Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah yang dimaksudkan dengan judi dalam Islam?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Menurut Kamus Dewan, judi diertikan sebagai permainan dengan memakai wang dan lain-lain sebagai taruhan seperti main ceki, main dadu, dan sebagainya.[1] Dalam bahasa Arab pula, judi dikenali sebagai al-Maisir atau al-Qimar iaitu permainan pertaruhan bangsa Arab dengan anak panah atau anak batu atau setiap permainan yang mengandungi pertaruhan daripada kedua belah pihak. (Lihat al-Mu‘jam al-Wasit, 2/1064)
Manakala dari segi istilah, terdapat beberapa definisi yang diberikan oleh para ulama, antaranya:
- Menurut Ibn Hajar al-Haitami, judi adalah merujuk kepada sebarang jenis pertaruhan. (Lihat al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kabair, 2/200)
- Al-Mahalli pula menyatakan bahawa judi adalah sebuah bentuk pertaruhan yang diharamkan, yang terdedah untuk menang atau kalah. (Lihat Kanz al-Raghibin Syarh Minhaj al-Talibin, 4/226)
- Al-Mawardi menyebut judi ialah suatu pertandingan yang menjadikan pihak yang terlibat tidak terlepas daripada menjadi pemenang (mengambil) atau tewas (menyerahkan) hadiah yang dipertaruhkan. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 13/379)
- Ibn Qudamah pula mengatakan judi ialah pertandingan yang tidak sunyi salah satu daripada keduanya untuk menang atau kalah. (Lihat al-Mughni, 10/171)
- Menurut Ibn Taimiyyah, judi merupakan pengambilan sebahagian daripada harta seseorang, kemudian dipertaruhkan sama ada seorang itu mendapat hasil atau tidak mendapat apa-apa. (Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 19/283)
- Imam Malik menyatakan judi terdiri daripada dua jenis, iaitu pertamanya judi yang bersifat sia-sia (lagha) seperti permainan yang menggunakan buah dadu, catur dan sebarang elemen hiburan yang tidak bermanfaat. Keduanya, judi yang bersifat pertaruhan iaitu apa-apa sahaja yang dipertaruhkan ke atasnya. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 3/52-53)
- Rasyid Ridha menafsirkan judi (al-Maisir) dalam al-Quran sebagai permainan untuk mencari keuntungan tanpa menggunakan akal dan tanpa perlu bekerja keras. (Lihat Tafsir al-Manar, 2/258)
- Ali al-Sabuni pula menyebut, judi ialah setiap permainan yang memberikan keuntungan kepada satu pihak dan kerugian bagi pihak yang lain. (Lihat Rawai‘ al-Bayan fi Tafsir Ayat al-Ahkam min al-Quran, 1/279)
Berdasarkan takrifan-takrifan yang telah dikemukakan oleh para ulama di atas, kita dapat fahami bahawa judi ialah satu permainan yang mengandungi pertaruhan daripada pihak bertanding yang akan mengakibatkan kemenangan kepada sebelah pihak manakala pihak yang lain pula akan mengalami kerugian.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ، وَالأَهْوَاءِ، وَالأَسْوَاءِ، وَالأَدْوَاءِ.
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”
Nota hujung:
[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=judi. Diakses pada 15 Disember 2021.