#7785: Pengertian Khilaf

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Selalu mendengar istilah khilaf, apakah maksudnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّـهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ

Maksudnya: “Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) di dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul-Nya (al-Sunnah)  jika kamu benar beriman kepada Allah dan juga hari Akhirat.”

(Surah al-Nisa’ : 59)

Ibn Kathir apabila menafsirkan ayat ini berkata: Ini adalah perintah daripada Allah SWT. Bahawasanya setiap perkara yang manusia saling bercanggah padanya dari sudut usul agama ataupun furuk (cabangnya), hendaklah dikembalikan kepada al-Kitab dan juga al-Sunnah. Dan apa-apa yang dihukumkan oleh kitabullah dan juga sunnah Rasulullah SAW serta dipersaksikan oleh keduanya itu maka ia adalah satu kebenaran. Beliau juga turut menambah dengan katanya: Berhukum dengan kitabullah dan juga sunnah Rasulullah SAW, serta merujuk kepada keduanya untuk merungkaikan sebarang percanggahan adalah suatu perbuatan yang baik. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 2/231)

Berkenaan persoalan di atas, para ulama’ telah membincangkan berkenaan pengertian khilaf (خِلَاف) dan ikhtilaf (اخْتِلَاف) dengan panjang lebar. Seperti yang dimaklumi, lafaz ini adalah berasal daripada bahasa Arab.

Ikhtilaf (اخْتِلَاف)  pada bahasa bermaksud ketiadaan ittifaq (kesepakatan) pada sesuatu. Kami nukilkan pengertiannya seperti berikut:

Pertama: Al-Fairuz Abadi berkata: “Ikhtilaf (اخْتِلَاف) dan mukhalafah (مُخَالَفَة) bermaksud setiap orang mengambil jalan atau cara lain daripada jalan atau cara orang lain, sama ada pada keadaan atau perbuatannya. (Lihat Basa’ir Zawi al-Tamyiz, 2/562)

Kedua: Menurut Ibn Manzur, al-Ikhtilaf (اخْتِلَاف) adalah suatu yang saling bercanggahan dan tidak ada kesepakatan. Dikatakan, dua perkara itu saling berbeza dan berikhtilaf, iaitu keduanya tidak bersepakat. Setiap sesuatu yang tidak selari maka ia telah bercanggahan dan berikhtilaf. (Lihat Lisan al-‘Arab, 2/232)

Dalam kitab-kitab para ulama’, terdapat juga penggunaan perkataan yang lain selain daripada ikhtilaf (اخْتِلَاف) iaitu al-khilaf. Al-Fairuz Abadi menyebutkan, khilaf adalah menyelisihi seseorang pada sesuatu perkara iaitu bercanggah dengannya. (Lihat al-Qamus al-Muhit, 1/251)

Ketiga: Ibn Kamal Basha menyebutkan, al-khilaf (خِلَاف)adalah perselisihan yang berlaku di antara dua orang yang tidak sependapat untuk mentahkikkan keharusan membatalkan kebatilan. (Lihat al-Ta‘rifat wa al-Istilahat, hlm. 106)

Keempat: Al-Jurjani pula menjelaskan bahawa makna khilaf (خِلَاف)adalah percanggahan yang berlaku di antara dua orang yang saling berbeza untuk mentahkikkan kebenaran ataupun membatalkan kebatilan. (Lihat al-Ta‘rifat, hlm. 135)

Kelima: Al-Raghib al-Asfahani berkata, al-khilaf(خِلَاف), al-ikhtilaf (اخْتِلَاف) dan al-mukhalafah (مُخَالَفَة) bererti, setiap orang mengambil jalan yang berbeza dari orang yang pertama, sama ada pada perbuatan atau keadaan.

Al-Khilaf (خِلَاف), ini lebih umum berbanding bertentangan, kerana dua perkara yang bertentangan adalah dua perkara yang berselisihan, dan tidak semestinya dua perkara yang berselisih itu adalah bertentangan. Apabila al-ikhtilaf (اخْتِلَاف) di antara manusia itu pada pandangan atau pendapat mereka sehingga membawa kepada perdebatan, penggunaan kalimah ini dipinjamkan untuk kalimah al-munaza‘ah (المُنَازَعَة) dan al-mujadalah (المُجَادَلَة). (Lihat al-Mufradat fi Gharib al-Quran, hlm. 156)

Keenam: Khilaf (خِلَاف) menurut istilah fuqaha adalah di mana setiap orang alim mengeluarkan pendapat yang berlawanan dengan apa yang dikatakan oleh yang lain, iaitu lawan kepada (istilah) ittifaq (kesepakatan). (Lihat al-Misbah al-Munir, hlm. 179) Manakala ikhtilaf (اخْتِلَاف) pula adalah berbezanya pendapat, jalan-jalan, dalam agama dan kepercayaan terhadap sesuatu yang boleh membawa kebahagiaan atau kecelakaan kepada manusia di dunia dan akhirat.

Ketujuh: Imam al-Syatibi berpendapat bahawa khilaf (خِلَاف) adalah sesuatu yang lahir dari hawa nafsu yang menyesatkan, bukan hasil daripada mencari objektif syarak dengan mengikut dalil-dalilnya. Oleh itu, tidak diambil kira mana-mana pendapat yang menyalahi hukum syarak yang sabit secara qat‘i (putus).

Manakala ikhtilaf  (اخْتِلَاف) menurut al-Syatibi ialah:

  • Pendapat-pendapat yang lahir daripada ulama’ mujtahid dalam masalah-masalah ijtihadiyah yang tiada nas qat‘i padanya, atau
  • Pendapat-pendapat terhadap masalah-masalah yang berlaku di antara dua pihak yang jelas bertentangan menurut pandangan mujahid disebabkan tersembunyinya sebahagian dalil-dalil dan tidak ditemuinya. (Lihat al-Muwafaqat, 4/10).

Kelapan: Syeikh ‘Atiyyah Salim dalam kitabnya Mauqif al-Ummah (hlm. 15) ada menyebutkan perbezaan di antara perkataan ikhtilaf (اخْتِلَاف) dan mukhalafah. Beliau mengatakan, sesungguhnya asal perkataannya satu iaitu khalafa (خَلَفَ) dan kemudian dipecah daripadanya kepada beberapa penggunaan sebagaimana yang disebut di dalam Lisan al-‘Arab:

  • Al-Khilaf ialah bertentangan.
  • Al-Takhaluf ialah warna-warna perbezaan.

Kesembilan: Abu al-Baqa’ al-Kaffawi menyebutkan, ikhtilaf (اخْتِلَاف) adalah sesuatu yang bersandarkan kepada dalil manakala khilaf (خِلَاف) adalah sesuatu yang tidak bersandarkan kepada dalil. (Lihat al-Kulliyyat, hlm. 61)

Kesepuluh: Menurut Dr. Salim bin ‘Ali al-Thaqafi pula, para fuqaha kadangkala menggunakan perkataan khilaf (خِلَاف) kepada perselisihan yang berlaku di antara mazhab-mazhab dan juga firqah-firqah (aliran-aliran) tertentu. Manakala ikhtilaf (اخْتِلَاف) adalah perselisihan yang berlaku di antara ashab mazhab yang satu. (Lihat Asbab Ikhtilaf al-Fuqaha’, hlm. 18-19)

Kesebelas: Namun menurut Syeikh ‘Abd al-Karim Zaidan, perbezaan antara khilaf (خِلَاف) dan ikhtilaf (اخْتِلَاف) khususnya seperti yang disebut oleh Imam al-Syatibi hanyalah semata-mata istilah daripadanya dan ia tidak mempunyai dalil sebagai sandaran. Bahkan para ulama’ fiqh menggunakan lafaz khilaf (خِلَاف) dan ikhtilaf(اخْتِلَاف)  dengan makna yang sama. (Lihat al-Ikhtilaf fi al-Syari‘ah al-Islamiyyah (terj: Perbezaan dalam Syariat Islam, hlm. 10)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”