Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa pandangan tokoh barat berkaitan perundangan Islam?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَۚ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِّقَوْمٍ يُوقِنُونَ
Maksudnya: “Apakah hukum jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada hukum Allah bagi orang-orang yang yakin?”
(Surah al-Ma’idah: 50)
Al-Syaukani berkata: Firman Allah, ‘ أَفَحُكْمَ الْجٰهِلِيَّةِ يَبْغُونَ’ Maksudnya, apakah mereka berpaling daripada keputusanmu yang berdasarkan apa yang Allah turunkan kepadamu dan sebaliknya menghendaki hukum Jahiliah? Firman Allah, ‘وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللهِ حُكْمًا لِّقَوْمٍ يُوقِنُونَ’ Maksudnya, tidak ada yang lebih baik daripada hukum Allah bagi orang-orang yang beriman. Berbeza dengan mereka yang bodoh dan mengikuti hawa nafsu, yang tidak rela kecuali dengan hukum yang sejalan dengan keinginan mereka, walaupun hukum itu batil. (Lihat Fath al-Qadir, 3/522)
Sesungguhnya keistimewaan perundangan Islam ini telah disedari oleh mereka yang mengkaji dan menelitinya sama ada dari kalangan orang Islam sendiri mahupun bukan Islam dari barat. Antara tokoh barat yang mengakui akan keistimewaan perundangan Islam ini, antaranya:
- Moris dari Perancis menyebut: “Sesungguhnya al-Quran adalah sebaik-baik kitab yang dikeluarkan oleh ‘inayah ketuhanan kepada anak Adam dan sebenarnya ia sebuah kitab yang tidak ada sebarang prasangka.”
- Henry de Costrie pula berkata: “Bahawasanya al-Quran menawan fikiran dan lubuk hati manusia, dan ia telah diturunkan kepada Muhammad yang membuktikan kebenaran risalahnya.”
- Alex Loison berkata: “Muhammad telah meninggalkan kepada dunia sebuah kitab yang menjadi lambang keindahan bahasa dan sastera, serta dasar akhlak, iaitu kitab suci dan tidak ada masalah-masalah ilmiah yang baru dibongkar atau penemuan-penemuan baru yang bertentangan dengan dasar-dasar Islam. Maka terbuktilah persesuaian yang sempurna antara pengajaran al-Quran dengan undang-undang alam.”
- Gothe, seorang penyair barat yang terkenal berkata: “Bahawa pengajaran-pengajaran al-Quran adalah praktikal dan selaras dengan keperluan-keperluan pemikiran.” (Lihat Manusia dan Islam oleh Dr. Haron Din, hlm. 426)
- Tokoh ilmuwan Barat, George Bernard Shaw menulis dalam bukunya ‘Genuine Islam’: “Muhammad adalah manusia agung yang pernah dilahirkan ke dunia. Beliau membawa satu agama, mendirikan sebuah bangsa, meletakkan dasar-dasar moral, memulakan banyak pergerakan pembaharuan sosial dan politik serta juga berjaya mendirikan masyarakat yang kuat dan berdaya dinamik bagi melaksanakan dan mewakili ajarannya.”
- (Snouck) Hurgronje berkata: “Dunia telah banyak mengenal konsep ketuhanan, telah banyak individu yang hidup dan misinya lenyap menjadi legenda. Sejarah menunjukkan tiada satu pun legenda ini yang menyamai bahkan sebahagian daripada apa yang Muhammad capai. Seluruh jiwa raganya Baginda curahkan untuk satu tujuan: menyatukan manusia dalam pengabdian kepada Tuhan dalam aturan-aturan ketinggian moral. Muhammad atau umatnya tidak pernah dalam sejarah menyatakan bahawa Baginda adalah anak Tuhan atau seorang jelmaan Tuhan, Baginda sejak dahulu sampai saat ini menganggap dirinya dan dianggap oleh umatnya sebagai seorang pesuruh yang dipilih Tuhan.”
- Sarojini Naidu berkata: “Inilah agama pertama yang mengajar dan mempraktikkan demokrasi; di setiap masjid, ketika azan dikumandangkan dan jemaah telah berkumpul, demokrasi dalam Islam terwujud lima kali sehari ketika seorang hamba dan seorang raja berlutut bersujud dan mengakui: Allah Maha Besar.” (Lihat juga Garis Masa Hayat al-Rasul SAW, hlm. 272)
Kehebatan Undang-Undang Islam telah dibahaskan secara terbuka di pelbagai persidangan antarabangsa yang terus menzahirkan keunggulan Syariat Islam dan undang-undangnya.
Seorang tokoh murabbi (pendidik) Islam yang terkenal, Syeikh Abdullah Nasih Ulwan dipetik sebagai menulis di dalam bukunya, al-Madkhal Ila al-Syari`ah al-Islamiyyah:
“Memadailah kita memetik rumusan beberapa kongres antarabangsa yang diadakan pada kurun lepas, (untuk membuktikan perlunya kita kembali kepada fitrah agama) iaitu:
Kongres antarabangsa yang membincangkan mengenai undang-undang perbandingan yang diadakan di Bandar Lahai pada tahun 1938.[1]
Pihak Universiti Azhar juga diundang menyertai kongres tersebut, di samping dua orang wakil ulama bagi membincangkan “Tanggungjawab Kemajuan dan Jenayah dalam Syariat Islam” dan “Fiqh Islam Yang Bebas Dan Tidak Terpengaruh Dengan Undang-Undang Roman”.
Kongres itu meninggalkan pengaruhnya mengenai ketentuan sejarah yang penting dengan adanya perkaitan tokoh undang-undang barat. Di dalamnya ada menyebut mengenai:
- Syariat Islam dianggap sebagai salah satu sumber rujukan syariat umum;
- Islam adalah syariat yang hidup yang boleh menerima segala perkembangan; dan
- Syariat Islam adalah syariat yang tulen, bukan yang diambil dari syariat lain.
Di bandar yang sama pada tahun 1948, diadakan satu Kongres Peguam Bela Antarabangsa yang dihadiri oleh 53 buah negara dunia. Antara yang hadir juga adalah segolongan professor dan peguambela dari pelbagai bangsa serta daerah.
Pada tahun 1950, peguam bela daripada bahagian timur dari Bahagian Undang-undang Perbandingan Antarabangsa telah mengadakan kongresnya bagi membahaskan fiqh Islam di fakulti undang-undang di sebuah universiti di Perancis sempena Minggu Fiqh Islami.
Ia dihadiri oleh Professor Fakulti Undang-undang, peguambela berbangsa Arab, Perancis dan lain-lain. Beberapa wakil universiti termasuk Universiti al-Azhar serta golongan orientalis menghadirinya.
Perbincangan mereka tertumpu kepada 5 persoalan mengenai fiqh yang telah ditentukan oleh kesatuan antarabangsa tersebut iaitu:
- Hak milik perseorangan.
- Hak milik umum.
- Tanggungjawab jenayah.
- Pengaruh sebahagian mazhab kemasyarakatan kepada yang lalai.
- Teori riba dalam Islam.
Berdasarkan kepada hasil yang didapati daripada beberapa pembentangan ketika berlangsungnya Minggu fiqh Islami, resolusi yang dipersetujui adalah:
- Tidak dapat disangkal bahawa segala dasar fiqh Islami mempunyai nilai perundangan.
- Perselisihan pandangan mazhab fiqh menunjukkan kefahaman dan bahan maklumat sentiasa berkembang. Prinsip undang-undang Islam di antara yang menakjubkan dengan fiqh Islam pasti dapat menyahut semua tuntutan kehidupan moden.
- Kongres antarabangsa tersebut menunjukkan bahawa syariat itu bersesuaian, boleh diperbaharui serta memberi, lengkap serta kekal sepanjang zaman.
Rumusan di atas menunjukkan penerimaan tokoh-tokoh Islam dan bukan Islam terhadap Syariat Islam sebagai sebuah sistem perundangan yang sah. Ini juga menunjukkan sistem perundangan Islam juga tidak bersifat kaku dan literal, tetapi fleksibel dan menyeluruh di dalam perlaksanaannya kerana dipandukan oleh nilai-nilai sejagat yang boleh difahami oleh sesiapa pun yang memiliki fitrah yang sihat.
Perbincangan untuk menghalusi proses perlaksanaan itu amatlah digalakkan dan diraikan juga sumbangan ahli intelektual yang bukan Islam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اجْعَل وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِين
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah kuasa wilayah kami pada orang yang takut kepada-Mu dan bertakwa kepada-Mu, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.”
Nota Hujung:
[1] Lihat juga Kongres Peguam Antarabangsa di Lahai 1948, Resolusi Kongres Himpunan Dekan Undang-Undang dan Syariah di Universiti Beirut 1973, Universiti Baghdad 1974, Resolusi Kongres Tasyri’ Islami di Bandar Baidha’ Libya 1972, dan Resolusi Muktamar Fiqh Islami di Riyadh 1976. Sila rujuk al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh oleh Dr Wahbah al-Zuhaili (4/3220) cetakan Dar al-Fikr 2006.