#7783: Perbezaan Hukuman Hudud dan Hukuman Ta’zir

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah perbezaan antara hukuman hudud dan hukuman ta’zir?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Hudud menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat adalah hukum yang telah ditetapkan oleh Allah SWT, dan tidak boleh diubah-ubah oleh manusia, seperti hukum zina, murtad, dan minum arak.

Ia merupakan kata pinjaman bahasa Arab (الحُدُودُ) dan juga jamak kepada kalimah al-had (الحَدُّ), yang bermaksud menghalang. Ia digunakan untuk merujuk kepada hukuman yang telah ditetapkan oleh syara‘ ke atas pelaku jenayah. Ia dinamakan demikian kerana hukuman ini menjadi sebab yang menghalang pesalah itu dari mengulangi kesalahan tersebut, serta menghalang sesiapa sahaja yang berhasrat untuk melakukannya.

Kalimah al-had (الحَدُّ) juga digunakan untuk merujuk kepada maksiat-maksiat yang dilarang, sebagaimana yang disebutkan dalam firman Allah SWT:

تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ فَلَا تَقْرَبُوهَا

Maksudnya: “Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu  menghampirinya.”

(Surah al-Baqarah: 187)

Yakni, itulah maksiat-maksiat yang telah Allah SWT larang dari kita melakukannya, oleh itu janganlah kita mendekatinya. Imam al-Qurtubi ketika menafsirkan ayat di atas berkata, (حُدُودُ اللَّهِ) dalam ayat ini bermaksud, hukum-hakam yang disebutkan dalam ayat ini merupakan batas-batas larangan Allah, maka janganlah melanggarnya. Dan (تِلْكَ) pula sebagai isyarat kepada perintah-perintah serta larangan-larangan yang disebutkan. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 2/337)

Manakala Ta‘zir adalah hukuman yang tidak ditetapkan kadar oleh syara‘ yang wajib sebagai hak bagi Tuhan atau manusia pada setiap maksiat yang tiada padanya hukuman hudud dan juga kaffarah pada ghalibnya. Pengarang al-Fiqh al-Manhaji berkata, hukuman ini dijatuhkan oleh hakim yang beragama Islam dan adil, iaitu hukuman yang dirasakan boleh mencegah manusia melakukan perbuatan keji ini. Hukuman ini boleh dikenakan dalam bentuk sebatan, buang negeri, penjara atau kecaman. Ini kerana perbuatan seperti ini perbuatan maksiat yang tidak termasuk dalam kesalahan hudud dan tidak akan dikenakan kaffarah. Apabila hudud tidak dikenakan, kesalahan ini perlu dikenakan hukuman ta‘zir. (Lihat al-Mabsut, 9/36; Fath al-Qadir, 7/119; Kasyaf al-Qina‘, 4/72; al-Ahkam al-Sultaniyyah, hlm. 224; Nihayah al-Muhtaj, 7/72; al-Fiqh al-Manhaji, 8/62).

Menjawab persoalan di atas, al-Qarafi dari kalangan ulama Malikiyyah menyebut sepuluh perbezaan antara hukuman hadd dan hukuman ta’zir dalam kitab al-Furuq (4/177). Sepuluh perbezaan tersebut adalah seperti berikut:

  • Penentuan Bentuknya

Hukuman hadd dan qisas telah ditentukan dan ditetapkan bentuknya oleh Syarak, sama ada bentuk hukumannya mahupun jenis kategori kejahatannya. Sehingga seorang hakim tidak mempunyai kuasa dan autoriti untuk menentukannya sesuai dengan situasi dan keadaan pelaku kejahatan atau situasi dan keadaan kejahatan yang dilakukan.

Manakala hukuman ta’zir, maka penentuan bentuknya diserahkan kepada penilaian dan kebijaksanaan hakim untuk memilih bentuk hukuman atau denda yang layak dan sesuai dengan situasi dan keadaan orang yang didakwa, keperibadiannya, sejarahnya, rekod jenayahnya, tahap keberkesanan suatu hukuman terhadap dirinya, tahap keadaan kejahatannya dan seberapa jauh kesan kejahatan itu terhadap masyarakat.

Akan tetapi, perlu dicatat bahawa kuasa dan autoriti penentuan masalah hukuman ta’zir yang diberikan kepada hakim ini memiliki batasan dan peraturan-peraturan yang mesti diperhatikan dan dipenuhi. Antara batasan dan peraturan tersebut yang terpenting adalah, memilih di antara bentuk-bentuk hukuman ta’zir yang diakui oleh Syarak yang menurut penilaiannya sesuai dan tepat untuk dijatuhkan terhadap kes-kes yang dilaporkan kepadanya dan kes-kes itu termasuk kategori perbuatan maksiat. Lebih daripada itu, seorang hakim Muslim hendaklah seorang yang sangat adil.

Bahkan menurut ulama Malikiyyah, ulama Syafi’iyyah dan ulama Hanabilah, seorang hakim hendaklah orang yang sudah mencapai tingkatan seorang mujtahid. Dengan begitu, jelas bahawa kuasa dan autoriti yang diberikan kepada hakim tersebut bukanlah kuasa yang bebas tanpa ada batasan dan kawalan, atau kuasa yang tidak memberikan pelbagai jaminan terhadap mereka yang didakwa, atau kuasa yang berpotensi merugikan pihak didakwa meskipun itu akibat kesalahan atau ketidaktahuan hakim, jika memang tidak kerana sikapnya yang berpihak, berat sebelah dan tidak neutral atau kerana kezalimannya.

Meskipun begitu, dalam hal ini, negara boleh sahaja membuat dan mengesahkan suatu undang-undang hukum jenayah yang mengatur segala hal yang berkaitan dengan tindakan jenayah dan hukuman ta’zirnya, untuk seterusnya dijadikan sebagai buku garis panduan bagi para hakim. Kerana menurut hukum asal, kuasa dalam menentukan bentuk hukuman ta’zir adalah diberikan kepada pemerintah, iaitu ketua negara jika dia ialah orang yang mencapai tingkat mujtahid dan terus menangani sendiri autoriti pengadilan. Sehingga apabila autoriti pengadilan dipegang oleh para hakim mewakili ketua negara, maka dalam menjalankan kekuasaannya itu, para hakim tersebut hendaklah berpandukan kepada aturan undang-undang yang dibuat dan disahkan oleh ketua negara.

  • Pelaksanaan

Hukuman hadd dan qisas ketika pewaris mangsa tidak memberikan keampunan, maka pemerintah wajib melaksanakannya. Di dalamnya tidak boleh ada pengampunan, pembebasan (ibra’), memintakan ampun (syafa’at) dan pengguguran walau atas apa jua alasan.

Adapun hukuman ta’zir, maka terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan ulama’. Imam Malik, Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad (jumhur) menyatakan, bahawa apabila hukuman ta’zir itu adalah untuk hak Allah SWT, maka wajib dilaksanakan sama seperti hukuman hadd, kecuali jika menurut sangkaan kuat penguasa, bahawa hukuman selain sebat seperti dengan teguran keras dan perkataan sudah mampu memberikan kemaslahatan. Dengan erti kata lain, bahawa hukuman ta’zir apabila itu adalah kerana hak Allah SWT (hak masyarakat umum), maka penguasa tidak boleh meninggalkannya, tetapi wajib melaksanakannya. Akan tetapi, di dalamnya boleh ada pemberian ampunan dan memintakan keampunan jika memang ada suatu kemaslahatan menghendaki hal itu, atau pelaku sudah serik tanpa perlu dihukum ta’zir.

Adapun hukuman ta’zir yang berkait dengan hak individu, maka individu yang menjadi mangsa boleh memberi ampunan atau menuntut selain hukuman ta’zir. Hal ini bergantung pada adanya laporan kepada pengadilan. Akan tetapi, apabila mangsa menuntut dilaksanakan hukuman ta’zir, maka penguasa hendaklah melaksanakannya, tidak boleh memberikan ampunan dan tidak boleh menggugurkannya.

  • Penyesuaian dengan Prinsip Dasar atau Kaedah Umum

Hukuman ta’zir disesuaikan dengan prinsip dasar atau kaedah umum yang menetapkan bentuk hukuman ta’zir yang dijatuhkan berbeza-beza sesuai dengan kejahatan yang dilakukan. Adapun hukuman hadd, sifatnya tetap dan pasti, tidak berbeza-beza disebabkan perbezaan ukuran dan tingkat keseriusan kejahatan yang dilakukan. Hal ini berdasarkan bukti bahawa dalam kes pencurian, Syarak menyamakan antara pencurian harta yang sedikit seperti hanya satu dinar dengan pencurian harta yang banyak seperti seribu dinar misalnya.

  • Pengkategorian Pelanggaran yang Dilakukan Sebagai Kemaksiatan ataukah Tidak

Hukuman ta’zir adalah satu pendisiplinan (ta’dib) yang kewujudannya mengikuti mafsadah (kerosakan) yang ditimbulkan. Dalam banyak kes, sering kali hukuman ta’zir dijatuhkan tanpa ada perbuatan kemaksiatan, seperti ta’zir yang dilakukan dalam usaha mendisiplinkan dan memperbaiki perilaku kanak-kanak kecil, binatang dan orang gila, kerana apa yang mereka lakukan tidak dikategorikan sebagai kemaksiatan.

Adapun hukuman hadd, tidak dijalankan kecuali pada kes perbuatan yang termasuk dalam kategori kemaksiatan berdasarkan hasil pengamatan dan pemerhatian yang dilakukan.

  • Gugurnya Hukuman

Hukuman ta’zir terkadang boleh gugur walaupun kita berpegang pada pendapat yang menyatakan bahawa pelaksanaan hukuman ta’zir adalah wajib bagi pemerintah. Seperti jika pelakunya adalah kanak-kanak kecil, atau pelakunya adalah orang mukallaf, namun pelanggaran yang dilakukannya adalah satu pelanggaran yang remeh, yang jika dijatuhkan hukuman, maka tidak mewujudkan apa yang dikehendaki dari hukuman yang dijatuhkan itu. Ini kerana, jika dijatuhkan hukuman yang ringan, maka hal itu tidak dapat memberi kesan pencegahan. Namun, jika dijatuhkan hukuman berat, maka itu pula tidak boleh dilakukan kerana kes kejahatan yang dilakukannya adalah kejahatan yang remeh.

Adapun hukuman hadd, jika memang statusnya sudah wajib dan tetap, walaubagaimana sekalipun ia tetap wajib dilaksanakan dan sama sekali tidak boleh gugur disebabkan apa sahaja alasan.

  • Kesan dan Pengaruh Taubat

Sesungguhnya hukuman ta’zir boleh gugur kerana pelaku bertaubat, dan di sini tidak diketahui adanya perbezaan pendapat. Adapun hukuman hadd, sebagaimana yang akan saya jelaskan, maka tetap tidak dapat gugur kerana taubat berdasarkan pendapat yang sahih menurut jumhur ulama’ selain ulama’ Hanabilah, kecuali dalam kes kejahatan hirabah (merompak), kerana dalam ayat hirabah, Allah SWT berfirman:

‏ إِلَّا الَّذِينَ تَابُوا مِن قَبْلِ أَن تَقْدِرُوا عَلَيْهِمْ ۖ فَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Kecuali orang-orang yang bertaubat sebelum kamu dapat menangkapnya, (mereka terlepas dari hukuman itu). Maka ketahuilah, bahawasanya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah al-Ma’idah: 34)

  • Pilihan

Hukuman ta’zir mengandungi beberapa pilihan secara mutlak. Adapun hukuman hadd, maka tidak ada pilihan di dalamnya kecuali hukuman hadd dalam kejahatan hirabah (merompak).

  • Memperhatikan dan Mempertimbangkan Hal-Hal yang Meringankan

Sesungguhnya bentuk dan tahap hukuman ta’zir boleh berbeza-beza bergantung kepada keadaan pelaku, mangsa dan bentuk kejahatannya. Dengan maksud, bentuk hukuman ta’zir boleh berbeza-beza bergantung kepada individu yang terkait dan kejahatannya. Oleh sebab itu, dalam menjatuhkan keputusan hukuman ta’zir, hendaklah memerhatikan dan mempertimbangkan besar dan kecilnya kejahatan yang dilakukan, keadaan pelaku dan mangsa.

Manakala hukuman hadd, bentuknya tetap dan tidak berbeza-beza disebabkan perbezaan pelaku. Keadaan dan hal-hal yang meringankan tidak memberi sebarang pengaruh terhadap kejahatan yang ancaman hukumannya adalah hadd atau qisas.

  • Memperhatikan dan Mempertimbangkan Tempat dan Waktu Berlakunya Kejahatan

Sesungguhnya bentuk hukuman ta’zir boleh berbeza-beza sesuai dengan masa dan tempat. Hukuman ta’zir di suatu daerah, boleh jadi di daerah lain pula sebaliknya dianggap sebagai bentuk penghormatan.

  • Hak Allah SWT dan Hak Hamba

Hukuman ta’zir itu ada dua jenis, ada hukuman ta’zir yang dijatuhkan bagi memenuhi hak Allah SWT seperti perbuatan kejahatan terhadap para sahabat, kejahatan terhadap al-Quran, dan pelbagai bentuk penghinaan terhadap kemuliaan-kemuliaan agama Islam yang lain. Ada juga hukuman ta’zir yang dijatuhkan bagi memenuhi hak hamba, yakni hak individu, seperti menghina seseorang, memukul dan sebagainya.

Adapun hukuman hadd, menurut para imam mazhab yang ada, semuanya merupakan hak Allah SWT, kec,uali hukuman hadd untuk kejahatan qazaf, maka di dalamnya terdapat perbezaan pendapat. (Lihat juga al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh oleh Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili, 7/223-227)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَل وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِين

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah kuasa wilayah kami pada orang yang takut kepada-Mu dan bertakwa kepada-Mu, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Lihat Nafahat al-Minbar al-Makki, 1/137)