#7738: Bentuk Kawasan Maqam Nabi

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Bagaimanakah bentuk kawasan maqam Nabi SAW sekarang dan benarkah masih boleh memasukinya serta melihat maqam tersebut? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Perubahan-perubahan terhadap maqam Rasulullah SAW

Umar bin al-Khattab R.A ialah orang yang pertama melakukan perubahan terhadap rumah yang dibina oleh Baginda SAW. Beliau menggantikan pelepah tamar dengan dinding batu. Abdullah bin Abu Zaid menyebutkan bahawa dinding yang dibina itu sangat rendah, lalu ia dibina semula oleh Abdullah bin al-Zubair R.A.[1]

Aisyah R.Anha kemudiannya membuat dinding yang membahagikan rumah tersebut kepada dua bahagian. Satu bahagian mengandungi tiga maqam itu dan satu bahagian lagi digunakan sebagai kediamannya. Beliau selalu menziarahi maqam Rasulullah SAW dan Abu Bakar al-Siddiq R.A tanpa memakai hijab. Namun, apabila Umar bin al-Khattab R.A dikebumikan di situ, beliau mula menziarahinya dengan memakai hijab — yakni menutup aurat — kerana Umar R.A bukan mahramnya, sebagai menghormatinya walaupun selepas kematiannya. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada ‘Urwah bin al-Zubair, bahawa Aisyah R.Anha berkata:

كنتُ أدخُلُ بَيتي الذي دُفِنَ فيه رَسولُ اللهِ صلّى اللهُ عليه وسلَّمَ وأَبي، فأضَعُ ثَوْبي، وأقولُ: إنَّما هو زَوْجي وأبي، فلمّا دُفِنَ عُمَرُ معهم، فواللهِ ما دخَلتُهُ إلّا وأنا مَشدودةٌ علَيَّ ثيابي؛ حَياءً مِن عُمَرَ

Maksudnya:Aku masuk ke dalam rumahku, yang di dalamnya dikebumikan Rasulullah SAW dan bapaku. Lalu aku menaruh pakaianku dan berkata: ‘Sesungguhnya dia ialah suamiku dan bapaku.’ Namun, apabila Umar dikebumikan bersama mereka, demi Allah, aku tidak memasukinya melainkan aku tebalkan pakaianku — yakni menutup aurat — kerana rasa malu kepada Umar.”[2]

Kemudian, diriwayatkan bahawa orang ramai mula mengutip debu-debu dan tanah dari perkuburan tersebut — yakni maqam Baginda SAW dan dua orang sahabatnya — kononnya untuk mengambil berkat. Oleh itu, Aisyah R.Anha telah mengarahkan agar satu tembok dibina untuk melindungi maqam-maqam tersebut sebagai menghalang perbuatan khurafat itu.

Kemudian al-Walid bin ‘Abd al-Malik telah menulis surat kepada Umar bin ‘Abd al-‘Aziz iaitu gabenornya di Madinah — selepas dia membeli semua rumah Ummul Mukminin R.Anhunna — untuk meruntuhkannya bagi tujuan pembesaran masjid Nabawi. Maka, beliau pun melaksanakan perintah tersebut. Ketika mana rumah pertama dirobohkan, jelaslah kelihatan tiga maqam yang berada di dalamnya dan batu-batu kecil yang berada di atas maqam itu juga telah jatuh ke bawah — yakni roboh. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Hisyam bin ‘Urwah, daripada bapanya:

لَمَّا سَقَطَ عَلَيْهِمُ الحَائِطُ فِي زَمَانِ الوَلِيدِ بْنِ عَبْدِ المَلِكِ، أَخَذُوا فِي بِنَائِهِ فَبَدَتْ لَهُمْ قَدَمٌ، فَفَزِعُوا وَظَنُّوا أَنَّهَا قَدَمُ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَمَا وَجَدُوا أَحَدًا يَعْلَمُ ذَلِكَ حَتَّى قَالَ لَهُمْ عُرْوَةُ: لاَ وَاللَّهِ مَا هِيَ قَدَمُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، مَا هِيَ إِلَّا قَدَمُ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ

Maksudnya:Ketika dinding (bilik Rasulullah SAW) runtuh pada zaman al-Walid bin ‘Abd al-Malik, orang ramai pun membinanya semula, lalu mereka ternampak satu kaki.[3] Mereka pun gempar dan menyangka bahawa itu ialah kaki Nabi SAW. Mereka tidak menemukan seorang pun yang mengetahui hal itu sehinggalah ‘Urwah berkata kepada mereka: ‘Tidak, demi Allah! Itu bukanlah kaki Nabi SAW melainkan itu ialah kaki Umar R.A.’[4]

Maka, Umar bin ‘Abd al-‘Aziz ingin membaik pulih maqam-maqam itu dengan tangannya sendiri. Lalu dia telah mengarahkan pembantunya untuk menguruskan kerja-kerja pembaikan tersebut. Umar bin ‘Abd al-‘Aziz telah membina dinding maqam itu dengan menggunakan batu pejal hitam yang warnanya hampir sama dengan warna batu pejal di Kaabah. Bangunan itu didirikan betul-betul di tempat asalnya seperti yang dibina oleh Rasulullah SAW. Dinding itu tidak berpintu dan tidak beratap. Tinggi dinding itu ialah 6.5 meter.

Kemudian, Umar bin ‘Abd al-‘Aziz telah membina tembok disekeliling maqam bagi menutupnya. Beliau telah berijtihad dengan menjadikan tembok itu lima segi dan segi yang kelima itu terletak di bahagian utara (kelihatan seperti tiga segi). Tujuannya adalah untuk membezakan bentuk maqam itu supaya ia tidak menyerupai bentuk Kaabah apabila orang mendirikan solat di belakangnya. Hal ini kerana terdapat hadith yang melarang daripada mendirikan solat di belakang kubur sebagaimana riwayat daripada Abu Marsad al-Ghanawi bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا تَجْلِسُوا عَلَى الْقُبُورِ، وَلَا تُصَلُّوا إِلَيْهَا

Maksudnya:Janganlah kamu duduk di atas kubur dan jangan kamu mendirikan solat menghadap ke arahnya.”[5]

Begitu juga Rasulullah SAW pernah berdoa:

اللَّهمَّ لا تجعَلْ قبري وثنًا يُعبَدُ، اشتدَّ غضبُ اللهِ على قومٍ اتَّخذوا قبورَ أنبيائِهم مساجدَ

Maksudnya:Ya Allah, janganlah Engkau jadikan kuburku sebagai berhala yang disembah. Allah sangat murka kepada golongan yang menjadikan kubur para nabi mereka sebagai masjid — yakni tempat ibadat.”[6]

Lakaran tembok penghadang yang dibina oleh Umar bin ‘Abd al-‘Aziz[7]

Kaum Muslimin yang menziarahi maqam Rasulullah SAW dapat berdiri di antara jarak mereka dengan maqam Baginda SAW lebih kurang 3 hasta iaitu terus di sisi tembok penghalang yang dibini oleh Umar bin ‘Abd al-‘Aziz. Pada tahun 668H, al-Zahir Bibars — penguasa Mesir — telah membina sebuah bilik kecil di kawasan tembok penghalang daripada kayu di antara dua tiang yang berhampiran dengan bilik Aisyah dari arah utara. Kemudian beliau telah menambah binaan tersebut sehingga ke kawasan Nabi SAW mendirikan solat tahajjud, iaitu turut memasukkan bilik Fatimah di dalamnya. Bilik kecil yang dibina itu mengandungi tiga pintu iaitu satu pintu di arah kiblat, satu lagi di arah timur dan satu lagi di arah barat. Setelah dibina bilik kecil itu, kaum Muslimin yang menziarahi maqam Nabi SAW akan berdiri di sisi bilik kecil itu menghadap arah maqam tersebut.

Seterusnya pada tahun 694H, al-‘Adil Zainuddin Kitbugha telah menambah binaan ke atas tembok penghalang — di sekeliling kawasan maqam — sehingga ke bumbung masjid. Dahulu tidak ada sebarang kubah yang dibina di atas kawasan maqam Nabi SAW dan orang pertama yang membinanya ialah al-Sultan Qalawun al-Salihi pada tahun 678H.

Seterusnya maqam-maqam itu telah mengalami beberapa perubahan dan pemulihan di bawah beberapa pemerintahan kerajaan Islam seperti pembinaan kubah di atas Raudhah dan kubah di atas maqam Rasulullah SAW, lebih-lebih lagi kawasan bilik kecil di tembok penghalang dan kubah pernah mengalami kebakaran dalam peristiwa kebakaran masjid Nabawi pada tahun 886H.

Ia kemudiannya telah didindingkan semula dengan besi sehingga menjadi seperti sebuah bilik yang kekal sehingga hari ini. Pada tahun 1253H, Sultan Abdul Hamid telah mengarahkan agar kubah dicat dengan warna hijau dan warna itu kekal sehingga sekarang.[8]

Lakaran kawasan maqam Rasulullah SAW

Benarkah masih boleh memasuki kawasan maqam Rasulullah SAW?

Menurut Syeikh Fayez al-Fayez,[9] tidak ada orang boleh memasuki maqam Rasulullah SAW kerana maqam tersebut ditutup sepenuhnya iaitu lapisan dinding bilik Aisyah dan tembok penghalang lima segi yang dibina oleh Umar bin ‘Abd al-‘Aziz. Kedua-duanya ditutup sepenuhnya dan tidak ada sebarang pintu mahupun tingkap untuk memasukinya. Adapun mereka yang mendakwa memasukinya, sebenarnya hanya berlegar di sekeliling kawasan maqam iaitu di bilik kecil yang berada di sekeliling maqam — sebelum tembok lima segi.[10]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 2 Februari 2022 bersamaan 30 Jamadil Akhir 1443H

[1] Lihat Khulasah al-Wafa bi Akhbar Dar al-Mustafa, 2/125.

[2] Riwayat Ahmad (25660); Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut menyatakan bahawa sanadnya adalah sahih mengikut syarat Imam al-Bukhari dan Muslim.

[3] Ternampak kaki sehingga ke paras betis.

[4] Riwayat al-Bukhari (1390)

[5] Riwayat Muslim (972)

[6] Lihat al-Muwatta’, 1/172.

[7] Diambil daripada Kitab Fusul min Tarikh al-Madinah al-Munawwarah, hlm. 124.

[8] Lihat Fusul min Tarikh al-Madinah al-Munawwarah, hlm. 122-129; Tarikh al-Masjid al-Nabawi al-Syarif, hlm. 167-173; Madinah Munawwarah Kelebihan dan Sejarah oleh Dr. Abdul Basit bin Abdul Rahman, hlm. 63-65.

[9] Pengarah Pameran al-Haramain al-Syarifain ( مدير معرض الحرمين الشريفين)

[10] Lihat https://www.youtube.com/watch?v=qkb5WCQGPm8.