#7703: Mimpi Ulama’-Ulama’ Muta’akhirin Bertemu Rasulullah SAW

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh ceritakan berkenaan kisah ulama’-ulama’ muta’akhirin yang bermimpi bertemu dengan Rasulullah SAW?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan hadith daripada Abu Hurairah, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

وَمَنْ رَآنِي فِي المَنَامِ فَقَدْ رَآنِي، فَإِنَّ الشَّيْطَانَ لاَ يَتَمَثَّلُ فِي صُورَتِي

Maksudnya: “Sesiapa yang melihatku dalam mimpi, maka sesungguhnya dia telah melihatku. Sesungguhnya syaitan tidak mampu menyerupai rupaku.”

Riwayat al-Bukhari (110) (6197) dan Muslim (2134) (2266)

Imam al-Bukhari ada menyebutkan dalam kitab sahihnya sebuah riwayat lain daripada Abu Hurairah R.A, yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

مَنْ رَآنِي فِي المَنَامِ فَسَيَرَانِي فِي اليَقَظَةِ، وَلاَ يَتَمَثَّلُ الشَّيْطَانُ بِي. قَالَ أَبُو عَبْدِ اللهِ: قَالَ ابْنُ سِيرِينَ: إِذَا رَآهُ فِي صُورَتِهِ.

Maksudnya: “Sesiapa yang bermimpi melihatku, maka dia akan melihatku dalam keadaan terjaga, dan syaitan tidak dapat menyerupaiku.” Abu ‘Abdillah (Imam al-Bukhari) berkata: Ibn Sirin berkata: “Maksudnya, apabila dia melihatnya dalam rupa bentuk Baginda.”

Riwayat al-Bukhari (6993) dan Muslim (2266)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata, hadith ini mengandungi isyarat bahawa, meskipun Allah SWT membenarkan syaitan untuk menyerupai sesiapa sahaja yang dikehendaki, namun ia tetap terhalang dari menyerupai Nabi SAW. Beberapa ulama berpandangan, yang dimaksudkan dalam hadith ini adalah apabila seseorang melihat Baginda SAW dalam rupa yang sama seperti rupa asal Baginda. Ada juga yang menyempitkan syarat ini sehingga mengatakan seseorang mesti melihat Rasulullah SAW dalam bentuk fizikal Baginda yang tepat pada waktu Baginda wafat, termasuklah bilangan uban yang tidak melebihi dua puluh helai.

Akan tetapi, beliau lebih cenderung memilih pandangan yang bersifat umum, meliputi semua keadaan fizikal Baginda pada mana-mana peringkat kehidupan; sama ada pada usia muda, dewasa, usia pertengahan, atau pada akhir hayat Baginda, selagi mana ia menyerupai rupa sebenar Baginda pada masa tertentu. Kadangkala, perbezaan dalam bentuk mungkin berkaitan dengan tafsiran mimpi yang berhubung dengan keadaan orang yang bermimpi itu sendiri.

Beliau juga menukilkan kalam Ibn Battal: Sabda Baginda, “maka dia akan melihatku dalam keadaan terjaga,” yang dimaksudkan adalah tentang kebenaran mimpi itu ketika dalam keadaan terjaga. Ini bukan merujuk kepada melihat Baginda di akhirat, kerana di akhirat, Baginda akan dilihat oleh semua umatnya pada Hari Kiamat, tidak kira sama ada mereka pernah bermimpi melihat Baginda atau tidak.

Turut dinukilkan Ibn al-Tin menyatakan: “Maksudnya adalah individu yang telah beriman kepada Baginda SAW semasa Baginda masih hidup, tetapi belum berpeluang untuk berjumpa dengan Baginda. Ini merupakan berita baik bagi setiap individu yang beriman kepada Baginda tetapi belum berkesempatan untuk berjumpa dengannya, kerana mereka akan pasti berjumpa dan melihat Baginda dalam keadaan sedar sebelum Baginda meninggal dunia. Pendapat ini disebut oleh al-Qazzaz.” (Lihat Fath al-Bari, 12/386; 34/421)

Berkenaan persoalan di atas, kami nyatakan di sini, beberapa tokoh ulama’ muta’akhirin yang pernah bermimpi bertemu dengan Rasulullah SAW, antaranya:

  • Imam al-Akbar, Syeikh al-Azhar Syeikh Dr. ‘Abd al-Halim Mahmud mimpi Rasulullah SAW ketika hendak berperang

Dr. Ahmad Umar Hasyim, anggota Hai’ah Kibar al-‘Ulama’ bi al-Azhar menyatakan bahawa Dr. ‘Abd al-Halim Mahmud, mantan Syeikh al-Azhar, sangat prihatin akan sumbangan para ulama al-Azhar dalam Perang Yom Kippur (atau dikenali juga sebagai Perang Oktober atau Perang Ramadhan) yang berlaku pada 10 Ramadhan bertepatan dengan 6 Oktober 1973.

Syeikh ‘Abd al-Halim Mahmud telah mendapatkan bantuan pensyarah Universiti al-Azhar dan para pendakwah untuk meningkatkan semangat pasukan angkatan bersenjata. Ketika para ulama bertemu dengan anggota tentera pada bulan Ramadhan sewaktu perang, beberapa pendakwah memberikan fatwa kepada tentera bahawa disebabkan oleh cuaca yang panas dan keperluan tenaga sepenuhnya dalam peperangan, adalah digalakkan untuk mengambil rukhsah (keringanan) berbuka puasa bagi membantu mereka menumpaskan Zionis. Namun begitu, sebahagian tentera menjawab dengan penuh keazaman: “Kami tidak mahu berbuka kecuali di syurga.”

Ini adalah rentetan daripada kenyataan anggota Hai’ah Kibar al-‘Ulama’ bahawa betul-betul sebelum berlakunya Perang Ramadhan ini, Syeikh ‘Abd al-Halim Mahmud telah bermimpi melihat Rasulullah SAW menyeberangi Terusan Suez dan bersama Baginda ulama kaum Muslimin dan pasukan tentera Mesir. Mimpi ini membuatnya merasa penuh keyakinan terhadap kemenangan yang bakal dicapai. Syeikh ‘Abd al-Halim Mahmud kemudian menyampaikan berita gembira ini kepada Presiden Sadat dan mencadangkan agar beliau mengambil keputusan untuk melancarkan perang, sambil meyakinkannya bahawa kemenangan adalah suatu kepastian. Setelah perang bermula,  Syeikh ‘Abd al-Halim Mahmud menyampaikan khutbah di Masjid al-Azhar yang menguatkan semangat orang ramai dan pemimpin dengan menyatakan bahawa perang Mesir dengan Israel adalah demi agama Allah. Beliau turut menekankan bahawa sesiapa yang gugur dalam perang ini adalah syahid dan dijanjikan syurga, manakala mereka yang enggan menyertainya, kemudian dia mati, dia dianggap mati pada salah satu cabang kemunafikan.

Selain daripada itu, Dr. Mahmud Jami‘ turut merakamkan kisah ini dalam bukunya yang bertajuk: “Kaifa ‘Araftu al-Sadat?” di mana beliau menulis bahawa Syeikh ‘Abd al-Halim Mahmud telah memberikan berita kemenangan Oktober 1973 ketika mana beliau melihat Rasulullah dalam mimpinya mengibarkan panji “Allahu Akbar” untuk tentera dan pasukan Oktober.[1]

  • Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sya‘rawi melihat Rasulullah saat kematiannya

Syeikh ‘Abd al-Rahim, iaitu anak lelaki kepada Syeikh al-Sya‘rawi menceritakan: Pada hari bapaku meninggal, dia berkata bahawa hari ini adalah hari yang dia akan bertemu dengan Tuhannya. Dia memintaku untuk memotong kukunya dan memandikan serta memakaikannya dengan pakaian baru sepenuhnya. Dia juga meminta kami untuk meninggalkannya sebentar dan berkata: “Aku mahu duduk bersama Tuhanku sebentar.”

Syeikh ‘Abd al-Rahim berkata lagi: Selepas beberapa ketika, aku pun masuk menemui bapaku semula. Aku melihat bapaku memandang ke atas dan berkata: “Selamat datang sayyidi Ahmad. Selamat datang sayyidi Ibrahim. Selamat datang sayyidah Zainab. Selamat datang. Aku datang kepada kamu semua. Adakah aku layak untuk semua ini?

Kemudian bapaku menyebut:

 أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّكَ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللهِ

Maksudnya: “Aku bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah dan aku bersaksi bahawa engkau Muhammad adalah utusan Allah.”

Beliau kemudian menghembuskan nafas terakhirnya dengan wajah yang berseri-seri.[2]

  • Syeikh ‘Abd al-Hamid Kisyk

Syeikh ‘Abd al-Hamid Kisyk (lahir pada tahun 1933M) adalah ulama, pendakwah, dan penulis terkenal Mesir yang dihormati kerana khutbah bersemangat dan kritikan terhadap ketidakadilan sosial. Dilahirkan di Shubrakhit dan hafal al-Quran pada usia lapan tahun, beliau menyambung pelajaran di Universiti Al-Azhar. Beliau menjadi imam di Masjid ‘Ain al-Hayat, Kaherah pada tahun 1964, di mana khutbahnya menarik ribuan jemaah dan tersebar luas di dunia Arab. Sering mengkritik penindasan politik, beliau dipenjara beberapa kali. Syeikh Kisyk meninggal dunia dalam keadaan sujud pada 6 Disember 1996. Khutbah dan tulisannya terus memberi inspirasi, meninggalkan legasi sebagai tokoh yang berani dan ikhlas dalam perjuangan.

Antara mimpi Syeikh ‘Abd al-Hamid Kisyk, beliau pernah dipenjara dan ketika dalam penjara, imamah atau serbannya jatuh. Ketika itu, beliau amat sedih. Ketika beliau tertidur, tiba-tiba beliau terdengar suara berkata kepadanya: “Awas,” dan ketika itu, beliau melihat Abu Bakar al-Siddiq dan kemudian datang kepadanya Rasulullah SAW serta memakaikan imamah kepadanya. Apabila beliau terjaga, didapati imamah sudah berada di kepalanya.[3]

Selain itu, diceritakan juga mimpi bertemu Rasulullah, iaitu beberapa ketika sebelum kewafatannya. Hari itu adalah hari Jumaat, dan pada hari yang penuh berkat ini, Syeikh Kisyk menunaikan solat Subuh – beliau memiliki wirid harian dari bacaan al-Quran dan zikir yang tidak pernah beliau tinggalkan, tidak kira apa jua keadaan dan situasi – . Selepas selesai mengerjakan wiridnya dan solat Dhuha, beliau terasa mengantuk lalu tertidur seketika. Setelah itu, beliau terjaga dan dengan penuh semangat berkata, “Allahu Akbar, Allahu Akbar!”

Kemudian, beliau memanggil isteri dan anak-anaknya dengan hati yang gembira, lalu berkata kepada mereka, “Adakah kamu tahu siapa yang aku lihat dalam mimpiku hari ini?” Mereka menjawab, “Hanya Allah yang lebih mengetahui.” Lantas beliau berkata, “Aku telah melihat seorang insan yang tidak pernah aku temui keindahan penciptaannya sepertinya. Dia adalah penghulu sekalian makhluk, kekasih yang diredhai Allah. Dia adalah insan yang telah menjadikan para hamba sebagai pemimpin, menjadikan golongan yang lemah sebagai guru dan ketua. Dia juga adalah insan yang mengangkat penyembah batu menjadi pemimpin umat manusia dan menjadikan para penggembala sebagai pemimpin bangsa. Dia adalah seorang yang ummi tetapi mampu mengajar mereka yang terpelajar, seorang fakir yang memimpin dunia yang sedang terumbang-ambing di tengah ombak menuju ke tepian Allah, Tuhan sekalian alam.”

Aku telah melihat Nabi Muhammad SAW bersama Umar bin al-Khattab R.A. Dan aku mendengar Nabi SAW berkata kepada Umar, ‘Dudukkan dia di sini, wahai Umar, agar aku dapat memandikannya dengan kedua tanganku.’ Maka Umar pun mengambil aku dan membaringkanku di atas sebuah meja, dan Nabi SAW mula memandikan aku dengan kedua tangan Baginda yang mulia, sementara Umar R.A menyerahkan air kepada Baginda.”

Kemudian Syeikh mengangkat tangannya dan berkata, “Aku memohon kepada Allah agar hari ini menjadi hari pertemuanku dengan-Nya.”[4]

Selepas itu, beliau berwuduk di rumah untuk bersiap-siap menunaikan solat Jumaat, dan seperti kebiasaannya, beliau memulakan solat sunat sebelum berangkat ke masjid. Beliau memasuki solat dan menunaikan satu rakaat. Pada rakaat kedua, setelah beliau sujud pada sujud pertama dan bangkit daripadanya, beliau sujud kali kedua dan di dalam sujud itulah beliau meninggal dunia. Peristiwa ini berlaku pada hari Jumaat, 25 Rejab 1417 Hijrah, bersamaan dengan 6 Disember 1996.[5]

Beliau telah berdoa kepada Allah agar diwafatkan dalam keadaan sujud, dan Allah mengabulkan doanya.

  • Syeikh Muhammad al-Hasan Walad al-Diddu

Syeikh Muhammad al-Hasan bin al-Diddu al-Syanqiti, dilahirkan pada 31 Oktober 1963 di Boutilimit, Mauritania. Beliau adalah seorang ulama Islam yang dihormati, pengarang, dan ahli fiqah terkemuka. Kini, beliau memegang jawatan sebagai Presiden Universiti Abdullah bin Yasin di Mauritania. Syeikh al-Diddu terkenal dengan pengetahuan mendalam dalam ilmu Islam, terutamanya dalam bidang fiqh, serta sumbangan beliau dalam pendidikan dan dakwah yang memberi impak luas dalam masyarakat Islam. Syeikh juga merupakan seorang ulama’ terkemuka di dunia pada masa kini dengan kealiman dan kekuatan hafazannya.

Sekitar tiga tahun lepas (2021), dalam sebuah rancangan yang bertajuk Qulub Muhsinah (al-Tariq ila Allah), dalam wawancara, seseorang bertanya kepadanya dengan bersumpah dengan nama Allah supaya beliau menjawab dengan jujur. Soalan ditanyakan, iaitu adakah beliau pernah bermimpi Rasulullah SAW dan berapa kali serta apa yang dikatakan Rasulullah SAW kepadanya. Lalu beliau menjawab, beliau pernah bermimpi Rasulullah SAW beberapa kali dan Rasulullah SAW juga ada bercakap kepadanya melainkan Syeikh berkata: “Itu hanya untukku,” dan beliau tersenyum sahaja.[6]

  • Syeikh Dr. Ahmad Umar Hasyim

Syeikh Dr. Ahmad Umar Hasyim adalah seorang ulama’ Islam terkemuka yang berasal dari Mesir dan merupakan anggota Majlis Ulama Besar al-Azhar, institusi pendidikan Islam tertua dan paling berprestij di dunia. Beliau adalah seorang ilmuwan dan pendakwah yang disegani, terutama di bidang tafsir, hadis, dan akidah. Dr. Ahmad Umar Hasyim dilahirkan pada tahun 1941 dan menamatkan pengajiannya di Universiti al-Azhar, di mana beliau meraih gelaran doktor falsafah dalam pengajian Islam, dengan pengkhususan bidang hadith. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Rektor Universiti al-Azhar, menunjukkan kepemimpinan dan sumbangan beliau dalam pengembangan kurikulum serta pembinaan akademik di universiti tersebut.

Karya-karya beliau dalam bidang tafsir dan hadith banyak dijadikan rujukan, dan beliau sering diundang untuk memberikan ceramah di pelbagai negara. Pendekatan beliau dalam menjelaskan isu-isu kontemporari berlandaskan Al-Quran dan Sunnah telah menjadikan beliau sebagai salah seorang tokoh yang dihormati di kalangan ilmuwan Islam.

Beliau pernah bercerita: “Kali pertama aku melihat Rasulullah SAW dalam mimpi adalah di hadapan Kaabah, tepatnya di antara pintu Kaabah dan Hajar al-Aswad. Pada ketika itu, Rasulullah SAW sedang berdiri, berjalan untuk melakukan tawaf, dan aku berada di belakangnya. Ketika itu, aku berada di tahun keempat pengajian di Kuliah Usuluddin, al-Azhar. Setelah pulang, aku ceritakan mimpi itu kepada ayahku. Kata ayahku, tafsiran mimpi tersebut ada dua perkara. Pertama, kamu akan menunaikan ibadah haji. Kedua, kamu akan mendalami pengajian dalam bidang hadith Nabi SAW dan sunnahnya. Dan benar, aku akhirnya memilih jurusan tersebut.”

Beliau juga menceritakan: “Belum lagi selesai ujian, Presiden Universiti al-Azhar, Dr. Muhammad Ahmad Sulaiman, telah bertanya tentang diriku. Kemudian beliau menyatakan hasrat untuk memilihku agar aku dapat melanjutkan pengajian takhassus dalam peringkat sarjana dan kedoktoran dalam bidang hadith.”[7]

  • Syeikh Muhammad al-Zughbi

Syeikh Muhammad bin Abdul Malik Al-Zughbi adalah seorang pendakwah Islam terkenal dari Mesir. Beliau dilahirkan pada 4 Julai 1964 di wilayah Daqahliya, Mesir. Beliau memperoleh ijazah tinggi dalam Bahasa Arab daripada Universiti Al-Azhar. Beliau terlibat dalam Rabitah al-Alam al-Islami (Liga Muslim Sedunia) di Mekah, khususnya dalam bahagian Mukjizat Saintifik dalam Al-Quran dan Sunnah. Beliau dikenali melalui ceramah-ceramah dan program televisyen yang membincangkan pelbagai aspek ajaran Islam.

Beliau pernah menceritakan kisahnya, lebih kurang 16 tahun yang lalu, bahawa beliau telah bermimpi bertemu Rasulullah SAW sebanyak 47 kali. Pada suatu ketika, beliau merasakan Rasulullah SAW menyentuh kepala dan belakangnya, dan beliau dapat merasai kesejukan jari-jemari baginda pada kepalanya dan belakangnya. Kisah ini diceritakannya dalam rancangan Muntada Fursan al-Sunnah li al-Intaj al-Islami.[8]

Kami juga ada menulis berkenaan isu ini dalam eBook kami bertajuk: Melihat Rasulullah SAW di Alam Mimpi: Antara Kebenaran dan Dakwaan.[9]

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Nota Hujung:

[1] El-Balad News. (2021, April 22). Ru’ya Manamiyyah..Kaifa Bassyara al-Nabi Muhammad al-Syaikh ‘Abd al-Halim Mahmud bi Nasr Uktubar. Dicapai pada 7 November 2024, daripada https://www.elbalad.news/4786458

[2] El Watan News. (2022, 17 Jun). Al-Lahzat al-Akhirah fi Hayat al-Syaikh al-Sya’rawi..Hal Ra’a al-Nabi wa Al al-Bait?

 Dicapai pada 7 November 2024, daripada https://www.elwatannews.com/news/details/6146506

[3] Lihat https://www.youtube.com/watch?v=K3ES5iZOofo. Diakses pada 7 November 2024.

[4] Al-Rashedoon. (t.t.). Ru’ya al-Syaikh ‘Abd al-Hamid Kisyk li Rasulillah Qabla Wafatihi. Dicapai pada 7 November 2024, daripada https://alrashedoon.com/?p=5714

[5] Facebook. Dicapai pada 7 November 2024, daripada https://www.facebook.com/permalink.php/?story_fbid=2616989651696983&id=246703908725581&locale=ar_AR

[6] YouTube. (t.t.). Kam Marrah Ra’a Fiha al-Diddu al-Rasul SAW. YouTube.  https://www.youtube.com/watch?v=Untrp_ZgYRE . Diakses pada: 7 November 2024.

[7] YouTube. (t.t). Haqiqah Ru’yah al-Duktur Ahmad ‘Umar Hasyim li al-Rasul SAW. YouTube. https://www.youtube.com/watch?v=C02MI7B_tog . Diakses pada: 7 November 2024.

[8] YouTube. (t.t). Al-Syaikh Muhammad al-Zughbi Yara al-Nabi SAW li al-Marrah 47. YouTube. https://www.youtube.com/watch?v=qcX7QSQLQd

[9] Untuk bacaan lanjut, boleh mendapatkannya di pautan berikut: https://play.google.com/store/books/details?id=R6Q2EQAAQBAJ