#7774: Musailimah al-Kazzab

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Bolehkah Datuk ceritakan sedikit berkenaan Musailimah al-Kazzab, dan bagaimanakah dia dibunuh? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلَٰكِن رَّسُولَ اللَّهِ وَخَاتَمَ النَّبِيِّينَ

Maksudnya:Akan tetapi ia adalah Rasul Allah dan kesudahan segala nabi-nabi.

(Surah al-Ahzab: 40)

Ayat ini menunjukkan bahawa tidak ada nabi lagi sesudahnya. Sekiranya tidak ada lagi nabi selepasnya, maka tidak adanya rasul selepasnya adalah lebih-lebih lagi kerana maqam al-Risalah adalah lebih khusus berbanding maqam al-Nubuwwah. Hal ini kerana setiap rasul itu merupakan nabi, sedangkan nabi belum tentu lagi adalah rasul. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 3/645).

Begitu juga terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ مَثَلِي وَمَثَلَ الأَنْبِيَاءِ مِنْ قَبْلِي، كَمَثَلِ رَجُلٍ بَنَى بَيْتًا فَأَحْسَنَهُ وَأَجْمَلَهُ، إِلَّا مَوْضِعَ لَبِنَةٍ مِنْ زَاوِيَةٍ، فَجَعَلَ النَّاسُ يَطُوفُونَ بِهِ، وَيَتَعَجَّبُونَ لَهُ، وَيَقُولُونَ هَلَّا وُضِعَتْ هَذِهِ اللَّبِنَةُ؟ قَالَ: فَأَنَا اللَّبِنَةُ وَأَنَا خَاتِمُ النَّبِيِّينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya perumpamaanku dengan para nabi sebelumku adalah seperti seorang lelaki yang membina rumah, lalu dia menghiasi dan memperindahkan rumah itu, kecuali satu tempat bata yang berada di suatu sudut. Manusia mengelilingi rumah itu dan merasa takjub. Mereka berkata: ‘Alangkah baiknya diletakkan satu bata ini (untuk dipenuhkan satu ruang yang lompong).’ Baginda bersabda: ‘Akulah bata itu, dan aku adalah penutup bagi seluruh nabi.’

Riwayat al-Bukhari (3535)

Hadith di atas dapat difahami bahawa perbandingan Nabi SAW dengan para nabi terdahulu adalah seperti bata yang menyempurnakan suatu binaan. Hal ini kerana syariat-syariat terdahulu menjadi sempurna (lengkap) melalui Nabi SAW. Sekalipun begitu, bukanlah maksudnya ajaran-ajaran terdahulu (syariat yang dibawa oleh rasul terdahulu) adanya kekurangan, bahkan setiap syariat tersebut adalah sempurna sesuai dengan zamannya. Akan tetapi syariat yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW adalah syariat yang paling sempurna dan lengkap. Seterusnya, dijelaskan juga bahawa tidak akan berlakunya lagi kenabian kepada mana-mana manusia selepas kelahiran Nabi Muhammad SAW dan dianugerahkan kepadanya dengan kenabian tersebut. (Lihat Manar al-Qari Syarh Mukhtasar sahih al-Bukhari, 4/238-239).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, Musailimah al-Kazzab adalah di antara orang yang mengaku sebagai nabi (menerima wahyu). Nama sebenarnya ialah Musailimah bin Thumamah bin Kabir bin Habib bin al-Harith bin ‘Abd al-Harith bin Hiffan bin Zuhl bin al-Duwal bin Hanifah. Dia daripada kalangan Bani Hanifah. Nama julukannya (kunyah) ialah Abu Thumamah, dan ada juga yang berpendapat, Abu Harun. Dia juga diberi nama sebagai al-Rahman, sehingga dia dipanggil sebagai Rahman al-Yamamah. Umurnya ketika dibunuh ialah 150 tahun. Diceritakan juga bahawa dia mengetahui ilmu silap mata, di mana dia boleh memasukkan telur ke dalam botol dan dia adalah orang pertama yang melakukan perkara tersebut. Begitu juga memotong sayap burung lalu menyambungnya semula, dan mendakwa antelop betina telah datang kepadanya dari suatu gunung lalu dia memerah susunya.

Dia pernah datang bersama utusan Bani Hanifah yang seramai 17 orang pada tahun 9 Hijrah. Utusan ini singgah di rumah salah seorang lelaki Ansar, kemudian mereka datang bertemu Rasulullah SAW lalu memeluk Islam. Terdapat beberapa riwayat yang berbeza mengenai Musailamah al-Kazzab. Setelah diteliti, ternyata semua riwayat tersebut memaparkan sikap Musailamah yang angkuh, sombong dan gila kuasa. Dia sebenarnya tidak datang bersama-sama rombongan utusan lain untuk bertemu Rasulullah SAW. Rasulullah SAW ingin melembutkan hatinya, lalu dilayaninya dengan kata-kata dan tingkah laku yang baik pada mulanya. Namun, setelah Rasulullah SAW melihat tidak ada faedahnya pada Musailamah, maka Baginda SAW meramalkan mengenai kejahatan yang ada pada Musailamah. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 383; al-Bidayah wa al-Nihayah, 7/256-257).

Terdapat riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata: “Musailimah al-Kazzab datang pada zaman Rasulullah SAW dan dia berkata: ‘Jika Muhammad mewariskan kepadaku kenabian selepasnya pasti aku mengikutinya.’ Dia datang ke Madinah bersama sejumlah orang daripada kaumnya. Rasulullah SAW datang kepadanya bersamanya Thabit bin Qais bin Syammas dan di tangan Rasulullah terdapat sepotong pelepah kurma sehingga Baginda berdiri di hadapan Musailamah bersama para sahabatnya. Baginda bersabda: ‘Sekiranya engkau meminta kepadaku sepotong kayu ini, nescaya aku tidak akan memberikannya kepadamu. Engkau tidak akan dapat melampaui urusan Allah. Jika engkau membelakangi, nescaya Allah akan membinasakanmu. Sesungguhnya aku melihat engkau adalah apa yang aku lihat dalam mimpiku dan ini Thabit akan menjawab (penentangan) kamu bagi pihakku.’ Kemudian Baginda meninggalkannya.”

Riwayat al-Bukhari (4373)

Dalam riwayat lain, diceritakan bahawa Musailimah al-Kazzab datang ke Madinah lalu dia singgah di rumah Bint al-Harith bin Kuraiz yang merupakan Ummu ‘Abdillah bin ‘Amir. Rasulullah SAW datang kepadanya bersama Thabit bin Qais bin Syammas yang dikenali sebagai jurucakap Rasulullah SAW dan ketika itu di tangan Rasulullah SAW terdapat ranting kayu. Baginda SAW berhenti di hadapan Musailimah dan bercakap dengannya. Musailimah berkata kepada Baginda: “Jika engkau mahu, kami akan membiarkanmu menguruskan urusan (kenabian) ini, kemudian engkau menjadikannya untuk kami selepas kamu.” Nabi SAW bersabda: “Sekiranya engkau meminta ranting kayu ini nescaya aku tidak akan memberikannya kepadamu dan sesungguhnya aku melihat engkau ialah orang yang diperlihatkan kepadaku dalam mimpiku. Ini Thabit bin Qais yang akan menjawab (penentangan) kamu bagi pihakku.” Lalu Nabi SAW beredar.

Setelah itu, Ibn Abbas menyebutkan bahawa beliau bertanya berkenaan sabda Nabi SAW: “Sesungguhnya engkau yang diperlihatkan kepadaku dalam mimpiku.” Maka Abu Hurairah mengkhabarkan kepadanya bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Ketika aku sedang tidur, aku melihat dua gelang emas di tanganku. Keduanya membuat aku berasa risau. Maka diwahyukan kepadaku dalam mimpi itu, ‘hendaklah engkau meniup keduanya.’ Aku pun meniup keduanya, maka keduanya terbang (lenyap). Aku menafsirkan keduanya ialah pendusta yang akan keluar sesudahku.” Salah seorangnya ialah al-‘Ansi dan seorang lagi ialah Musailimah.

Riwayat al-Bukhari (4374)

Begitu juga dalam riwayat yang lain, Abu Hurairah R.A pernah menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Ketika aku sedang tidur, didatangkan kepadaku perbendaharaan bumi, lalu diletakkan di telapak tanganku dua gelang emas, maka hal itu terasa sangat berat bagiku. Kemudian diwahyukan kepadaku agar meniup keduanya. Aku meniup keduanya lalu keduanya pergi. Aku menafsirkan bahawa keduanya ialah dua orang pendusta yang aku berada di antara keduanya, iaitu pemimpin San‘a’ (al-‘Ansi) dan pemimpin Yamamah (Musailimah).”

Riwayat al-Bukhari (4375)

Musailimah mendakwa dirinya sebagai nabi pada tahun 10 Hijrah. Dia telah mencipta syair-syair (dengan tujuan meniru al-Quran), menghalalkan arak dan zina dalam kalangan kaumnya. Pada masa yang sama, dia tetap mengiktiraf bahawa Rasulullah SAW adalah seorang nabi. Lantaran itu, kaumnya terperdaya lalu mengikutinya serta memberikan sokongan kepadanya. Akhirnya tindakan Musailimah itu menjadi satu urusan yang besar sehingga dia digelar sebagai ‘Rahman al-Yamamah’ kerana ketinggian kedudukannya dalam kalangan pengikutnya.

Dia menulis sepucuk surat kepada Rasulullah SAW dengan menyebutkan di dalamnya: “Sesungguhnya aku berkongsi urusan ini dengan kamu. Bagi kami separuh urusan dan bagi Quraisy separuh urusan.” Rasulullah SAW menjawab suratnya dengan menyebut: “Sesungguhnya bumi ini adalah milik Allah yang diwariskan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, sedangkan kesudahan yang baik itu adalah untuk orang yang bertakwa.” (Lihat Zad al-Ma‘ad, 3/31-32).

Musailimah telah dibunuh dalam peperangan al-Yamamah semasa pemerintahan Abu Bakar al-Siddiq R.A pada bulan Rabiul Awwal tahun 12 Hijrah. Dia telah dibunuh oleh Wahsyi iaitu orang yang sama telah membunuh Hamzah (yang kemudiannya memeluk agama Islam). (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 384)

Peristiwa bagaimana kematian Musailimah ini ada diceritakan sendiri oleh Wahsyi sebagaimana direkodkan dalam sahih al-Bukhari. Wahsyi menceritakan bahawa ketika Rasulullah wafat, Musailimah al-Kazzab lalu muncul (dan mendakwa diri sebagai nabi). Wahsyi berkata: “Sesungguhnya aku akan keluar kepada Musailimah supaya aku dapat membunuhnya untuk menebus kesalahanku membunuh Hamzah.” Wahsyi berkata lagi: “Aku keluar bersama orang ramai (yang pergi memerangi Musailimah dan pengikutnya) dan berlakulah peristiwa yang masyhur tentangnya.” Beliau berkata: “Tiba-tiba (aku terlihat) seorang lelaki (yakni Musailimah) berdiri di celahan dinding. Dia seperti unta berwarna kelabu (disebabkan debu medan perang) dengan rambut yang kusut.” Beliau berkata: “Aku melemparkan tombak kecilku ke arahnya yang tepat mengenai dadanya sehingga tembus keluar di antara kedua bahunya.” Beliau berkata lagi: “Seorang lelaki Ansar kemudian melompat ke arahnya dan menyerang atas kepalanya dengan pedang.” Abdullah bin Umar R.Anhuma berkata: “Seorang hamba wanita di atas bumbung rumah berkata: ‘Sungguh malang bagi Amirul Mukminin (Musailimah), dia hanya dibunuh oleh seorang hamba berkulit hitam.’”

Riwayat al-Bukhari (4072)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 21 Februari 2023 bersamaan 30 Rejab 1444H