#7769: Berhala Lata

Soalan:       

Assalamualaikum w.b.t. Apakah yang dimaksudkan dengan berhala Lata? Mohon penjelasan. Terima Kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

أَفَرَأَيْتُمُ اللَّاتَ وَالْعُزَّىٰ ﴿١٩﴾ وَمَنَاةَ الثَّالِثَةَ الْأُخْرَىٰ ‎

Maksudnya:(Setelah kamu — wahai kaum musyrik Makkah — mendengar keterangan yang membuktikan kekuasaan dan keagungan Allah) maka adakah kamu nampak bahawa al-Lat dan al-‘Uzza (19). Serta Manat yang ketiga, yang bertaraf rendah lagi hina itu (layak disembah dan dianggap sebagai anak-anak perempuan Allah)?[1]

Muhammad ‘Abd al-Latif bin al-Khatib ketika menafsirkan ayat ini menyatakan, ia adalah nama-nama sembahan yang dahulunya mereka sembah.[2] Tidaklah berhala-berhala ini melainkan hanya pada nama sahaja, tanpa ada wujud hakikatnya. Orang musyrikin dan nenek moyang mereka telah mengada-adakannya dan memberinya nama. Sedangkan Allah SWT sama sekali tidak menurunkan bukti tentang nama-nama tersebut. Begitu juga tidaklah apa yang mereka sembah itu melainkan hanyalah sangkaan semata-mata (yakni sesuatu yang mereka anggap sebagai tuhan) dan sesuatu yang diri mereka sukai kerana godaan daripada syaitan. Sungguh kebenaran daripada al-Quran telah sampai kepada mereka melalui perantara Nabi Muhammad SAW.[3]

Berbalik kepada soalan yang diajukan, menurut Ibn Kathir, al-Lata ialah batu besar berwarna putih yang diukir dan dibina atasnya sebuah rumah di Taif. Padanya juga terdapat tirai yang menutupinya dan penjaga serta di sekelilingnya terdapat halaman. Ia sangat dimuliakan dan diagungkan oleh penduduk Taif, dan mereka ialah Bani Thaqif dan sesiapa yang mengikutinya. Mereka membanggakan diri dengan Latta ke atas bangsa Arab yang lain selepas Quraisy. Ibn Jarir menyebutkan bahawa mereka mengambil nama Latta itu daripada nama Allah. Justeru, mereka katakan: “اللَّاتُ” dan mereka maksudkan dengannya adalah kata nama perempuan daripadanya. Maha suci Allah daripada apa yang mereka katakan.

Selain itu, dinukilkan daripada Ibn Abbas, Mujahid dan al-Rabi‘ bin Anas bahawasanya mereka membaca perkataan “اللَّاتَّ” dengan disabdukan pada huruf ta’, dan mereka menafsirkannya sebagai seorang lelaki yang mengadun sawiq (sejenis makanan yang diperbuat daripada gandum dan barli yang halus) bagi jemaah haji pada masa Jahiliyyah. Kemudian apabila dia meninggal dunia, mereka pergi dan berada di kuburnya untuk menyembahnya.[4]

Hal ini juga adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Bukhari dalam sahihnya menerusi riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma berkenaan tafsiran ayat 19 daripada surah al-Najm: {اللَّاتَ وَالعُزَّى}. Beliau berkata:

كَانَ اللَّاتُ رَجُلًا يَلُتُّ سَوِيقَ الحَاجِّ

Maksudnya:Adapun “اللَّاتَ” adalah (bermula daripada) seorang lelaki yang menumbuk tepung untuk jemaah haji (di sisi bongkah batu itu, lalu batu itu disembah).[5]

Begitu juga al-Baghawi ketika menafsirkan firman Allah SWT, “أَفَرَأَيْتُمُ اللَّاتَ وَالْعُزَّى”, beliau menyebutkan, ini adalah nama-nama berhala yang dijadikan sembahan. Mereka mengambil nama-nama tersebut daripada nama-nama Allah SWT. Mereka mengatakan, nama al-Lat diambil daripada nama Allah, manakala nama al-‘Uzza diambil daripada nama al-‘Aziz, dan ada juga yang berpendapat ia adalah kata nama perempuan bagi al-A‘az (الْأَعَزِّ). Menurut Qatadah, berhala al-Lat berada di Taif. Manakala Ibn Zaid pula berpendapat, ia adalah rumah di Nakhlah dan dahulunya orang Quraisy menyembahnya.

Ibn Abbas, Mujahid dan Abu Soleh membaca perkataan “اللَّاتَّ” dengan disabdukan huruf ta’, dan mereka berpendapat ia dahulunya adalah seorang lelaki yang mengadun sawiq (sejenis makanan yang diperbuat daripada gandum dan barli yang halus) bagi jemaah haji. Kemudian apabila dia meninggal dunia, mereka pergi dan berada di kuburnya untuk menyembahnya.

Selain itu, Mujahid berpendapat, dahulu di puncak gunung terdapat seekor kambing kecil yang mana lemaknya dipanaskan lalu dijadikan sebagai keju. Kemudian dicampurkan pula susunya. Setelah itu, ia dibuat hais (sejenis makanan yang dibuat daripada keju, kurma, dan mentega atau minyak sapi) dan diberi makan kepada jemaah haji. Dia berada di Batn Nakhlah. Apabila dia meninggal dunia, orang ramai mula menyembahnya, dan orang itu ialah al-Lat.

Manakala al-Kalbi pula berpendapat, dahulu terdapat seorang lelaki daripada Bani Thaqif yang bernama Sirmah bin Ghanm. Dia telah mencairkan lemak haiwan lalu meletakkannya di atas sebuah batu besar. Setelah itu, orang Arab datang kepadanya lalu mengadun sawiq mereka dengannya (lemak haiwan yang sudah dicairkan itu). Apabila lelaki tersebut meninggal dunia, Bani Thaqif telah mengubah batu besar itu ke rumah-rumah mereka lalu menyembahnya. Maka, jadilah Taif tempat terletaknya berhala al-Lat.[6]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 21 Februari 2023 bersamaan 30 Rejab 1444H

[1] Surah al-Najm: 19-20

[2] Lihat Audhah al-Tafasir, hlm. 649.

[3] Lihat Tafsir al-Madinah al-Munawwarah, hlm. 1593.

[4] Lihat Tafsir Ibn Kathir, 7/422.

[5] Riwayat al-Bukhari (4859)

[6] Lihat Tafsir al-Baghawi, 7/407.