#7779: Taraf dan Tafsiran Hadith “ إِنَّي تَارِكٌ فِيكُم الثَّقَلَيْنِ كِتَاب الله ‘وَعِتْرَتِي.”

Soalan

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa taraf untuk hadith ini?

 إِنَّي تَارِكٌ فِيكُم الثَّقَلَيْنِ كِتَاب الله وَعِتْرَتِي.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Takhrij dan Status Hadith

Sebagaimana yang ditanyakan, hadith ini diriwayatkan oleh banyak kitab hadith, antaranya:

  • Sahih Muslim, Kitab Fada’il al-Sahabah, Bab Fadl Man Ahbabna li Ajlihi Rasulullah.
  • Sunan al-Tirmizi, Kitab Manaqib al-Sahabah, Bab Fadl Man Ahbabna li Ajlihi Rasulullah.
  • Musnad Ahmad bin Hanbal, Musnad Ali bin Abi Thalib, Hadith no. 3716.
  • Sunan Ibn Majah, Kitab al-Manaqib, Bab Fadl Man Ahbabna li Ajlihi Rasulullah.

Begitu juga ia diriwayatkan dalam kitab-kitab Syiah seperti sebagai hujjah penyelewengan bagi mereka:

  • Al-Kafi, Jilid 1, halaman 184-185, Bab Thawab Man Ahabba Ahlul Bait al-Nabi.
  • Bihar al-Anwar, Jilid 22, halaman 535-536, Bab Fadl Ahlul Bait al-Nabi.

Sebagaimana dalam Sahih Muslim, Diriwayatkan dengan sanad yang baik, daripada Zaid bin Arqam RA bahawa Nabi SAW bersabda:

 قَامَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمًا فِينَا خَطِيبًا، بِمَاءٍ يُدْعَى خُمًّا بَيْنَ مَكَّةَ وَالْمَدِينَةِ فَحَمِدَ اللهَ وَأَثْنَى عَلَيْهِ ، وَوَعَظَ وَذَكَّرَ، ثُمَّ قَالَ : ( أَمَّا بَعْدُ، أَلَا أَيُّهَا النَّاسُ فَإِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ يُوشِكُ أَنْ يَأْتِيَ رَسُولُ رَبِّي فَأُجِيبَ، وَأَنَا تَارِكٌ فِيكُمْ ثَقَلَيْنِ: أَوَّلُهُمَا كِتَابُ اللهِ فِيهِ الْهُدَى وَالنُّورُ فَخُذُوا بِكِتَابِ اللهِ ، وَاسْتَمْسِكُوا بِهِ ) فَحَثَّ عَلَى كِتَابِ اللهِ وَرَغَّبَ فِيهِ، ثُمَّ قَالَ: ( وَأَهْلُ بَيْتِي أُذَكِّرُكُمُ اللهَ فِي أَهْلِ بَيْتِي، أُذَكِّرُكُمُ اللهَ فِي أَهْلِ بَيْتِي، أُذَكِّرُكُمُ اللهَ فِي أَهْلِ بَيْتِي 

Maksudnya: “Pada suatu hari Rasulullah SAW berdiri dan berucap kepada kami di sebuah tempat berair bernama Khum, di antara Makkah dan Madinah. Dia memuji dan memuliakan Allah, dan dia menasihati dan mengingatkan kita, lalu dia bersabda: “Adapun selepas itu: Wahai manusia, aku hanyalah manusia, dan tidak lama lagi utusan Tuhanku akan datang kepadaku dan aku akan menjawab. Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang berat, yang pertama ialah Kitab Allah yang di dalamnya terdapat petunjuk dan cahaya. Ikutilah kitab Allah dan berpegang teguhlah kepadanya.” Dan dia mendorong kami untuk berpegang teguh kepada Kitab Allah, kemudian dia bersabda: “Dan ahli keluargaku, aku ingatkan kamu kepada Allah mengenai ahli keluargaku, aku ingatkan kamu kepada Allah mengenai ahli keluargaku, aku ingatkan kamu kepada Allah mengenai ahli rumahku.”

Riwayat Muslim (2408)

Diriwayatkan juga dalam jalur yang lain, seperti yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi:

إِنِّي تَارِكٌ فِيكُمْ مَا إِنْ تَمَسَّكْتُمْ بِهِ لَنْ تَضِلُّوا بَعْدِي : أَحَدُهُمَا أَعْظَمُ مِنَ الآخَرِ: كِتَابُ اللَّهِ حَبْلٌ مَمْدُودٌ مِنَ السَّمَاءِ إِلَى الأَرْضِ. وَعِتْرَتِي أَهْلُ بَيْتِي ، وَلَنْ يَتَفَرَّقَا حَتَّى يَرِدَا عَلَيَّ الحَوْضَ ، فَانْظُرُوا كَيْفَ تَخْلُفُونِي فِيهِمَا

Maksudnya: “Aku tinggalkan di antara kamu sesuatu yang jika kamu berpegang teguh kepadanya, kamu tidak akan sesat selama-lamanya setelah aku tiada, dan salah satu daripada keduanya lebih besar daripada yang lain: Kitab Allah, iaitu tali yang dipanjangkan dari langit ke bumi, dan keluargaku, ahli keluargaku (Ahl al-Bayt). Kedua-duanya tidak akan berpisah sehingga mereka datang kepadaku di telaga (al-Haudh), jadi perhatikan bagaimana kamu berurusan dengan dua perkara tersebut selepas aku pergi.”

Riwayat al-Tirmizi (3788)

Hadith ini diriwayatkan oleh al-Tirmizi melalui jalur al-A’masy, daripada ‘Atiyyah, daripada Abu Sa’id al-Khudiri. Dan sanad yang kedua daripada al-A’masy daripada Habib bin Abi Thabit, daripada Zaid bin Arqam. Hadith ini adalah hadith yang ghair mahfuz (غير محفوظ) iaitu ia tidak dijaga dengan lafaz yang sama. Kedua-dua sanad ini tidak boleh dijadikan hujjah. Sanad yang pertama dipertikaikan kerana terdapatnya riwayat Atiyyah – yang merupakan al-‘Aufi – daripada Abu Sa’id dan ia merupakan riwayat yang Munkar, berdasarkan apa yang terdapat dalam riwayat Atiyyah sendiri yang cenderung kepada Syiah yang mana ia melemahkan riwayatnya dalam perkara tersebut.

Ibn Hibban berkata dalam terjemahnya bagi perawi bernama Atiyyah: “Dia mendengar riwayat daripada Abu Sa’id al-Khudri, tetapi apabila Abu Sa’id meninggal dunia, dia melazimi al-Kalbi (seorang pembohong yang dihujani dengan tuduhan) dan dia mendengarkan cerita daripada al-Kalbi. Apabila al-Kalbi mengatakan, “Rasulullah SAW bersabda begini”, Atiyyah akan menghafaznya dan mengambilnya seolah dia mengambil daripada Abu Sa’id serta meriwayatkannya daripadanya. Apabila ditanya, “Siapa yang menceritakan kepada kamu perkara ini?” dia akan menjawab, “Abu Sa’id telah menceritakannya kepada saya”. Oleh itu, mereka menganggap bahawa dia merujuk kepada Abu Sa’id al-Khudri, sedangkan sebenarnya dia merujuk kepada al-Kalbi. Oleh itu, tidak boleh untuk menggunakan riwayatnya sebagai hujah atau menulis hadithnya, kecuali dengan tujuan untuk menunjukkan rasa hairan.” (Lihat al-Majruhin, 2/ 176)

Manakala pada sanad kedua pula, ia juga lemah kerana dua illah/sebab:

Pertama: Terdapat Idhtirab (اضطراب) pada sanadnya. Ia diriwayatkan oleh Muhammad bin Fudail, al-A’masy menyampaikannya kepada kami, daripada Atiyyah, daripada Abu Sa’id dan daripada al-A’masy daripada Habib bin Abi Thabit, daripada Zaid bin Arqam, dan ini adalah riwayat Imam al-Tirmizi yang terdahulu. Ia juga diriwayatkan oleh Abu ‘Awanah dan Sa’id bin Abdul Karim bin Salit Al-Hanafi, daripada al-A’masy, daripada Habib bin Abi Thabit, daripada ‘Amr bin Wathilah, daripada Zaid bin Arqam. Riwayat yang kedua ini diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam Mu’jam al-Kabir (4969). Ia juga diriwayatkan oleh Kamil Abu Al-‘Ala’ yang berkata: “Aku mendengar Habib bin Abi Thabit mengkhabarkan, daripada Yahya bin Ja’dah, daripada Zaid bin Arqam,” dan riwayat ini dikeluarkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak (6272).

Kedua: Habib bin Abi Thabit adalah seorang yang dituduh melakukan tadlis dengan menggunakan lafaz ‘ananah (عنعنه). Sedangkan hadith yang sahih yang diriwayatkan daripada Zaid bin Arqam adalah apa yang diriwayatkan oleh Muslim dalam Sahihnya (2408) daripada Zaid bin Arqam. “Jika kita menganggap bahawa ucapan pertama benar secara literal, maka maknanya ia adalah wasiat untuk menghormati keluarga Rasulullah SAW dan mengakui hak-hak mereka serta tidak menzalimi mereka, seperti yang telah disebutkan sebelumnya, dan sebagaimana yang ditunjukkan oleh riwayat Muslim.

Tafsiran Hadith

Syeikh al-Islam Taqiyuddin Abu al-Abbas berkata: Hadith ini diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi, tetapi terdapat tambahan lafaz (وإنهما لن يفترقا حتى يردا علي الحوض). Kebanyakan ulama’ tidak menerima tambahan lafaz ini dan mengatakan bahawa tambahan lafaz ini bukannya sebahagian daripada hadith. Namun, menurut ulama yang menerima tambahan lafaz ini, hadith ini menunjukkan bahawa para keturunan daripada Bani Hasyim tidak bersepakat dalam kesesatan dan ini merupakan pendapat sekumpulan daripada ahli sunnah dan merupakan jawapan al-Qadhi Abu Ya’la dan selainnya. Hadith yang ada dalam Sahih Muslim – jika benar Nabi SAW telah mengatakannya – maka tidak ada sesuatu padanya selain ia merupakan wasiat untuk mengikuti Kitabullah, dan ini adalah perintah yang telah diwasiatkan dalam Khutbah Wada’ sebelumnya. Nabi SAW tidak memerintahkan untuk mengikuti keluarganya (Ahlu al-Bayt), namun Baginda SAW bersabda: ‘(أذكركم الله في أهل بيتي) Aku mengingatkan kamu kepada Ahli Baitku’. Mengingatkan umat kepada mereka mengharuskan agar mereka memberikan hak-hak mereka dan menahan diri daripada melakukan kezaliman kepada mereka sebagaimana yang telah disebutkan sebelumnya.” (Lihat al-Minhaj al-Sunnah al-Nabawiyyah, 7/ 318)

Para pentahqiq Musnad Imam Ahmad bin Hanbal menyatakan: “Telah dinyatakan bahawa maksud daripada ucapan Nabi SAW ‘(وعترتي أهل بيتي) dan keluargaku, ahli baitku’, adalah kewajiban untuk meraikan dan mengasihi mereka, menghindari hal-hal yang menyakitkan mereka, dan berhati-hati terhadap apa yang membahayakan mereka. Hal ini terdapat dalam hadith Zaid bin Arqam dalam Muslim yang menyatakan, ‘Dan keluargaku, aku mengingatkan kamu pada keluargaku, aku mengingatkan kamu pada keluargaku, aku mengingatkan kamu pada keluargaku.’ Hal ini menunjukkan kewajiban untuk mencontohi mereka, mengambil perkataan mereka, dan mengikutinya, seperti perkataan baginda: ‘Kamu tidak akan sesat selagi mana kamu berpegang teguh pada keduanya’ atau ‘Kamu tidak akan sesat selama mana kamu mengikutinya.’ Namun, sanadnya lemah dan tidak boleh dijadikan sebagai hujjah. Frasa-frasa ‘keduanya’ dan ‘mengikutinya’ termasuk waham yang melemahkan riwayat ini. Selain itu, pada Khutbah Haji Wada’, Nabi SAW hanya menyebutkan pentingnya berpegang teguh pada Kitabullah, seperti yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada hadith Jabir: ‘(تركت فيكم ما لن تضلوا بعده إن اعتصمتم به ، كتاب الله) Aku meninggalkan padamu apa yang tidak akan pernah menyesatkanmu selama kau berpegang teguh padanya, iaitu Kitabullah.’ Baginda SAW tidak menyebutkan ‘keluarga’ pada ketika itu. Ketika mana Haji Wada’ selesai dan mereka bermusafir dan turun di Ghadir Khum, baginda merasakan dekatnya ajal baginda dan berkata, ‘Akan datang padaku utusan Tuhanku, dan aku akan menjawab.’ Baginda SAW kemudian menasihati mereka untuk berpegang teguh pada Kitabullah lagi dan menambahkannya dengan mengingatkan mereka tentang keluarganya, iaitu, ‘(إني قد تركت فيكم ما إن أخذتم به لن تضلوا: كتاب الله ، وعترتي أهل بيتي) Sesungguhnya, aku telah meninggalkan padamu dua perkara yang tidak akan pernah menyesatkanmu jika kau berpegang teguh padanya: Kitabullah dan keluargaku, ahli baitku.’ Ucapan baginda SAW ‘dan keluargaku, ahli baitku’ ditempatkan sebagai kata kerja yang tidak disebutkan (منصوب بفعل محذوف), yang bererti ‘jaga keluargaku’ atau ‘Aku mengingatkan kamu pada keluargaku,’ seperti yang diriwayatkan oleh Muslim. Ini adalah makna yang difahami oleh para sahabat Nabi SAW. Imam al-Bukhari (3712) meriwayatkan daripada Abu Bakar RA, katanya:

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، لَقَرَابَةُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَحَبُّ إِلَيَّ أَنْ أَصِلَ مِنْ قَرَابَتِي.

Maksudnya: “Demi Dia yang jiwaku berada di tangan-Nya, lebihlah aku suka menghubungkan silaturahim dengan kerabat Rasulullah SAW berbanding dengan kerabatku sendiri.”

Begitu juga katanya sebagaimana riwayat al-Bukhari (3713):

ارْقُبُوا مُحَمَّدًا صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي أَهْلِ بَيْتِهِ

Maksudnya: “Kamu peliharalah (hak) Muhammad SAW (yang ada) pada (hak) ahli keluarga Baginda.”

Al-Hafiz Ibn Hajar dalam kitab Fath al-Bari (7/79) mengatakan: “Pengawasan terhadap sesuatu adalah memeliharanya. Dia (yang dimaksud dalam hadith) mengatakan: Peliharalah mereka dan jangan menyakiti mereka dan jangan berbuat buruk terhadap mereka.”

Maka kami  mengatakan: Ini sesuai dengan firman Allah SWT:

قُل لَّا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ أَجْرًا إِلَّا الْمَوَدَّةَ فِي الْقُرْبَىٰ ۗ

Maksudnya: “Katakanlah: “Aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah tentang ajaran Islam yang aku sampaikan itu, (yang aku minta) hanyalah kasih mesra (kamu terhadapku) disebabkan pertalian kerabat (yang menghubungkan daku dengan kamu supaya aku tidak disakiti)” (Surah al-Syura: 23).” (Lihat Hasyiah “Musnad Ahmad”, 17/175-176).”

Hadith ini bukanlah bermakna kewajipan merujuk kepada imam ahl al-bayt jika berlaku perselisihan, dan apa yang tersirat berkenaan kemaksuman mereka dan bahawa mereka tidak harus dianggap sebagai sumber perundangan (syariah) selepas Kitab Allah. Hal ini kerana dua sebab:

  • Sebab yang pertama adalah syariah, iaitu bahawa Allah S.W.T telah memerintahkan kita untuk merujuk kepada Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya SAW sekiranya berlaku pertikaian. Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul (Muhammad s.a.w) dan orang-orang yang berkuasa di antara kamu. (Dan) jika kamu berselisih pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul-Nya, jika kamu beriman kepada Allah dan hari kemudian. Itu lebih baik dan lebih sesuai untuk penentuan muktamad.”

(Surah al-Nisa’: 59)

Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi berkata: Suruhan taat kepada pemerintah disertakan dengan ketaatan kepada Allah dan juga ketaatan kepada Rasulullah SAW. Hal ini menunjukkan bahawa ketaatan kepada pemerintah perlulah pemerintah itu didasari dengan ketaatan kepada Allah dan Rasulullah SAW supaya dengan itu masyarakat akan terpelihara dengan keimanan dan daripada penindasan terhadap rakyat di bawahnya. Justeru, setiap pemerintah itu dituntut untuk menunaikan amanah dengan sempurna dan setiap pemerintah itu juga dituntut agar mereka sentiasa mentaati Allah dan Rasul-Nya. Sekiranya ini tidak berlaku, maka mereka itu akan digelar sebagai pemerintah yang zalim. (Lihat Tafsir al-Sya’rawi, 4/2360)

  • Sebab yang  kedua adalah lebih rasional dan realistik, iaitu ahl al-bayt pada masa kini sangat berbeza. Sebahagian daripada mereka adalah daripada Ahl al-Sunnah; sebahagian daripada mereka adalah ahli sufi, syiah, dan selainnya.

Maksud dari ‘العترة’ yang kesepakatan mereka menjadi dalil hukum adalah para ulama dari keluarga Nabi yang mengikuti petunjuk Nabi SAW. Dan bukan dimaksudkan bahawa setiap orang yang memiliki keturunan daripada Bani Hasyim, meskipun dia jahil, fasik, atau ahli bid’ah.”

Al-Mulla ‘Ali al-Qari berkata: Ahlul Bayt biasanya lebih mengetahui tentang keluarga mereka dan keadaannya. Maka yang dimaksud dengan Ahlul Bayt ialah orang-orang yang berilmu di antara mereka, orang-orang yang mengetahui akhlak dan sikap baginda, yang mengetahui jalan baginda, dan yang mengetahui ketetapan hukum dan hikmahnya. Dengan demikian mereka layak disebut di samping Kitab Allah, sebagaimana firman-Nya: “(وَيُعَلِّمُهُمُ الكِتَابَ وَالحِكْمَةَ)”. (Lihat Mirqah al-Mafatih, 9/3975)

Syeikh Nasiruddin al-Albani berkata: Telah diketahui umum bahawa hadith ini adalah antara perkara yang dinukilkan oleh Syi’ah, dan mereka terus menyebutnya sehingga sebahagian daripada Ahlu al-Sunnah mula menyangka bahawa golongan syiah ini adalah benar, tetapi mereka semua terpedaya, atas dua perkara:

  1.     Apa yang dimaksudkan oleh hadith, apabila Nabi SAW berkata “keluargaku” adalah lebih luas skopnya daripada tafsiran sempit Syiah. Ini adalah sesuatu yang tidak akan ditolak oleh Ahlu al-Sunnah; malah mereka berpegang kepada hal itu, iaitu ia merujuk kepada ahli keluarga Nabi SAW. Ini dinyatakan dengan jelas dalam beberapa riwayat hadith, seperti riwayat yang mengatakan, “keluargaku adalah ahli keluargaku.” Ahlul Bayt adalah, pertama sekali, isteri-isterinya, termasuk ‘Aisyah R.Anha. Fakta menyatakan bahawa Syi’ah menyempitkan makna “ahlul al-bayt” dalam ayat ini kepada ‘Ali, Fatimah, al-Hasan dan al-Husain R.Anhum, dengan mengecualikan isteri-isteri Nabi.
  2.     Yang dimaksudkan secara khusus berkenaan Ahlul Bayt ialah ulama’ yang soleh di antara mereka, yang berpegang kepada al-Quran dan al-Sunnah. Imam Abu Ja’far al-Tahawi berkata: “Keluarga” adalah Ahlul Bayt yang berpegang pada agamanya dan mengikuti jejaknya.

Penyebutan Ahlul Bayt di samping al-Qur’an, dalam hadith ini, adalah seperti penyebutan jalan para Khalifah yang mendapat petunjuk di samping Sunnah Nabi SAW dalam hadith: “Saya menyeru kepada kamu untuk berpegang kepada jalanku (Sunnah) dan jalan khalifah yang mendapat petunjuk…” Apabila kamu memahami perkara di atas, hadith tersebut merupakan sokongan yang kuat terhadap hadith dalam al-Muwatta’ yang berkata: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara; kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagi kamu berpegang teguh dengan keduanya: Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya”. (Lihat Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, 4/260).

Saya katakan berpegang dengan kitab Allah SWT dan sunnah Rasulullah SAW telah sabit dalam nas hadith seperti yang diriwayatkan oleh Imam Malik. Dan juga kita menghormati dan mengasihi keluarga Rasulullah SAW sebagai mana yang disebut oleh Imam al-Tahawi: “Keluarga” adalah Ahlul Bayt yang berpegang pada agamanya dan mengikuti jejaknya. Dan juga Ibnu al-Sakhawi.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 6 Mei 2023 bersamaan 17 Syawal 1444H