#7715: Kaedah Nabi SAW, Para Sahabat dan Salafussoleh Mengurus Khilaf

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana kaedah Nabi SAW, para sahabat dan salafus soleh dalam menguruskan khilaf yang berlaku?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا

Maksudnya: “Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”

 (Surah al-Nisa’: 59)

Ibn Kathir apabila menafsirkan ayat ini berkata: Ini adalah perintah daripada Allah SWT. Bahawasanya setiap perkara yang manusia saling bercanggah padanya dari sudut usul agama ataupun furuk (cabangnya), hendaklah dikembalikan kepada al-Kitab dan juga al-Sunnah. Dan apa-apa yang dihukumkan oleh kitabullah dan juga sunnah Rasulullah SAW serta dipersaksikan oleh keduanya itu maka ia adalah satu kebenaran. Beliau juga turut menambah dengan katanya: Berhukum dengan kitabullah dan juga sunnah Rasulullah SAW, serta merujuk kepada keduanya untuk merungkaikan sebarang percanggahan adalah suatu perbuatan yang baik. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 2/231)

Meneliti sejarah perbezaan pandangan pada zaman Rasulullah SAW dan para sahabat, daripada satu sudut, tidak timbul isu ikhtilaf dan perbezaan pandangan ketika zaman Baginda SAW masih hidup. Ini kerana, sekiranya berlaku permasalahan dalam kalangan para sahabat, maka mereka akan terus merujuk kepada Rasulullah SAW.

Dalam sesetengah keadaan pula, disebabkan faktor jarak yang jauh dari Madinah untuk memungkinkan bertemu Rasulullah, maka para sahabat akan berijtihad terlebih dahulu sekiranya menghadapi sebarang permasalahan. Hal inilah yang menimbulkan perbezaan pandangan dan ijtihad. Setelah itu, mereka akan bertanya semula kepada Rasulullah SAW berkaitan permasalahan tersebut apabila mereka pulang ke Madinah. Maka, Rasulullah SAW akan menjelaskan jawapan yang sebenar, atau Baginda akan mengambil sikap dengan menerima dan memperakuinya.

Antara contoh yang boleh dilihat adalah, hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, di mana Rasulullah SAW telah bersabda dalam peperangan al-Ahzab:

لَا يُصَلِّيَنَّ أَحَدٌ العَصْرَ إِلَّا فِي بَنِي قُرَيْظَةَ

Maksudnya: “Jangan solat Asar seorang pun melainkan di Bani Quraizhah.”

Riwayat al-Bukhari (946) dan (4119)

Ibn Umar berkata: “Lalu tibalah waktu Asar ketika sebahagian daripada mereka dalam perjalanan. Maka sebahagian daripada mereka berkata: ‘Jangan kita solat sehingga kita sampai di Bani Quraizhah.’ Manakala sebahagian yang lain pula berkata: “Bahkan, kami akan menunaikan solat kerana Nabi SAW tidak bermaksud demikian.” Maka kejadian tersebut diceritakan kepada Nabi SAW dan Baginda SAW tidak mencela salah seorang pun daripada mereka.

Menurut al-Hafiz Ibn Hajar, dalam hadith ini, sebahagian sahabat memahami larangan Nabi SAW tersebut secara lafaz. Maka dengan kefahaman tersebut, mereka mengambil keputusan untuk melewatkan solat Asar sehingga ke waktu Maghrib. Namun, terdapat sebahagian sahabat yang lain yang memahami secara mafhum di sebalik larangan Nabi SAW tersebut, iaitu Nabi SAW menyarankan agar mereka mempercepatkan perjalanan supaya sempat solat Asar dalam waktunya. Apabila perkara ini sampai kepada Nabi SAW, maka Nabi SAW pun mengakui dan mempersetujui kedua-dua perbuatan tersebut tanpa Baginda mengingkari salah daripada perbuatan yang dilakukan.  (Lihat Fath al-Bari, 412/8)

Dr. Taha Jabir al-‘Alwani menyimpulkan beberapa adab perbezaan pandangan pada zaman Rasulullah SAW, antaranya:

  • Para sahabat berusaha seboleh mungkin untuk tidak berselisih pendapat dengan cara bertanya dan meminta panduan Nabi SAW dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan. Dengan itu, ia dapat mengelakkan perdebatan sesama sendiri.
  • Sekiranya berlaku perbezaan pandangan, maka mereka akan segera merujuk kepada al-Quran dan al-Sunnah terhadap perkara yang diperselisihkan tersebut.
  • Sikap yang diambil adalah tunduk dan menerima sepenuhnya terhadap hukum Allah dan Rasul-Nya SAW.
  • Menjauhi dorongan hawa nafsu, sebaliknya beriltizam dengan sifat taqwa dengan meletakkan tujuan berbeza pandangan adalah semata-mata untuk mencari kebenaran.
  • Mengelakkan kata-kata yang tajam dan kesat ketika berselisih pandangan, sebaliknya memilih perkataan yang baik dengan sentiasa melazimi adab Islami.
  • Berusaha untuk fokus kepada pokok persoalan yang dibincangkan dengan mengelakkan percakapan yang panjang dan berjela-jela. (Lihat Adab al-Ikhtilaf fi al-Islam, hlm. 48)

Zaman Sahabat R.Anhum

Setelah kewafatan Rasulullah SAW, perbezaan pandangan yang berlaku terus berlaku dalam kalangan para sahabat. Antara perselisihan yang berlaku adalah:

  1. Tatkala kewafatan Nabi SAW, di mana Saidina ‘Umar R.A berkeras menegaskan bahawa Baginda SAW belum wafat dan menganggap berita kewafatan tersebut sebagai berniat jahat.
  2. Setelah itu, berlaku pula perbezaan pandangan berhubung tempat untuk mengebumikan Rasulullah SAW. Abu Bakar kemudian menetapkan supaya Rasulullah SAW disemadikan di tempat Baginda wafat.
  • Lebih ketara adalah peristiwa perselisihan pandangan yang berlaku antara golongan Muhajirin dan Ansar berhubung isu kepimpinan menggantikan khalifah Rasulullah SAW. Akhirnya, persetujuan dicapai dengan melantik Abu Bakar R.A sebagai khalifah.
  1. Selain itu, berlaku juga perbezaan pandangan tatkala Umar mencadangkan agar al-Quran dihimpunkan. Pada awalnya, Abu Bakar tidak bersetuju dengan cadangan ini kerana ia tidak pernah dilakukan pada zaman Nabi SAW. Namun, setelah itu Abu Bakar menyatakan persetujuannya apabila mendengar hujahan Umar bahawa perbuatan tersebut adalah amat perlu kerana ia termasuk dalam maslahah. Nabi SAW juga memerintahkan penulis wahyu Baginda agar ditulis setiap wahyu yang diturunkan.

Justeru, berdasarkan contoh-contoh ini, maka jelas bahawa perselisihan pandangan sememangnya berlaku sejak dahulu lagi. Namun, perbezaan pandangan tersebut perlu dapat diurus dengan baik berlandaskan adab-adab yang digariskan dalam Islam.

Antara adab-adab perbezaan pandangan yang berlaku pada zaman Khulafa al-Rasyidin sepertimana disimpulkan oleh Dr Taha Jabir al-Alwani adalah:

  • Berusaha mengelakkan perselisihan pandangan seboleh mungkin.
  • Meletakkan ukhuwwah (persaudaraan) Islamiyyah sebagai perkara utama mengatasi segala perbezaan pandangan.
  • Perbezaan pandangan hanya di dalam masalah cabangan (furu‘) dan tidak melibatkan masalah iktikad.
  • Pandangan seseorang terhadap yang lain bukanlah untuk mengaibkan sebaliknya untuk membantu saudaranya. (Lihat Adab al-Ikhtilaf, hlm. 70)

Kami tertarik untuk menukilkan pandangan al-Qasim bin Muhammad, sepertimana dinukilkan oleh Ibn ‘Abd al-Bar, katanya:

لَقَدْ أَعْجَبَنِي قَوْلُ عُمَرَ بْنِ عَبْدِ الْعَزِيزِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ: «مَا أُحِبُّ أَنَّ أَصْحَابَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمْ يَخْتَلِفُوا؛ لِأَنَّهُ لَوْ كَانَ قَوْلًا وَاحِدًا كَانَ النَّاسُ فِي ضِيقٍ، وَإِنَّهُمْ أَئِمَّةٌ يُقْتَدَى بِهِمْ، وَلَوْ أَخَذَ رَجُلٌ بِقَوْلِ أَحَدِهِمْ كَانَ فِي سَعَةٍ»

Maksudnya: “Aku merasa kagum dengan kata-kata ‘Umar bin Abd al-‘Aziz: ‘Aku tidak menyukai (sekiranya) para sahabat tidak berbeza pendapat (dalam isu cabang fiqh). Ini kerana, sekiranya mereka bersepakat atas satu-satu pendapat sahaja, maka sudah tentu orang ramai akan (terikat dan) berada dalam kesempitan. Mereka (para sahabat) merupakan imam-imam (tokoh dan pemimpin) yang diikuti oleh umat. Andainya seseorang berpegang dengan pandangan salah seorang dari kalangan mereka, maka sudah tentu hal tersebut memberikan keluasan’.” (Lihat Jami’ Bayan al-‘Ilmi, 2/80)

Adab Ulama’/ Salafussoleh

Selain itu, banyak contoh sekitar adab yang mulia ini yang telah ditunjukkan oleh para salafussoleh. Antaranya kisah yang diceritakan oleh al-Hafiz Ibn ‘Abd al-Bar dalam kitabnya Jami’ Bayan al-‘Ilmi wa Fadhlihi, katanya: “Ramai orang telah mengkhabarkan kepada saya, daripada Abu Muhammad Qasim bin Asbagh, katanya: “Ketika saya melakukan perjalanan ke kawasan timur, saya singgah di Qairawan. Di sana saya mempelajari hadith Musaddad daripada Bakr bin Hammad. Kemudian saya melakukan perjalanan ke Baghdad dan saya temui ramai ulama’ di sana.

Ketika saya pulang (dari Baghdad), saya kembali semula kepada Bakr bin Hammad (di Qairawan) untuk menyempurnakan pembelajaran hadith Musaddad. Suatu hari saya membaca hadith Nabi SAW di hadapan beliau (untuk mempelajarinya): “Sesungguhnya telah datang satu kaum dari Mudhar yang ‘Mujtabi al-Nimar’ (مُجْتَابِي النِّمَارِ).” Beliau (Bakr bin Hammad) berkata kepadaku “Sesungguhnya yang benar adalah Mujtabi al-Tsimar (مُجْتَابِي الثِّمَارِ).” Aku katakan padanya Mujtabi al-Nimar (مُجْتَابِي النِّمَارِ). Demikianlah aku membacanya setiap kali aku membacakannya di hadapan setiap orang yang aku temui di Andalusia dan Iraq.”

Beliau berkata kepadaku: “Kerana engkau pergi ke Iraq, maka kini engkau (berani) menentang kami dan menyombongkan diri di hadapan kami?” Kemudian dia berkata kepadaku (lagi): “Marilah kita sama-sama bertanya kepada syeikh itu (menunjuk kepada seorang syeikh yang berada di Masjid). Dia memiliki ilmu dalam hal seperti ini.”

Kami pun pergi menuju kepada syeikh tersebut dan kami bertanya tentang hal ini. Beliau berkata: “Sesungguhnya yang benar adalah ‘Mujtabi al-Nimar’ (مُجْتَابِي النِّمَارِ) (seperti yang aku baca). Ertinya adalah: Orang-orang yang memakai pakaian, bahagian depannya terbelah. Nimar adalah bentuk jama’ dari Namrah.” Bakr bin Hammad berkata sambil memegang hidungnya: “Aku tunduk kepada al-haq (kebenaran). Aku tunduk kepada al-haq!” Lalu dia pergi. (Lihat Jami’ Bayan al-‘Ilmi wa Fadhlihi, 1/537)

Kami katakan, itulah mauqif dan sifat ulama’ rabbani yang tunduk kepada kebenaran. Semoga kita dapat mengikut jejak langkah mereka.

Kaedah yang masyhur daripada Saidina Umar menyebut:

الرُّجُوعُ إلَى الْحَقِّ خَيْرٌ مِنَ التَّمَادِي فِي الْبَاطِل

Maksudnya: “Kembali kepada kebenaran adalah lebih baik daripada berterusan dalam kebatilan.”

Riwayat al-Daraqutni (4/206)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”