Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan dalil tentang kewajiban berhukum dengan hukum Allah dan Rasul-Nya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Allah SWT menegaskan di dalam al-Quran berkenaan kewajiban memutuskan semua perselisihan berdasarkan al-Quran dan keputusan Rasulullah SAW ketika Baginda masih hidup, atau melalui sunnahnya selepas kewafatan Baginda. Firman Allah SWT:
فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ حَتَّىٰ يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لَا يَجِدُوا۟ فِىٓ أَنفُسِهِمْ حَرَجًۭا مِّمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا۟ تَسْلِيمًۭا
Maksudnya: “Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.”
(Surah al-Nisa’: 65)
Sesungguhnya undang-undang Islam adalah undang-undang yang diredhai oleh Allah SWT. Maka sudah pasti ianya mempunyai keistimewaan dan hikmah tersendiri yang tidak dapat ditandingi dengan undang-undang manusia. Ciri keistimewaannya yang utama ialah kesempurnaan dan syumul. Perundangan Islam bertujuan memelihara lima perkara utama yang menjadi keperluan manusia iaitu agama, nyawa, akal, kehormatan dan harta. Hidup manusia akan sempurna jika dapat memelihara kelima-lima perkara ini.
Islam ialah agama yang sesuai dengan setiap zaman dan merangkumi kehidupan dunia dan akhirat. Orang yang memeluk Islam sudah mengetahui dan meyakini hakikat dan kualiti Islam. Justeru hukuman yang dikenakan kepada orang Islam adalah bertujuan memeliharanya daripada berterusan tenggelam dalam kesesatan.
Sebagai contoh, jika dilihat kes zina dan pembuangan bayi yang berlaku dalam kalangan remaja pada hari ini makin meningkat dan berleluasa. Maka bagi tujuan menjaga institusi kekeluargaan daripada tercemar serta menjaga kehormatan seseorang dalam masyarakat, hukuman hudud yang dikenakan kepada penzina merupakan benteng yang kukuh dalam memelihara keturunan manusia. Ini kerana, kesan negatifnya hasil daripada perzinaan akan lahirlah anak-anak terbiar yang akan menghancurkan institusi masyarakat.
Oleh yang demikian, manusia perlu yakin dengan keistimewaan undang-undang ciptaan Allah SWT satu-satunya undang-undang yang mencakupi kesempurnaan dan kesyumulan demi menjaga kemaslahatan, kesejahteraan dan keselamatan umat manusia keseluruhannya di atas muka bumi ini. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/557-558)
Berdasarkan perbahasan kami yang telah lalu, jelas menunjukkan peri pentingnya kita kembali kepada hukum Allah dan Rasul dalam semua hal. Inilah yang dinyatakan oleh nas Ilahi:
وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ ۗ وَمَن يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُّبِينًا
Maksudnya: Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.
(Surah al-Ahzab: 36)
Al-Syaukani berkata: Yakni tidak halal bagi orang yang beriman kepada Allah, jika Allah dan Rasulullah memerintahkan suatu perintah, kemudian dia memilih perintah mana yang mahu dia taati. Dan semestinya, dia wajib melakukan apa yang diperintahkan kepadanya dan menyerahkan dirinya di bawah perintah Allah dan Rasul-Nya. (Lihat Fath al-Qadir, 4/221)
Semoga kita meyakini keunggulan syariat Islam dalam semua aspek seterusnya dapat mengamalkannya dalam kehidupan kita, kerana ia merupakan syariat Ilahi yang sudah pasti unggul dan agung.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.”