#7780: Pembahagian Ikhtilaf (اخْتِلَاف)

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan, apakah jenis-jenis atau pembahagiann ikhtilaf?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّـهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ

Maksudnya: “Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) di dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul-Nya (al-Sunnah)  jika kamu benar beriman kepada Allah dan juga hari Akhirat.”

(Surah al-Nisa’ : 59)

Ibn Kathir apabila menafsirkan ayat ini berkata: Ini adalah perintah daripada Allah SWT. Bahawasanya setiap perkara yang manusia saling bercanggah padanya dari sudut usul agama ataupun furuk (cabangnya), hendaklah dikembalikan kepada al-Kitab dan juga al-Sunnah. Dan apa-apa yang dihukumkan oleh kitabullah dan juga sunnah Rasulullah SAW serta dipersaksikan oleh keduanya itu maka ia adalah satu kebenaran. Beliau juga turut menambah dengan katanya: Berhukum dengan kitabullah dan juga sunnah Rasulullah SAW, serta merujuk kepada keduanya untuk merungkaikan sebarang percanggahan adalah suatu perbuatan yang baik. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 2/231)

Berkenaan persoalan di atas, dalam memahami fiqh al-Ikhtilaf, perlu juga diteliti kenyataan oleh Imam al-Syafi‘i, katanya:

الِاخْتِلَافُ وَجْهَانِ فَمَا كَانَ لِلَّهِ فِيهِ نَصُّ حُكْمٍ أَوْ لِرَسُولِهِ سُنَّةٌ أَوْ لِلْمُسْلِمِينَ فِيهِ إجْمَاعٌ لَمْ يَسْعَ أَحَدًا عَلِمَ مِنْ هَذَا وَاحِدًا أَنْ يُخَالِفَهُ وَمَا لَمْ يَكُنْ فِيهِ مِنْ هَذَا وَاحِدٌ كَانَ لِأَهْلِ الْعِلْمِ الِاجْتِهَادُ فِيهِ بِطَلَبِ الشُّبْهَةِ بِأَحَدِ هَذِهِ الْوُجُوهِ الثَّلَاثَةِ

Maksudnya: “Perselisihan itu terdapat dua jenis. Apabila sudah ada dalilnya yang jelas daripada Allah dan Sunnah Rasul-Nya, atau ijma‘ kaum Muslimin, maka tidak boleh bagi kaum Muslimin yang mengetahuinya untuk menyelisihinya. Adapun, apabila tidak ada dalil yang jelas, maka boleh bagi ahli ilmu untuk berijtihad[1] dengan mencari masalah yang menyerupainya dengan salah satu di antara tiga tadi (al-Quran, al-Sunnah dan ijma‘).” (Lihat al-Umm, 7/285)

Menurut Dr Taha Jabir al-Alwani dalam kitabnya Adab al-Ikhtilaf, perbezaan boleh dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu:

Pertama, perbezaan pandangan yang berpunca daripada dorongan hawa nafsu. Hal ini berakar daripada kemahuan untuk mencapai kepentingan diri sendiri.

Kedua, perbezaan pandangan yang berpunca daripada kebenaran. Ia tercetus daripada kebenaran ilmu, kehendak akal dan desakan iman.

Ketiga, perbezaan pandangan yang terumbang-ambing antara yang dipuji dan dicela. Hal ini kebiasaannya terjadi dalam perkara-perkara cabangan (furu‘) di mana hukumnya berada di antara beberapa kemungkinan, dan setengahnya menjadi lebih kuat daripada yang lain disebabkan wujudnya faktor-faktor yang menguatkan. (Lihat Adab al-Ikhtilaf fi al-Islam, hlm. 29)

Untuk lebih jelas tentang pembahagian perbezaan pandangan ini, kita boleh melihat contoh-contoh yang dikemukakan oleh Dr. Abd al-Karim Zaidan. Beliau menyebut perbezaan yang berlaku seperti berikut:

  • Perbezaan dan pelakunya dicela. Sebagai contoh, perbezaan yang membawa kepada kekufuran dan perbezaan mengikut hawa nafsu dan bidaah.
  • Perbezaan yang dipuji. Hal ini seperti mana perbezaan orang-orang Islam dengan orang kafir dari aspek kepercayaan dan pegangan agama, di mana seorang Muslim yang menyanggahi perayaan-perayaan agama lain.
  • Perbezaan yang diizinkan dan diterima. Contohnya perbezaan pendapat dalam masalah-masalah ijtihad oleh para mujtahid dalam kalangan ahli fiqh dan mufti. Namun, perbezaan tersebut mestilah dengan syarat tidak membawa kepada perpecahan dan terputusnya hubungan. Seorang mujtahid yang mengeluarkan ijtihad, dia akan tetap memperoleh pahala dan tidak berdosa meskipun tersalah atau tersilap dalam ijtihadnya. (Lihat al-Ikhtilaf fi al-Syari‘ah al-Islamiyyah, hlm. 24)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

Nota hujung;

[1] Ijtihad dari sudut bahasa bermaksud curahan usaha dalam melakukan sesuatu perkara. Adapun dari sudut istilah syarak, ia bermaksud curahan usaha dan tenaga yang bersungguh-sungguh oleh seorang mujtahid untuk mengistinbatkan hukum syar‘i. (Lihat  al-Luma‘ fi Usul al-Fiqh oleh al-Syirazi, 1/72; al-Wajiz fi Usul al-Fiqh, hlm. 375).