Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana sewajarnya akhlak dan jati diri sebagai seorang perawat Islam?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَإِنَّكَ لَعَلَىٰ خُلُقٍ عَظِيمٍ
Maksudnya: “Demi sesungguhnya, kamu (Rasulullah SAW) mempunyai akhlak yang amat mulia.”
(Surah al-Qalam: 4)
Syeikh Tahir Ibn Asyur dalam tafsirnya, berkata: “Sebagaimana Allah SWT menjadikan Rasul-Nya SAW berada di atas akhlak yang agung, Dia juga menjadikan syariat-Nya bagi membawa manusia untuk berakhlak dengan akhlak yang agung dalam kemuncak ketaatan. Oleh yang demikian, bertambah jelaslah makna tamakkun yang ditunjukkan oleh huruf isti‘la’ dalam firman-Nya, “وَإِنَّكَ لَعَلَىٰ خُلُقٍ عَظِيمٍ” iaitu Baginda benar-benar mampu untuk berakhlak dengan akhlak yang agung dalam dirinya sendiri, dan juga mampu untuk berakhlak dengan akhlak yang agung dalam menyampaikan dakwah agamanya.” (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 29/64).
Akhlak dan jati diri sebagai perawat adalah menjadi tunjang utama dan akan memberi kesan yang baik kepada perawat dan juga orang yang dirawat. Hal ini mengingatkan kami kisah seorang murid berkata kepada gurunya: “Saya dengar, Saidina Umar Ibn al-Khattab, bila menziarahi orang sakit hanya membaca al-Fatihah dan sembuh. Sedangkan saya pergi kepada orang sakit dan membaca al-Fatihah, tetapi tidak sembuh.”
Jawab guru tersebut: “Wahai anakku. Al-Quran yang kamu baca, itulah al-Quran yang Saidina Umar baca. Al-Fatihah yang kamu baca, itulah yang Saidina Umar baca. Tetapi itu Umar.”
Itulah kekuatan yang dimiliki oleh Saidina Umar dengan iman yang mendalam, akhlak yang unggul dan jati diri yang kukuh lagi ampuh. Maka sewajarnya, seseorang perawat mesti mempunyai sifat yang mahmudah atau dipanggil makarim al-akhlaq, sebagaimana sabda Nabi SAW:
إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ صَالِحَ الْأَخْلَاقِ
Maksudnya: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak-akhlak yang mulia.”
Riwayat Ahmad (8952). Syeikh Syu’aib al-Arna’uth menilai hadith ini sebagai sahih dan sanadnya kuat.
Dengan akhlak yang mulia, maka selamatlah daripada fitnah dan juga memberi thiqah dan kepercayaan yang tinggi oleh khalayak masyarakat kepadanya. Bahkan dengan izin Allah SWT, rawatan yang diberi dengan bacaan doa dimakbulkan oleh Allah dan disembuhkan penyakit.
Sebaliknya, dengan kepincangan akhlak dan sifat mazmumah, sudah tentu akan mudah digoda oleh syaitan atau jin, bahkan lebih parah, apabila mereka memohon pertolongan dan mengharapkan kepada jin semata-mata. Hal ini sebagaimana disebut dalam al-Quran:
وَأَنَّهُ كَانَ رِجَالٌ مِّنَ الْإِنسِ يَعُوذُونَ بِرِجَالٍ مِّنَ الْجِنِّ فَزَادُوهُمْ رَهَقًا
Maksudnya: Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.
(Surah al-Jin:6)
Syaikh Abu Bakar al-Jazairi menyatakan: Mereka memberitahu tentang perkara yang luar biasa, iaitu terdapat lelaki dari kalangan manusia, termasuk orang Arab dan lain-lain, apabila mereka turun ke suatu tempat yang menakutkan di lembah atau gunung, mereka mencari perlindungan dengan merayu kepada jin jantan. Contohnya, seorang lelaki berkata: “Aku berlindung kepada tuan lembah ini daripada kebodohan kaumnya.” Manusia menjadikan jin-jin itu sebagai perlindungan dari dosa dan perbuatan zalim. (Lihat Aisar al-Tafasir,5/448)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ رَبَّ النَّاسِ أَذْهِبِ الْبَأْسَ وَاشْفِ أَنْتَ الشَّافِيْ لاَ شِفَاءَ إِلاَّ شِفَاؤُكَ شِفَاءً لاَ يُغَادِرُ سَقَماً.
Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Pemelihara manusia, hilangkanlah penyakit ini dan sembuhkanlah. Engkaulah Yang Maha Penyembuh, tidak ada kesembuhan melainkan hanya kesembuhan daripada-Mu, kesembuhan yang tidak meninggalkan penyakit walau sedikit pun.”