#7732: Kesahihan Kisah Hindun Makan Hati Hamzah R.A

Soalan

Benarkah kisah bahawa Hindun memakan hati Saidina Hamzah RA selepas beliau syahid dibunuh?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Hindun binti ‘Utbah  merupakan isteri kepada Abu Sufyan, yang merupakan seorang yang pembesar yang berkuasa di Makkah. Abu Sufyan dan Hindun pada awalnya antara penentang utama dakwah Rasulullah SAW. Dia adalah ibu kepada Muawiyah, yang menjadi pengasas kepada kerajaan Umayyah, dan Ramlah Binti Abu Sufyan (Ummu Habibah), salah seorang isteri Rasulullah SAW. Hal ini bermakna, Hindun merupakan ibu mertua kepada Nabi SAW. Beliau memeluk Islam pada peristiwa Fath al-Makkah ketika mana Abu Sufyan memeluk Islam hasil daripada dakwah Nabi SAW.

Sebagai mana yang diketahui, Saidina Hamzah RA merupakan bapa saudara kepada Nabi SAW dan beliau antara yang syahid dalam peperangan Uhud dan digelar sebagai Sayyid al-Syuhada’ (Penghulu bagi orang-orang yang syahid).

Kisah Hindun memamah hati Hamzah banyak diceritakan melalui buku-buku sirah, dan kisah ini kesemuanya diambil melalui jalur Ibn Ishaq. Katanya:

 “Mengikut cerita yang disampaikan kepada saya melalui Soleh bin Kaisan, Hindun Binti Utbah dan perempuan-perempuan lain bersamanya melakukan ‘mutslah’ terhadap sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang terbunuh. Mereka memotong telinga-telinga dan hidung-hidung (sahabat-sahabat yang terbunuh itu) sehingga Hindun menyucuk telinga-telinga dan hidung-hidung orang-orang yang terbunuh itu untuk dijadikan sebagai gelang kaki dan kalung-kalung. Dia memberikan gelang kaki, kalung dan subangnya (anting-anting) kepada Wahsyi, hamba Jubair Bin Muth’im. Dia membelah perut Hamzah dan mengambil hatinya lalu dikunyahnya tetapi tidak dapat ditelannya kerana itu dia memuntahkannya keluar.” [1]

Ibnu Jarir al-Tobari pula meriwayatkan daripada Muhammad Bin Humaid, dia mengambil cerita ini daripada Salamah al-Abrasy. Salamah pula mengambilnya daripada Ibn Ishaq. Ibn Ishaq berkata,“Soleh Bin Kaisan menceritakan kepadanya…”[2]

Ibn Ishaq mengatakan bahawa riwayat ini diambil daripada Soleh Bin Kaisan. Soleh Bin Kaisan merupakan seorang tabi’i kecil dan tsiqah (perawi yang boleh dipercayai) tetapi beliau lahir selepas 70H dan meninggal dunia pada tahun 140H. Beliau lebih berumur sedikit daripada Muhammad Bin Ishaq sedangkan peristiwa peperangan Uhud telah berlaku 70 tahun sebelum kelahirannya. Maka sanad dalam riwayat ini dikategorikan sebagai mursal dan tidak boleh diterima kerana Soleh Bin Kaisan merupakan seorang tabi’i kecil, dan kebanyakan riwayatnya diambil daripada Tabi’i yang lain.[3]

Sekiranya kisah ini benar-benar berlaku pastilah ramai sahabat yang melihat sendiri peristiwa ini dan meriwayatkannya dengan sanad yang sahih. Bahkan Hindun binti Utbah, isteri Abu Suffian, ibu kepada Saidina Muawiyah yang dikatakan telah memakan hati Hamzah, kemudiannya memeluk agama Islam tidak juga menceritakan tentang peristiwa ini.

Wahsyi yang diketahui dan diterima oleh semua sebagai pembunuh Saidina Hamzah kemudiannya telah memeluk agama Islam. Jubair bin Muth’im tuan kepada Wahsyi kemudiannya juga memeluk agama Islam.

Terdapat juga riwayat yang menceritakan hal ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam Musnadnya, daripada Ibn Mas’ud RA:

… فنَظَروا فإذا حَمزةُ قد بُقِرَ بَطنُه، وأخَذَتْ هندُ كَبِدَه فلاكَتْها، فلمْ تَستطِعْ أنْ تَأكُلَها، فقال رسولُ اللهِ ﷺ: أأَكَلَتْ منه شيئًا؟ قالوا: لا، قال: ما كان اللهُ لِيُدخِلَ شيئًا مِن حَمزةَ النّارَ، فوَضَعَ رسولُ اللهِ ﷺ حَمزةَ، فصَلّى عليه…

Maksudnya: … lalu para sahabat mencari dan menjumpai Hamzah dalam keadaan terbedah perutnya. Hindun telah mengambil hati Hamzah dan mengunyahnya, namun dia tidak dapat untuk menelannya. Rasulullah SAW bertanya, “Apakah dia memakan sesuatu (daripada tubuh Hamzah)?” Para shahabat menjawab, “Tidak!”. Rasulullah SAW bersabda, “Tidaklah Allah akan memasukkan sesuatu pun dari jasad Hamzah ke dalam neraka. Lalu baginda pun mensolatkannya…[4]

Ibn Kathir di dalam al-Bidayah wa al-Nihayah berkata: “Imam Ahmad menyendiri dalam meriwayatkannya, dan sanad hadith ini mengandungi kelemahan daripada jalur ‘Atha’ bin as-Sa-ib, wallahu’alam.”[5]

Sesungguhnya perawi yang meriwayatkan daripada Ibn Mas’ud adalah ‘Amir bin Syarahil al-Sya’bi. Tidak Sahih bahawa dia mendengar daripada Ibn Mas’ud sebagaimana dikatakan oleh para imam seperti al-Hakim, ad-Daruqutni, Abu Hatim.[6]

Berdasarkan hujjah-hujjah yang kami kemukakan, kebanyakan riwayat yang menceritakan mengenai Hindun memakan hati Saidina Hamzah, tidak thabit dan tidak sahih. Walaupun begitu, kisah tentera musyrikin Quraisy yang merosakkan jasad-jasad para syuhada’ Uhud memang benar-benar berlaku dan thabit sebagaimana yang diriwayatkan di dalam Sahih al-Bukhari. [7]

Hal ini sebagaimana hadith yang diriwayatkan  di dalam Sahih al-Bukhari, daripada Al-Bara’ bin ‘Azib RA, katanya: Abu Sufyan yang ketika itu merupakan ketua bagi tentera musyrikin Quraisy berkata pada pengakhiran perang Uhud:

يَوْمٌ بيَومِ بَدْرٍ، والحَرْبُ سِجالٌ، وتَجِدُونَ مُثْلَةً، لَمْ آمُرْ بها ولَمْ تَسُؤْنِي

Maksudnya: Hari ini sebagai balasan hari Badar, peperangan itu silih berganti[8], kamu akan mendapati korban (yang syahid) di pihak kamu yang dikerat-kerat sebagai penghinaan, namun aku tidak pernah menyuruh mereka melakukannya, maka kamu jangan menyalahkanku.[9]

Terdapat satu hadith yang sangat panjang yang diceritakan sendiri oleh Wahsyi yang menyebabkan kesyahidan Saidina Hamzah RA.  Daripada  Ja’far bin Amar bin Umaiyyah ad-Dhamri katanya: Ubaidullah bin Adiy bin al-Khiyar bertanya kepada Wahsyi:

أَلاَ تُخْبِرُنَا بِقَتْلِ حَمْزَةَ؟ قَالَ: نَعَمْ، إِنَّ حَمْزَةَ قَتَلَ طُعَيْمَةَ بْنَ عَدِيِّ بْنِ الخِيَارِ بِبَدْرٍ، فَقَالَ لِي مَوْلاَيَ جُبَيْرُ بْنُ مُطْعِمٍ: إِنْ قَتَلْتَ حَمْزَةَ بِعَمِّي فَأَنْتَ حُرٌّ، قَالَ: فَلَمَّا أَنْ خَرَجَ النَّاسُ عَامَ عَيْنَيْنِ، وَعَيْنَيْنِ جَبَلٌ بِحِيَالِ أُحُدٍ، بَيْنَهُ وَبَيْنَهُ وَادٍ، خَرَجْتُ مَعَ النَّاسِ إِلَى القِتَالِ، فَلَمَّا أَنِ اصْطَفُّوا لِلْقِتَالِ، خَرَجَ سِبَاعٌ فَقَالَ: هَلْ مِنْ مُبَارِزٍ؟ قَالَ: فَخَرَجَ إِلَيْهِ حَمْزَةُ بْنُ عَبْدِ المُطَّلِبِ، فَقَالَ: يَا سِبَاعُ، يَا ابْنَ أُمِّ أَنْمَارٍ مُقَطِّعَةِ البُظُورِ، أَتُحَادُّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ قَالَ: ثُمَّ شَدَّ عَلَيْهِ، فَكَانَ كَأَمْسِ الذَّاهِبِ، قَالَ: وَكَمَنْتُ لِحَمْزَةَ تَحْتَ صَخْرَةٍ، فَلَمَّا دَنَا مِنِّي رَمَيْتُهُ بِحَرْبَتِي، فَأَضَعُهَا فِي ثُنَّتِهِ حَتَّى خَرَجَتْ مِنْ بَيْنِ وَرِكَيْهِ، قَالَ: فَكَانَ ذَاكَ العَهْدَ بِهِ، فَلَمَّا رَجَعَ النَّاسُ رَجَعْتُ مَعَهُمْ، فَأَقَمْتُ بِمَكَّةَ حَتَّى فَشَا فِيهَا الإِسْلاَمُ، ثُمَّ خَرَجْتُ إِلَى الطَّائِفِ، فَأَرْسَلُوا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَسُولًا، فَقِيلَ لِي: إِنَّهُ لاَ يَهِيجُ الرُّسُلَ، قَالَ: فَخَرَجْتُ مَعَهُمْ حَتَّى قَدِمْتُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَلَمَّا رَآنِي قَالَ: «آنْتَ وَحْشِيٌّ؟» قُلْتُ: نَعَمْ، قَالَ: «أَنْتَ قَتَلْتَ حَمْزَةَ» قُلْتُ: قَدْ كَانَ مِنَ الأَمْرِ مَا بَلَغَكَ، قَالَ: «فَهَلْ تَسْتَطِيعُ أَنْ تُغَيِّبَ وَجْهَكَ عَنِّي؟»…

Maksudnya: “Tidakkah engkau mahu mengkhabarkan kepada kami tentang pembunuhan Hamzah?” Beliau menjawab: “Baiklah. Hamzah membunuh Tu‘aimah bin ‘Adi bin al-Khiyar dalam perang Badar. Maka tuan aku Jubair bin Mut‘im berkata kepadaku: ‘Jika engkau dapat membunuh Hamzah sebagai membalas dendam ke atas ayah saudaraku maka engkau akan dimerdekakan.’” Beliau berkata: “Apabila orang Mekah hendak keluar (untuk menyertai perang Uhud) pada tahun ‘Ainain iaitu nama bukit yang setentang dengan bukit Uhud yang antara ia dan Uhud terdapat lembah, aku keluar bersama mereka. Ketika mereka telah berbaris untuk berperang, Siba‘ keluar dan berkata: “Ada sesiapa (daripada orang Islam) yang ingin bertarung denganku?” Beliau berkata: Lalu Hamzah bin ‘Abd al-Muttalib maju kepadanya dan berkata: “Wahai Siba‘, wahai putera Ummu Anmar tukang khatan wanita, adakah engkau menentang Allah dan Rasul-Nya SAW?” Beliau berkata: “Kemudian Hamzah menyerangnya dan membunuhnya dia seperti semalam yang telah berlalu pergi tanpa meninggalkan kesan.” Beliau berkata: “Aku bersembunyi di bawah batu besar untuk menyerangnya. Ketika beliau mendekatiku, aku melempar tombak kecil ke arahnya, yang aku halakan ke bahagian bawah pusatnya sehingga tombak itu tembus keluar dari punggungnya.” Beliau berkata: “Maka demikian itulah menjadi sebab kesyahidannya. Ketika orang ramai pulang semula ke Mekah, aku juga pulang bersama mereka. Lalu aku tinggal di Mekah sehinggalah Islam tersebar (di kota Mekah). Kemudian aku keluar menuju ke Ta’if. Setelah itu mereka (penduduk Ta’if) mengirim utusan kepada Rasulullah SAW  dan dikatakan kepadaku bahawasanya Baginda tidak menyakiti utusan. Aku pun keluar bersama mereka sehingga sampai kepada Rasulullah SAW. Ketika melihatku Baginda bertanya: “Adakah engkau Wahsyi?” Aku menjawab: “Benar.” Baginda bertanya lagi: “Adakah engkau yang membunuh Hamzah?” Aku berkata: “Halnya adalah seperti apa yang telah sampai kepadamu.” Baginda bersabda: “Bolehkah engkau sembunyikan wajahmu daripadaku?” [10]

Kesimpulan

Akhir kalam, kami nyatakan bahawa kisah Hindun memakan hati Hamzah RA adalah tidak thabit dan tidak sahih. Hal ini kerana Wahsyi adalah hamba kepada Jubair bin Muth’im. Dialah yang menyuruh Wahsyi untuk membunuh Hamzah dengan janji akan memerdekakannya jika dia berjaya membunuh Hamzah sebagai balas dendam ke atas kematian bapa saudara Jubair bin Muth’im. Bahkan Hindun tidak ada kaitan langsung dalam pembunuhan Hamzah RA, dan beliau tidak ada kuasa untuk memerdekakan Wahsyi kerana Wahsyi bukan hamba kepada Hindun. Malah yang berdendam dengan Saidina Hamzah RA adalah Jubair bin Muth’im, bukannya Hindun.

Selain itu, Wahsyi telah membunuh Hamzah yang begitu disayangi oleh Rasulullah SAW. Baginda meminta Wahsyi supaya tidak bersemuka dengannya. Jika benar apa yang dilakukan oleh Hindun membelah perut Hamzah dan mengunyah hatinya, maka kelakuan itu lebih dahsyat daripada apa yang dilakukan oleh Wahsyi terhadap Hamzah. Sesuatu yang luar biasa seseorang membelah perut orang yang telah mati dalam peperangan lalu memotong hatinya untuk dikunyah atau dimakan. Jika benar ia belaku, adalah lebih utama untuk Rasulullah SAW tidak sanggup bersemuka dengan Hindun sama seperti Wahsyi.

Akhir kalam, semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang benar dalam memahami agama ini.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 26 Januari 2022 bersamaan 23 Jamadil Akhir 1443H

[1] Lihat Sirah Ibnu Ishak, hlm. 385, dan Sirah Ibn Hisyam, 3/36

[2] Lihat Tarikh al-Umam Wa al-Muluk-at-Thabari, 2/204

[3] Lihat Tahdzib al-Kamal, 4/399-400

[4] Riwayat Imam Ahmad di dalam Musnadnya (4414)

[5] Lihat  al-Bidayah wa al-Nihayah, 4/14

[6] Lihat Tahdzib al-Tahdzib, 5/68

[7] Lihat Fath al-Bari, 7/350

[8] Umpama baldi air, kadang-kala berada di atas, kadang-kala berada di bawah.

[9] Riwayat al-Bukhari (4043)

[10] Riwayat al-Bukhari (4072)