Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya terfikir-fikir sebenarnya apakah hukum wanita berkerja di tempat yang sama dengan lelaki iaitu tempat kerja itu melibatkan percampuran lelaki dan wanita? Tidakkah percampuran antara lelaki dan wanita yang bukan mahram dilarang? Dan adakah pendapatan saya daripada pekerjaan ini halal atau haram? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Allah SWT berfirman dalam al-Quran:
وَلَا تَقۡرَبُوا۟ ٱلزِّنَىٰۤۖ إِنَّهُۥ كَانَ فَـٰحِشَةࣰ وَسَاۤءَ سَبِیلࣰا
Maksudnya: “Dan janganlah kalian mendekati zina, sesungguhnya ia merupakan seburuk-buruk perbuatan dan sekeji-keji jalan.”
(Surah al-Isra’: 32)
Imam al-Baidhawi berkata ketika menafsirkan ayat di atas menyatakan, ayat “وَلا تَقْرَبُوا الزِّنا” (Janganlah kalian mendekati zina) yakni dengan keazaman atau melakukan perkara-perkara yang membawa kepada zina, apatah lagi melakukannya secara langsung. Sebabnya ada dinyatakan dalam ayat berikutnya: “إنَّهُ كانَ فاحِشَةً” iaitu satu perbuatan yang jelas keburukannya dan sangat keji. Begitu juga ayat: “وَساءَ سَبِيلا” iaitu jalan yang paling buruk, kerana ia melibatkan paksaan terhadap kehormatan, membawa kepada pemutusan nasab, dan mencetuskan fitnah. (Lihat Anwar al-Tanzil, 3/254).
Seterusnya dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa pendapat yang dipegang oleh umat Islam, sama ada generasi awal mahupun yang terkemudian, adalah bahawa keberadaan wanita bersama lelaki di tempat yang sama tidaklah haram secara zatnya. Namun, ia menjadi haram apabila wujud suasana sosial yang bertentangan dengan syariat Islam. Contohnya, apabila wanita menampakkan sesuatu yang tidak dibenarkan untuk ditunjukkan menurut syariat, atau apabila pertemuan itu berlaku atas perkara yang dilarang atau bertujuan untuk melakukan perkara haram, atau apabila wujud situasi berdua-duaan (khalwat) yang diharamkan.
Para ulama menegaskan bahawa ikhtilat (percampuran) yang diharamkan secara zatnya adalah apabila terdapat hubungan fizikal seperti bersentuhan atau bersentuhan rapat, bukan sekadar keberadaan lelaki dan wanita di tempat yang sama. Dalil tentang hal ini terdapat dalam sunnah Nabawi. Terdapat riwayat daripada Sahl R.A, beliau berkata:
لَمَّا عَرَّسَ أَبُو أُسَيْدٍ السَّاعِدِيُّ دَعَا النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَصْحَابَهُ، فَمَا صَنَعَ لَهُمْ طَعَامًا وَلاَ قَرَّبَهُ إِلَيْهِمْ إِلَّا امْرَأَتُهُ أُمُّ أُسَيْدٍ، بَلَّتْ تَمَرَاتٍ فِي تَوْرٍ مِنْ حِجَارَةٍ مِنَ اللَّيْلِ، فَلَمَّا فَرَغَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنَ الطَّعَامِ أَمَاثَتْهُ لَهُ فَسَقَتْهُ تُتْحِفُهُ بِذَلِكَ.
Maksudnya: “Ketika Abu Usaid al-Sa‘idi mengadakan walimah, dia mengundang Nabi SAW dan sahabat-sahabatnya, tidak ada yang membuatkan makanan untuk mereka dan tidak pula menghidangkannya selain daripada isterinya sendiri iaitu Ummu Usaid. Dia merendam beberapa biji kurma dalam air di dalam periuk batu semalaman. Setelah Nabi SAW selesai makan, dia menuangkan air itu untuk Baginda dan memberi minum air kepada Baginda. Dia menyediakan minuman istimewa itu kepada Baginda.”
Riwayat al-Bukhari (5182)
Imam al-Bukhari telah meletakkan hadith ini di bawah tajuk bab: “بَابُ قِيَامِ الْمَرْأَةِ عَلَى الرِّجَالِ فِي العُرُسِ وَخِدْمَتِهِمْ بِالنَّفْسِ” (Bab: Wanita Mengurus dan Melayani Kaum Lelaki Ketika Majlis Pernikahan).
Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menyatakan, ulama kami menyebutkan, hadith ini menunjukkan bahawa dibolehkan seorang pengantin wanita melayani suaminya dan juga para tetamu suaminya dalam majlis perkahwinannya. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 9/68).
Begitu juga Ibn Battal dalam Syarh Sahih al-Bukhari (6/53) pula menyebutkan, hadith ini menunjukkan bahawa hijab – iaitu pemisahan wanita daripada lelaki dalam tempat dan urusan secara langsung – bukanlah kewajiban bagi semua wanita beriman, tetapi ia khusus untuk isteri-isteri Nabi SAW. Hal ini juga disebutkan oleh Allah SWT melalui firman-Nya:
وَإِذَا سَأَلْتُمُوهُنَّ مَتَاعًا فَاسْأَلُوهُنَّ مِن وَرَاءِ حِجَابٍ
Maksudnya: “Dan apabila kamu meminta sesuatu yang harus diminta dari isteri-isteri Nabi maka mintalah kepada mereka dari sebalik tabir.”
(Surah al-Ahzab: 53)
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani turut menyatakan, hadith ini menunjukkan keharusan seorang wanita melayani suaminya dan orang yang diundang suaminya. Namun, perkara ini terhad kepada situasi di mana tidak ada fitnah dan wanita itu tetap menjaga kewajipan menutup aurat. Ia juga menunjukkan keharusan seorang lelaki menggunakan khidmat isterinya dalam perkara seperti ini. (Lihat Fath al-Bari, 9/251).
Selain itu, terdapat riwayat daripada Abu Juhaifah, katanya:
آخَى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَ سَلْمَانَ، وَأَبِي الدَّرْدَاءِ، فَزَارَ سَلْمَانُ أَبَا الدَّرْدَاءِ، فَرَأَى أُمَّ الدَّرْدَاءِ مُتَبَذِّلَةً، فَقَالَ لَهَا: مَا شَأْنُكِ؟ قَالَتْ: أَخُوكَ أَبُو الدَّرْدَاءِ لَيْسَ لَهُ حَاجَةٌ فِي الدُّنْيَا، فَجَاءَ أَبُو الدَّرْدَاءِ فَصَنَعَ لَهُ طَعَامًا، فَقَالَ: كُلْ، فَإِنِّي صَائِمٌ، قَالَ: مَا أَنَا بِآكِلٍ حَتَّى تَأْكُلَ، قَالَ: فَأَكَلَ، فَلَمَّا كَانَ اللَّيْلُ ذَهَبَ أَبُو الدَّرْدَاءِ يَقُومُ، قَالَ: نَمْ، فَنَامَ، ثُمَّ ذَهَبَ يَقُومُ فَقَالَ: نَمْ، فَلَمَّا كَانَ مِنْ آخِرِ اللَّيْلِ قَالَ: سَلْمَانُ قُمِ الآنَ، فَصَلَّيَا فَقَالَ لَهُ سَلْمَانُ: إِنَّ لِرَبِّكَ عَلَيْكَ حَقًّا، وَلِنَفْسِكَ عَلَيْكَ حَقًّا، وَلِأَهْلِكَ عَلَيْكَ حَقًّا، فَأَعْطِ كُلَّ ذِي حَقٍّ حَقَّهُ، فَأَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَذَكَرَ ذَلِكَ لَهُ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: صَدَقَ سَلْمَانُ
Maksudnya: “Nabi SAW mempersaudarakan antara Salman dan Abu al-Darda’. Maka, Salman mengunjungi Abu al-Darda’ dan melihat Umm al-Darda’ berpakaian sederhana (yakni tidak berhias). Salman bertanya kepadanya: ‘Ada apa denganmu?’ Ummu al-Darda’ menjawab: ‘Saudaramu, Abu al-Darda’ tidak memiliki keinginan terhadap dunia.’ Lalu Abu al-Darda’ datang dan menyiapkan makanan untuk Salman, lalu berkata: ‘Makanlah! Sesungguhnya aku sedang berpuasa.’ Salman berkata: ‘Aku tidak akan makan sehingga engkau makan.’ Dia berkata: Akhirnya Abu al-Darda’ makan. Pada malam hari Abu al-Darda’ bangun, lalu Salman berkata: ‘Tidurlah!’ Abu al-Darda’ pun tidur. Kemudian beliau bangun, tetapi Salman berkata: ‘Tidurlah!’ Pada akhir malam Salman berkata: ‘Bangunlah sekarang!’ Lalu mereka berdua solat. Kemudian Salman berkata kepada Abu al-Darda’: ‘Sesungguhnya Tuhanmu memiliki hak ke atasmu, dirimu memiliki hak ke atasmu dan keluargamu memiliki hak ke atasmu, maka berikanlah setiap yang memiliki hak apa yang menjadi haknya.’ Abu al-Darda’ datang kepada Nabi SAW dan menyampaikan hal itu. Nabi SAW pun bersabda kepadanya: ‘Salman benar.’”
Riwayat al-Bukhari (1968)
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyatakan, hadith ini mengandungi beberapa faedah, antaranya adalah disyariatkan untuk menjalin persaudaraan kerana Allah, menziarahi saudara-saudara dan bermalam di rumah mereka, serta dibolehkan berbicara dengan wanita bukan mahram dalam batas yang dibenarkan. Juga, dibolehkan untuk bertanya tentang perkara yang membawa kepada kemaslahatan, meskipun pada zahirnya ia kelihatan tidak berkaitan secara langsung dengan si penanya. (Lihat Fath al-Bari, 4/211-212).
Lelaki dan Wanita Berkerja di Tempat yang Sama serta Batasan Khalwat yang Dilarang
Berkenaan dengan pekerjaan yang secara sifatnya melibatkan kehadiran lelaki dan wanita di tempat yang sama, ia tidak dilarang jika tiada syak wasangka atau tidak menimbulkan fitnah dan tidak berlakunya khalwat yang dilarang. Sekadar keberadaan lelaki dan wanita di tempat yang sama bukanlah haram secara zatnya. Namun, yang diharamkan adalah apabila seorang lelaki dan wanita berdua-duaan di tempat yang tidak dapat dimasuki oleh orang lain.
Imam Ibn Daqiq al-‘Id menyebutkan dalam Ihkam al-Ahkam Syarh Umdah al-Ahkam (2/181) ketika menjelaskan sabda Nabi SAW: “إِيَّاكُمْ وَالدُّخُولَ عَلَى النِّسَاءِ” (Berhati-hatilah kamu daripada memasuki — yakni berduaan — dengan wanita), beliau menyatakan, hadith ini dikhususkan kepada bukan mahram, dan bersifat umum apabila disandarkan kepada selain wanita itu. Namun, perlu dipertimbangkan satu perkara lain, iaitu masuk tersebut boleh menyebabkan terjadinya khalwat. Jika tiada situasi berlakunya khalwat (yang dilarang), maka ia tidak dilarang.
Tidak setiap situasi berdua-duaan (khalwat) dianggap sebagai khalwat yang haram. Sebagai contoh, dalam riwayat al-Bukhari daripada Anas bin Malik R.A disebutkan:
جَاءَتِ امْرَأَةٌ مِنَ الأَنْصَارِ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَخَلاَ بِهَا. فَقَالَ: وَاللَّهِ، إِنَّكُنَّ لَأَحَبُّ النَّاسِ إِلَيَّ
Maksudnya: “Seorang wanita daripada kaum Ansar datang kepada Nabi SAW, lalu Baginda berdua-duaan dengan wanita itu (untuk mendengar aduannya). Kemudian Baginda bersabda: ‘Demi Allah, sesungguhnya kamu para wanita Ansar ialah manusia yang paling aku cintai.’”[1]
Riwayat al-Bukhari (5234)
Dalam beberapa riwayat lain disebutkan:
فَخَلَا بِهَا فِي بَعْضِ الطُّرُقِ أَوْ فِي بَعْضِ السِّكَكِ
Maksudnya: “Baginda berdua-duaan dengannya di salah satu jalan atau lorong.”
Imam al-Bukhari telah meletakkan tajuk bab bagi hadith di atas sebagai: “بَابُ مَا يَجُوزُ أَنْ يَخْلُوَ الرَّجُلُ بِالْمَرْأَةِ عِنْدَ النَّاسِ” (Bab: Apa yang Dibolehkan Bagi Seorang Lelaki Berkhalwat dengan Seorang Wanita di Tengah-Tengah Khalayak).
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyatakan, hadith ini menunjukkan bahawa berbicara secara rahsia dengan wanita asing tidak mencacatkan agama seseorang apabila terjamin (selamat) daripada fitnah. (Lihat Fath al-Bari, 9/333)
Sementara itu, al-Mulla Ali al-Qari dalam Mirqah al-Mafatih (9/3714) menyebutkan, hadith ini memberi isyarat bahawa berdua-duaan dengan seorang wanita di jalanan bukan termasuk kategori khalwat seperti berdua-duaan di dalam rumah.
Garis panduan (dhabit) bagi khalwat yang diharamkan, sebagaimana disebutkan oleh Syeikh al-Syabramalisi al-Syafi‘i dalam Hasyiah ‘ala Nihayah al-Muhtaj (7/163) ialah pertemuan yang biasanya tidak bebas daripada syak wasangka (fitnah). Sebaliknya, jika secara adatnya pasti tiada syak wasangka, maka ia tidak dianggap sebagai khalwat (yang diharamkan).
Justeru, hanya sekadar menutup pintu, yang membolehkan sesiapa sahaja untuk membukanya dan masuk pada bila-bila masa, tidak menjadikan situasi tersebut sebagai khalwat yang diharamkan.[2]
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan di atas dan situasi yang diajukan, kami berpendapat bahawa tidak menjadi masalah dari segi syarak untuk mereka yang bekerja di tempat yang sama antara lelaki dan perempuan selama mana menjaga adab-adab dan batasan-batasan dalam Islam serta tidak wujud suasana sosial yang bertentangan dengan syariat Islam. Begitu juga pekerjaan itu tidak mendatangkan fitnah atau syak wasangka. Pendapatan yang diperoleh daripada pekerjaan itu juga adalah halal selagi mana ia tidak melibatkan perkara-perkara yang diharamkan oleh syarak.
Prinsip yang dipegang oleh umat Islam sejak dahulu hingga kini ialah keberadaan wanita bersama lelaki di tempat yang sama bukanlah haram secara zatnya. Haram itu berlaku apabila keadaan sosial melanggar syariat, seperti apabila wanita menampakkan sesuatu yang tidak dibenarkan secara syarak, pertemuan itu bertujuan atau melibatkan perkara mungkar, atau terdapat khalwat yang diharamkan. Percampuran (ikhtilat) yang diharamkan secara zatnya ialah percampuran yang melibatkan sentuhan rapat atau bersentuhan fizikal, bukan sekadar keberadaan lelaki dan wanita di tempat yang sama.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ، وَالأَهْوَاءِ، وَالأَسْوَاءِ، وَالأَدْوَاءِ.
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”
Nota hujung:
[1] Kerana sifat mereka yang tidak malu untuk bertanya tentang persoalan agama.
[2] Lihat https://www.dar–alifta.org/ar/fatawa/11963/عمل–النساء–مع–الرجال–في–مكان–واحد. Diakses pada 10 Disember 2024.