Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya ingin bertanya tentang aurat dengan ipar lelaki semasa duduk menginap di rumah mentua? Adakah cukup sekadar pakaian tidak ketat tetapi berlengan pendek dan bertudung tidak cover dada dikira boleh? Begitu juga tidak memakai stokin? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Umumnya, Islam sangat menitikberatkan soal penjagaan aurat, bukan sahaja di dalam solat, bahkan juga di luar solat yang melibatkan interaksi sesama manusia dalam kehidupan seharian. Firman Allah SWT:
قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka yang demikian itu lebih suci bagi mereka.”
(Surah al-Nur: 30)
Ayat di atas merupakan perintah daripada Allah SWT kepada Nabi agar berpesan kepada orang-orang lelaki beriman supaya menundukan pandangan mereka daripada wanita-wanita dan aurat-aurat yang tidak halal buat mereka. Begitu juga memelihara kemaluan mereka daripada perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT seperti zina, liwat, mendedahkan aurat dan lain-lain. Demikian itu adalah lebih suci bagi mereka. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 353).
Kami mulakan dengan mendefinisikan aurat terlebih dahulu. Perkataan aurat ialah merujuk kepada apa-apa yang diharamkan untuk didedah daripada anggota badan sama ada lelaki ataupun perempuan. Ia juga ditakrifkan sebagai apa-apa yang wajib ditutupi dan tidak boleh dizahirkan daripada anggota badan. Menurut Khatib al-Syarbini, aurat diertikan sebagai apa-apa yang haram untuk dilihat. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/185).
Menurut pengarang kitab Kifayah al-Akhyar, aurat menurut syarak ialah batas minima dari bahagian tubuh yang wajib ditutup kerana perintah Allah SWT. (Lihat Kifayah al-Akhyar, 1/52).
Dijelaskan dalam kitab al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah pula bahawa aurat adalah suatu anggota badan yang tidak boleh ditunjukkan dan diperlihatkan oleh lelaki atau perempuan kepada orang lain. (Lihat al-Mausu‘ah al Fiqhiyyah al Kuwaitiyyah, 31/44).
Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa hubungan antara ipar adalah bukan mahram. Oleh yang demikian halal bagi mereka untuk berkahwin setelah pasangan mereka meninggal kerana mereka dikira sebagai ajnabi yang wajib ke atas mereka untuk menjaga batas-batas aurat.
Sehubungan dengan itu juga, wajib ke atas mereka untuk menutup aurat dengan sempurna dan tidak memperlihatkannya kepada bukan mahram. Imam al-Nawawi menyebutkan, aurat wanita Muslimah juga disepakati oleh ulama Syafi‘iyah adalah seluruh badan kecuali wajah dan kedua telapak tangan. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/122; Minhaj al-Talibin, 1/188).
Manakala aurat lelaki pula adalah bahagian badan di antara pusat dan lutut. Ini adalah sebagaimana dinyatakan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah bahawa aurat lelaki dalam solat dan ketika di luar solat adalah bahagian tubuh yang berada di antara pusat dan lututnya mengikut pendapat al-Hanafiyyah, al-Malikiyyah, al-Syafi‘iyyah dan al-Hanabilah. Ini juga merupakan pendapat kebanyakan fuqaha’. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 22/118).
Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami katakan bahawa pemakaian saudari seperti yang dinyatakan di atas masih belum lagi dianggap sebagai menutup aurat dengan sempurna. Hal ini kerana lengan dan kaki termasuk dalam bahagian aurat wanita yang wajib ditutup di hadapan lelaki yang bukan mahram iaitu ipar lelaki. Justeru, sekadar tidak memakai pakaian yang ketat belum lagi mencukupi untuk dikira sudah menutup aurat bila mana anggota seperti lengan dan kaki tidak ditutup dengan sempurna.
Ingatlah pesan Nabi SAW:
إِيَّاكُمْ وَالدُّخُولَ عَلَى النِّسَاءِ. فَقَالَ رَجُلٌ مِنَ الأَنْصَارِ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَفَرَأَيْتَ الحَمْوَ؟ قَالَ: الحَمْوُ المَوْتُ
Maksudnya: “Jauhilah kamu daripada masuk kepada wanita-wanita. Seorang lelaki Ansar berkata: ‘Wahai Rasulullah, bagaimanakah pendapatmu dengan al-Hamwu (iaitu kaum kerabat suami yang halal dinikahi)?’ Baginda menjawab: ‘Al-Hamwu ialah kematian.’”
Riwayat al-Bukhari (5232) dan al-Muslim (2172)
Menurut Imam al-Nawawi, ungkapan “الحَمْوُ المَوْتُ” (Ipar itu adalah maut) bermaksud bahawa bahaya yang ditimbulkan oleh ipar lebih besar daripada orang lain. Hal ini kerana keburukan dan fitnah lebih mudah terjadi disebabkan kemampuannya untuk mendekati wanita dan berdua-duaan tanpa diingkari, berbeza dengan lelaki asing (bukan mahram). Yang dimaksudkan dengan hamwu (ipar) di sini ialah saudara-mara suami selain ayah dan anak-anak lelakinya. Ini kerana ayah dan anak-anak lelaki suami adalah mahram bagi isterinya, maka dibolehkan untuk mereka berdua-duaan dengannya, dan mereka tidak digambarkan sebagai maut. Namun, hamwu yang dimaksudkan adalah seperti adik-beradik lelaki suami, anak saudara lelaki suami, bapa saudaranya, atau anak-anak bapa saudaranya, dan lain-lain yang bukan mahram bagi isteri.
Kebiasaan masyarakat cenderung meremehkan perkara ini sehingga mereka membiarkan ipar berdua-duaan dengan isteri saudaranya. Inilah yang dimaksudkan sebagai maut, kerana ia lebih utama untuk dilarang berbanding dengan lelaki asing, atas sebab-sebab yang telah disebutkan. Menurut Imam al-Nawawi lagi, inilah tafsiran yang tepat mengenai maksud hadith tersebut. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/154)
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”