Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah boleh menyalurkan zakat kepada pelacur sebagai golongan yang tergolong dalam asnaf zakat?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Allah SWT telah menyatakan golongan yang berhak diagihkan zakat adalah melalui firman-Nya:
إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِّنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, amil-amil yang mengurusnya, orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, orang-orang yang berhutang, untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”
(Surah al-Taubah: 60)
Ibn ‘Abbas R.Anhuma menyatakan bahawa ayat ini merupakan penerangan berkenaan golongan asnaf yang berhak menerima zakat. Mana-mana daripada golongan ini yang telah kamu berikan zakat, maka sudah memadai sebagaimana Allah SWT memerintahkan kita untuk menghadap kiblat iaitu kaabah. Sekiranya kita sudah menghadap sebahagian daripada kaabah, maka sudah dikira menghadap kiblat.”(Lihat al-‘Inayah Syarh al-Hidayah, 2/265)
Jika diperhatikan dalam ayat di atas, asnaf al-riqab diletakkan pada tempat yang kelima daripada lapan asnaf keseluruhannya. Para ulama’ membahagikan asnaf kepada muqaddam dan muakkhar berdasarkan turutannya dan kata awalannya iaitu, li (ل) dan fi (في) di dalam ayat. Maka, dibahagikan asnaf zakat seperti berikut:
- Asnaf Muqaddam (terawal dan didahulukan): fakir, miskin, amil dan muallaf.
- Asnaf Muakkhar (terakhir dan dikemudiankan): riqab, gharimin, fisabilillah dan ibn sabil. (Lihat Fiqh al-Zakat, 2/70-71)
Dari sudut bahasa, al-riqab adalah kata jamak daripada perkataan tunggal al-raqabah yang membawa makna tengkuk atau leher. Hal ini mengisyaratkan bahawa terdapat belenggu yang menghalang seseorang daripada bebas dan merdeka sepertimana haiwan peliharan yang diikat lehernya. Ia juga kiasan kepada golongan hamba yang dibelenggu dengan perhambaan.
Dari sudut istilah pula, secara asasnya para fuqaha’ menafsirkan asnaf al-Riqab sebagai hamba al-Mukatab iaitu hamba yang dijanjikan dengan perjanjian yang sah oleh tuannya dengan syarat membayar sejumlah wang. Hal ini seperti disebutkan oleh Habib Hasan al-Kaff bahawa:
وَهُوَ مَن كَاتَبَهٌ سَيِّدَهُ كِتَابَةً صَحِيحَةً فَيُعْطَى مِن الزَّكَاةِ لِيُسَاعِدَهُ ذَلِكَ فِي تَحْرِيرِ مِن الرِّقِّ
Maksudnya: “Asnaf al-riqab ialah hamba al-Mukatab iaitu seseorang yang dijanjikan dengan perjanjian yang sah untuk dibebaskan oleh tuannya.” (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, 424)
Namun, sebahagian ulama’ pula meluaskan definisi al-riqab kepada segala bentuk yang bersifat perhambaan dan belenggu, yang bukan hanya terhad kepada golongan hamba al-mukatab semata-mata. Antaranya ialah Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Syeikh Rashid Redha dan Syeikh Mahmud Syaltut meluaskan definisi asnaf al-riqab kepada tawanan-tawanan perang Muslim dan negara Islam yang ditakluki atau ditindas oleh orang kafir. (Lihat Fiqh al-Zakat oleh al-Qaradhawi, 2/77-78).
Tafsiran yang luas ini juga difatwakan dan dipraktikkan di Malaysia, antaranya Selangor dan Wilayah Persekutuan dengan menyenaraikan asnaf al-riqab dengan golongan yang dibelenggu atau dieksploitasi dari aspek pemikiran, harta benda, kekuasaan dan kebebasan yang tidak mampu membebaskan diri dari belenggu tersebut. Golongan yang dikategorikan asnaf al-Riqab:
Kesalahan yang berhubungan dengan akidah.
- Kejahilan dalam agama seperti murtad;
- Ajaran sesat.
- Fahaman-fahaman yang bertentangan dengan akidah Ahlussunnah wal Jamaah seperti liberalisme, orientialisme dan lain-lain.
Kesalahan yang berhubungan dengan kesucian agama Islam dan institusinya.
- Menolak kemudharatan seseorang individu daripada belenggu pemikiran yang dialami.
- Perluasan asnaf ini bagi kes-kes: mencaci/menghina/mencabar agama atau institusi Islam.
Kesalahan berhubungan dengan kesusilaan.
- Menyelamat/melindungi wanita atau lelaki daripada terjerumus aktiviti-aktiviti tidak bermoral
- Aktiviti pelacuran
- LGBT (lesbian, gay, bisexual dan transgender) dan lain-lain.
Kesalahan yang berhubungan dengan dadah.
- Mereka-mereka yang terlibat secara langsung atau tidak seperti pengedar/penagih dan dalam proses pemulihan.
- Termasuk juga yang terlibat dalam lain-lain aktiviti penagihan seperti pil kuda, ecstasy dan seumpamanya.
Terbelenggu dengan penyakit kronik.
- Pesakit Aids/HIV/Tibi adalah terbelenggu dari segi kebebasan dan dari menjalani kehidupan yang sihat
Individu yang ditinggalkan dan tiada tempat bergantung.
- Bayi yang ditinggalkan ini terbelenggu kehidupannya daripada kejahilan terhadap agama, kebebasan dan harta.
- Diperluaskan kepada isteri/suami/ibubapa/anak-anak yang ditinggalkan adalah termasuk dalam belenggu agama, kebebasan dan harta.
- Diperluaskan juga kepada golongan gelandangan.
Kes-kes ancaman dan keselamatan.
- Perluasan bantuan melalui asnaf bagi kes-kes yang mengancam keselamatan nyawa, maruah diri dan keluarga seperti hutang ah long.
- Hilang tempat perlindungan kerana dihalau oleh keluarga/tuan rumah sewa.
Konsep dan Skim Agihan: berfungsi melaksanakan tugas-tugas membebas, mengurus, melindungi, merawat, dan memulih asnaf al-riqab supaya dapat menjalani kehidupan sempurna sebagai muslim. Perluasan asnaf al-riqab bukan sahaja diberikan kepada pusat-pusat pemulihan, bahkan kepada individu-individu yang terlibat. (Lihat Panduan Pengagihan Zakat Melalui Wakalah – Maiwp, hlm. 3-4)
Justeru jelaslah kepada kita bahawa golongan ini termasuk dalam golongan asnaf al-Riqab yang layak menerima bantuan zakat. Maka, saranan kami kepada pihak-pihak berautoriti agama seperti Majlis Agama dan badan-badan zakat setiap negeri hendaklah mengambil peranan dalam menghulurkan bantuan zakat dengan menempatkan mereka di asrama khas seperti rumah tumpangan di samping mengenalpasti kemampuan mereka. Selain itu hendaklah mewujudkan kelas agama dalam melahirkan kesedaran dan pembinaan akhlak mereka.
Bagi golongan remaja pula, disarankan pihak-pihak berautoriti membuka peluang pendidikan kepada mereka seperti kelas kemahiran memasak, jahitan dan sebagainya. Yang demikian bagi membantu mereka untuk keluar daripada golongan asnaf kepada golongan yang berkemampuan.
Justeru, dengan pantauan dan perhatian pihak-pihak berautoriti seperti badan-badan agama, Kementerian Pembangunan Wanita dan NGO di Malaysia serta masyarakat sekeliling, ia dapat membantu mereka membina bi’ah (suasana) yang baru bertunjangkan nilai-nilai agama seterusnya dapat mengislahkan mereka daripada lembah kegelapan kepada fitrah sebagai wanita yang terhormat.
Kami amat meyakini apabila mereka dibantu sudah pasti hati mereka tenang dan menyahut hal ini. Ia merupakan proses untuk menjadikan mereka insan rabbani dan solehah. Bagi sesiapa yang mengambil mereka sebagai isteri ia adalah mujahadah yang besar dan sikap yang seharusnya diberikan pujian. Yang demikian sebagaimana pandangan Syeikh Dr Ramadhan al-Buti terhadap pemuda yang tersalah pilih wanita yang terbabit dalam penzinaan tetapi telah bertaubat, syeikh tetap memuji lelaki tersebut.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ، وَالأَهْوَاءِ، وَالأَسْوَاءِ، وَالأَدْوَاءِ.
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”