#7718: Pandangan Ulama’ Tentang Perselisihan Pendapat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa pandangan ulama’ terhadap isu berlakunya perselisihan pendapat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّـهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا

Maksudnya:  Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu berpecah belah.

(Surah Ali Imran: 103)

Imam al-Qurtubi dalam mentafsir ayat ini menyebut: “Iaitu janganlah kamu berpecah belah di dalam agama kamu seperti berpecahnya golongan Yahudi dan Nasrani dalam agama mereka’’. Kemudian beliau berkata lagi: ‘’Boleh juga ia membawa erti janganlah kamu berpecah belah dengan mengikuti hawa nafsu dan kehendak-kehendak yang berbeza, dan jadilah bersaudara di dalam agama Allah. Maka yang demikian itu akan menghalang kamu dari berpecah belah dan saling bermusuhan.” (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 4/151)

Dr. Taha al-Alwani berkata: Para ulama memberi ingatan tentang perselisihan pendapat dengan segala jenisnya dan mereka menekankan kewajipan menjauhinya.

Ibn Mas’ud R.A berkata:

الْخِلَافُ شَرٌّ

Maksudnya: “Perselisihan itu tidak baik.” (Lihat Ta’wil Mukhtalif al-Hadith, hlm. 22; al-’Awasim min al-Qawasim, hlm. 78)

Al-Subki berkata: “Bahawa sesungguhnya rahmat itu menghendaki tidak ada perselisihan.”

Firman Allah SWT:

 وَلَٰكِنِ اخْتَلَفُوا فَمِنْهُم مَّنْ آمَنَ وَمِنْهُم مَّن كَفَرَ

Maksudnya: “Tetapi mereka bertelingkah, maka timbulah di antara mereka: orang yang beriman, dan orang yang kafir.”

(Surah al-Baqarah: 253)

Demikian juga menurut Sunnah, di mana Rasulullah SAW bersabda:

مَا نَهَيْتُكُمْ عَنْهُ فَاجْتَنِبُوهُ، وَمَا أَمَرْتُكُمْ بِهِ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ، فَإِنَّمَا أَهْلَكَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ كَثْرَةُ مَسَائِلِهِمْ واخْتِلاَفُهُمْ عَلَى أَنْبِيَائِهِمْ

Maksudnya: “Apa yang aku larang hendaklah kamu jauhinya dan apa yang  aku  perintahkan  maka  hendaklah  kamu  laksanakan  sedaya  upaya  kamu. Sesungguhnya kehancuran orang-orang sebelum  kamu adalah kerana banyaknya pertanyaan mereka (yang tidak berfaedah) dan penentangan mereka terhadap Nabi-nabi mereka.”

Riwayat al-Bukhari (6777) dan Muslim (1337)

Al-Subki membahagikan jenis perselisihan pendapat ketiga (antara pujian dan celaan) kepada tiga bahagian. Beliau berkata: “Perselisihan pendapat terbahagi kepada tiga: Pertama, perselisihan dalam perkara usul, yang diisyaratkan dalam al-Quran. Sudah pasti, ia bid’ah dan kesesatan. Kedua, mengenai pendapat-pendapat dan peperangan. Ia adalah haram juga, kerana mensia-siakan kemaslahatan. Ketiga, mengenai furu’ seperti perselisihan mengenai halal dan haram dan yang seumpamanya.” (Lihat al-Ibhaj, 3/13)

Apa yang dapat dipastikan ialah persetujuan dan persepakatan pendapat mengenai yang ketiga ini lebih baik daripada perselisihan pendapat sebelumnya. Beliau juga menarik perhatian terhadap kata-kata Ibn Hazm yang mencela perselisihan mengenai hal ini, kerana beliau tidak menjadikan perselisihan itu sebagai rahmat, tetapi menganggap keseluruhannya sebagai azab.

Pandangan Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi

Menurut Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi, dalam menangani perbezaan pandangan yang berlaku, sifat toleransi adalah sangat diperlukan di samping saling memperkukuhkan ikatan persaudaraan. Kefahaman terhadap fiqh al-ikhtilaf amat wajar difahami dengan sebaiknya. Antaranya:

  1. Menganggap perbezaan dalam perkara cabangan (furu‘) fiqh sebagai satu rahmat dan kelapangan bagi umat ini, serta kekayaan dalam proses pengambilan hukum.
  2. Sentiasa melazimi manhaj wasatiyyah di samping menjauhi sikap fanatik dalam agama.
  • Melihat kemungkinan wujudnya kebenaran dalam pandangan yang berbeza.
  1. Sentiasa melihat bahawa mereka yang berijtihad sudah tentu akan memperoleh pahala meskipun salah dan dimaafkan.
  2. Objektif terhadap pandangan yang berbeza, dan memberi pandangan yang lebih baik serta sentiasa bersikap adil.
  3. Bermuafakat dalam perkara-perkara yang disepakati.
  • Bersikap toleransi terhadap perkara yang menjadi perselisihan.

Dua kenyataan terakhir di atas adalah selaras dengan apa yang disebut oleh al-Syeikh Rasyid Ridha:

نتَعَاوَنُ مَعَ بَعْضِنَا فِي مَا اتَّفَقْنَا فِيْهِ، وَيَعْذُرُ بَعْضُنَا بَعْضًا فِيْمَا اخْتَلَفْنَا عَلَيْهِ

Maksudnya: “Kami bertolong-tolongan dalam isu yang kami sepakat padanya dan kami saling berlapang dada pada perkara yang berselisih tentangnya.” (Lihat Majallah al-Manar, 35/471)

Justeru, setiap dari kalangan mereka juga perlu melazimi sikap dan akhlak seperti berikut:

  • Sentiasa ikhlaskan diri dan menjauhi dorongan hawa nafsu.
  • Menjauhi sikap fanatik terhadap seseorang atau mazhab tertentu.
  • Sentiasa bersangka baik.
  • Tidak melontarkan sebarang bentuk tuduhan kepada orang lain.
  • Melakukan dialog dan berdebat dengan cara yang baik dan beradab. (Lihat al-Sahwah al-Islamiyyah Baina al-Ikhtilaf al-Masyru’ wa al-Tafarruq al-Mazmum, hlm. 54)

Imam al-Syahid Hassan al-Banna hidup dengan prinsip ini, dan dia tekun dalam mematuhi prinsip tersebut dalam pemikiran dan tindakannya, sehingga banyak dari murid-murid dan pengikut-pengikutnya menganggapnya sebagai pencetus slogan atau prinsip tersebut. Yang dimaksudkan dengan toleransi di sini adalah; tidak bersikap fanatik terhadap pendapat yang bertentangan dengan pendapat lain dalam isu-isu yang diperselisihi, tidak ta‘asub pada sesuatu mazhab dengan  tidak menentang mazhab yang lain. Begitu juga tidak fanatik terhadap mana-mana imam dengan tidak menentang imam yang lain, tetapi hendaklah mengangkat slogan toleransi sebagaimana yang dinyatakan oleh pengarang kitab al-Manar.

Sifat toleransi ini hendaklah dipenuhi dengan beberapa prinsip antaranya ialah:

  • Menghormati Pandangan Yang Lain

Salah satu asas penting dalam mendekatkan perbezaan dan mengurangkan perbezaan adalah dengan  menghormati pendapat yang berbeza, menghargai pandangan orang lain, dan memberi penilaian yang sewajarnya terhadap pendapat mereka serta memberikan perhatian kepadanya. Ini berlandaskan prinsip penting, iaitu:  semua hukum yang tidak qat‘i adalah suatu masalah yang boleh berijtihad padanya. Jika sesuatu itu boleh diijtihadkan, maka ia diharuskan untuk berbeza pandangan padanya.

  • Boleh Untuk Ada Banyak Pendapat Yang Benar

Memungkinkan kepelbagaian pendapat yang benar adalah faktor yang membantu dalam toleransi terhadap perbezaan pendapat dan menghormati pandangan orang lain dengan keyakinan bahawa boleh untuk terdapat banyak pendapat yang benar.

Di sini terdapat soalan yang perlu diajukan dan memerlukan jawapan: Adakah  boleh terdapat banyak pendapat yang benar dalam satu perkara, atau adakah kebenaran hanya satu wajah sahaja selamanya dan tidak boleh terdapat banyak kebenaran?

Jawapannya: Sebahagian ulama’ usul berpendapat boleh berbeza dalam hukum-hukum furu‘, dan  kebenaran dalam setiap perkara adalah hasil dari ijtihad yang diberikan oleh seorang mujtahid walaupun ijtihad dan hasilnya berbeza.

  • Keperluan Perbezaan Dalam Menyesuaikan Realiti

Ia mungkin membantu dalam hal toleransi terhadap perbezaan di kalangan mujtahid pada hari ini iaitu; banyak perbezaan pendapat yang kita saksikan dalam Islam bukanlah pada hukum syarak itu sendiri, tetapi perbezaan dalam menentukan ‘illah yang diambil darinya hukum syarak. Inilah yang ulama’ sebutkan sebagai tahqiq al-manat[1]. (Lihat al-Sahwah al-Islamiyyah Baina al-Ikhtilaf al-Masyru’ wa al-Tafarruq al-Mazmum, hlm. 106-112)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

 

Nota Hujung:

[1] Tahqiq al-Manat adalah proses meneliti, mengkaji, dan mengenal pasti dalam mentahkikkan ‘illah yang telah sabit dengan nas, ijma‘ atau istinbat, pada kejadian atau permasalahan yang tidak terdapat padanya nas.