Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana kaedah seseorang yang ingin menjama’kan solat dan menqasarkannya ketika ingin bermusafir dengan kapal terbang?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Solat Jama’ ialah menghimpunkan dua solat ketika menunaikannya supaya orang yang musafir mendapat masa lapang sebanyak yang mungkin, dan ini dinamakan jama’.Hal ini sebagaimana yang diriwaytakan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْمَعُ بَيْنَ صَلاَةِ الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ إِذَا كَانَ عَلَى ظَهْرِ سَيْرٍ، وَيَجْمَعُ بَيْنَ الْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW menjama’kan solat Zuhur dengan Asar ketika bermusafir dan menjama’kan solat Maghrib dengan Isya’.”
Riwayat al-Bukhari (1056)
Dalam riwayat lain, Ibn Abbas R.Anhuma berkata:
أَنَّ النَّبِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَمَعَ بَيْنَ الصَّلاَةِ فِى سَفْرَةٍ سَافَرْنَاهَا فِى غَزْوَةِ تَبُوكَ فَجَمَعَ بَيْنَ الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ وَالْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ قَالَ سَعِيدٌ بِنْ جُبَيْرٍ فَقُلْتُ لاِبْنِ عَبَّاسٍ: مَا حَمَلَهُ عَلَى ذَلِكَ؟ قَالَ: أَرَادَ أَنْ لاَ يُحْرِجَ أُمَّتَهُ
Maksudnya: “Nabi SAW menjama’kan solat dalam perjalanan yang kami lakukan ketika peperangan Tabuk. Baginda menjama’kan solat Zuhur dengan solat Asar dan solat Maghrib dengan Isyak. Said bin Jubair berkata: Aku bertanya kepada Ibn Abbas: Apakah yang mendorong Baginda berbuat begitu? Jawabnya: Baginda tidak mahu menyusahkan umatnya.”
Riwayat Muslim (705)
Jenis Jama’
Jama’ terbahagi kepada dua jenis, iaitu jama’ taqdim yang bermaksud membawa solat yang kedua ke dalam solat yang pertama, dan jama’ ta’khir yang bermaksud membawa solat yang pertama ke dalam waktu solat yang kedua. Hal ini berdasarkan hadith, daripada Muaz R.A:
أَنَّ النَّبِىَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ فِى غَزْوَةِ تَبُوكَ إِذَا ارْتَحَلَ قَبْلَ أَنْ تَرتَفِعَ الشَّمْسُ أَخَّرَ الظُّهْرَ حَتَّى يَجْمَعَهَا إِلَى الْعَصْرِ يُصَلِّيهِمَا جَمِيعًا وَإِذَا ارْتَحَلَ بَعْدَ زَيْغِ الشَّمْسِ صَلَّى الظُّهْرَ وَالْعَصْرَ جَمِيعًا ثُمَّ سَارَ وَكَانَ إِذَا ارْتَحَلَ قَبْلَ الْمَغْرِبِ أَخَّرَ الْمَغْرِبَ حَتَّى يُصَلِّيَهَا مَعَ الْعِشَاءِ وَإِذَا ارْتَحَلَ بَعْدَ الْمَغْرِبِ عَجَّلَ الْعِشَاءَ فَصَلاَّهَا مَعَ الْمَغْرِبِ
Maksudnya: “Ketika Nabi SAW di peperangan Tabuk, apabila Baginda berangkat pergi sebelum matahari meninggi, Baginda melambatkan solat Zuhur hingga menghimpunkannya ke solat Asar lalu Baginda menunaikan kedua-duanya sekali. Dan sebelum meneruskan perjalanan selepas matahari gelincir, Baginda bersolat Zuhur dan Asar secara jama’. Kemudian barulah Baginda pergi. Begitu juga apabila berangkat sebelum waktu Maghrib, Baginda melambatkan solat Maghrib hingga dilakukannya bersama-sama solat Isya’, dan sebelum meneruskan perjalanan selepas waktu Maghrib, Baginda menyegerakan solat Isya’ bersama-sama solat Maghrib.”
Riwayat Abu Dawud (1208) dan al-Tirmizi (553)
Solat yang Boleh Dijama’kan
Sebagaimana diketahui bahawa solat yang boleh dijama’kan ialah solat Zuhur dengan Asar dan solat Maghrib dengan Isya’. Oleh itu, tidak sah dijama’kan solat Subuh dengan solat sebelum atau selepasnya. Begitu juga tidak sah dijama’kan solat Asar dengan solat Maghrib. Ini kerana setiap jama’ taqdim dan ta’khir mempunyai beberapa syarat yang perlu dipatuhi.
Dinyatakan di sini pendapat ulama berkenaan menjama’kan solat:
- Imam Ahmad bin Hanbal mengharuskan menjama’ solat dengan sebab keuzuran atau sakit. Contohnya, seseorang yang sakit buah pinggang dan terpaksa melakukan dialisis. Mereka boleh menjama’ solat kerana kesukaran untuknya mengambil wuduk beberapa kali. (Mazhab Imam Ahmad bin Hanbal adalah mazhab yang paling mudah dalam bab keharusan menjama’ solat)
- Syeikhul Islam Ibn Taimiyah menjelaskan jika ada urusan tertentu maka dibolehkan menjama’ solat.
- Imam al-Nawawi membolehkan menjama’ solat dalam sebahagian perkara kerana hajat atau keperluan ketika itu sekalipun tidak bermusafir.
- Mazhab Syafie menyatakan jama’ mesti dalam keadaan bermusafir dan hanya dalam kes-kes tertentu
Qasar Solat
Allah SWT memberikan keringanan (rukhsah) kepada orang yang bermusafir untuk mereka melaksanakan solat secara jamak dan qasar. Firman Allah SWT di dalam al-Quran:
وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ
Maksudnya: “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa “mengqasarkan” (memendekkan) sembahyang.”
(Surah al-Nisa’: 101)
Menurut Imam al-Nawawi, ayat ini mengaitkan hukum qasar dengan al-dorb `ala al-ardh (permusafiran). Justeru, jika seseorang ialah penduduk suatu kota maka dia boleh qasar apabila dia berpisah daripada bangunan yang dinisbah kepada kota tersebut. (Lihat al-Majmu’, 4/346)
Dalam hadith lain, daripada Ya’la bin Umayyah, katanya:
قُلْتُ لِعُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ (لَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَنْ تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلاَةِ إِنْ خِفْتُمْ أَنْ يَفْتِنَكُمُ الَّذِينَ كَفَرُوا) فَقَدْ أَمِنَ النَّاسُ؟ فَقَالَ: عَجِبْتُ مِمَّا عَجِبْتَ مِنْهُ فَسَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ ذَلِكَ. فَقَالَ: صَدَقَةٌ تَصَدَّقَ اللَّهُ بِهَا عَلَيْكُمْ فَاقْبَلُوا صَدَقَتَهُ
Maksudnya: “Aku bertanya kepada Saidina Umar al-Khattab RA: Allah SWT berfirman dalam al-Qur’an: “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa “mengqasarkan” (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir”, sedangkan sekarang manusia berada dalam keadaan aman. Umar RA menjawab: Aku juga berfikir perkara yang sama denganmu, maka aku bertanya kepada Rasulullah SAW tentangnya, lalu Baginda bersabda: “Ia merupakan sedeqah daripada Allah SWT untuk kamu, maka terimalah sedeqah-Nya.”
Riwayat Muslim (686)
Menurut Imam al-Zarkasyi bahawa mengqasarkan solat (ketika musafir) adalah lebih afdhal berbanding solat secara penuh (tamam). (Lihat al-Manthur fi al-Qawa’id, 2/415)
Kaedah Menjama’kan Dan Menqasarkan Solat Ketika Penerbangan
Sekiranya boleh dijama’kan solat sebelum atau selepas menaiki pesawat, maka cara tersebut lebih baik untuk menyempurnakan segala rukun solat dengan sebaik mungkin.
Begitu juga dicadangkan untuk mengambil wudhu’ terlebih dahulu sebelum menaiki pesawat agar boleh dilakukan solat dengan menggunakan wudhu’. Jika ada ruang masa sebelum kapal terbang bertolak, contohnya akan berlepas pada pukul 3 dan kemasukan dalam pesawat pada pukul 2, maka ruang 10 minit atau 20 minit waktu Zohor itu boleh disolatkan secara jama’ qasar untuk Zohor dan Asar.
Ketua rombongan perlulah menasihat anak buahnya agar kepentingan melaksanakan ibadat solat menjadi keutamaan dalam musafir lebih-lebih lagi musafir ibadah seperti menunaikan haji atau umrah.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa, ketika bermusafir, diharuskan untuk menjama’kan dan menqasarkan solat tidak kira perjalanan tersebut dilakukan melalui kereta, penerbangan atau seumpamanya. Namun begitu, di dalam isu solat jama’ dan qasar ketika penerbangan, kami simpulkan kepada beberapa perkara:
- Jika waktu solat zohor dan seseorang itu berada di darat dan pada waktu asarnya berada di atas udara, maka hendaklah dia menjama’kan secara taqdim dan menqasarkan solat ketika waktu zohor yang mana ketika itu dia berada di atas darat. Begitu juga dengan situasi ketika waktu solat maghrib dan Isyak.
- Jika waktu solat zohor dan seseorang itu berada di udara dan pada waktu asarnya berada di atas darat, maka hendaklah dia menjama’kan secara ta’khir dan menqasarkan solat ketika waktu asar yang mana ketika itu dia berada di atas darat. Begitu juga dengan situasi ketika waktu solat maghrib dan Isyak.
- Jikalau seseorang itu berada di atas udara ketika waktu solat zohor dan asar, maka hendaklah dia melakukan solat di atas kapal terbang sebagaimana yang kami terangkan di dalam artikel sebelum ini yang bertajuk solat di atas kapal terbang. Begitu juga dengan situasi ketika waktu solat maghrib dan isyak.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Kami akhiri dengan doa sebagaiman doa Nabi Ibrahim A.S:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
(Surah Ibrahim: 40)
Wallahu a’lam
Bertarikh: 29 Mac 2022 bersamaan 26 Syaaban 1443H