#7717: Hikmah Pengharaman Zina

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hikmah daripada pengharaman zina?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

Maksudnya: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).

(Surah al-Isra’: 32)

Imam Ibn Kathir berkata, Allah SWT melarang para hamba-Nya dari perbuatan zina dan menegah dari mendekatinya. Begitu juga setiap yang membawa kepada zina seperti faktor-faktor dan aspek-aspek yang membawa kepadanya. Firman-Nya: (وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً) “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji”, yakni suatu perbuatan dosa besar. Firman-Nya: (وَسَاءَ سَبِيلًا) “dan satu jalan yang jahat,” yakni merupakan seburuk-buruk jalan dan tingkah laku. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/72)

Para ulama bersepakat menyatakan zina termasuk dalam kategori dosa besar. Bahkan zina adalah suatu perbuatan yang berkait rapat dengan kesempurnaan dan kelemahan iman seseorang. Seseorang tidak akan berzina dalam keadaan sempurna imannya. Perbuatan zina bukan hanya dikeji mengikut pertimbangan syarak malah dipandang buruk oleh akal yang waras mahupun adat kehidupan manusia.

Berkenaan persoalan di atas, antara hikmah pengharaman zina ialah penjagaan nasab iaitu salah satu daripada maqasid syariah. Islam sangat menjaga nasab dan keturunan manusia. Penjagaan nasab inilah yang menjaga hak-hak manusia seperti boleh dinasabkan kepada bapa, boleh mewarisi harta serta boleh diwalikan oleh bapa kandungnya. Perbuatan zina adalah suatu bentuk pengkhianatan kepada nasab sehingga menyebabkan anak zina tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyetubuhi ibunya.

Hikmah dari pengharaman dan kesan buruk dari perbuatan zina sepertimana yang dinyatakan oleh Syeikh al-Maraghi adalah sepertimana berikut:

  • Percampuran dan keturunan yang porak-peranda. Apabila seseorang lelaki berasa ragu-ragu mengenai anak yang dilahirkan oleh seorang pelacur perempuan, apakah bayi itu anaknya atau anak orang lain, maka lelaki tidak akan mendidiknya, bahkan seterusnya tidak mahu mengurusnya. Hal itu akan menyebabkan keturunan manusia menjadi sia-sia dan dunia akan hancur.
  • Perzinaan sebenarnya membuka pintu huru-hara dan kegoncangan dalam kalangan sesama manusia kerana manusia tetap mempertahankan kehormatan. Berapa banyak peristiwa pembunuhan yang timbul kerana keinginan berzina, sehingga sewaktu kita mendengar sesuatu peristiwa pembunuhan, maka orang akan terus mengatakan, “Periksalah dahulu latar belakang perempuan yang terlibat!”
  • Wanita yang sudah terkenal dan masyhur sebagai pelacur akan dipandang kotor oleh setiap lelaki yang waras sehingga tidak akan berlaku kemesraan antara perempuan seperti itu dengan suaminya. Dengan demikian, ketenteraman dan keserasian yang dijadikan oleh Allah SWT sebagai kasih dan sayang antara sesama manusia tidak akan tercapai.
  • Tujuan kaum perempuan dicipta bukan sekadar pelampias syahwat semata-mata. Akan tetapi, ia dijadikan sebagai sekutu bagi kaum lelaki dalam mengatur urusan rumah tangga dan mempersiapkan tugas-tugasnya seperti makanan, minuman dan pakaian. Kaum perempuan juga menjadi penjaga dan pengurus anak-anak dan sekali gus menjadi pembantu suami. Tugas ini tidak akan dilaksanakan dengan sempurna kecuali apabila wanita itu menjadi rakan (pasangan) yang khusus bagi seorang lelaki sahaja, bukan untuk lelaki-lelaki yang lain.
  • Menzahirkan rasa tanggungjawab dan menunaikan hak sebagai suami atau isteri. Dalam perzinaan, tiada sebarang rasa tanggungjawab, begitu juga pelaksanaan hak kecuali hanya sedikit bayaran yang murah. Ini sudah tentu menafikan sebuah matlamat kehidupan berpasang-pasangan sebagai suami isteri yang melahirkan kasih sayang, sakinah dan cinta, di samping menunaikan segala hak dan rasa bertanggungjawab

Dalam erti kala yang lain, perzinaan merupakan suatu yang sangat keji, kerana ia adalah punca-punca, nasab (keturunan) menjadi kacau-bilau dan manusia saling bunuh-membunuh, sembelih-menyembelih, kerana mempertahankan kehormatan. Perzinaan juga merupakan cara yang buruk jika ditinjau dari segi menyamakan antara manusia dan binatang, iaitu tidak menjodohkan antara yang betina dengan yang jantan secara khusus. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/3941-3942)

Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi berkata: Jika kita lihat semua agama Samawi bersepakat atas pengharaman zina dan menentangnya dengan keras. Dan agama yang terakhir ialah Islam, yang melarang keras perzinaan kerana perbuatan itu akan merosakkan keturunan keluarga, berlakunya kes pembuangan janin dan anak, menjatuhkan nama baik kaum kerabat, memecah-belahkan hubungan silaturahim, tersebarnya penyakit yang kronik, nafsu bermaharajalela dan merendahkan moral seseorang insan. (Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, 267-268)

Syed Qutb berkata: Perlakuan zina mengandungi aspek pembunuhan dari pelbagai sudut. Zina merupakan perbuatan membunuh sejak dari awal lagi kerana zina itu menumpahkan benih hayat pada bukan tempatnya yang sebenar. Ia kemudian diikuti pula oleh keinginan mahu menghindarkan diri daripada kesan-kesannya dengan membunuh janin sama ada sebelum atau selepas ia membentuk rupa dan sama ada sebelum ia dilahirkan atau selepas. Andai kata janin itu dibiarkan hidup sekalipun, ia biasanya akan dibiarkan hidup dalam satu kehidupan yang gelap atau kehidupan yang hina. Dari sudut yang lain, zina merupakan satu pembunuhan kepada masyarakat kerana kemudahan memuaskan nafsu syahwat melalui zina menjadikan kehidupan secara suami isteri merupakan perkara sekunder, bukannya perkara yang perlu. Ia juga menjadikan keluarga sebagai suatu tanggungjawab yang tidak mustahak, sedangkan keluarga merupakan tapak semaian yang baik bagi anak-anak yang kecil, di mana fitrah dan didikan mereka tidak akan sihat dan betul melainkan apabila mereka dibelakan di sana. Tiada satu umat pun yang mana kejahatan zina dalam kalangan mereka tersebar luas melainkan umat itu tetap akan menuju ke arah keruntuhan dan kehancuran. Inilah yang berlaku sejak zaman purbakala hingga ke zaman moden. (Lihat Tafsir Fi Zilal al-Quran, 10/189)

Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah supaya Allah menjauhkan kita daripada kancah perzinaan seterusnya menjadikan kita begitu hampir dan dekat dengan-Nya untuk mentaati segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ، وَالأَهْوَاءِ، وَالأَسْوَاءِ، وَالأَدْوَاءِ.

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”