Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan tentang hukuman hudud dan hikmah pensyariatannya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Hudud menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat adalah hukum yang telah ditetapkan oleh Allah SWT, dan tidak boleh diubah-ubah oleh manusia, seperti hukum zina, murtad, dan minum arak.
Ia merupakan kata pinjaman bahasa Arab (الحُدُودُ) dan juga jamak kepada kalimah al-had (الحَدُّ), yang bermaksud menghalang. Ia digunakan untuk merujuk kepada hukuman yang telah ditetapkan oleh syara‘ ke atas pelaku jenayah. Ia dinamakan demikian kerana hukuman ini menjadi sebab yang menghalang pesalah itu dari mengulangi kesalahan tersebut, serta menghalang sesiapa sahaja yang berhasrat untuk melakukannya.
Kalimah al-had (الحَدُّ) juga digunakan untuk merujuk kepada maksiat-maksiat yang dilarang, sebagaimana yang disebutkan dalam firman Allah SWT:
تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ فَلَا تَقْرَبُوهَا
Maksudnya: “Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya.”
(Surah al-Baqarah: 187)
Yakni, itulah maksiat-maksiat yang telah Allah SWT larang dari kita melakukannya, oleh itu janganlah kita mendekatinya. Imam al-Qurtubi ketika menafsirkan ayat di atas berkata, (حُدُودُ اللَّهِ) dalam ayat ini bermaksud, hukum-hakam yang disebutkan dalam ayat ini merupakan batas-batas larangan Allah, maka janganlah melanggarnya. Dan (تِلْكَ) pula sebagai isyarat kepada perintah-perintah serta larangan-larangan yang disebutkan. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 2/337)
Dan kalimah al-had (الحَدُّ) juga merujuk kepada apa yang telah Allah SWT tetapkan dari hukum-hakam-Nya, sepertimana yang disebutkan dalam firman Allah SWT:
مَن يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّهِ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ
Maksudnya: “Itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”
(Surah al-Baqarah: 229)
Imam Abu Bakar al-Jaza’iri berkata, (حُدُودَ اللَّهِ) yang dimaksudkan adalah apa yang wajib dilakukan oleh seseorang hamba itu seperti mentaati perintah Allah dan tidak menyelisihinya. (Lihat Aisar al-Tafasir, 1/213)
Dan maksud hudud dalam firman Allah SWT ini dapat dilihat penggunaannya dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abu Tha‘labah al-Khusyani R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
وحَدَّ حُدُودًا فَلا تَعْتَدُوها
Maksudnya: “Dan Allah telah menetapkan batasan-batasan hukum maka janganlah kalian melampuinya.”
Riwayat al-Daruqutni dalam Sunannya (4/183-184)
Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji pula mendefinisikan al-had (الحَدُّ) sebagai suatu hukuman yang telah ditetapkan oleh syara‘, dan ianya tidak boleh ditokok tambah atau dikurangkan ketetapannya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 8/54)
Sebagai contoh, telah thabit riwayat daripada Abu Burdah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لاَ يُجْلَدُ فَوْقَ عَشْرِ جَلَدَاتٍ إِلَّا فِي حَدٍّ مِنْ حُدُودِ اللَّهِ
Maksudnya: “(Seseorang) tidak boleh disebat lebih daripada sepuluh kali sebatan melainkan dengan had yang telah ditetapkan oleh Allah (hukuman hudud).”
Riwayat al-Bukhari (6848) dan Muslim (1708)
Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani mengatakan, maksud sabda Rasulullah SAW (حَدٍّ مِنْ حُدُودِ اللَّهِ) adalah apa sahaja yang telah disebutkan oleh syara‘ kadarnya, sama ada sebatan atau pukulan yang dikhususkan, dan disepakati tentangnya, seperti zina, mencuri, minum arak, al-hirabah, tuduhan qazaf , membunuh, qisas, atau murtad. (Lihat Fath al-Bari, 12/177)
Syeikh ‘Abdullah al-Bassam di dalam kitabnya Taudhih al-Ahkam (6/319) pula membawakan perbincangan ulama’ mengenai maksud hudud (الحُدُودُ) yang datang dalam banyak nas-nas al-Quran serta Sunnah al-Nabawiyyah. Sebahagian mereka berpandangan bahawa yang dimaksudkan adalah apa telah yang ditentukan hukumannya oleh syara‘, seperti hukuman zina, qazaf, mencuri, qisas kerana membunuh atau mencacatkan anggota atau mencederakan. Maka selain dari maksiat-maksiat yang disebutkan ini, hukuman ke atas pelakunya adalah ta‘zir.[1]
Sebahagian ulama’ lain berpandangan bahawa yang dimaksudkan dengan hudud (الحُدُودُ) ini adalah perintah serta larangan Allah SWT. Dinukilkan kalam Imam Ibn al-Qayyim, katanya: “Sebetulnya, yang dimaksudkan dengan hudud adalah hak-hak yang merupakan perintah-perintah Allah SWT serta larangan-larangan-Nya.” Dan inilah yang dimaksudkan dalam firman Allah SWT:
وَمَن يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّهِ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ
Maksudnya: “Dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”
(Surah al-Baqarah: 229)
Berdasarkan perbincangan para ulama’ ini, kami menyimpulkan bahawa makna kalimah hudud (الحُدُودُ) ini bergantung kepada konteks penggunaannya, dan ia maksudnya tidak akan jauh dari tiga hakikat di bawah:
- Dalam konteks penggunaannya pada perihal hukum-hakam, ia merujuk kepada umum perintah serta larangan Allah SWT yang wajib ditaati.
- Dalam konteks penggunaannya dalam hukuman jenayah, ia merujuk kepada hukuman bagi kesalahan jenayah tertentu yang telah Allah SWT tetapkan kadarnya, dan tidak boleh ditokok tambah atau dikurangkan ketetapannya.
- Dalam konteks penggunaannya dalam menerangkan tentang perbuatan maksiat, ia merujuk larangan-larangan Allah SWT yang tidak boleh dihampiri.
Manakala berkenaan hukuman had yang sudah ditentukan jenis dan jumlahnya itu terbahagi kepada tujuh jenis, iaitu zina, qazaf, meminum minuman keras, hirabah, murtad, pemberontakan dan mencuri.
Hikmah Pensyariatan Hudud
Saya cuba menyebutkan beberapa hikmah pensyari‘atan hudud ini dengan membahagikannya kepada dua, iaitu secara umum dan khusus seperti berikut:
Pertama: Hikmah Hudud Secara Umum
Umumnya, hudud disyari’atkan sebagai kaffarah yang menyucikan seseorang itu dari dosa maksiat yang telah dilakukannya di dunia ini.
Ini jelas berdasarkan hadith riwayat ‘Ubadah bin al-Samit R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda ketika perjanjian ‘Aqabah:
بَايِعُونِي عَلَى أَنْ لاَ تُشْرِكُوا بِاللهِ شَيْئًا، وَلاَ تَسْرِقُوا، وَلاَ تَـزْنُوا، وَلاَ تَـقْتُلُوا أَوْلاَدَكُمْ، وَلاَ تَأْتُوا بِبُهْتَانٍ تَـفْتَـرُونَهُ بَيْنَ أَيْدِيكُمْ وَأَرْجُلِكُمْ، وَلاَ تَـعْصَوْا فِي مَعْرُوفٍ، فَمَنْ وَفَى مِنْكُمْ فَأَجْرُهُ عَلَى اللهِ، وَمَنْ أَصَابَ مِنْ ذَلِكَ شَيْئًا فَـعُوقِبَ فِي الدُّنْـيَا فَـهُوَ كَفَّارَةٌ لَهُ، وَمَنْ أَصَابَ مِنْ ذَلِكَ شَيْئًا ثُمَّ سَتَـرَهُ اللهُ فَـهُوَ إِلَى اللهِ، إِنْ شَاءَ عَفَا عَنْهُ وَإِنْ شَاءَ عَاقَـبَهُ
Maksudnya: “Berbai‘ahlah kamu kepadaku bahawa sesungguhnya kamu tidak akan menyekutukan sesuatu dengan Allah, tidak akan mencuri, tidak akan berzina, tidak akan membunuh anak-anakmu, tidak akan mengada-adakan sesuatu secara dusta dengan penuh kesedaran antara tangan dan kaki kamu, dan tidak akan menderhaka dalam perkara ma‘ruf. Sesiapa di antara kamu menyempurnakan janji itu maka pahalanya dijamin Allah, dan sesiapa yang melanggar sesuatu daripada apa yang dijanjikannya itu, lalu Allah menghukumnya di dunia, maka itu adalah kaffarah baginya, dan sesiapa yang melanggar mana-mana janji tersebut kemudian Allah menyembunyikannya (tidak menghukumnya di dunia), maka urusannya kembali kepada Allah, sama ada Allah akan memaafkannya atau akan menyeksanya.”
Riwayat al-Bukhari (18), Muslim (1709), al-Tirmizi (1439), al-Nasa’ie (4178) dan Ahmad (22730)
Antara hikmah lainnya, ia juga bertujuan menjaga maqasid syari‘ah yang utama, iaitulah menjaga agama, nyawa, akal, keturunan, dan harta. Yang demikian kerana dengan tertegaknya hukum hudud ini, ia mampu menghalang seseorang itu daripada melakukan maksiat. Maka ia boleh menjadi jaminan kepada masyarakat sejagat, dengan menyebarkan keamanan dan keadilan, serta memperolehi ketenteraman dalam menjalani kehidupan.
Selain itu, Syeikh Dr. Muhammad Abu Syahbah dalam Majalah Muhadharat Rabitah al-Alami Islami tahun 1396 di Makkah al-Mukarramah berkata:
“Berkenaan dengan hikmah pensyariatan hudud, apabila kita melihat kepada jenayah dan perlakuan kejahatan yang membawa kepada hukuman hudud, nescaya kita dapati jenayah tersebut keji dan membawa kepada kerosakan. Tiada satu daripadanya kecuali ia boleh mencacatkan asas Islam yang lima atau keperluan penjagaan dan pemeliharaan lima asas yang disepakati oleh semua agama, iaitu memelihara agama, jiwa, akal, maruah dan harta.”
Terdapat banyak nas daripada al-Quran dan hadis yang menggambarkan betapa beruntungnya mereka yang kembali kepada syariat Allah SWT dan berhukum dengannya, berbanding dengan yang mengingkari serta memilih segala kanun dan undang-undang yang lain, bukan semata-mata boleh menghalang kes dan indeks jenayah tetapi melahirkan lebih banyak jenayah baru.
Kedua: Hikmah Hudud Secara Khusus
Setiap jenayah yang dilakukan itu mempunyai hukuman hududnya yang tersendiri, dan ia berbeza-beza berdasarkan kepada jenayah yang dilakukan. Antara hikmahnya adalah:
- Hikmah Rejam
Imam Ibn al-Qayyim menyebutkan, disyari‘atkan rejam ke atas penzina yang telah berkahwin agar dia merasai kesakitan dengan semua anggota tubuh yang digunakan untuk bersedap-sedapan dengan cara yang haram. Dan rejam ini adalah kaedah pembunuhan yang paling keji, dan tarikan untuk melakukan zina secara semula jadinya sangat kuat. Maka dijadikan hukuman yang berat sebagai balasan kepada tarikan yang kuat ini (agar orang lebih takut).
Rejam ini juga sebagai peringatan tentang hukuman Allah SWT ke atas kaum Nabi Lut A.S yang direjam dengan batu kerana hubungan sumbang mahram. (Lihat al-Solat wa Hukmu Tarikiha, hlm. 30)
- Hikmah Sebatan
Apabila dilaksanakan hukuman hudud, kebiasaannya akan dipertontonkan pelaksanaannya di khalayak umum, begitu juga apabila dilaksanakan hukuman sebat. Imam al-Qurtubi menyebutkan, para ulama’ berbeza pendapat tentang maksud kehadiran orang yang ramai. Adakah maksudnya berlaku hanya kepada para penzina dan menghinanya dengan kehadiran orang ramai. Jika begitu, ia akan menghalang individu yang dikenakan hukuman had (dari terus melakukannya). Sesiapa yang hadir, melihat dan mengambil pelajaran, serta menjauhi perbuatan tersebut di samping menyebarkan apa yang berlaku maka ia akan menjadi pengajaran selepas itu. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 12/111)
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah menjelaskan kaedah sebatan iaitu dengan satu bentuk pukulan yang sederhana (tidak terlalu kuat dan tidak terlalu perlahan) dengan menggunakan cemeti yang sederhana (tidak terlalu berat dan tidak terlalu ringan). (Lihat al-Siyasah al-Syar’iyyah fi Islahi al-Ra’i wa al-Ra’iyyah, hlm. 101)
Pelaksanaan hukuman hudud secara sebatan dan penetapannya oleh syara‘ bukanlah bertujuan untuk menghina dan merendah-rendahkan pesalah itu, dan tidak juga untuk ia dilaksanakan dengan hasrat agar pesalah itu meninggal atau cacat anggota tubuhnya. Bahkan, yang diinginkan dari hukuman ini adalah membersihkan dirinya dari kesalahan serta maksiat yang telah dikerjakannya, dalam masa yang sama mencegahnya dari mengulangi perbuatan tersebut, dan sebagai ancaman kepada sesiapa sahaja yang berhasrat untuk melakukan maksiat tersebut agar tidak meneruskan niat buruk itu.
Syeikh ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam berkata, inilah antara hikmah pensyari‘atan Tuhan terhadap pelaksanaan hukuman hudud ke atas umat Islam yang melakukan kesalahan. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 6/304)
Syeikh Soleh al-Fauzan menukilkan kalam Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah, katanya: “Hukuman hudud itu ditetapkan sebagai bentuk rahmat dari Sang Pencipta yang menginginkan kebaikan buat para hamba-Nya. Oleh yang demikian, sesiapa yang bertindak menjatuhkan hukuman atas kesilapan yang dilakukan oleh manusia perlulah berlaku ihsan dan menunjukkan sifat rahmah, sepertimana seorang ayah yang menunjukkan sifat-sifat tersebut ketika mendidik anaknya, dan seperti doktor yang merawat pesakitnya.” (Lihat al-Mulakkhas al-Fiqhi, 2/521)
Dr. Herman Pilipenko dari Siberia menyatakan bahawa merotan akan melepaskan endorphins daripada otak di mana ia akan membuatkan orang yang ketagihan arak bebas dari ketagih. Ini menyebabkan mereka akan serta-merta berhenti dari meminum arak.[2]
- Hikmah Potong Tangan
Firman Allah SWT:
وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِّنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Maksudnya: “Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
(Surah al-Ma’idah: 38)
Di dalam ayat di atas, Allah SWT mendatangkan perbincangan berkenaan salah satu bentuk hukum hudud yang wajib dilaksanakan iaitu, memotong tangan terhadap mereka yang mencuri sekiranya telah cukup syarat-syarat yang ditentukan oleh syara‘. Imam Ibn Kathir menyatakan bahawa hukuman hudud bagi pencuri adalah salah satu bentuk hukuman pada zaman Jahiliah yang kemudiannya diperakui oleh Islam. Antara hukuman lain pada zaman Jahiliah yang diperakui oleh Islam ialah Diyah dan Qasamah. (Lihat Tafsir al-Bayan, 1/757)[3]
Antara hikmah pensyariatan hukuman hudud bagi pencuri seperti memotong tangan adalah sebagaimana berikut:
- Menjaga kemaslahatan umum
- Sebagai pengajaran bagi sesiapa yang berniat untuk mencuri harta orang lain
- Membersihkan pencuri dari dosa yang telah dilakukan
- Menegakkan keamanan dan ketenangan dalam masyarakat serta melindungi harta. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah,3/235)
Telah dinyatakan dalam Mausu’ah al-Ijma’ bahawa: Salah satu tujuan Syariah Islam adalah menjaga harta yang telah Allah jadikan amanah di tangan manusia untuk digunakan dalam ketaatan kepada-Nya dan bagi tujuan mengimarahkan bumiNya yang dijadikan sebagai tempat untuk menegakkan syariatnya. Oleh kerana itu, Allah menggalakkan perdagangan secara halal dan mengharamkan segala bentuk keuntungan yang haram seperti penindasan, kezaliman, dan riba. Yang paling buruk dan paling keji di antara hal tersebut adalah pencurian, kerana itu merupakan perbuatan keji yang mengakibatkan keamanan terganggu serta menimbulkan ketakutan di hati orang ramai. Maka Allah menetapkan hukuman bagi pencuri yang memenuhi syarat-syarat yang boleh dijatuhkan hukuman ke atasnya dengan memutuskan tangan kanannya. (Lihat Mausu‘ah al-Ijma‘ fi Fiqh al-Islami, 10/36)
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.”
[1] Ta‘zir merupakan hukuman yang tidak ditetapkan oleh syara‘, bahkan ditentukan sendiri oleh pemerintah berdasarkan kebijaksanaannya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 8/62)
[2] Lihat https://www.dailymail.co.uk/news/article-2258395/How-beat-addictions-literally-Siberian-psychologists-thrash-patients-sticks-help-kick-habits.html. Diakses pada 27 Oktober 2023.
[3] Firman Allah SWT ini datang dalam lafaz yang mutlak, tanpa diikat dengan jumlah tertentu yang boleh dijadikan sebagai kayu ukur untuk menilai sama ada seseorang itu layak dikenakan hukuman yang berat ini atau tidak. Dan hukum asal adalah wajib beramal suatu syari‘at yang datang dalam bentuk mutlak, sehinggalah datangnya nas dan dalil yang sahih sebagai pengikat. Di dalam ayat di atas, Allah SWT menggunakan lafaz yang berbentuk umum dan tidak terikat (وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا), yang pada zahirnya menunjukkan bahawa sesiapa sahaja yang didapati mencuri, dari kalangan lelaki dan perempuan, walau berapa sahaja nilai kecurian itu, maka dikenakan hukuman potong tangan. Dan inilah hujjah sebahagian ulama’ dari kalangan al-Zahiriyyah, al-Khawarij, serta pendapat yang dipegang oleh al-Hasan al-Basri sebagaimana yang dinukilkan dari Imam al-Qadhi ‘Iyadh. Mereka berpandangan bahawa hukuman potong tangan wajib dikenakan jika berlakunya kecurian, tanpa menetapkan had minima nilai kecurian tersebut.
Kemudian, datang dalil yang lain dari Sunnah al-Nabawiyyah yang mengikat dan memperincikan lagi hukuman ini dengan meletakkan had minima nilai kecurian. Dan inilah pendapat yang dipegang oleh majoriti fuqaha’ mazhab. Diriwayatkan daripada Ummu al-Mu’minin ‘Aisyah R.Anha 2 bentuk lafaz yang menerangkan tentang jumlah minima yang dikenakan hukuman potong tangan, pertamanya adalah ayat penyata, dan keduanya berbentuk penafian. Ini sebagaimana yang disebutkan dalam Sahih al-Bukhari, daripada ‘Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:
تُقْطَعُ اليَدُ فِي رُبُعِ دِينَارٍ فَصَاعِدًا
Maksudnya: “Tangan pencuri dipotong jika (nilaian barang curiannya) menyamai satu perempat dinar[1] atau lebih.” [Riwayat al-Bukhari (6789)]
Dan di dalam riwayat yang lain di dalam Sahih Muslim, ‘Aisyah R.Anha meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَا تُقْطَعُ يَدُ السَّارِقِ إِلَّا فِي رُبْعِ دِينَارٍ فَصَاعِدًا
Maksudnya: “Tidak dipotong tangan pencuri dipotong kecuali jika (nilaian barang curiannya) menyamai satu perempat dinar atau lebih.” [Riwayat Muslim (1684)]
Maka hadith ini telah mengikat jumlah tertentu, iaitu mestilah tidak kurang dari satu perempat dinar, atau hampir menyamai RM400 berdasarkan harga semasa emas. Sekiranya seseorang mencuri di bawah nilai ini, maka dia tidak dikenakan hukuman potong tangan, akan tetapi hukuman ta‘zir yang ditentukan oleh pemerintah berdasarkan kebijaksanaannya.
Adapun nilai 3 dirham di sisi Mazhab al-Syafi‘i, ia sebagaimana yang warid daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma pula, Rasulullah SAW bersabda:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَطَعَ فِي مِجَنٍّ ثَمَنُهُ ثَلاَثَةُ دَرَاهِمَ
Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah menyuruh untuk dipotong (tangan pencuri) pada (sekiranya barang yang dicuri menyamai nilai) perisai yang harganya tiga dirham.” [Riwayat al-Bukhari (6795) dan Muslim (1686)]
Imam al-Nawawi menyebutkan perselisihan fuqaha’ dalam menentukan kadar minima ini. Beliau mengatakan bahawa Imam al-Syafi‘i berpegang kepada zahir hadith ‘Aisyah R.Anha di atas, iaitu kadarnya satu perempat dinar atau nilai yang menyamainya, atau yang menyamai nilai 3 dirham. Dan tidak dihukum potong tangan jika kurang dari had minima ini, sebagaimana yang disebutkan oleh kebanyakan ahli ilmu, dan inilah pandangan ‘Aisyah, ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz, al-Auza‘ie, al-Laith, Abu Thaur, Ishaq dan lain-lain.
Imam al-Syafi‘i dan mereka yang bersetuju dengan pendapatnya berkata, Rasulullah SAW telah menyebutkan dengan jelas kadar minima satu perempat dinar ini. Manakala riwayat yang menyebutkan 3 dirham itu pula, dianggarkan kadarnya menyamai satu perempat dinar atau lebih. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 11/182)
Imam al-Syafi‘i berkata, hadith Ibn ‘Umar bertepatan dengan hadith ‘Aisyah, kerana 3 dirham pada zaman Rasulullah SAW dan zaman selepasnya menyamai satu perempat dinar. Oleh itu, jika sesuatu harta dicuri pada hari ini, perlu dinilai terlebih dahulu kadarnya. Jika menyamai satu perempat dinar maka dipotong tangannya, dan jika kurang dari nilai tersebut maka tidak dipotong tangannya.
Kadar minima asal adalah satu perempat dinar, maka jika dileburkan beberapa walaupun 2 dirham sahaja dan dijadikan 1 dinar, maka dipotong tangannya kerana mencapai satu perempat dinar. (Lihat al-Umm, 6/159)
Berdasarkan perbincangan ringkas ini, sayai katakan bahawa kadar minima dikenakan hukuman potong tangan menurut Islam adalah yang menyamai satu perempat dinar atau lebih. Jika harta yang dicuri itu kurang dari nilai ini, maka tidak boleh dijatuhkan hukuman potong tangan ke atas pencuri tersebut. Pada pandangan kami, berdasarkan dapatan kajian, satu dinar menyamai antara RM 1200 – RM 1400. Justeru, satu perempat dinar hendaklah melebihi RM 300. Meskipun begitu, Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat yang mempunyai perundangannya tersendiri, termasuklah yang melibatkan kes-kes jenayah seperti mencuri. Maka kuasa menjatuhkan hukuman ini tertakluk di bawah kekuasaan dan kebijaksanaan pemerintah, yang ditentukan di bawah perbicaraan mahkamah.