#7788: Kalimah Khilaf (خِلَاف) dan Ikhtilaf (اخْتِلَاف)

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa perbezaan antara kalimah  Khilaf (خِلَاف) dan Ikhtilaf (اخْتِلَاف)?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّـهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ

Maksudnya: “Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) di dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul-Nya (al-Sunnah)  jika kamu benar beriman kepada Allah dan juga hari Akhirat.”

(Surah al-Nisa’ : 59)

Ibn Kathir apabila menafsirkan ayat ini berkata: Ini adalah perintah daripada Allah SWT. Bahawasanya setiap perkara yang manusia saling bercanggah padanya dari sudut usul agama ataupun furuk (cabangnya), hendaklah dikembalikan kepada al-Kitab dan juga al-Sunnah. Dan apa-apa yang dihukumkan oleh kitabullah dan juga sunnah Rasulullah SAW serta dipersaksikan oleh keduanya itu maka ia adalah satu kebenaran. Beliau juga turut menambah dengan katanya: Berhukum dengan kitabullah dan juga sunnah Rasulullah SAW, serta merujuk kepada keduanya untuk merungkaikan sebarang percanggahan adalah suatu perbuatan yang baik. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 2/231)

Berkenaan persoalan di atas, dua kalimah khilaf (خِلَاف) dan ikhtilaf (اخْتِلَاف) kadang-kadang digunakan silih berganti tempat antara satu sama lain. Namun jika kita amati dengan mendalam, kita akan dapati bahawa penggunaan khilaf biasanya pada keadaan maksiat yang berlaku dengan sengaja. Hal ini sepertimana firman Allah SWT:

لَّا تَجْعَلُوا دُعَاءَ الرَّسُولِ بَيْنَكُمْ كَدُعَاءِ بَعْضِكُم بَعْضًا ۚ قَدْ يَعْلَمُ اللَّهُ الَّذِينَ يَتَسَلَّلُونَ مِنكُمْ لِوَاذًا ۚ فَلْيَحْذَرِ الَّذِينَ يُخَالِفُونَ عَنْ أَمْرِهِ أَن تُصِيبَهُمْ فِتْنَةٌ أَوْ يُصِيبَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Maksudnya: Janganlah kamu jadikan panggilan Rasul di antara kamu seperti panggilan sebahagian kamu kepada sebahagian (yang lain). Sesungguhnya Allah telah mengetahui orang-orang yang berunsur-unsur pergi (mencelah-celah) di antara kamu dengan berlindung (kepada kawannya), maka hendaklah orang-orang yang menyalahi perintah Rasul takut akan ditimpa cubaan atau ditimpa azab yang pedih.”

(Surah al-Nur: 63)

Antara tafsiran terhadap ayat ini adalah:

  • Ibn Abbas menyebutkan, wasilah kamu daripada Rasul mendoakan kecelakaan ke atasmu apabila kamu melakukan perbuatan yang menyebabkan Baginda murka kerana doa Rasul wajib diterima dan sudah pasti bala akan datang. Tidak sebagaimana doa orang lain. (Lihat Jami‘ al-Bayan fi Tafsir Ay al-Quran, 17/177).
  • Mujahid dan Qatadah menyatakan, jangan kamu serunya sebagaimana kamu menyeru rakan-rakan kamu dengan panggilan nama sahaja. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 17/177; al-Dur al-Manthur, 6/230).
  • Imam al-Baghawi menyatakan di dalam tafsirnya, maksud terkena fitnah ialah bala di dunia sebagaimana tafsiran Mujahid sedangkan azab yang pedih bermaksud hukuman dan balasan Tuhan di hari akhirat. (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 9/456).
  • Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili menjelaskan: “فَلْيَحْذَرِ الَّذِينَ يُخَالِفُونَ عَنْ أَمْرِهِ”, yakni, maka hendaklah takut orang-orang yang melanggar dan menyalahi perintah Allah SWT atau perintah Rasulullah SAW kerana perintah Baginda pada hakikatnya adalah perintah Allah SWT. Perkataan al-Mukhalafah (melanggar, menentang, menyalahi) adalah bermaksud mengambil jalan yang bertentangan dan berbeza dalam hal perkataan atau perbuatan. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 9/583)

Penggunaan ikhtilaf (اخْتِلَاف) pula adalah pada keadaan apabila berbeza kefahaman disebabkan berbezanya kemampuan pengamatan. Hal ini seperti mana firman Allah SWT:

وَمَا أَنزَلْنَا عَلَيْكَ الْكِتَابَ إِلَّا لِتُبَيِّنَ لَهُمُ الَّذِي اخْتَلَفُوا فِيهِ ۙ وَهُدًى وَرَحْمَةً لِّقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ

Maksudnya: “Dan tiadalah Kami menurunkan al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) melainkan supaya engkau menerangkan kepada mereka akan apa yang mereka berselisihan padanya; dan supaya menjadi petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.”

(Surah al-Nahl: 64)

Antara tafsiran terhadap ayat ini adalah:

  • Ibn Kathir menjelaskan, Allah SWT mengkhabarkan kepada Rasul-Nya bahawa Dia telah menurunkan kepadanya al-Quran supaya dia menjelaskan kepada manusia terhadap perkara yang mereka perselisihkan. Al-Quran menerangkan kepada manusia segala apa yang mereka perselisihkan, kerana kebenaran terdapat di dalamnya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/232)
  • Al-Sabuni ketika menafsirkan ayat di atas menyatakan, maknanya adalah tidaklah Allah SWT turunkan al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW kecuali untuk menjelaskan kepada manusia terhadap apa yang mereka perselisihkan padanya berkenaan urusan-urusan agama, hukum-hakam dan bagi ditegakkan hujah ke atas mereka. Begitu juga Allah SWT turunkan kepada Baginda al-Quran sebagai hidayah bagi hati di samping memberi rahmat dan penawar kepada orang yang beriman dengannya.” (Lihat Safwah al-Tafasir, 2/122)
  • Al-Alusi dalam tafsirnya turut menerangkan bahawa sesiapa yang telah nyata baginya petunjuk dengan al-Quran, sudah tentu akan merasa cukup serta dapat memberi manfaat kepadanya kecuali ilmu yang dusta. Dan dimaksudkan dengan kitab pada ayat ini ialah al-Quran. (Lihat Ruh al-Ma‘ani, 14/174)

Justeru, atas dasar ini, kami menyatakan bahawa para ulama’ pada zaman dahulu tidak berselisih pendapat dalam kalangan mereka kerana ia adalah semata-mata perselisihan sahaja tetapi mereka berikhtilaf dan berbeza pendapat dalam mencari dan mencapai kebenaran, di samping mentahkikkan segala maksud syarak dalam memahami Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah SAW.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”