Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana cara untuk menghadap kiblat untuk solat fardhu di dalam kapal terbang?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Firman Allah SWT:
فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ ۚ وَحَيْثُ مَا كُنتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ ۗ وَإِنَّ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ لَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ الْحَقُّ مِن رَّبِّهِمْ ۗ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا يَعْمَلُونَ
Maksudnya: “Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah Masjid Al-Haram (tempat letaknya Kaabah) dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka, dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan.”
(Surah al-Baqarah: 144)
Ibn al-Jauzi berkata: Sebab turunnya ayat ini ialah, Nabi SAW amat suka menghadap ke Kaabah. Inilah pendapat al-Bara, Ibn `Abbas, Ibn Musaiyib, Abu al-`Aliyah dan Qatadah. Mereka juga khilaf kepada dua pendapat berkenaan sebab pilihan Nabi SAW menghadap ke Kaabah dari Bait al-Maqdis. (Lihat Zad al-Masir,1/141)
Berdasarkan ayat di atas, Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menafsirkan bahawa “Menghadap kiblat dengan tepat adalah wajib bagi mereka yang berada di sekitar Masjid al-Haram. Manakala bagi mereka yang jauh dari Makkah, memadailah menghadap ke arah Makkah sebagai menetapi syarat hukum.
Menghadap Kiblat di Dalam Kapal Terbang
Mencari arah kiblat adalah suatu kewajiban bagi mereka yang mahu mendirikan solat. Pelbagai cara dan kaedah boleh dilakukan bagi menentukan arah kiblat dewasa ini. Tidak tahu bukan lagi alasan kukuh pada zaman kini. Teknologi satelit, kompas, telefon pintar dan sebagainya memungkinkan kita untuk mengetahuinya dengan mudah. Justeru, tidak sah solat seseorang tanpa menghadap kiblat dengan alasan tidak tahu.
Jika tidak dapat berijtihad dan menganggarkan arah kiblat dengan tepat, solat tetap perlu dilaksanakan. Hal ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Amir bin Rabi’ah daripada bapanya:
كُنَّا مَعَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فِي سَفَرٍ فِي لَيْلَةٍ مُظْلِمَةٍ فَلَمْ نَدْرِ أَيْنَ الْقِبْلَةُ فَصَلَّى كُلُّ رَجُلٍ مِنَّا عَلَى حِيَالِهِ فَلَمَّا أَصْبَحْنَا ذَكَرْنَا ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَنَزَلَ: (فَأَيْنَمَا تُولُّوا فَثَمَّ وَجْهُ الله)
Maksudnya: “Kami dahulu bersama Nabi SAW dalam sebuah permusafiran di malam hari yang gelap-gelita. Maka kami tidak mengetahui dimana arah kiblat. Maka setiap orang dari kami solat menurut keyakinan masing-masing. Kemudian pada waktu paginya, kami menceritakannya kepada SWT” Nabi SAW, maka turunlah ayat: “Ke arah manapun kamu menghadap, maka disitulah wajah Allah.”
Riwayat Tirmidzi (345)
Berdasarkan kepada hadith diatas, para fuqaha telah bersepakat bahawa solat tetap wajib dilaksanakan walaupun tidak menghadap kiblat. Walaubagaimanapun, status hadith di atas dinilai dhoif dan menurut Mazhab Syafi’e solat yang telah dilakukan menghadap ke arah kiblat yang salah, solat tersebut wajib diqadha semula. Ia dipetik daripada Minhaj al-Talibin, yang mana sesiapa solat (ke arah kiblat) berdasarkan ijtihad, kemudian dia mendapat tahu bahawa kiblat itu salah, maka dia wajib qadha solatnya, menurut pendapat yang lebih kuat. Dan ketika dia tahu kesalahannya ketika sedang solat, dia wajib mengulangi semula solatnya. (Lihat Minhaj al-Talibin, 1/158)
Solat fardhu walaupun di dalam kenderaan, mesti menghadap ke arah kiblat. Sekiranya kedudukan kiblatnya berubah disebabkan oleh berubahnya arah kenderaan ataupun tiupan angin, dia hendaklah menghalakan semula ke arah kiblat yang betul dan meneruskan solatnya. Dalam mazhab al-Syafi‘i, cara-cara mengetahui kiblat mengikut susunan keutamaan itu ada empat, iaitu:
- Ilmu pengetahuan sendiri yang meyakinkan, seperti orang yang celik melihat ain Kaabah atau orang buta yang memegang Kaabah.
- Perkhabaran seorang yang terpercaya dengan pengetahuannya.
- Ijtihad seperti menggunakan kompas dan seumpamanya.
- Orang yang bertaqlid kepada ijtihad orang lain. (Lihat I‘anah al-Talibin, 1/145)
Justeru, antara perkara yang dicadangkan:
- Menurut Dr Ahmad Syarbashi, wajib menghadap kiblat jika pesawat itu bergerak ke arah lain maka orang yang bersolat itu juga perlu menukar arah kiblatnya. Namun jika tidak diketahui kearah mana pesawat bergerak maka dibolehkan untuk tetap pada arah asal. Ketegasan Dr Ahmad ini bersandarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA Sabda Nabi SAW:
فَإِذَا نَهَيْتُكُمْ عَنْ شَىْءٍ فَاجْتَنِبُوهُ، وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ
Maksudnya: “Apabila aku melarang sesuatu ke atas kamu maka hindarilah, dan sekiranya aku memerintahkan kamu untuk melakukan sesuatu, maka lakukanlah dengan sebaik-baiknya.”
Riwayat Bukhari (7288)
- Menurut Dr. Ahmad Syarbashi dalam huraian bab yang sama, solat seseorang itu adalah tetap sah dan tidak perlu diulangi kerana telah berusaha sekuat mampu untuk menghindari semua kesukaran yang wujud disamping niat yang ikhlas.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa solat di atas kapal terbang wajib mengadap kiblat jika pesawat itu bergerak ke arah lain maka orang yang bersolat itu juga perlu menukar arah kiblatnya. Namun jika tidak diketahui kearah mana pesawat bergerak maka dibolehkan untuk tetap pada arah asal.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahu a’lam
Bertarikh: 29 Mac 2022 bersamaan 26 Syaaban 1443H