Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah kesan dan akibat judi?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”
Surah al-Maidah (90)
Fakhruddin al-Razi dalam kitab tafsirnya, ketika membincangkan berkenaan hikmah daripada larangan dan pengharaman judi menyebut bahawa dosa dan keburukan kedua-duanya boleh membawa kepada kepada permusuhan, mengutuk-ngutuk dan pertelingkahan; serta merupakan suatu bentuk pengambilan harta orang lain secara batil. Di samping itu, ia juga melalaikan manusia daripada mengingati Allah SWT dan mengerjakan solat.
Beliau menjelaskan lagi, pertaruhan di dalam perjudian akan menimbulkan perasaan ingin cuba menang, terutama setelah mengalami kekalahan sehingga semua harta akhirnya habis digunakan untuk berjudi sehinggakan ada yang sanggup menggadaikan isteri dan anak-anak. Tentunya si kalah judi ini akan jatuh miskin dan menyimpan dendam kesumat terhadap lawannya yang telah menang dan merampas harta bendanya, sehingga berlakulah permusuhan dan benci-membenci yang berpanjangan di dalam masyarakat.
Dari segi agama pula, si penjudi akan jauh hatinya daripada mengingati Allah dan mengerjakan solat kerana disibukkan dengan harapan untuk menang, atau marah kerana kalah judi. Bahkan sekiranya dia menang sekalipun, nescaya kemenangannya itu akan terus menenggelamkannya dalam kesibukan demi kesibukan, sehingga dia tidak ingat selain daripada harta yang dimenanginya itu sahaja. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 6/49 dan 12/82)
Menjawab persoalan di atas, berdasarkan kajian, ketagihan berjudi bukan hanya disebabkan peluang untuk menang sahaja, tetapi faktor keseronokan juga turut mempengaruhi. Mark Griffiths, seorang ahli psikologi di Nottingham Trent University yang berkepakaran dalam perilaku ketagihan menyebut bahawa penjudi mempunyai motivasi yang tinggi atas kebiasaan mereka tersebut. Dalam satu kaji selidik yang dijalankan terhadap 5500 orang penjudi, prospek untuk “memenangi wang paling banyak” adalah faktor terkuat. Tetapi kemudian diikuti dengan faktor “kerana ini menyenangkan” dan “kerana ini menyeronokkan.” Penemuan ini berdasarkan oleh penyelidikan pada tahun 2009 oleh ahli penyelidik dari Stanford University di California, yang mendapati bahawa sekitar 92% orang sudah “kehilangan pegangan” dasar yang tidak dapat mereka elakkan.[1]
Kita tidak dapat menafikan lagi bahawa terlalu banyak kesan buruk dan akibat daripada perbuatan berjudi. Kami nyatakan di sini sebahagian daripadanya, iaitu:
- Lalai daripada tanggungjawab yang dipikul
Ketagihan berjudi mampu mengakibatkan seseorang itu lupa dan lalai daripada menjalanankan amanah dan tanggungjawab yang sepatutnya dipikul. Hal ini boleh membawa kepada gejala ponteng kerja, atau ponteng kuliah dan sekolah bagi yang masih lagi belajar. Contohnya, dilaporkan dalam satu kes bahawa bukan sahaja si penjudi yang sering ponteng kerja tetapi ahli keluarga dan anak-anaknya juga terpaksa hidup dalam pelarian. Anak-anaknya seminggu bersekolah, lepas itu ponteng. Akhirnya, anak-anak terpaksa bertukar sekolah dek kerap berpindah randah.[2]
- Mengalami kehabisan wang dan sumber pendapatan
Bagi memenuhi kepuasan nafsu dengan keseronokan berjudi, penjudi sanggup menghabiskan kesemua wang simpanan dan sumber pendapatan mereka semata-mata bagi tujuan tersebut. Hal ini menyebabkan ramai yang diisytiharkan muflis akibat perbuatan buruk itu. Contohnya, terdapat satu kes, di mana penduduk kampung yang ketagih judi online sanggup meminjam Ah Long serta menghabiskan wang i-Citra dan simpanannya untuk menambah nilai bagi melakukan pertaruhan melalui ejen-ejen bergerak. Seorang penduduk Kuala Kedah yang mahu dikenali sebagai Azman, menceritakan bahawa adik iparnya yang berusia dalam lingkungan 30-an terjebak dengan aktiviti judi online selepas bercerai dengan isterinya. Kesannya, habis gaji dan upah yang diterima untuk mengusahakan sawah dan menjaga kambing digunakan untuk judi online.[3]
Selain itu, dalam satu kes lain, seorang pemuda yang mewarisi kekayaan keluarganya dan juga pemilik sebuah hotel di Bandaraya Johor Bahru turut tidak terkecuali menjadi hamba judi. Pada permulaan lelaki berusia 30-an itu menang judi sebanyak RM700,000 dan dia menjadi ketagih untuk menang lebih besar. Bahkan dia sanggup meminjam daripada Ah Long sebanyak RM1.2 juta kerana ketagih berjudi. Akhirnya hotel yang diwarisi daripada keluarga tergadai dan dia muflis.[4]
- Selalu dibebani dengan hutang
Penjudi juga akan selalu dibebani dengan hutang, di samping kehidupan mereka menjadi tidak tenang dan banyak masa terbuang. Mereka juga kebiasaannya akan mengabaikan keluarga dan bersikap tamak. Bukan itu sahaja, wang ringgit yang sepatutnya dibelanjakan sebagai nafkah keluarga atau belajar, habis digunakan untuk perjudian. Contohnya, dilaporkan dalam satu kes,lelaki yang mahu dikenali sebagai Fuad, kini tinggal sehelai sepinggang apabila semua hartanya terpaksa digadai semata-mata mahu membayar hutang kepada ceti haram kerana terjebak dan ketagihan dalam aktiviti perjudian walaupun pada awalnya dia hanya mengikuti rakan dan mahu mencuba-cuba sahaja.[5]
Selain itu, dalam satu kes lain, seorang remaja lelaki yang terlibat dalam perjudian haram sejak umur 16 tahun dilaporkan mengalami kerugiaan terkumpul sebanyak RM8 juta. Remaja tersebut dikatakan mengikuti jejak bapanya yang juga seorang jutawan kaki judi dan akhirnya mengalami kerugian dalam pertaruhan bola sepak antarabangsa menerusi Internet. Kesannya, dia menanggung hutang yang banyak. Namun, setiap kali dia dibebani hutang yang banyak, bapanya akan menjamin dia keluar sehinggalah apabila jumlah kerugian terkumpul telah mencecah sebanyak RM8 juta, bapanya mula menyuruh anaknya berhenti berjudi. Malah remaja itu dipercayai pernah menggunakan wang untuk membayar yuran pengajiannya bagi menyelesaikan hutang judi dan kad kredit yang digunakan.[6]
Selain itu juga, dalam satu laporan pada hujung tahun 2018, Gionee iaitu sebuah syarikat peranti pengeluar China dilaporkan telah bankrup disebabkan gagal membayar hutang kepada pembekal-pembekal komponen utama dengan jumlah `lebih kurang RM 10.2 Bilion. Ia dilaporkan adalah akibat daripada tabiat berjudi pengerusi mereka, Liu Lirong yang di luar kawalan.[7]
- Mudah terjebak dengan perlakuan jenayah
Akibat terdesak dan terhimpit untuk mencari sumber bagi terus melayani ketagihan judi yang tiada penghujung, pelakunya terdedah untuk terlibat dengan aktiviti jenayah. Hal ini kerana, kegiatan perjudian membuka potensi yang besar kepada pelakunya untuk terheret ke kancah pergaduhan, penipuan, perbuatan mencuri, merompak, malah sampai ke tahap membunuh.
Contohnya, dilaporkan dalam satu kes, akibat terdesak membayar hutang judi dalam talian seorang anggota tentera melakukan perbuatan pecah kedai beg tangan dan mencuri beg tangan berjenama mewah sebelum menjualnya ke kedai beg tangan yang lain. Perbuatannya yang dilakukannya selama hamper setahun itu akhirnya terbongkar apabila seorang pemilik kedai beg tangan berjenama mewah di Berjaya Times Square membuat laporan polis pada 3 Mei 2019 tentang kedainya yang dipecah masuk dengan barangan berselerak dan beg tangan mewah jenama Channel, Hermes dan beberapa jenama yang lain telah hilang.[8]
Selain itu, dalam kes yang lain, seorang kaki judi yang dikenali sebagai Jalal didapati bersalah atas tuduhan membunuh isterinya dengan menetak wanita itu dengan pisau pemotong daging sebanyak 58 kali di kediaman mereka di Canning Town, London Timur pada September 2016 kerana marah selepas kalah bertaruh. Sebelum kejadian berkenaan, isteri lelaki tersebut pernah membuat laporan mendakwa Jalal mempunyai ketagihan judi yang teruk dan sering memukulnya jika kalah atau tidak memberinya wang untuk berjudi.[9]
Begitu juga, dalam satu laporan menyebut, seorang eksekutif Wall Street telah mengakui bahawa dia telah menipu keluarganya, rakan dan orang lain sehingga mencecah US$100 juta lebih untuk membiayai hobinya berjudi. Ketika dalam proses pengadilan dia berkata: “Hanya itu satu cara agar saya dapat memperoleh wang untuk memenuhi ketagihan berjudi saya.”[10]
- Meruntuhkan institusi kekeluargaan
Ketagihan berjudi oleh ‘kaki judi’ akan sampai kepada tahap tergamak mengorbankan kebahagiaan rumah tangga yang dibina, mengabaikan nafkah keluarga serta tanggungjawab terhadap anak-anak. Ini sudah tentu akan membawa kepada keruntuhan institusi keluarga dan masyarakat.
Contohnya, terdapat satu kes di mana seorang lelaki diisytiharkan muflis disebabkan oleh hutang judi isterinya. Ceritanya bermula apabila Christopher Forte mengahwini isterinya, Julia Posman seorang Wanita Indonesia pada tahun 2014. Kemudian wanita tersebut memberitahu yang dia mempunyai hutang bersamaan RM 13.6 juta dengan dua ahli perniagaan, selain hutang kad kredit. Oleh itu, lelaki berkenaan bukan sahaja menggunakan duit miliknya, malah turut meminjam duit daripada kedua ibu bapanya bagi membantu isterinya melangsaikan hutang. Sehinggalah semuanya terdedah apabila lelaki itu menerima sepucuk surat pada April 2016 yang menyatakan namanya sebagai penjamin pinjaman sedangkan dia tidak mengetahui apa-apa mengenainya. Akhirnya, isterinya itu mengaku dan mendedahkan dia memberi sejumlah wang kepada abang dan ibu bapanya untuk berjudi. Sewaktu perbicaraan kes cerai mereka, wanita itu bersetuju untuk membayar hutang bekas suaminya dengan kadar bersamaan RM 9,240 sebulan. Namun, sehingga kini dia tidak menjelaskan hutang tersebut menyebabkan bekas suaminya diisytiharkan muflis.[11]
- Mengganggu-gugat keharmonian masyarakat
Kegiatan perjudian juga menjadi punca perselisihan dan perpecahan dalam kalangan masyarakat. Jika tidak dibendung, ia akan terus membiak dan menjadi barah kepada generasi akan datang dan negara akan mempunyai individu dengan sahsiah yang sangat buruk.
Contohnya, terdapat kes di mana tujuh individu ditahan apabila disyaki terlibat dalam satu pergaduhan yang dipercayai berpunca daripada hutang judi di hadapan sebuah bengkel aksesori kereta di Sg Merah. Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, kira-kira jam 4.30 petang, pengadu bersama seorang rakannya sedang berada di bengkel untuk menghantar kereta rakan yang rosak sebelum didatangi sekumpulan lelaki. Lalu seorang suspek dikatakan bertindak memecahkan empat bahagian cermin kereta pengadu dan merosakkan pintu kanan dan mencucuk tayar kereta sehingga bocor menyebabkan anggaran kerugian RM3,000. Pengadu dan rakannya yang ketakutan bertindak meninggalkan tempat kejadian dan membuat laporan polis di Balai Polis Sentral Sibu.[12] Kejadian seperti ini sudah pasti mengganggu-gugat keharmonian sebuah masyarakat sehingga boleh menimbulkan ketidak selesaan mereka untuk hidup dengan aman dan sejahtera.
Implikasi Judi kepada Negara
Perbuatan berjudi dalam kalangan masyarakat secara tidak langsung akan memberi kesan dan implikasi yang besar terhadap negara. Antaranya ialah:
- Pentadbiran negara menjadi kucar kacir kerana perbuatan judi juga boleh menyebabkan rasuah. Lalu rasuah pula memberi kesan yang sangat besar kepada masyarakat dan negara. Perasuah adalah mereka yang tidak berintegriti.
- Sistem pemerintahan akan menjadi lemah kerana setiap kali berlakunya rasuah, pemerintah mungkin akan menggunakan wang hasil cukai rakyat dan manfaatnya akan digunakan untuk kepentingan para perasuah. Seterusnya menyebabkan pentadbiran sesebuah negeri dan negara akan menjadi kucar kacir dan menimbulkan masalah lain seperti masalah ekonomi, pengabaian terhadap masyarakat jika amalan rasuah terus berleluasa di peringkat pimpinan negara.
- Sesebuah negara juga akan menjadi mundur kesan daripada perbuatan judi ini. Hal ini disebabkan oleh masyarakat yang berpecah belah dan mogok terhadap kemiskinan yang dihadapi oleh mereka.
- Perjudian juga akan memberi imej buruk terhadap negara, apatah lagi identiti Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang menjadi contoh dalam kalangan negara-negara Islam lain.
- Kesan perjudian menyebabkan boleh membiak aktiviti jenayah seperti membunuh, merompak, mencuri, pergaduhan, meruntuhkan institusi rumah tangga, memporak-perandakan hubungan kekeluargaan, perselisihan faham, apatah lagi menjarakkan diri daripada agama Allah SWT.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ، وَالأَهْوَاءِ، وَالأَسْوَاءِ، وَالأَدْوَاءِ.
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”
Nota hujung:
[1] Lihat https://www.bbc.com/indonesia/vert_fut/2016/08/160817_vert_fut_judi. Diakses pada 27 Disember 2021.
[2] Lihat https://www.akpk.org.my/my/node/474. Diakses pada 27 Disember 2021.
[3] Lihat https://www.kosmo.com.my/2021/09/15/pinjam-ah-long-guna-wang-i-citra-untuk-bertaruh/. Diakses pada 27 Disember 2021.
[4] Lihat https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/03/555113/bimbang-makin-ramai-jadi-mangsa-judi-online. Diakses pada 27 Disember 2021.
[5] Lihat https://www.pressreader.com/malaysia/harian-metro/20161009/281848643111270. Diakses pada 27 Disember 2021.
[6] Lihat https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2010/05/25/remaja-rugi-rm8-juta-akibat-judi. Diakses pada 27 Disember 2021.
[7] Lihat https://timesofindia.indiatimes.com/gadgets-news/this-chinese-smartphone-company-is-bankrupt-after-chairman-lost-144-million-in-gambling/articleshow/67176901.cms. Diakses pada 27 Disember 2021.
[8] Lihat https://www.sinarharian.com.my/article/28291/BERITA/Jenayah/Terdesak-bayar-hutang-judi-anggota-tentera-curi-beg-tangan. Diakses pada 27 Disember 2021.
[9] Lihat https://www.hmetro.com.my/global/2019/07/476999/tetak-isteri-lepas-kalah-judi. Diakses pada 27 Disember 2021.
[10] Lihat https://www.bbc.com/indonesia/vert_fut/2016/08/160817_vert_fut_judi. Diakses pada 27 Disember 2021.
[11] Lihat https://www.mstar.com.my/global/dunia/2018/04/03/suami-muflis-isteri-judi. Diakses pada 27 Disember 2021.
[12] Lihat https://www.utusanborneo.com.my/2021/06/22/gaduh-kerana-hutang-judi-tujuh-ditahan. Diakses pada 27 Disember 2021.