Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya terdengar ceramah bahawa Islam melarang makan di rumah orang lain atau ke majlis kenduri tanpa jemputan tuan rumah, tetapi bagaimana pula dengan kisah para sahabat yang beramai-ramai datang ke rumah Jabir tanpa dijemput sehingga beliau terkejut dengan kehadiran mereka?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Perbuatan makan di rumah orang lain tanpa keizinan dari tuan rumah ini ada dibincangkan oleh fuqaha dalam bab walimah. Ia disebutkan sebagai al-tatafful (التَطَفُّلُ), dan pelakunya pula dinamakan sebagai al-tufaili (الطُفَيْلِي). Al-Tatafful ini dinisbahkan kepada Tufail, iaitu seorang lelaki dari kalangan Ahli Kufah yang sering mendatangi majlis-majlis kahwin tanpa diundang, sehingga dia digelarkan sebagai si penceroboh kenduri. Ibn Hajar al-Haitami mendefinisikan al-tatafful sebagai perbuatan memasuki tempat orang dan mengambil makanannya tanpa keizinan, tanpa keredhaannya, atau tidak ada sebarang isyarat yang membenarkannya. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 7/436; Mughni al-Muhtaj, 4/410)
Memahami definisi yang dibawakan fuqaha, kita akan dapati bahawa para sahabat tidaklah termasuk dalam kalangan al-tufaili ini sekiranya kita memerhatikan hadith-hadith berkenaan kisah Jabir bin Abdullah R.A dengan baik, begitu juga kisah-kisah lain seperti kisah Abu Syu‘aib al-Ansari yang hendak menjemput Rasulullah SAW makan bersama empat lelaki lain, atau kisah Abu Talhah R.A ketika Rasulullah SAW mengajak ramai sahabat untuk makan di rumah beliau.
Kecintaan para sahabat terhadap Rasulullah SAW amatlah tinggi sehinggakan mereka akan sentiasa mengelilingi Baginda, bersegera untuk mendapatkan keredhaannya, begitu juga bersungguh-sungguh untuk memenuhi segala keperluan Baginda. Dikisahkan daripada Jabir bin Abdullah R.A, katanya:
إِنَّا يَوْمَ الخَنْدَقِ نَحْفِرُ، فَعَرَضَتْ كُدْيَةٌ شَدِيدَةٌ، فَجَاءُوا النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالُوا: هَذِهِ كُدْيَةٌ عَرَضَتْ فِي الخَنْدَقِ، فَقَالَ: «أَنَا نَازِلٌ». ثُمَّ قَامَ وَبَطْنُهُ مَعْصُوبٌ بِحَجَرٍ، وَلَبِثْنَا ثَلاَثَةَ أَيَّامٍ لاَ نَذُوقُ ذَوَاقًا، فَأَخَذَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ المِعْوَلَ فَضَرَبَ، فَعَادَ كَثِيبًا أَهْيَلَ، أَوْ أَهْيَمَ، فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، ائْذَنْ لِي إِلَى البَيْتِ، فَقُلْتُ لِامْرَأَتِي: رَأَيْتُ بِالنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شَيْئًا مَا كَانَ فِي ذَلِكَ صَبْرٌ، فَعِنْدَكِ شَيْءٌ؟ قَالَتْ: عِنْدِي شَعِيرٌ وَعَنَاقٌ، فَذَبَحَتِ العَنَاقَ، وَطَحَنَتِ الشَّعِيرَ حَتَّى جَعَلْنَا اللَّحْمَ فِي البُرْمَةِ، ثُمَّ جِئْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالعَجِينُ قَدْ انْكَسَرَ، وَالبُرْمَةُ بَيْنَ الأَثَافِيِّ قَدْ كَادَتْ أَنْ تَنْضَجَ، فَقُلْتُ: طُعَيِّمٌ لِي، فَقُمْ أَنْتَ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَرَجُلٌ أَوْ رَجُلاَنِ، قَالَ: «كَمْ هُوَ» فَذَكَرْتُ لَهُ، قَالَ: «كَثِيرٌ طَيِّبٌ»، قَالَ: قُلْ لَهَا: لاَ تَنْزِعِ البُرْمَةَ، وَلاَ الخُبْزَ مِنَ التَّنُّورِ حَتَّى آتِيَ، فَقَالَ: «قُومُوا»، فَقَامَ المُهَاجِرُونَ، وَالأَنْصَارُ، فَلَمَّا دَخَلَ عَلَى امْرَأَتِهِ قَالَ: وَيْحَكِ جَاءَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالْمُهَاجِرِينَ وَالأَنْصَارِ وَمَنْ مَعَهُمْ، قَالَتْ: هَلْ سَأَلَكَ؟ قُلْتُ: نَعَمْ، فَقَالَ: «ادْخُلُوا وَلاَ تَضَاغَطُوا»، فَجَعَلَ يَكْسِرُ الخُبْزَ، وَيَجْعَلُ عَلَيْهِ اللَّحْمَ، وَيُخَمِّرُ البُرْمَةَ وَالتَّنُّورَ إِذَا أَخَذَ مِنْهُ، وَيُقَرِّبُ إِلَى أَصْحَابِهِ ثُمَّ يَنْزِعُ، فَلَمْ يَزَلْ يَكْسِرُ الخُبْزَ، وَيَغْرِفُ حَتَّى شَبِعُوا وَبَقِيَ بَقِيَّةٌ، قَالَ: «كُلِي هَذَا وَأَهْدِي، فَإِنَّ النَّاسَ أَصَابَتْهُمْ مَجَاعَةٌ».
Maksudnya: “Sesungguhnya ketika peristiwa Khandaq, kami menggali parit dan terhalang dengan tanah yang sangat keras. Mereka pergi kepada Nabi SAW dan berkata: ‘Tanah yang sangat keras ini telah menghalang penggalian parit.’ Baginda bersabda: ‘Aku akan turun.’ Kemudian Baginda berdiri sementara perut Baginda diikat dengan batu. Sudah tiga hari kami tidak merasa sebarang makanan. Nabi SAW mengambil cangkul dan memukul pada tanah yang keras itu. Maka jadilah ia timbunan pasir yang gembur (dengan lafaz أَهْيَلَ ) – atau kata perawi: dengan lafaz أَهْيَمَ. Aku (Jabir) berkata: ‘Wahai Rasulullah, izinkanlah aku pulang ke rumah.’ Aku berkata kepada isteriku: ‘Aku melihat pada diri Nabi SAW sesuatu yang tidak dapat ditanggung. Maka adakah engkau memiliki makanan?’ Isterinya menjawab: ‘Aku memiliki sedikit barli dan seekor anak kambing betina.’ Aku pun menyembelih kambing tersebut dan beliau (isterinya) mengisar barli, lalu kami meletakkan daging ke dalam periuk. Kemudian aku datang kepada Nabi SAW ketika adunan roti telah naik, dan periuk di atas tungku sudah hampir masak. Aku berkata: ‘Ada sedikit makanan dirumahku. Bangunlah wahai Rasulullah SAW, (marilah makan dan ajaklah) bersama satu atau dua orang.’ Baginda SAW bertanya: ‘Berapa banyakkah makanan itu?’ Aku pun memberitahu kadarnya. Baginda bersabda: ‘Sangat banyak lagi baik.’ Baginda bersabda: ‘Katakan kepadanya (isterimu) supaya tidak mengangkat periuk dari atas tungku dan jangan keluarkan roti dari tempayan tannur.’ Kemudian Baginda bersabda: ‘Berdirilah kamu semua.’ Maka orang-orang Muhajirin dan Ansar pun berdiri. Ketika masuk ke tempat isterinya, beliau berkata: ‘Habislah engkau, Nabi SAW datang bersama kaum Muhajirin dan Ansar, beserta orang lain bersama mereka!’ Beliau berkata: ‘Adakah Baginda sudah bertanya engkau (akan kadar makanan)?’ Aku menjawab: ‘Ya.’ Mereka pun sampai, lalu Baginda SAW bersabda: ‘Masuklah dan jangan berasak-asak.’ Baginda pun mula mengoyak-ngoyakkan roti dan meletakkan daging padanya. Lalu Baginda menutup periuk dan tempayan tannur setiap kali selesai mengambil darinya. Setelah itu Baginda menghidangkannya kepada sahabat-sahabatnya lalu mengambil lagi. Baginda terus mengoyak-ngoyakkan roti dan menyenduk (daging) sehinggalah mereka semua sudah kenyang dan makanan masih berbaki. Baginda bersabda (kepada isteri Jabir): ‘Makanlah engkau dan hadiahkanlah (kepada jiran), sesungguhnya orang ramai telah ditimpa kelaparan’.”
Riwayat al-Bukhari (4101)
Apa yang berlaku dalam kalangan para sahabat tidak boleh dianggap sebagai sikap al-tatafful. Ini kerana teks hadith menunjukkan bahawa Rasulullah SAW mengundang para sahabat yang lain ketika Jabir juga berada bersamanya, dan beliau membenarkan hal itu. Beliau juga memberitahu isterinya bahawa Rasulullah SAW mengundang para Muhajirin dan Ansar.
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata, lafaz riwayat ini ringkas, dan penjelasannya dapat dilihat dalam riwayat Yunus, ketika Jabir R.A berkata: “Aku berasa malu yang tidak diketahui oleh sesiapa kecuali Allah, dan aku terdetik: ‘Orang ramai telah datang hanya untuk satu gantang barli dan seekor anak kambing’.” Beliau kemudian masuk ke rumah dan berkata kepada isterinya: “Aku telah mempermalukan diriku. Rasulullah SAW telah datang bersama seluruh pasukan Khandaq.” Isteri Jabir R.A bertanya: “Adakah Baginda bertanya kepadamu berapa banyak makanan yang ada?” Jabir menjawab: “Ya.” Isterinya berkata: “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui, dan kita telah memberitahunya apa yang kita ada.” Maka hilanglah daripada Jabir bin Abdullah rasa gelisah yang berat. (Lihat Fath al-Bari, 7/398)
Ini membuktikan bahawa kedatangan para sahabat ke rumah Jabir R.A itu diketahui oleh beliau, bahkan tidak pula beliau melarang kedatangan mereka ke rumahnya. Mereka tidaklah melakukan perbuatan al-tatafful dengan makan beramai-ramai di rumah Jabir R.A tanpa kerelaan hati beliau. Maka sebaiknya kita teliti dan kaji dengan baik sebelum menimbulkan sebarang spekulasi terhadap para sahabat Rasulullah SAW, sedangkan mereka adalah manusia yang kehidupan hidup mereka diredhai oleh Allah SWT:
وَٱلسَّـٰبِقُونَ ٱلْأَوَّلُونَ مِنَ ٱلْمُهَـٰجِرِينَ وَٱلْأَنصَارِ وَٱلَّذِينَ ٱتَّبَعُوهُم بِإِحْسَـٰنٍۢ رَّضِىَ ٱللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا۟ عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّـٰتٍۢ تَجْرِى تَحْتَهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيهَآ أَبَدًۭا ۚ ذَٰلِكَ ٱلْفَوْزُ ٱلْعَظِيمُ
Maksudnya: “Dan orang-orang yang terdahulu yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang Muhajirin dan Ansar, dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia, serta Dia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.”
(Surah al-Taubah: 100)
Allah SWT telah memberitahu bahawa Dia meredhai para sahabat yang terdahulu daripada kalangan Muhajirin dan Ansar, serta orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik. Maka celakalah sesiapa yang membenci mereka, mencaci mereka, atau membenci dan mencaci sebahagian daripada mereka. Sesungguhnya Ahli Sunnah, mereka mendoakan rahmat dan keredhaan kepada siapa yang telah Allah redha, mencela siapa yang telah Allah dan Rasul-Nya cela, menyokong siapa yang Allah sokong, dan memusuhi siapa yang Allah musuhi. Para sahabat ini adalah pengikut agama Allah, dan mereka bukan pencipta ajaran baru. Mereka mencontohi, bukan mengada-adakan, dan kerana itulah mereka menjadi golongan yang berjaya serta hamba-hamba-Nya yang beriman. (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 4/178)
Semoga kita dijauhkan dari termasuk di antara mereka yang mencela atau menimbulkan syubhah terhadap para sahabat R.Anhum, dan semoga kita tergolong dalam kalangan mereka yang berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah SAW serta sunnah para sahabat Baginda. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا
Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ketakwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”
Wallahu a‘lam