Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Ibu bapa saya terlalu memanjakan saya sehingga sering berasa was-was dengan siapa saya berkawan, sehinggakan mereka suruh saya tinggalkan sahabat karib saya yang soleh orangnya. Perlukah saya mentaati kedua ibu bapa saya dalam masalah begini, sedangkan saya amat sayang dengan sahabat ini kerana Allah?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Pertamanya, kami memuji saudara kerana berusaha hendak berada bersama sahabat karib yang soleh. Syari‘at telah menganjurkan kita untuk memilih sahabat yang baik dan boleh membimbing kita ke arah agama, kerana ia merupakan salah satu sebab untuk kekal istiqamah di atas jalan yang lurus. Daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
الْمَرْءُ عَلَى دِينِ خَلِيلِهِ، فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنْ يُُخَالِلْ
Maksudnya: “Pegangan agama seseorang itu mengikut pegangan agama sahabatnya, maka hendaklah seseorang daripada kamu melihat dengan siapakah dia bersahabat.”
Riwayat Ahmad (8417)
Terdapat juga hadith lain daripada Abu Musa al-Asy‘ari R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَثَلُ الْجَلِيسِ الصَّالِحِ وَالْجَلِيسِ السَّوْءِ، كَمَثَلِ صَاحِبِ الْمِسْكِ وَكِيرِ الْحَدّادِ لَا يَعْدَمُكَ مِن صَاحِبِ الْمِسْكِ إِمَّا تَشْتَرِيهِ أوْ تَجِدُ رِيحَهُ، وكِيرُ الْحَدَّادِ يُحْرِقُ بَدَنَكَ أَوْ ثَوْبَكَ، أَوْ تَجِدُ مِنْهُ رِيحًا خَبِيثَةً
Maksudnya: “Perumpamaan teman yang baik dan teman yang buruk adalah seperti penjual haruman kasturi dan tukang besi. Engkau tidak akan dapati daripada pemilik kasturi melainkan membeli wangiannya atau dapat mencium harumannya. Tukang besi pula percikan apinya terkena tubuhmu, pakaianmu atau engkau menghidu bau busuk daripadanya.”
Riwayat Bukhari (2101)
Tambahan lagi, Nabi Allah Musa A.S yang merupakan hamba-Nya yang soleh juga memohon kepada Allah SWT agar dikurniakan peneman dari kalangan orang yang baik. Disebutkan dalam al-Quran:
وَٱجْعَل لِّى وَزِيرًا مِّنْ أَهْلِى (٢٩) هَـٰرُونَ أَخِى (٣٠) ٱشْدُدْ بِهِۦٓ أَزْرِى (٣١) وَأَشْرِكْهُ فِىٓ أَمْرِى (٣٢) كَىْ نُسَبِّحَكَ كَثِيرًا (٣٣) وَنَذْكُرَكَ كَثِيرًا (٣٤)
Maksudnya: “(Nabi Musa A.S berdoa:) ‘Dan jadikanlah bagiku, seorang penyokong dari keluargaku. (29) Iaitu Harun saudaraku. (30) Kuatkanlah dengan sokongannya, pendirianku. (31) Dan jadikanlah dia turut campur bertanggungjawab dalam urusanku. (32) Supaya kami sentiasa beribadat dan memuji-Mu. (33) Dan supaya kami sentiasa berzikir mengingati-Mu. (34)”
(Surah Taha: 29-34)
Dalam situasi yang diceritakan oleh saudara yang bertanya, telah bertembung dua tuntutan syara‘; pada mencari sahabat yang baik, dan juga mentaati kedua ibu bapa. Memang tidak dinafikan bahawa mentaati ibu bapa itu merupakan kewajipan yang Allah SWT perintah setelah mentauhidkan-Nya. Firman-Nya:
وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوٓا۟ إِلَّآ إِيَّاهُ وَبِٱلْوَٰلِدَيْنِ إِحْسَـٰنًا ۚ
Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.”
(Surah al-Isra’: 23)
Akan tetapi, perlu diketahui bahawa perintah mentaati ibu bapa ini bukanlah bersifat mutlak, sebaliknya ia terikat kepada ketaatan dalam perkara yang tidak menjurus ke arah maksiat atau mudharat sahaja. Imam Syamsuddin Ibn Muflih berkata, apa sahaja perkara yang telah dituntut oleh agama, maka ibu bapa tidak boleh melarang anak mereka dari melakukannya. Anak-anak juga tidak wajib mentaati mereka dalam perkara tersebut, seperti ibu bapa melarang dari menuntut ilmu, atau mengarahkan anak mereka agar menceraikan isteri tanpa sebarang alasan yang kukuh. (Lihat al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/437)
Hal ini berdasarkan kaedah yang masyhur:
لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ
Maksudnya: “Tidak ada mudharat dan tidak juga membalas kemudharatan.”
Kaedah ini warid dalam nas-nas syara‘, bahkan pada hakikatnya ia merupakan nas hadith yang diriwayatkan daripada beberapa orang sahabat, antaranya ‘Ubadah bin al-Samit R.A, ‘Abdullah Ibn ‘Abbas R.A, dan Abu Sa‘id al-Khudri R.A. Ia diriwayatkan dalam beberapa kitab hadith; Sunan Ibn Majah (1909) (1910) (2341) dan Musnad Imam Ahmad (2865).
Oleh yang demikian, kami katakan, saudara tidak wajib mentaati kedua ibu bapa untuk meninggalkan sahabat yang soleh tersebut kerana ia boleh memberikan kesan kepada semangat untuk terus istiqamah melakukan ketaatan. Beginilah sebagaimana yang difahami dari fatwa Imam Ibn Hajar al-Haitami. Kata beliau: “Apabila terbukti bahawa anak itu telah mencapai tahap kematangan, iaitu kesempurnaan dalam agama dan pengurusan harta sekaligus, maka tidak ada hak bagi seorang bapa untuk menghalangnya daripada berusaha dalam perkara yang memberi manfaat kepada agamanya atau dunianya. Tidak diambil kira sebarang keraguan yang dibayangkan oleh si bapa, sekiranya sudah diketahui dengan jelas tentang kebaikan agama anaknya dan kesempurnaan akalnya.” (Lihat al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah, 2/129)
Meskipun dalam keadaan ini tidak diwajibkan mentaati ibu bapa, namun hendaklah salah faham ini ditangani dengan cara yang baik, penuh kelembutan, diiringi dengan kata-kata yang sopan. Berusahalah untuk menjelaskan kedua ibu bapa berkenaan kepentingan mempunyai rakan yang soleh, dan bagaimana sahabat yang soleh itu dapat membantu dalam urusan agamamu dan dunia. Sertakan juga penjelasan bahawa mencari sahabat yang soleh itu sesuatu yang dianjurkan dan digalakkan oleh syari‘at. Sekiranya mereka menerima penjelasan tersebut, ucapkanlah rasa syukur kepada Allah SWT.
Kami juga mencadangkan agar saudara perkenalkan sahabat tersebut kepada kedua ibu bapa. Ini bertujuan untuk memberikan keyakinan kepada mereka mengenai peribadi sahabat tesebut dan menghilangkan kebimbangan mereka.
Semoga Allah merezekikan kita sahabat baik yang boleh memandu kita ke arah ketaatan dan melaksanakan segala titah perintah-Nya. Kami akhiri dengan doa:
يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ نَسْتَغِيثُ، أَصْلِحْ لَنَا شَأْنَنَا كُلَّهُ، وَلاَ تَكِلْنَا إِلَى أَنْفُسِنَا طَرْفَةَ عَيْنٍ
Maksudnya: “Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri (tidak perlu segala sesuatu), dengan rahmat-Mu kami memohon pertolongan, perbaikilah urusan kami semuanya dan janganlah Engkau serahkan kami kepada diri kami walau sekelip mata.”
Wallahu a‘lam.