#7725: Menjawab Salah Faham berkenaan dengan Hukuman Potong Tangan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana menjawab syubhat yang dilontarkan berkaitan hukuman potong tangan dalam Islam?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Berkenaan persoalan di atas, syubhah yang dilontarkan oleh golongan yang kurang memahami hikmah dan maqasid Syariah khususnya terhadap hukum hudud perlu dilihat dengan lebih tuntas dan mendalam melalui neraca Syariat sendiri dan pandangan para ulama’. Sejarah klasik menunjukkan dua syubhah yang diwar-warkan oleh mereka yang tidak memahaminya.

Pertama: Seorang penyair Abu al-’Ala’ al-Ma’arri[1] pernah melontarkan syubhat melalui syairnya:

يَدٌ بخمْسِ مِئِينٍ عَسْجَدٍ وُدِيَتْ            مَا بَالُهَا قُطِعَتْ فِي رُبْعِ دِينَار

تَنَاقُضٌ مَالَنَا إِلَّا السُّكُوتُ لَهُ                وَأَنْ نَعُوذَ بِمَوْلَانَا مِنَ النَّارِ

Diyat tangan adalah lima ratus dinar

            Kenapa dipotong kerana seperempat dinar?

Percanggahan yang nyata, tetapi kita tidak dapat melakukan kecuali hanya diam

            Dan berlindung kepada Allah dari api neraka

Lantas seorang ulama’ lain mengarang satu syair lain pula bagi menjawab syubhat dalam syair tersebut. Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fath al-Bari, nama ulama’ tersebut ialah al-Qasim Abd al-Wahhab al-Maliki. Beliau menulis:

يَدٌ بِخَمْسِ مِئِينٍ عَسْجَدٍ وُدِيَتْ            مَا بَالُهَا قُطِعَتْ فِي رُبْعِ دِينَار

عِزُّ الأَمَانَةِ أَغْلَاهَا، وَأَرْخَصَهَا               ذُلُّ الخِيَانَةِ فافْهَمْ حِكْمةَ البارِي

Diyat tangan adalah lima ratus dinar

            Tetapi dipotong kerana seperempat dinar

Kemuliaan amanah menjadikan tangan itu mahal

            Dan harganya murah tatkala berkhianat, Maka fahamilah hikmah Syariat Allah

(Lihat I’lam al-Muwaqqi’in, 3/287; Tarikh al-Islam oleh al-Zahabi, 30/205)

Al-Maziri dan yang mengikutinya berkata: “Allah memelihara harta dengan mewajibkan potong tangan bagi pencurinya. Dikhususkan dengan ‘pencurian’ kerana ia lebih jarang berlaku dibandingkan dengan perampasan dan ghasb, dan kerana selain pencurian lebih mudah dibuktikan. Maka hukuman pencurian itu berat agar ia lebih diwaspadai. Dalam potong tangan, diyat itu tidaklah ditetapkan sebagai bentuk perlindungan terhadap tangan, kerana ketika tangan itu melakukan pengkhianatan, maka ia telah menjadi tangan yang hina.” (Lihat Fath al-Bari,  12/100)

Dalam riwayat lafaz yang lain, al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan bahawa al-Qasim ‘Abd al-Wahhab al-Maliki menjawab:

صِيَانَةُ الْعُضْوِ أَغْلَاهَا، وَأَرْخَصُهَا                     صِيَانَةُ الْمَالِ، فَافْهَمْ حِكْمَةَ الْبَارِي

Memelihara anggota tubuh adalah yang paling mahal, sedangkan yang paling murah

            adalah memelihara harta. Kerana itu, fahamilah hikmah dari Sang Pencipta.

Penjelasannya adalah, sekiranya diyat itu hanya satu perempat dinar, tentu akan banyak berlaku perbuatan kejahatan terhadap tangan. Dan seandainya nisab (kadar untuk disabitkan) potong tangan itu 500 dinar, tentu akan banyak perbuatan kejahatan terhadap harta. Dengan begitu, jelaslah hikmahnya. Itu semua dilakukan bagi menjaga keutuhan tangan dan harta. (Lihat Fath al-Bari,  12/100)

Kedua: Pendapat Makruf al-Dawalibi dengan mengambil kisah pelaksanaan hudud pada zaman al-Malik Abd al-Aziz[2]. Dinukilkan satu kisah pada zaman al-Malik Abd al-Aziz yang melaksanakan hukuman potong tangan pada zaman pemerintahannya selama 24 tahun, tidak lebih daripada 16 tangan dipotong dan kejadian mencuri dan rompakan hampir menjadi sifar sepanjang pemerintahan beliau.

Sesungguhnya kaedah syariat Islamiyyah yang dilaksanakan kesemuanya di Arab Saudi di mana ada yang dikenakan hukuman qisas kerana membunuh. Begitu juga hukuman potong tangan kerana mencuri dalam keadaan ketika berlangsungnya haji berulang kali, maka didapati tangan yang dipotong pada zaman al-Malik Abd al-Aziz hanya 16 tangan sepanjang tempoh 24 tahun. Ketika itu negara telah membelanjakan untuk pemulihan mahkamah-mahkamah serta badan-badan keselamatan.

Natijahnya, negara dalam keadaan stabil sehingga sampai kepada kawasan pendalaman dan padang pasir. Maka begitulah, tatkala hudud dan perundangan Islam dilaksanakan untuk mencegah sebarang bentuk jenayah dan kerosakan di bumi sebagaimana yang dinaskan di dalam al-Quran kepada jenayah rompakan sama ada dibunuh, atau disula, atau dipotong kaki secara bersilang atau dibuang daerah sebagaimana penzina yang muhsan.

Sebagaimana kita sedia maklum maka begitu juga pengamal undang-undang barat yang bukan Islam sendiri yang menyaksikan keadilan Islam sekalipun mereka bercanggah dengan agama dan sistem Islam. Antara tokohnya seperti De Janeiro yang berbangsa Itali yang memuji sistem Islam dengan panjang lebar. Beliau merupakan ketua lajnah PBB bagi membanteras jenayah. (Lihat Athar al-‘Aqidah al-Islamiah fi Ikhtifa’ al-Jarimah, hlm 192-193)

Maka benarlah firman Allah:

نَكَالًا مِّنَ اللَّهِ

Maksudnya: “Suatu hukuman pencegah dari Allah.”

(Surah al-Maidah: 38)

Ibn Kathir dalam tafsirnya menyatakan: Iaitu cegahan daripada Allah dengan kedua-dua pencuri lelaki dan perempuan atas jenayah tersebut. Sedangkan Allah Maha Perkasa untuk menghukumnya dan Maha Bijaksana dalam segala urusannya sama ada perintah larangan syariat dan takdir-Nya (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/100)

Dikatakan dalam satu dialog cendekiawan Islam dalam menghujahkan dan mempertahankan undang-undang Islam ini berkata: “Di negeri kami, apabila pelaksanaan hukuman potong tangan, maka masyarakat terdidik untuk menjaga amanah dan maruah serta tidak khianat dan mencuri. Hasilnya harta sentiasa dalam keadaan selamat. Adapun di negeri kamu, tempat yang paling selamat untuk memelihara harta adalah di bank-bank. Itu pun terjadi rompakan bank-bank. Bukan satu, tetapi kerap kali.”

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَل وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِين

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah kuasa wilayah kami pada orang yang takut kepada-Mu dan bertakwa kepada-Mu, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Lihat Nafahat al-Minbar al-Makki, 1/137)

 

Nota Hujung:

[1] Beliau ialah Abu al-ʿAla al-Maʿarri (Arab أبو العلاء المعري Abū al-ʿAlāʾ al-Maʿarrī, nama penuh أبو العلاء أحمد بن عبد الله بن سليمان التنوخي المعري Abū al-ʿAlāʾ Aḥmad ibn ʿAbd Allāh ibn Sulaimān al-Tanūkẖī al-Maʿarrī, dilahirkan pada tahun 363H, meninggal dunia pada tahun 449H adalah seorang ahli falsafah, penyair, dan penulis Arab yang buta. Beliau berasal dari suku Arab al-Tanukhi. Walaupun pandangannya kontroversi dan tidak beragama, beliau dianggap sebagai salah seorang yang hebat dalam syair Arab kuno.

Abu al-‘Ala’ dilahirkan di al-Maʿarra (kini Ma’arat al-Nu’man, Syria). Pada zaman Kesultanan Abbasiyah, beliau menderita buta pada usia muda akibat cacar, tetapi beliau mendapat pendidikan di dekat Aleppo, kemudian Tripoli, dan Antiokhia. Beliau menulis banyak syair di Baghdad tetapi menolak untuk menjualnya. Beliau adalah anggota Bani Sulayman, sebuah keluarga bangsawan dari Maʿarra, yang termasuk dalam suku besar Tanukh. Beliau digambarkan sebagai “Pemikir Bebas yang Pesimis”, kontroversi, dan seorang rasionalis pada masanya, yang menekankan akal sebagai sumber kebenaran dan wahyu.

[2] Beliau ialah Abd al-’Aziz bin ‘Abd al-Rahman al-Sa’ud. Lahir di Riyadh pada tahun 1875 M. Beliau ialah Raja Arab Saudi yang pertama. Beliau memerintah pada tahun 1932 sehingga 1953 M. Pada tahun 1890M, beliau mengikuti keluarganya dalam pengasingan di Kuwait setelah dikalah oleh dinasti Rasyidi. Beliau menghabiskan zaman kanak-kanaknya di Kuwait. Pada tahun 1901, Abd al-’Aziz menggantikan bapanya sebagai ketua keluarga dinasti Sa’ud dengan gelaran Sultan Najd. Pada tahun 1902, beliau bersama dengan pasukan keluarga dan saudaranya berjaya merebut semula Riyadh. Pada tahun 1925, pasukan Ibn Sa’ud berjaya merebut kota suci Makkah dari Syarif Husain. Pada 8 Januari 1926, tokoh-tokoh terkemuka Makkah, Madinah dan Jeddah mengisytiharkan Ibn Sa’ud sebagai Raja Hijaz dalam majlis yang diadakan di Masjid al-Haram. Pada tahun 1932, selepas menguasai sebahagian besar Semenanjung Arab dari musuh-musuhnya. Beliau kemudian menamakan Hijaz dan Najd sebagai Arab Saudi. Raja Abd al-’Aziz telah meninggal dunia pada 9 November 1953.