Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum transplantasi rahim?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Sebagaimana yang kita sudah maklumi, pemindahan atau transplantasi rahim adalah salah satu cara pilihan rawatan bagi mereka yang menghidap Sindrom Mayer Rokitansky Küster Hauser (MRKH). Justeru, dalam bab ini, kami akan membincangkan berkenaan hukumnya secara khusus dan lebih terperinci.
Rahim atau Uterus merupakan organ penting dalam sistem reproduksi wanita. Rahim terhubung dengan leher rahim (serviks), yang tersambung dengan vagina dan tuba falopi. Selama masa kehamilan, seluruh proses perkembangan bayi terjadi di dalam rahim.
Pemindahan rahim merupakan alternatif rawatan untuk pesakit yang menghidapi masalah pembentukan rahim atau yang telah menjalani pembedahan pembuangan rahim. Seorang wanita bernama Fageeh telah menjalankan pembedahan pemindahan rahim daripada penderma berumur 46 tahun kepada penerima berumur 26 tahun yang telah menjalani pembedahan pembuangan rahim. Namun, pada hari ke-99 selepas pemindahan tersebut, rahim tersebut terpaksa dibuang disebabkan salur darah tersumbat lalu mengakibatkan kematian rahim tersebut.[1]
Begitu juga, terdapat kes yang melibatkan masalah perempuan yang dilahirkan tanpa rahim. Dr. Murizah Mohd Zain, Pakar Perubatan Reproduktif dan juga Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar menjelaskan bahawa terdapat seorang wanita yang pernah dirujuk kepadanya kerana mempunyai masalah tidak pernah datang haid, sedangkan dia sudah mempunyai tanda-tanda kedewasaan yang lain. Apabila diperiksa, ternyata wanita itu tidak mempunyai saluran faraj atau vagina serta rahim dan ujian ultrasound mengesahkannya. Beliau membuat beberapa ujian darah dan ujian genetik dan ternyata dari segi genetiknya normal (46xx). Pesakitnya itu disahkan mengalami Mayer Rokitansky Kuster-Hauser Syndrome (MRKS) iaitu penyakit yang jarang terjadi (1 dari 50,000 wanita mengalaminya).
Beliau menjelaskan lagi bahawa punca kejadian ini berlaku kerana sewaktu di alam janin, perkembangan sistem peranakan tidak terjadi dengan sempurna menyebabkan bayi yang lahir, tidak mempunyai organ rahim dan faraj. Oleh kerana ovari atau kilang telur berkembang dengan baik maka hormon perempuan dihasilkan dengan baik dan sifat kewanitaan akan terserlah. Masalah hanya dikenalpasti apabila memasuki usia remaja dan haid tidak datang pada usia yang sepatutnya.
Beliau berkata lagi, “Pendermaan organ rahim masih sangat baru. Banyak kajian masih di peringkat “animal studies” dan kalau ada pun satu atau dua kes yang dilakukan di seluruh dunia ia tidak berjaya mendatangkan hasil menyebabkan berlakunya proses penolakan organ.”[2]
Fatwa Pemindahan Rahim
Bertitik tolak dari melihat kepada menentukan maslahah dan mafsadah pada suatu perkara itu, timbulnya suatu perbincangan moden berkenaan pemindahan organ rahim kepada penghidap sindrom Mayer Rokitansky Küster Hauser (MRKH) ini. Seperti yang kita sedia maklum, mereka ini menghadapi masalah tidak mampu mengandung dan melahirkan anak ekoran ketiadaan rahim yang bersifat sebagai rumah kepada janin. Maka timbulnya beberapa cadangan sebagai alternatif bagi menyelesaikan masalah ini, antaranya adalah transplantasi rahim dari seseorang kepada penghidap sindrom ini. Oleh kerana rahim itu merupakan salah satu organ yang tidak boleh pulih atau tumbuh semula selepas dikeluarkan dari tubuh, dan ianya berkait rapat dengan sistem pembiakan manusia, maka timbul perselisihan di kalangan ahli ilmu tentang hukum pemindahan rahim.
Dr. Arif Ali Arif al-Qarah Daghi ketika membincangkan tentang organ-organ yang diperselisihi hukum pemindahannya, beliau membahagikan perbincangan tersebut kepada beberapa kumpulan organ, antara kumpulan organ tersebut adalah: organ pembiakan yang tidak membawa sifat genetik, seperti rahim, faraj dan tiub fallopio. Beliau mengatakan bahawa terdapat dua pendapat berkenaan isu ini. (Lihat Qadhaya Fiqhiyyah fi Naql al-A‘dha’ al-Basyariyyah, hlm. 111)
Pendapat yang Mengharuskan
Dalam isu ini, sebahagian pihak berpendapat, hukumnya adalah harus. Pendapat yang mengharuskan ini tidaklah bersifat umum, sebaliknya ia diikat dengan garis panduan yang perlu dipatuhi sebelum prosedur pemindahan ini boleh diteruskan.
Antara badan berautoriti yang mengeluarkan fatwa tentang keharusan adalah Majma‘ al-Fiqh al-Islami, yang berada di bawah naungan Ri‘ayah Rabitah ‘Alam al-Islami, Makkah al-Mukarramah
Resolusi 57 (8/6) telah dikeluarkan oleh Majma‘ al-Fiqh ini berkenaan transplantasi organ pembiakan. Persidangan ke-6 yang berlangsung di Jeddah, bermula dari 17 sehingga 23 Sya‘ban 1410H, bersamaan 14 sehingga 20 Mac 1990, telah mencapai kata putus yang berikut:
“Setelah meneliti kajian dan cadangan yang berkaitan dengan topik ini, yang juga merupakan salah satu topik Simposium Fiqh Perubatan Keenam yang diadakan di Kuwait dari 23 hingga 26 Rabi‘ al-Awwal 1410H, bersamaan dengan 23 hingga 26 Oktober 1990, dengan kerjasama antara Majma‘ al-Fiqh al-Islami dan Pertubuhan Islam untuk Sains Perubatan, disimpulkan bahawa:
Transplantasi organ pembiakan yang tidak membawa sifat genetik adalah dibolehkan – kecuali jika ianya adalah aurat yang berat (seperti faraj) – jika terdapat dharurat yang dibenarkan syarak, dengan menepati prosedur serta kriteria yang telah dikeluarkan dalam resolusi nombor 26 (1/4).”[3]
Resolusi nombor 26 (1/4) ini berkenaan seseorang yang mengambil manfaat dari anggota tubuh seorang manusia lain, sama ada hidup atau telah meninggal dunia. Syarat-syarat yang berkait rapat dengan keharusan pemindahan organ ini adalah:
- Penderma itu mestilah sempurna keahliannya (boleh menguruskan diri dan membezakan antara baik dan buruk).
- Anggota yang didermakan itu boleh sembuh dan tumbuh semula dengan sendirinya, seperti darah dan kulit.
- Tujuan pendermaan itu mestilah untuk merawat penyakit atau masalah kesihatan.
- Pemindahan organ itu tidak boleh menyebabkan kematian, seperti pemindahan jantung dari orang yang hidup kepada orang lain.
- Pemindahan organ itu tidak merosakkan fungsi anggota tersebut secara keseluruhannya, seperti memindahkan kedua-dua kornea mata kepada penerima.
- Jika organ itu dari orang yang telah meninggal dunia, pemindahan organ yang dilakukan itu mestilah dengan sebab penerima itu tidak boleh meneruskan hidup melainkan dengan transplantasi organ. Akan tetapi, prosedurnya mestilah selepas mendapat keizinaى menerusi wasiat si mati, atau warisnya, atau persetujuan dari pemerintah.
- Perlu diberikan perhatian, bahawa kesemua yang disebutkan ini mestilah dilakukan bukan atas dasar jual beli organ, kerana jual beli organ adalah dilarang sama sekali.[4]
Dr. Muhammad Ali al-Bar[5], penasihat perubatan Islam di Markaz al-Malik Fahd Bagi Kajian Perubatan – Universiti al-Malik ‘Abd al-Aziz – menyebutkan pandangannya secara khusus berkenaan isu ini. Katanya, beliau tidak mendapati sebarang kemusykilan pada transplantasi rahim dari sudut hukum fiqh, kerana ia tiada kaitan dengan nasab yang dikandung oleh janin, berbeza dengan ovari dan testis. (Lihat Majallah Majma‘ al-Fiqh al-Islami, 6/1642)
Menurut Syeikh al-Jasim al-Nasymi: Pemindahan Rahim ini juga termasuk dalam menjaga maqasid syariah (Tujuan-tujuan syariat) iaitu menjaga nyawa dan keturunan. Imam al-Ghazali menyatakan bahawa: Maslahat Syariat adalah dengan menjaga tujuan-tujuan syarak iaitu dengan lima perkara: Memelihara agama, diri, akal, keturunan, dan harta benda. Oleh yang demikian segala yang melibatkan pemeliharaan lima aspek ini adalah merupakan maslahat dan segala yang menghindarinya adalah mafsadah. Justeru dengan menolak segala mafsadah tersebut ia dikira sebagai maslahat. (Lihat al-Mustasfa, 1/174)
Begitu juga Ibn Qayyim al-Jauziyyah menyatakan:
فَإِنَّ الشَّرِيعَةَ مَبْنَاهَا وَأَسَاسُهَا عَلَى الْحِكَمِ وَمَصَالِحِ الْعِبَادِ فِي الْمَعَاشِ وَالْمَعَادِ، وَهِيَ عَدْلٌ كُلُّهَا، وَرَحْمَةٌ كُلُّهَا، وَمَصَالِحُ كُلُّهَا، وَحِكْمَةٌ كُلُّهَا؛ فَكُلُّ مَسْأَلَةٍ خَرَجَتْ عَنْ الْعَدْلِ إلَى الْجَوْرِ، وَعَنْ الرَّحْمَةِ إلَى ضِدِّهَا، وَعَنْ الْمَصْلَحَةِ إلَى الْمَفْسَدَةِ، وَعَنْ الْحِكْمَةِ إلَى الْبَعْثِ؛ فَلَيْسَتْ مِنْ الشَّرِيعَةِ وَإِنْ أُدْخِلَتْ فِيهَا بِالتَّأْوِيلِ؛ فَالشَّرِيعَةُ عَدْلُ اللَّهِ بَيْنَ عِبَادِهِ، وَرَحْمَتُهُ بَيْنَ خَلْقِهِ، وَظِلُّهُ فِي أَرْضِهِ، وَحِكْمَتُهُ الدَّالَّةُ عَلَيْهِ وَعَلَى صِدْقِ رَسُولِهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَتَمَّ دَلَالَةً وَأَصْدَقُهَا
Maksudnya: “Sesungguhnya Syari‘ah (hukum syarak) binaan dan asasnya atas hikmah dan kemaslahatan hamba dalam kehidupan dan kesudahannya; ia bersifat adil keseluruhannya, rahmat keseluruhannya, maslahah dan hikmah kesemuanya. Setiap masalah yang keluar daripada keadilan kepada kezaliman, daripada rahmat kepada sebaliknya, daripada maslahah kepada mafsadah, daripada hikmah kepada sia-sia, maka ia bukan daripada Syari‘ah, sekalipun dimasukkan ke dalamnya dengan takwilan. Maka Syari‘ah itu adalah keadilan Allah buat hamba-Nya, rahmat-Nya buat makhluk-Nya dan lembayung-Nya di bumi-Nya. Hikmah-Nya itu menunjukkan kepada-Nya dan kepada kebenaran Rasul-Nya SAW yang paling lengkap dan paling benar.” (Lihat I‘lam al-Muwaqqi‘in, 3/11)
Dengan demikian, tiada keraguan bahawa tujuan-tujuan ini dicapai dalam proses pemindahan rahim, yang kesemuanya termasuk dalam tujuan-tujuan syariat yang bersifat menyeluruh, terutama dalam menjaga diri dan keturunan. Oleh itu, memelihara diri dan keturunan adalah di antara tujuan-tujuan syariat selepas daripada memelihara agama. Allah SWT mencipta manusia dalam bentuk yang sempurna, indah, dan lengkap, serta memberikan keutamaan kepada manusia di antara semua makhluk-Nya, dan mengharamkan kezaliman terhadap diri dan maruahnya.[6]
Pendapat yang Mengharamkan
Dr. Hamdati Syabihna Ma’ al-‘Ainain, panel syari‘ah al-Diwan al-Malaki al-Maghribi pula menyatakan pengharaman ini dari kerana dua aspek yang utama. Pertamanya, pemindahan rahim ini dianggap mengubah ciptaan Allah SWT sehingga menyebabkan kemandulan selama-lamanya. Ini umpama mengikut telunjuk syaitan, sebagaimana yang disebutkan dalam firman Allah SWT:
وَلَآمُرَنَّهُمْ فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلْقَ اللَّهِ ۚ
Maksudnya: “(Syaitan berkata:) ‘dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah’.”
(Surah al-Nisa’: 119)
Menurut beliau, pemindahan rahim ini juga termasuk dalam perkara yang dilaknat oleh Allah SWT. Ini seperti yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَعَنَ اللَّهُ الوَاصِلَةَ وَالمُسْتَوْصِلَةَ، وَالوَاشِمَةَ وَالمُسْتَوْشِمَةَ
Maksudnya: “Allah melaknat perempuan yang menyambung rambut, perempuan yang minta disambungkan rambut, perempuan yang membuat tatu, dan perempuan yang minta dibuatkan tatu.”
Riwayat al-Bukhari (5933) dan Muslim (2124)
Keduanya, pemindahan rahim ini mengakibatkan kemandulan kepada penderma. Dalam membawakan hujjah ini, beliau menukilkan kalam ketika menafsirkan firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa’ ayat 119 di atas. Katanya, jika yang dimaksudkan dalam firman Allah SWT tersebut adalah larangan mengubah ciptaan, nescaya termasuk juga dalam maksud ayat tersebut segala larangan Allah SWT yang lain, seperti memandulkan apa yang tidak boleh dimandulkan, membuat lukisan (seperti tatu) pada apa yang dilarang, dan perbuatan maksiat yang lain.
Begitu juga tafsiran al-Qurtubi terhadap firman Allah SWT:
لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ ۚ
Maksudnya: “Tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu.”
(Surah al-Rum: 30)
Al-Qurtubi berkata, seekor binatang itu melahirkan anaknya dalam keadaan fizikal sempurna, selamat dari sebarang penyakit. Jika dibiarkan dalam keadaan asal itu, nescaya ia akan kekal sempurna dan bebas dari sebarang aib. Akan tetapi, ia sering diubah-ubah, dengan dipotong telinganya dan dilabel wajahnya, lalu ia ditimpa penyakit serta kekurangan, sehingga mengakibatkan ia terkeluar dari sifat asalnya. Begitu juga manusia, ia merupakan satu persamaan sememangnya berlaku, dan wajah persamaannya jelas. Dan pada tafsiran ayat 119 dari Surah al-Nisa’ pula, al-Qurtubi berkata, pemandulan pada manusia ini merupakan suatu musibah. Jika seseorang itu dimandulkan, rosaklah hatinya dan kekuatannya jika dibandingkan dengan orang yang subur, dan terputuslah nasab keturunannya. (Lihat Majallah Majma‘ al-Fiqh al-Islami, 6/1648-1653; Jami‘ al-Bayan, 9/222; al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 14/29)
Syeikh Muhammad Sulaiman al-Asyqar pula mengqiaskan isu pemindahan rahim ini dengan masalah ibu tumpang (surrogate mother) yang telah diingkari oleh para fuqaha’, dan beberapa resolusi dari Simposium al-Majma‘ al-Fiqhi telah mengharamkannya. Bahkan, pemindahan rahim ini lebih utama untuk diharamkan berbanding ditumpangkan, kerana kesemua larangan yang terdapat pada masalah ibu tumpang itu ada pada pemindahan rahim. Dan isu pemindahan rahim ini juga mempunyai larangan tambahan, iaitu seseorang lelaki akan menggauli rahim selain dari isterinya, dan boleh berlaku qazaf padanya. (Lihat Majallah Majma‘ al-Fiqh al-Islami, 6/1625)
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia merupakan salah satu badan berautoriti yang mengharamkan secara keseluruhan pemindahan rahim dari seorang wanita kepada wanita yang lain. Pada persidangan ke-106 yang berlangsung sepanjang 2 hari, bermula 21 hingga 22 Oktober 2014, Muzakarah telah membuat keputusan tentang Hukum Pendermaan Rahim seperti berikut:
- Hukum asal pendermaan dan pemindahan rahim adalah haram dan tujuan untuk mendapatkan zuriat hanyalah bersifat takmiliyyah iaitu sebagai pelengkap kehidupan berkeluarga.
- Keperluan mendapatkan zuriat melalui pendermaan dan pemindahan rahim di Malaysia belum berada pada tahap darurah.
- Keperluan mendapatkan zuriat melalui pembedahan dan pemindahan rahim bagi wanita yang mempunyai rahim yang bermasalah atau tidak mempunyai rahim hanya sekadar berada pada tahap tahsiniyyat.
Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa hukum pendermaan dan pemindahan rahim adalah tidak harus kerana keperluannya belum mencapai tahap dharurah yang boleh membenarkan sesuatu perkara yang diharamkan.[7]
Tarjih
Di dalam hukum syarak, status nasab anak memiliki nilai yang penting dalam kehidupan seorang manusia. Menjadi tanggungjawab lelaki dan wanita yang mukallaf di dalam Islam untuk memastikan keturunan yang mereka lahirkan mesti daripada perhubungan yang sah. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَهُوَ الَّذِي خَلَقَ مِنَ الْمَاءِ بَشَرًا فَجَعَلَهُ نَسَبًا وَصِهْرًا وَكَانَ رَبُّكَ قَدِيرًا
Maksudnya: “Dan Dia lah Tuhan yang menciptakan manusia dari air, lalu dijadikannya (mempunyai) titisan baka dan pertalian keluarga (persemendaan); dan sememangnya tuhanmu berkuasa (menciptakan apa jua yang dikehendaki-Nya).”
(Surah al-Furqan: 54)
Kemudian, Rasulullah SAW menghuraikan tentang kepentingan menjaga keturunan. Antaranya, daripada Abu Bakrah dan Sa‘d bin Abu Waqqas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنِ ادَّعَى إِلَى غَيْرِ أَبِيهِ، وَهُوَ يَعْلَمُ أَنَّهُ غَيْرُ أَبِيهِ، فَالْجَنَّةُ عَلَيْهِ حَرَامٌ
Maksudnya: “Siapa yang mendakwa untuk menisbahkan kepada selain ayahnya, sedangkan dia mengetahui bahawa orang itu bukan ayahnya, maka haram ke atasnya untuk menghuni syurga.”
Riwayat al-Bukhari (6766), Muslim (63), Abu Daud (5113), Ibn Majah (2610) dan Ahmad (1553)
Seterusnya, sebagaimana yang kita ketahui, para ulama yang berpendapat berkenaan keharusan menderma atau memindahkan organ tidak mengharuskannya secara mutlak. Sebaliknya, di sana ada syarat-syarat yang telah digariskan yang mesti dipenuhi sebelum dibolehkan pemindahan tersebut seperti mana yang kami telah sebutkannya sebelum ini di atas. Di antara syarat-syarat tersebut adalah organ yang dipindahkan tidak boleh menyebabkan pencampuran nasab dalam keadaan apa sekalipun, seperti organ reproduktif dan lain-lain. Begitu juga pemindahan tersebut tidak memberi mudharat kepada penderma mahupun penerima organ tersebut.
Berdasarkan kepada syarat-syarat tersebut, setelah meneliti kedua-dua pendapat dalam isu transplantasi rahim ini, kami berpendapat jika pendermanya dalam kalangan orang yang masih hidup, sudah tentu pemindahan rahim ini akan memberi mudharat kepada pendermanya. Ini juga syarat yang dikemukakan oleh Majma‘ al-Fiqh al-Islami.
Hal ini kerana pemindahan rahim berkait rapat dengan fisiologi kitaran haid, yang terhasil dari campuran darah bersama-sama bahan daripada lapisan dalaman rahim yang luruh apabila persenyawaan tidak berlaku. Kitaran haid itu sendiri merujuk kepada perubahan berkala yang berlaku kepada rahim dan ovari bagi tujuan reproduktif (pembiakan). Sekiranya rahim dikeluarkan dari tubuh seseorang wanita, maka proses kitaran ini tidak dapat berlaku.[8] Justeru, pemindahan atau transplant rahim daripada orang yang masih hidup tidak dibolehkan.
Adapun pemindahan rahim daripada orang yang sudah meninggal dunia, kami cenderung kepada pendapat yang mengharuskannya sebagaimana pemindahan organ-organ yang lain. Akan tetapi ia mestilah memenuhi syarat-syarat yang telah digariskan sebagaimana berikut:
- Mendapat keizinan penderma sebelum kematiannya, atau telah diizinkan oleh walinya setelah kematiannya.
- Prosedur pemindahan dan transplant rahim ini terbukti dan meyakinkan bahawa pemindahan itu akan berhasil secara umumnya menurut pakar perubatan.
- Memastikan pemindahan itu semata-mata untuk tujuan perubatan dan bukan untuk maksud atau tujuan lain.
- Tidak ada unsur kontrak jual beli dalam pemindahan organ tersebut.
- Hendaklah ia dilakukan apabila keadaan darurat atau keperluan yang dibenarkan oleh syarak, di mana keadaan pesakit tersebut terus merosot dan tidak dapat diselamatkan dari sudut pandangan perubatan, serta bagi mencapai kepentingan yang penting yang tidak dapat dielakkan kecuali dengan memindahkanorgan dari manusia lain.
- Pemindahan organ itu tidak menyebabkan sebarang pencampuran nasab dalam keadaan apa sekalipun. Dalam kes rahim ini, pendapat Dr. Ali al-Bar diambil kira.
- Pemindahan hendaklah dilakukan di pusat perubatan khusus yang diperakui oleh negara dan mempunyai lesen untuk tujuan tersebut. Ini bertujuan secure dan keselamatan bagi penderma dan yang diderma serta kebertanggungjawaban pihak yang mengendalikannya.
Tambahan lagi, rahim itu tidak termasuk dalam organ yang membawa sifat genetik, sepertimana faraj, zakar dan tiub fallopio. Di antara fungsi rahim adalah sebagai sebahagian daripada proses haid (menstruasi), memelihara sel telur, mempersiapkan kelahiran dan membantu bersalin, dan memelihara sel telur yang disenyawakan. Fungsinya yang terakhir ini adalah fungsi utama rahim. Selepas ovum yang disenyawakan ditanam ke dalam endometrium, ovum mendapat khasiat daripada saluran darah rahim dan akhirnya menjadi embrio dan seterusnya janin.[9]
Perbincangan ini kami kemukakan dalam bentuk kajian awal, bagi membuka ruang perbincangan yang lebih luas lagi terperinci dalam kalangan ilmuan Islam dan juga perubatan, seterusnya membawa kepada natijah yang lebih tuntas berkenaan isu ini.
Kami juga ada menulis berkenaan isu ini dalam eBook bertajuk Transplantasi Rahim: Isu dan Hukumnya.[10]
Kami akhiri dengan doa:
يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ نَسْتَغِيثُ، أَصْلِحْ لَنَا شَأْنَنَا كُلَّهُ، وَلاَ تَكِلْنَا إِلَى أَنْفُسِنَا طَرْفَةَ عَيْنٍ
Maksudnya: “Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri (tidak perlu segala sesuatu), dengan rahmat-Mu kami memohon pertolongan, perbaikilah urusan kami semuanya dan janganlah Engkau serahkan kami kepada diri kami walau sekelip mata.”
Nota hujung:
[1] Mohammad Naqib Bin Hamdan, Mohd Anuar Bin Ramli, Noor Naemah Binti Abdul Rahman, and Ahmad Ashraf Ilman Bin Zulbahri. “Pemindahan Organ Reproduktif Daripada Perspektif Fatwa Semasa.”Journal of Fatwa Management and Research 252, no. 3531 (2015): 1-18.
[2] Lihat https://www.imedik.org/pemindahan-rahim-satu-perspektif/
[3] Lihat https://iifa-aifi.org/ar/1803.html. Diakses pada 8 Januari 2024.
[4] Lihat https://iifa-aifi.org/ar/1698.html. Diakses pada 8 Januari 2024.
[5] Beliau adalah al-Sayyid Muhammad bin Ali bin Hamad al-Bar al-Alawi al-Husaini, yang lebih dikenali sebagai Dr. Muhammad Ali al-Bar. Beliau berkewarganegaraan Saudi, dilahirkan di kota Aden – Yaman pada 29 Disember 1939. Beliau memulakan pengajiannya pada peringkat Ijazah Sarjana Muda di Kaherah -Mesir pada tahun 1958 dalam bidang perubatan. Pada bulan Februari tahun 1971, beliau memperolehi keahlian di dalam Royal College of Physicians di London, seterusnya menjadi fellow di sana pada tahun 1994. Beliau pernah menyertai beberapa simposium yang dianjurkan di Jeddah, Amman dan Kuwait, di bawah Rabitah al-‘Alam al-Islami serta Majma‘ al-Fiqh al-Islami. (Lihat https://www.cilecenter.org/ar/node/1101. Diakses pada 9 Januari 2024)
[6] Lihat Haq al-Mar’ah fi Naql al-Rahim, hlm. 8-9, kajian yang dibentang oleh Syeikh ‘Ajil Jasim al-Nasymi di muktamar “ Kewajipan dan Hak Kesihatan Pesakit dari Perspektif Islam” yang dianjurkan oleh Organisasi Perubatan Islam di Kuwait pada 19-22 Disember 2016.
[7] Lihat http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/10318
[8] Lihat http://www.myhealth.gov.my/fisiologi-kitaran-haid/#:~:text=Haid%20ialah%20campuran%20darah%20bersama,bulan%2C%20ia%20dipanggil%20kitaran%20haid. Diakses pada 8 Januari 2024.
[9] Lihat https://www.halodoc.com/artikel/ini-berbagai-fungsi-rahim-dalam-sistem-reproduksi-wanita. Artikel ini telah disemak oleh oleh Dr. Fadhli Rizal Makarim pada 21 Disember 2023. Diakses pada 8 Januari 2024.
[10] Untuk bacaan lanjut, boleh dapatkan di pautan berikut: https://play.google.com/store/books/details?id=WXgfEQAAQBAJ