#7790: Menghindari Kemasyhuran Duniawi dalam Amalan Membaca Al-Quran

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, benarkah Nabi SAW mencela mereka yang banyak membaca al-Quran tanpa mentadabburinya bahkan mengikut hawa nafsunya dengan menjadikan al-Quran sebagai kemasyhuran dirinya ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

 أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ أَمْ عَلَىٰ قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا

Maksudnya: “(Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?”

(Surah Muhammad: 24)

Berdasarkan ayat di atas, dapat difahami bahawa  mereka yang membaca al-Quran tanpa menghayati inti pati al-Quran, maka jantung hatinya terkunci mati  untuk mendapat kebenaran kerana tidak mengetahui kandungan al-Quran. Ia merupakan suatu kutukan terhadap mereka yang tidak berusaha mencapai kefahaman ketika membaca al-Quran. Bahkan, ayat tersebut menunjukkan tuntutan ke atas manusia agar memahami dan menghayati inti pati al-Quran. (Lihat Adhwa’ al-Bayan fi Idhah al-Quran bi al-Quran, 7/458)

Dalam menjawab persoalan di atas, Allah SWT telah menurunkan al-Quran sebagai petunjuk yang sempurna bagi hamba-Nya ke arah kebenaran dan jalan yang lurus. Oleh itu, membaca al-Quran sahaja tidaklah mencukupi. Apa yang lebih utama ialah mentadabbur kandungan al-Quran, iaitu memahami, merenungi, dan mengambil pengajaran daripada makna-maknanya. Pendekatan ini penting kerana al-Quran diturunkan bukan sekadar untuk dibaca, tetapi untuk menjadi panduan hidup dan membawa manusia kepada ketakwaan.

Justeru, Rasulullah SAW mencela golongan yang menjadikan al-Quran sebagai alat untuk memenuhi hawa nafsu mereka, seperti mengejar kemasyhuran, kedudukan, atau habuan duniawi. Tindakan ini bertentangan dengan tujuan asal al-Quran diturunkan, iaitu sebagai petunjuk dan pembimbing ke arah kebenaran. Petunjuk ini hanya dapat dicapai melalui tadabbur, iaitu memahami, merenungi, dan menghayati isi kandungannya dengan hati yang ikhlas dan niat yang tulus semata-mata kerana Allah SWT.

Diriwayatkan daripada Ubai bin Ka‘ab bahawa Rasulullah SAW bersabda:

فَمَنْ عَمِلَ مِنْهُمْ عَمَلَ الآخِرَةِ لِلدُّنْيَا لَمْ يَكُنْ لَهُ فِي الآخِرَةِ نَصِيبٌ

Maksudnya: “Maka sesiapa di antara mereka yang melakukan amalan akhirat untuk tujuan dunia, dia tidak akan mendapat bahagian di akhirat.”

Riwayat Ibn Hibban (405)

Hadith ini menunjukkan bahawa sesiapa di antara mereka yang melakukan amalan akhirat untuk tujuan dunia – iaitu berniat dengan amalannya yang bersifat ukhrawi untuk memperoleh keuntungan duniawi dan menjadikannya sebagai wasilah untuk meraih dunia – tidak akan mendapat bahagian di akhirat, kerana dia tidak beramal untuk akhirat. (Lihat Faidh al-Qadir, 3/201)

Al-Fayumi dalam isu ini menyatakan bahawa: ketahuilah bahawa amalan untuk selain Allah mempunyai beberapa kategori. Ada kalanya ia adalah riya‘ semata-mata, di mana tujuan utamanya hanyalah untuk memperlihatkan kepada makhluk, bukan kerana urusan duniawi, seperti keadaan orang munafik dalam solat mereka. (Lihat Fath al-Qarib al-Mujib ‘ala al-Taghrin wa al-Tarhib, 1/370)

Allah SWT berfirman:

 وَلَا تَكُونُوا كَالَّذِينَ خَرَجُوا مِن دِيَارِهِم بَطَرًا وَرِئَاءَ النَّاسِ وَيَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ ۚ وَاللَّهُ بِمَا يَعْمَلُونَ مُحِيطٌ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang keluar dari negerinya dengan berlagak sombong dan menunjuk-nunjuk (kekuatan mereka) kepada orang ramai (kerana hendak meminta dipuji), serta mereka pula menghalang manusia dari jalan Allah dan (ingatlah) Allah Maha Meliputi pengetahuanNya akan apa yang mereka kerjakan.”

(Surah al-Anfal:47)

Ibn Jarir al-Tabari menyatakan bahawa: “ Mereka (orang-orang mukmin) tidak melakukan amal kecuali untuk Allah semata-mata, dan mengharapkan apa yang ada di sisi-Nya, bukan untuk riya’ di hadapan manusia, seperti yang dilakukan oleh golongan musyrikin dalam perjalanan mereka ke Badar yang bertujuan untuk riya’ di hadapan manusia.” (Lihat Jami’ al-Bayan, 13/578)

Oleh yang demikian, amat penting bagi setiap individu yang membaca al-Quran untuk mentadabbur dan memahami isi kandungannya dengan niat yang ikhlas, agar mereka dapat memperoleh petunjuk daripada Allah SWT. Ini bertujuan untuk mencapai tujuan sebenar al-Quran sebagai petunjuk hidup, bukan sekadar untuk mencari kemasyhuran atau habuan duniawi. Apabila seseorang membaca al-Quran dengan niat yang benar, ia akan membuka pintu hidayah dan membawa kepada kebahagiaan dunia dan akhirat.

Imam al-Nawawi menyebut, dan dengan tadabbur dan khusyuk ketika membaca al-Quran akan melapangkan dada dan menerangkan hati. Begitu juga, ianya seperti yang disebut oleh Ibrahim al-Khawwas R.A bahawa ubat bagi hati ada lima di antaranya adalah membaca al-Quran dengan tadabbur. (Lihat al-Tibyan fi Adab Hamalati al-Quran, 1/82-84)

Kesimpulan

Al-Quran diturunkan sebagai petunjuk hidup yang sempurna bagi umat manusia, bukan sekadar untuk dibaca, tetapi untuk difahami dan dihayati isi kandungannya. Tadabbur, iaitu merenung dan memahami makna ayat-ayat al-Quran, adalah elemen penting dalam mendapatkan hidayah dan petunjuk yang benar daripada Allah SWT. Setiap individu yang membaca al-Quran harus melakukannya dengan niat yang ikhlas dan tulus semata-mata kerana Allah, tanpa terpengaruh oleh keinginan untuk mendapatkan kemasyhuran atau habuan duniawi. Ini adalah untuk memastikan al-Quran memberi manfaat yang sebenar dan membawa kepada kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Ingatlah al-Quran al-Karim sebagai hidangan Allah di muka bumi. Benarlah hadith Nabi SAW: Daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, Baginda SAW bersabda:

إِنَّ هَذَا الْقُرْآنَ مَأْدُبَةُ اللَّهِ؛ فَتَعَلَّمُوا مِنْ مَأْدُبَتِهِ مَا اسْتَطَعْتُمْ. إِنَّ هَذَا الْقُرْآنَ هُوَ حَبْلُ اللَّهِ، وَالنُّورُ الْمُبِينُ، وَالشِّفَاءُ النَّافِعُ، عِصْمَةُ مَنْ تَمَسَّكَ بِهِ، وَنَجَاةُ مَنْ تَبِعَهُ، لَا يَعْوَجُّ فَيُقَوَّمُ، وَلَا يَزِيغُ فَيُسْتَعْتَبُ، وَلَا تَنْقَضِي عَجَائِبُهُ، وَلَا يَخْلَقُ مِنْ كَثْرَةِ الرَّدِّ. فَاتْلُوهُ؛ فَإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يَأْجُرُكُمْ عَلَى تِلَاوَتِهِ بِكُلِّ حَرْفٍ عَشْرَ حَسَنَاتٍ، أَمَا إِنَّى لَا أَقُولُ لَكُمْ “الۤمۤ” حَرْفٌ، وَلَكِنْ: أَلِفٌ حَرْفٌ، وَلَامٌ حَرْفٌ، وَمِيمٌ حَرْفٌ؛ ثَلَاثُونَ حَسَنَةً.

Maksudnya: “Sesungguhnya al-Quran ini adalah hidangan Allah. Maka hendaklah kalian mempelajari daripada hidangannya ini sedaya upaya kamu. Dan sesungguhnya al-Quran ini adalah tali Allah (cahaya yang menjadi petunjuk), dan cahaya yang terang, serta ubat yang memberikan manfaat. (Ia juga adalah) pengawal bagi orang yang berpegang dengannya dan penyelamat bagi yang mengikutinya. Sesiapa yang tersesat akan dipandunya dan sesiapa yang menyimpang akan dibetulkan. Keajaibannya tiada henti, keagungan dan kemanisan bacaannya tidak akan terjejas walau sekerap mana sekalipun ia diulang. Bacalah ia, kerana sesungguhnya Allah akan memberikan ganjaran pahala bagi kamu yang membacanya setiap satu huruf itu sepuluh pahala. Aku tidak menyatakan kepada kamu bahawa (الم) itu satu huruf, akan tetapi, Alif itu satu huruf, Lam itu satu huruf dan Mim itu satu huruf, (yang menjadikan kamu akan mendapat) tiga puluh ganjaran pahala.”

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Saghir (943); al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir, 8646; Abd al-Razzaq dalam al-Musannaf (6017) dan al-Darimi dalam Musnadnya, (3358). Hadith dinyatakan sebagai dha’if (lemah) dalam Silsilah al-Da’ifah.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اجْعَلِ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِناَ، وَنُوْرَ صُدُوْرِناَ، وَجلاَءَ أَحْزَانِناَ، وَذهَابَ هُمُوْمِناَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah al-Qur’an sebagai penyejuk hati kami, cahaya yang menyinari dada kami, penghibur duka kami dan penghapus kesedihan kami.”

Wallahua‘lam.