mencipta satu zaman pemerintahan yang gilang gemilang. Pemerintahan beliau hanya berlangsung selama dua tahun dan beberapa bulan. Namun, telah mencatat pelbagai tindakan pembaharuan yang sangat penting. Beliau juga telah memperbetulkan kembali perjalanan tadbir urus negara Islam. (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 5/142)

  • Keadilan Khalifah al-Hadi dan Qadhi Abu Yusuf

Pada masa itu, jawatan Qadhi dipegang oleh Abu Yusuf. Suatu ketika, datang seseorang bersama Khalifah al-Hadi, iaitu salah seorang Khalifah Abbasiyah bagi menyelesaikan persengketaan berkenaan sebuah kebun. Setelah meneliti, Qadhi Abu Yusuf mendapati bahawa kebenaran berada di pihak orang tersebut, sedangkan Khalifah datang membawa beberapa orang saksi. Lantas al-Qadhi berkata: “Lawan anda meminta agar anda bersumpah bahawa para saksi tersebut jujur.” Namun Khalifah al-Hadi tidak mahu bersumpah, kerana perkara tersebut merendahkan maruahnya. Akhirnya Abu Yusuf mengembalikan kebun itu kepada pemiliknya. (Lihat Tarikh Baghdad, 14/249)

  • Keadilan Sultan Salahuddin al-Ayyubi

Semasa penaklukan semula Palestin, dicatatkan seramai lebih daripada 100,000 orang Kristian termasuk lelaki, perempuan dan kanak-kanak telah ditawan oleh tentera Islam. (Lihat Kitab al-Fath al-Qussi fi al-Fath al-Qudsi oleh Imad al-Din al-Isfahani, hlm. 43) Berbanding apa yang telah dilakukan oleh tentera Salib terhadap umat Islam sebelum ini yang telah dikenakan hukuman bunuh, Salahuddin sebaliknya mengambil sikap memaafkan kepada masyarakat Kristian. Malah, kesemua mereka dibebaskan setelah membayar wang tebusan diri iaitu bagi lelaki 10 dinar, perempuan sebanyak 5 dinar dan kanak-kanak dikenakan 2 dinar. (Lihat al-Islam wa al-Qadiyyah al-Filistiniyyah oleh Abdullah Nasih ‘Ulwan)

Orang-orang miskin seramai 7000 orang juga telah dibebaskan dengan jumlah pembayaran sebanyak 30,000 dinar secara sekaligus. Walaubagaimanapun, sekiranya wang tebusan diri tersebut tidak mampu dibayar oleh sebahagian mereka, maka secara automatik mereka akan terus berada dalam tahanan.

Hal ini mencerminkan kebaikan, keselamatan dan keamanan Islam itu sendiri kerana pendekatan yang diambil oleh Salahuddin tersebut menjadikan pertempuran dan pertentangan dapat dielakkan. Ini sekaligus menatijahkan tragedi kehilangan nyawa dan pertumpahan darah yang dahsyat dapat dielakkan.

Dicatatkan bahawa Salahuddin turut membekalkan sejumlah wang dan haiwan tunggangan apabila beliau melihat ada para tebusan yang membawa ibu bapa dan saudara tetangga yang telah berumur. Ini berlaku dalam kalangan mereka yang telah membayar wang tebusan diri untuk bebas. (Lihat al-Islam wa al-Qadiyyah al-Filistiniyyah oleh Abdullah Nasih ‘Ulwan)

Bahkan, bagi memastikan mereka selamat sampai ke destinasi yang dituju, Salahuddin turut mengarahkan tenteranya agar mengiringi para tebusan tersebut. (Lihat Saladin and the Fall of Jerusalem oleh Geoffrey Regan hlm. 150-151)

Hal ini jelas menggambarkan bagaimana sikap Islam yang penuh dengan keramahan, keamanan, keharmonian, toleransi dan keadilan dalam membentuk satu sistem kehidupan masyarakat majmuk yang aman dan damai.

  • Keadilan Sultan Muhammad al-Fateh

Terdapat satu kisah Sultan Muhammad al-Fateh dengan arkitek daripada Rom. Sultan Muhammad al-Fateh telah memerintahkan untuk membina masjid di Bandar Istanbul dan beliau melantik salah seorang Arkitek daripada Rom bernama Esplanati al-Rumi untuk mengendalikan pembinaan masjid tersebut. Al-Rumi ini seorang arkitek yang mahir. Sultan telah memerintahkan supaya membina masjid ini daripada marmar dan tiang masjid ini dibina tinggi supaya ianya kelihatan mewah dan ketinggian itu ditentukan oleh arkitek tersebut. Tetapi Arkitek al-Rumi ini telah memberi arahan supaya dipendekkan tiang menjadikan ianya rendah tanpa memberitahu Sultan atau meminta pandangan daripada sultan. Dan ketika Sultan al-Fateh mendengar berita tersebut, beliau menjadi marah kerana apa yang dibuat oleh arkitek itu tidak ada faedah dan manfaat pada pandangannya dan disebabkan oleh kemarahan beliau, beliau memerintahkan supaya tangan arkitek tersebut dipotong. Walaupun arkitek tersebut telah menyesal namun sesalannya itu sudah terlambat.

Arkitek al-Rumi ini tidak berdiam diri tentang ketidakadilan yang menimpanya. Sebaliknya, dia berjumpa dan mengadu kepada Qadhi Istanbul, yang reputasi keadilannya telah tersebar di seluruh kerajaan. Dia mengadu kepadanya tentang ketidakadilan yang menimpanya daripada Sultan Muhammad al-Fateh.

Qadhi tidak teragak-agak untuk menerima aduan tersebut ini, dan mengirim utusan kepada Sultan memanggilnya untuk hadir di hadapannya di mahkamah, kerana terdapat aduan terhadapnya oleh seseorang. Sultan juga tidak teragak-agak untuk menerima jemputan Qadhi tersebut, kerana kebenaran dan keadilan harus berada di atas segalanya. Pada hari yang telah ditetapkan, Sultan datang ke istana, dan duduk di kerusi simpanan. Qadhi mengatakan kepadanya: “Kamu tidak boleh duduk di sini, Sultan …Kamu mesti berdiri di sebelah lawan”. Sultan Muhammad al-Fateh pun berdiri di sebelah lawannya, iaitu arkitek al-Rumi, yang menjelaskan aduannya kepada hakim, dan ketika giliran Sultan untuk berbicara, dia menyokong apa yang dikatakan oleh al-Rumi. Setelah selesai, dia berdiri menunggu keputusan Qadhi, yang berfikir sebentar dan kemudian berpaling kepadanya dan berkata: “Menurut perintah undang-undang, tangan kamu harus dipotong, wahai Sultan, sebagai hukuman Qisas!”

Arkitek al-Rumi tercengang, dan merasa gementar dengan keputusan yang diucapkan oleh Qadhi, dan yang tidak ada dalam fikirannya, atau dalam khayalannya, baik dari dekat mahupun dari jauh. Apa yang ada dalam fikirannya hanyalah pampasan wang sahaja. Qadhi telah memutuskan untuk memotong tangan Sultan Muhammad al-Fateh yang membuka kota Konstantinopel yang kebanyakan semua negara di Eropah kagum dan gementar dengannya. Itu adalah perkara yang tidak dapat dibayangkan.

Dengan suara terpana dan gementar, al-Rumi mengatakan kepada Qadhi, bahawa dia menarik balik tuntutannya, dan bahawa apa yang dia harapkan daripadanya adalah pampasan harta sahaja, kerana memotong tangan Sultan tidak akan menguntungkan apa-apa baginya, jadi Qadhi memerintahkannya untuk membayar sepuluh keping untuk al-Rumi tersebut setiap hari sepanjang hidupnya, sebagai ganti rugi atas kerugian besar yang ditanggungnya. Tetapi Sultan Muhammad al-Fateh memutuskan untuk memberikannya dua kali ganda iaitu dua puluh keping duit setiap hari, sebagai ungkapan kegembiraannya atas pembebasannya daripada hukuman qisas tersebut, dan juga sebagai tanda penyesalannya. (Lihat Rawaie’ min al-Tarikh al-Uthmani, 49-50 )

Kami pernah menulis berkenaan isu ini dalam eBook kami bertajuk: Keadilan Sistem Perundangan Islam.[1]

Nota Hujung:

[1] Boleh dapatkan di pautan berikut: https://play.google.com/store/books/details?id=mm4hEQAAQBAJ