Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah yang dimaksudkan dengan hukuman ta’zir?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَيَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ ۚ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.”
(Surah al-Nahl: 90)
Menurut al-Sa‘di, berbuat baik itu adalah seperti seseorang memberi manfaat kepada orang lain dengan hartanya, tubuh badannya, ilmunya atau lain-lain perkara yang bermanfaat sehinggakan termasuk juga di dalamnya suruhan berbuat baik kepada haiwan ternakan yang dimakan atau selainnya — yakni haiwan yang tidak dimakan. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, 1/447)
Berkenaan persoalan di atas, terdapat kekeliruan yang timbul dalam kalangan sebahagian pengamal undang-undang sehingga menyamakan hukuman ta’zir dan sivil. Sivil itu bukan sepenuhnya takzir, malah wujud perbezaan dalam pembuktian, keterangan dan sabitan.
Definisi Ta’zir
Ta’zir (التَّعْزِيرُ) pada bahasa, sepertimana disebut dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah (12/254):
التَّعْزِيرُ لُغَةً: مَصْدَرُ عَزَّرَ مِنَ الْعَزْرِ، وَهُوَ الرَّدُّ وَالْمَنْعُ
Maksudnya: “Al-Ta’zir pada bahasa ialah masdar daripada ‘azzara (عَزَّرَ), daripada al-’azr (الْعَزْرِ) iaitu menolak dan mencegah atau menghalang.”
Dikatakan juga memberi sokongan dan membantu kerana seseorang itu menolak musuhnya daripada untuk menyakitinya. Ta’zir juga dengan makna menguatkannya dan juga dengan makna mengakhlakkannya atau mendisiplinkannya. Ia termasuk daripada asma’ al-adhdad (nama-nama yang ada bertentangan makna). Dinamakan ‘uqubah atau hukuman dengan ta’zir kerana daripada sifatnya akan dapat menolak penjenayah dan menjarakkannya dari melakukan jenayah atau kembali kepada perbuatan tersebut.
Manakala Ta’zir (التَّعْزِيرُ) pada istilah ialah:
هُوَ عُقُوبَةٌ غَيْرُ مُقَدَّرَةٍ شَرْعًا، تَجِبُ حَقًّا لِلَّهِ، أَوْ لآِدَمِيٍّ، فِي كُل مَعْصِيَةٍ لَيْسَ فِيهَا حَدٌّ وَلاَ كَفَّارَةَ غَالِبًا.
Maksudnya: “Ta‘zir adalah hukuman yang tidak ditetapkan kadarnya oleh syara‘, yang wajib sebagai hak bagi Tuhan atau manusia pada setiap maksiat yang tiada padanya hukuman hudud dan juga kaffarah pada ghalibnya.”
(Lihat al-Mabsut oleh al-Sarakhsi, 9/36; Fath al-Qadir, 7/119; Kassyaf al-Qina’, 4/72; al-Ahkam al-Sultaniyyah oleh al-Mawardi, hlm. 224; Nihayah al-Muhtaj, 7/72; seperti dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 12/254)
Al-Qalyubi menyebut, dhabit ini berdasarkan kepada ghalib. Kadang-kadang disyariatkan Ta’zir sedangkan tiada dikira maksiat seperti mendidik kanak-kanak dan orang kafir. Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 12/254)
Al-Mawardi menyebut:
وَالتَّعْزْيرُ: تَأْدِيْبٌ عَلَى ذُنُوبٍ لَمْ تُشْرَعْ فِيهَا الحُدُودُ
Maksudnya: “Ta’zir ialah (hukuman yang bersifat) pendidikan atas perbuatan dosa yang Syarak tidak menetapkan hukuman hadnya.” (Lihat al-Ahkam al-Sultaniyyah, hlm. 344)
Berdasarkan definisi ini, difahami bahawa ta’zir adalah suatu istilah untuk hukuman-hukuman atas jenayah yang hukumannya tidak ditetapkan oleh Syarak.
Syeikh ‘Abd al-Qadir ‘Audah dalam mendefinisikan Ta’zir menyebut:
وَالتَّعْزْيرُ: تَأْدِيْبٌ عَلَى ذُنُوبٍ لَمْ تُشْرَعْ فِيهَا الحُدُودُ ، أَيْ: هُوَ عُقُوبَةٌ عَلَى جَرَائِمَ لَمْ تَضَعِ الشَّرِيعَةُ لِأَيِّهَا عُقُوبَةً مُقَدَّرَةً
Maksudnya: “Ta’zir ialah pendidikan atas kesalahan-kesalahan yang tidak disyariatkan padanya hudud, iaitu hukuman atas jenayah-jenayah yang tidak ditetapkan oleh syariat hukuman yang tertentu.” (Lihat al-Tasyri’ al-Jina’i al-Islami oleh ‘Abd al-Qadir ‘Audah, 1/585)
Berdasarkan takrifan yang dikemukakan di atas, dapat difahami bahawa Ta’zir ialah hukuman terhadap sesiapa yang melakukan kejahatan dan hukuman itu tidak mempunyai ukuran tertentu sepertimana hukuman had dan kaffarah. Sebaliknya, hukuman had yang sudah ditentukan jenis dan jumlahnya itu terbahagi kepada tujuh jenis, iaitu zina, qazaf, meminum minuman keras, hirabah, murtad, pemberontakan dan mencuri.
Syeikh Muhammad Abu Zahrah pula dalam mendefinisikan Ta’zir menyebut:
التَّعْزِيرُ هُوَ العُقُوبَاتُ الَّتِي لَمْ يَرِدْ نَصٌّ مِنَ الشَّارِعِ بِبَيَانِ مِقْدَارِهَا وَتَرْكُ تَقْدِيرِهَا لِوَلِيِّ الأَمْرِ أَوِ الْقَاضِي الْمُجْتَهِدِ
Maksudnya: “Ta’zir ialah hukuman yang tidak datang nas daripada Syari’ dengan penjelasan mengenai kadar hukumannya, sebaliknya ditinggalkan kadarnya kepada Ulil Amri atau Qadhi yang mujtahid.” (Lihat al-Jarimah wa al-‘Uqubah oleh Abu Zahrah, hlm. 69)
Guru kami, Syeikh Mustafa Khin dan lain-lain menyebut dalam al-Fiqh al-Manhaji (5/227-228): “Ta’zir adalah suatu hukuman yang tidak ditetapkan kadarnya oleh Syara’. Hukuman ini dijatuhkan oleh hakim yang beragama Islam dan adil, iaitu hukuman yang dirasakan boleh mencegah manusia melakukan perbuatan keji ini. Hukuman ini boleh dikenakan dalam bentuk sebatan, buang negeri, penjara atau kecaman. Ini kerana perbuatan seperti ini perbuatan maksiat yang tidak termasuk dalam kesalahan hudud dan tidak akan dikenakan kaffarah. Apabila hudud tidak dikenakan, kesalahan ini perlu dikenakan hukuman ta’zir.” (Lihat juga al-Mabsut, 9/36; Fath al-Qadir, 7/119; Kasyaf al-Qina‘, 4/72; al-Ahkam al-Sultaniyyah, hlm. 224; Nihayah al-Muhtaj, 7/72; al-Fiqh al-Manhaji, 8/62).
Daripada Ibn Abbas R.Anhuma katanya:
لَيْسَ عَلَى الَّذِى يَأْتِى الْبَهِيمَةَ حَدٌّ
Maksudnya: “Tiada hukuman hudud bagi orang yang menyetubuhi haiwan.”
Riwayat al-Tirmizi (1455) dan Abu Daud (4465)
Mengikut jumhur ulama’, asal pada ta’zir adalah disyariatkan pada setiap maksiat yang tidak dikenakan hukuman hadd dan kaffarah. Tujuannya untuk mengislah dan membaikkan manusia. Al-Zaila’ie berkata, tujuan daripada ta’zir adalah pencegahan. Dinamakan juga dengan ta’zirat sebagai zawajir ghairu al-muqaddarah yang memberi maksud hukuman-hukuman yang tidak ditetapkan kadarnya. (Lihat Tabyin al-Haqa’iq, 3/207)
Saya katakan, ta’zir juga sebahagian daripada hukum Allah yang diserahkan pelaksanaan dan kadar hukumannya kepada pemimpin setempat atau sesebuah negara. Ini berdasarkan pengamatan saya dari segi takrif ta’zir serta perbahasan para ulama’ berkenaan dengan ta’zir di dalam kitab-kitab Feqah.
Maksiat yang Disyariatkan Ta’zir
Perkataan maksiat memberi maksud perlakuan yang diharamkan atau meninggalkan yang difardukan. Ijma’ ulama’ dan fuqaha’ bahawa meninggalkan yang wajib atau melakukan yang haram adalah maksiat yang dikenakan ta’zir selama mana tiada di sana hukuman hadd yang telah ditetapkan. (Lihat Tabsirah al-Hukkam, 2/366-367; Mu’in al-Hukkam, hlm. 189; Kassyaf al-Qina’, 4/75; al-Siyasah al-Syar’iyyah oleh Ibn Taimiyyah, hlm. 55; dan al-Ahkam al-Sultaniyyah, hlm. 10)
Contoh kesalahan yang dikenakan ta’zir seperti:
- Enggan menunaikan zakat.
- Meninggalkan bayaran hutang ketika berkemampuan.
- Tidak menunaikan amanah.
- Tidak mahu memulangkan harta rampasan.
- Penjual menyembunyikan perkara yang wajib diberitahu seperti berbohong pada barang jualan yang ada aib yang tersembunyi. (Lihat Tabsirah al-Hukkam, 2/366; Mu’in al-Hukkam, hlm. 189; Kassyaf al-Qina’, 4/75; dan al-Ahkam al-Sultaniyyah, hlm. 210)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اجْعَل وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِين
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah kuasa wilayah kami pada orang yang takut kepada-Mu dan bertakwa kepada-Mu, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Lihat Nafahat al-Minbar al-Makki, 1/137)