Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Siapakah yang boleh melaksanakan hukuman ta’zir?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
إِنَّا أَنزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِتَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ بِمَا أَرَاكَ اللَّهُ ۚ وَلَا تَكُن لِّلْخَائِنِينَ خَصِيمًا
Maksudnya: Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyuNya); dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat.
(Surah al-Nisa’: 105)
Ayat ini, walaupun diturunkan kepada Nabi SAW, tetapi maksudnya umum untuk semua pemerintah yang ditaklifkan dalam urusan negara. Kaedah ada menyebut:
الْعِبْرَة بِعُمُومِ اللَّفْظِ لا بِخُصُوصِ السَّبَبِ
Maksudnya: “Sesuatu itu diambil kira berdasarkan kepada keumuman lafaz dan bukan berdasarkan kepada kekhususan sebab.” (Lihat al-Asybah wa al-Nazha’ir, al-Subki, 2/134)
Menjawab persoalan di atas, ta’zir adalah hukuman yang diserahkan kepada pendapat pemerintah. Inilah pendapat Malikiyyah, Syafi’iyyah, Hanabilah dan yang rajih di sisi Mazhab Hanafi.
Pemerintah boleh menentukan hukuman ta’zir dengan meraikan serta melihat kesan jenayah dan penjenayah. Adapun meraikan kesan jenayah, para fuqaha’ telah menyebut dalam nas yang banyak. Antaranya:
Al-Astrusyani daripada Hanafiyyah berkata: “Sayugia qadhi atau hakim melihat kepada sebabnya. Jika sekiranya daripada jenis yang diwajibkan hadd dan tidak wajib dengan sebab terhalang, maka perlu ta’zir dilakukan pada tahap yang tertinggi. Sebaliknya jika bukan daripada jenis yang tiada wajib hadd, maka tidaklah perlu kepada tahap maksimum. tetapi diberi keputusan oleh pendapat imam atau pemerintah. (Lihat Fusul al-Astrusyani, hlm. 14)
Adapun meraikan keadaan penjenayah atau pesalah maka kata al-Zaila’ie, ia perlu dilihat kepada keadaan pesalah tersebut.
- Ada di kalangan mereka yang boleh dihukum dengan kadar minimum.
- Ada di kalangan mereka tidak mungkin dihukum kecuali dengan maksimum.
Justeru, Ibn Abidin berkata, ta’zir adalah khilaf berdasarkan keadaan manusia. Makanya, tiada makna dalam memberi penentuan sedangkan terhasil maksud selain daripadanya. Hukuman yang diserahkan kepada qadhi atau hakim hendaklah dilaksanakan berdasarkan kepada kefahaman tentang maslahat yang terdapat padanya. (Lihat Hasyiyah Ibn ‘Abidin, 3/183)
Al-Sindi berkata: “Seminimum ta’zir adalah mengikut apa yang diijtihadkan oleh pemerintah pada penjenayah dengan qadar diketahui bahawa pelaku jenayah akan takut dan tidak melakukan jenayah lagi kerana inilah asal maksud ta’zir. Justeru, keadaan manusia berbeza antara satu sama lain dalam mencegah jenayah. Ada di kalangan mereka akan menghentikan kesalahan dengan hanya beberapa beberapa sebatan dan dia berubah. Tetapi ada yang tidak endah dan meneruskan perlakuan maksiat kecuali dengan sebatan yang banyak. Justeru, kenyataan daripada Abu Yusuf: sesungguhnya ta’zir berlainan mengikut qadar kemampuan orang yang kena sebat. (Lihat Matalib al-Anwar oleh al-Sindi, 7/605; dan al-Fusul oleh al-Astrusyani, hlm. 18)
Walaupun begitu, sebagai pemerintah, wajib menjunjung titah perintah Tuhan dengan melaksanakan hukuman secara adil dan ihsan. Benarlah firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَيَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ ۚ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.”
(Surah al-Nahl: 90)
Menurut al-Sa‘di, berbuat baik itu adalah seperti seseorang memberi manfaat kepada orang lain dengan hartanya, tubuh badannya, ilmunya atau lain-lain perkara yang bermanfaat sehinggakan termasuk juga di dalamnya suruhan berbuat baik kepada haiwan ternakan yang dimakan atau selainnya — yakni haiwan yang tidak dimakan. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, 1/447)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اجْعَل وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِين
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah kuasa wilayah kami pada orang yang takut kepada-Mu dan bertakwa kepada-Mu, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.”