Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh kongsikan berkenaan pandangan tokoh semasa berkaitan isu mahkamah syariah dan taqnin?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ حَتَّىٰ يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لَا يَجِدُوا۟ فِىٓ أَنفُسِهِمْ حَرَجًۭا مِّمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا۟ تَسْلِيمًۭا
Maksudnya: “Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.”
(Surah al-Nisa’: 65)
Ibn Kathir berkata: Allah SWT bersumpah dengan menyebut diri-Nya Yang Maha Mulia lagi Maha Suci. Tidaklah beriman seseorang sebelum dia menjadikan Rasulullah SAW sebagai hakim dalam semua urusannya. Semua yang diputuskan oleh Rasulullah SAW adalah perkara yang benar dan wajib diikuti secara zahir dan batin.
Apabila mereka meminta keputusan hukum darimu, maka mereka hendaklah mentaatinya dengan tulus ikhlas sepenuh hati. Dalam hati mereka, tidak boleh terdapat suatu keberatan pun. Mereka hendaklah tunduk zahir batin serta menerima dengan sepenuhnya, tanpa ada rasa kesempitan, tanpa penolakan, dan tanpa ada sedikit pun rasa menentang. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 2/331)
Ramai tokoh membincangkan isu ini yang betapa pentingnya memperkasakan undang-undang Islam dengan sistem kehakiman dan pengkanunan yang berfungsi dan kuat. Antaranya ialah:
Pertama: Syeikh Dr. Yusuf al- Qaradhawi
Secara ringkasnya beliau menegaskan bahawa kita mestilah meraikan semua faktor dan ke arah itu jika mahu melaksanakan qanun bersumberkan Syariah Islamiah dengan melihat kepada Syariah, Feqahnya dan keperluan semasa yang sentiasa baru serta permasalahan pelbagai. Ini memerlukan kepada membentuk generasi ulama yang menghimpunkan thaqafah syar’iyyah bertunjangkan sumber utama bergabung dengan thaqafah qanuniyyah yang moden yang ketika itu mereka mampu mentajdidkan feqah tanpa hilang asolah dan keasliannya. (Lihat al-Madkhal li Dirasat al-Syari’ah al-Islamiyyah, hlm. 263)
Kedua: Syeikh Abdullah bin Mahfuz Bin Bayyah
Beliau menyokong usaha ke arah taqnin fiqh tetapi dalam ruang lingkup yang lebih sesuai dengan tuntutan semasa. Ini berdasarkan pengalamannya sebagai Menteri Undang-Undang Mauritania dalam mengendalikan penggubalan undang-undang keluarga di sana.[1]
Ketiga: Para ulama muktabar yang bersetuju dengan taqnin:[2]
Ramai tokoh ulama dunia pada kurun ini bersetuju dengan taqnin dan juga mahkamah syariah untuk diperkasakannya. Antaranya:
- Syeikh Allamah Mustafa al-Zarqa’ yang merupakan ulama besar Syam.
- Syeikh Muhammad Abu Zahrah. Beliau merupakan tokoh ulama besar al-Azhar.
- Syeikh Ali ’Muhammad al-Khafif yang merupakan mantan ulama besar al-Azhar.
- Syeikh Rashid Khunain, iaitu mantan ahli Kibar Ulama Saudi.
- Syeikh Abdullah Khayyat yang merupakan mantan Imam Masjid al-Haram.
- Syeikh Abdullah bin Mani’, iaitu mantan Ahli Kibar Ulama Saudi.
- Syeikh Abdul Majid bin Hassan yang juga mantan Ahli Kibar Ulama Saudi.
- Syeikh Soleh bin Ghusun yang merupakan mantan Qadhi Masyhur di Saudi.
Perkara ini bertepatan dengan kaedah:
مَا لاَ يَتِمّ الوَاجِبُ إلاّ بِهِ فهُوَ وَاجبٌ
Maksudnya: “Sesuatu yang menyebabkan tidak sempurna kewajipan kecuali dengan sesuatu perkara, maka perkara itu menjadi wajib.” (Lihat al-Mustasfa fi Ilmi al-Usul, 2/92)
Kaedah ini signifikan dengan isu di tangan bahawa penubuhan Mahkamah Syariah dan taqnin yang berfungsi itu wajib bagi menegakkan keadilan.
Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM), Dato’ Haji Zainul Rijal Bin Abu Bakar dipetik daripada tulisannya dalam akhbar Sinar Harian pada 26 Ogos 2016: “Sudah tiba masanya pengamal undang-undang di Malaysia mengakui hakikat bahawa Islam adalah sebahagian daripada kehidupan rakyat Malaysia. Malah rakyat bukan Islam juga mengakui hakikat ini. Marilah sama-sama kita menginjak paradigma ke arah melaksanakan undang-undang lazim Islam yang lebih sesuai dan adil kepada masyarakat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.”
Kami akhiri dengan pendapat guru kami, al-’Allamah Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam satu ceramahnya di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), telah mengemukakan kepada kami peri pentingnya taqnin undang-undang Islam selaras dan sesuai dengan peredaran masa kerana ia adalah sebaik-baik undang-undang daripada Allah. Semoga ianya dapat direalisasikan di Malaysia, insya Allah.
Kami akhiri dengan nas Ilahi:
أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَۚ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِّقَوْمٍ يُوقِنُونَ
Maksudnya: “Apakah hukum jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada hukum Allah bagi orang-orang yang yakin?”
(Surah al-Ma’idah: 50)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نسْأَلُكَ الْهُدَى ، وَالتُّقَى ، وَالْعَفَافَ ، وَالْغِنَى
Maksudnya: “Wahai Allah! Sesungguhnya kami memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, sifat iffah dan kekayaan.”
Nota Hujung:
[1] Lihat https://binbayyah.net/arabic/archives/1423
[2] Lihat Harakah Taqnin al-Fiqh al-Islami oleh ‘Amir bin Isa al-Lahwi, hlm. 6.