Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah terdapat pendapat yang tidak mengharuskan pemindahan organ daripada seseorang kepada orang lain? Apakah hujah-hujah dan dalil-dalil mereka?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam isu ini terdapat sekurang-kurangnya dua pandangan dalam kalangan ulama, iaitu pendapat yang mengharuskan dan juga pendapat yang tidak mengharuskan.
Pendapat yang Tidak Mengharuskan
Berkenaan persoalan di atas, dalam isu ini, benar, terdapat juga ulama yang berpegang bahawa tidak dibolehkan pemindahan organ dilakukan. Di antara ulama yang tidak membenarkan pemindahan anggota manusia daripada seseorang kepada yang lain ialah Syeikh Muhammad Mutawalli Sya‘rawi,[1] Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin,[2] Syeikh Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari, Syeikh Muhammad Burhanuddin al-Sambahli, Syeikh Hasan bin Ali bin Hashim al-Saqqaf al-Husaini, Dr. ‘Abd al-Salam ‘Abd al-Karim al-Sukkari, dan Dr. Hasan Ali al-Syazili.[3]
Dalil-Dalil Pendapat yang Tidak Mengharuskan
Pertama: Dalil daripada al-Quran
Firman Allah SWT:
وَأَنفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ
Maksudnya: “Belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan.”
(Surah al-Baqarah: 195)
Ayat ini bermaksud janganlah kamu menyerahkan diri kepada hal-hal yang menyebabkan kebinasaan, akan tetapi lakukanlah untuk diri kamu sebab-sebab yang boleh membawa kepada keselamatan. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 38).
Keterangan Dalil:
Berdasarkan ayat di atas, Allah SWT melarang kita mencampakkan diri ke lembah kebinasaan. Seseorang yang menderma sebahagian anggota jasadnya boleh membawa kepada kebinasaan dan ini bukanlah suatu hal yang dituntut. Perkataan “tahlukah” dalam ayat ini merupakan lafaz umum yang mengandungi semua perkara yang membawa ke arah itu.
Justeru, memotong anggota diri sendiri menuju ke arah hilangnya manfaat dan membawa kebinasaan. Menyokong ayat ini dengan kaedah pengajaran diambil dengan umum lafaz bukan sebab yang khusus mengikut takrifan ulama usul. (Lihat Naqlu wa Zira‘ah al-A‘dha’ al-Adamiyyah min Manzur Islami oleh Dr. al-Sukkari, hlm. 107).
Firman Allah SWT:
وَلَآمُرَنَّهُمْ فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلْقَ اللَّهِ
Maksudnya: “Akan Aku suruh mereka (mengubah ciptaan Allah), lalu benar-benar mereka merubahnya.”
(Surah an-Nisa’: 119)
Syeikh al-Sa‘di dalam tafsirnya menyebut, ini berkaitan dengan mengubah penampilan zahir dengan menggunakan tatu, menipiskan gigi, mencukur kening, dan menjarakkan gigi untuk kecantikan, serta perkara-perkara seumpamanya yang telah diperdayakan oleh Syaitan, sehingga mereka mengubah ciptaan Allah. Ini termasuk dalam perkara rasa tidak puas hati dengan ciptaan-Nya dan penghinaan terhadap kebijaksanaan-Nya. Ia juga adalah kepercayaan bahawa apa yang mereka lakukan dengan tangan mereka sendiri adalah lebih baik daripada ciptaan Allah, serta rasa tidak redha dan puas hati terhadap taqdir-Nya dan pengurusan-Nya, dan ia juga berkaitan dengan perubahan sifat dalaman. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/203)
Keterangan Dalil:
Memindahkan anggota badan manusia termasuk dalam mengubah ciptaan dan kejadian Allah. Ia termasuk dalam umum ayat ini. Justeru, hukumnya dianggap sebagai haram.
Firman Allah SWT
وَلَا تَقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا (٢٩) وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ عُدْوَانًا وَظُلْمًا فَسَوْفَ نُصْلِيهِ نَارًا ۚ وَكَانَ ذَٰلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرًا
Maksudnya: “Janganlah kamu membunuh dirimu, sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepadamu. Sesiapa berbuat demikian dengan melanggar hak dan aniaya, maka kami kelak akan memasukkannya ke dalam Neraka. Yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.”
(Surah al-Nisa’: 29-30)
Imam al-Qurtubi menyatakan: Para ahli takwil bersepakat bahawa yang dimaksudkan daripada ayat ini ialah larangan untuk sebahagian manusia membunuh sebahagian manusia lain. Kemudian lafaz ayat ini menyatakan menyatakan bahawa seorang lelaki membunuh dirinya dengan niat membunuh untuk mengejar dunia dan menuntut wang dengan membawa dirinya dalam penipuan yang membawa kepada kerosakan. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 5/156)
Keterangan Dalil:
Allah SWT melarang manusia daripada membunuh dirinya atau orang lain sama ada secara langsung atau tidak langsung. Larangan ini umum berdasarkan ayat pertama yang disebutkan di awal tadi. Ia juga mengandungi semua jenis sebab yang membawa kepada larangan tersebut iaitu membunuh diri. Atas sebab-sebab ini, yang ditegah adalah dengan memaksa seseorang supaya menderma kepada orang lain sebahagian daripada jasadnya.
Manakala ayat kedua menunjukkan hukuman kepada siapa yang melakukan pembunuhan secara sengaja dan mengizinkan untuk memotong sebahagian anggota jasadnya, maka ia termasuk dalam ancaman ayat ini.
Firman Allah SWT:
وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُم مِّنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَىٰ كَثِيرٍ مِّمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلًا
Maksudnya: “Sesungguhnya telah kami muliakan anak-anak Adam, kami angkut mereka di daratan dan di lautan, kami beri mereka rezeki daripada yang baik-baik dan kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah kami ciptakan.”
(Surah al-Isra’: 70)
Pada ayat di atas, Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya mengulas mengenai karamah insaniyyah(kemuliaan insan) yang dikurniakan oleh Allah SWT, bahawa manusia diberi nikmat yang pelbagai. Antara nikmat tertinggi yang Allah SWT kurniakan ialah kemuliaan dan kehormatan diri, di mana dua nikmat ini tidak ada pada makhluk yang lain. Selain itu, manusia juga diberikan akal dan kelebihan bertutur yang sempurna, bagi membezakan perkara baik dan buruk serta mengucapkan kata-kata yang baik. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 5/190).
Keterangan Dalil : Ayat yang mulia ini menunjukkan bahawa Allah SWT memuliakan anak Adam. Kemuliaan ini mengandungi keadaan kehidupannya dan selepas matinya. Mencabut anggota manusia daripada seseorang adalah menyalahi sifat kemuliaan yang Allah kurniakan sama ada pada masa hidup atau selepas mati.
(Lihat al-Imtina‘ wa al-Istiqsa’ oleh al-Saqqaf, hlm. 28-29 dan Naql wa Zira‘ah al-A‘dha’ al-Adamiah oleh Dr. al-Sukkari, hlm. 115).
Kedua: Dalil daripada al-Sunnah
- Daripada Jabir bin Abdullah R.A, katanya:
فَلَمّا هاجَرَ النبيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إلى المَدِينَةِ، هاجَرَ إلَيْهِ الطُّفَيْلُ بنُ عَمْرٍو وهاجَرَ معهُ رَجُلٌ مِن قَوْمِهِ، فاجْتَوَوُا المَدِينَةَ، فَمَرِضَ، فَجَزِعَ، فأخَذَ مَشاقِصَ له، فَقَطَعَ بها بَراجِمَهُ، فَشَخَبَتْ يَداهُ حتّى ماتَ، فَرَآهُ الطُّفَيْلُ بنُ عَمْرٍو في مَنامِهِ، فَرَآهُ وهَيْئَتُهُ حَسَنَةٌ، ورَآهُ مُغَطِّيًا يَدَيْهِ، فقالَ له: ما صَنَعَ بكَ رَبُّكَ؟ فقالَ: غَفَرَ لي بهِجْرَتي إلى نَبِيِّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فقالَ: ما لي أراكَ مُغَطِّيًا يَدَيْكَ؟ قالَ: قيلَ لِي: لَنْ نُصْلِحَ مِنْكَ ما أفْسَدْتَ، فَقَصَّها الطُّفَيْلُ على رَسولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فقالَ رَسولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: اللَّهُمَّ ولِيَدَيْهِ فاغْفِرْ
Maksudnya: “Tatkala Nabi SAW berhijrah ke Kota Madinah, Tufail bin ‘Amr turut berhijrah kepada Baginda, dan berhijrah bersamanya seorang lelaki daripada kaumnya. Apabila mereka sampai ke Kota Madinah, lelaki tersebut sakit dan amat teruk sakitnya. Lantas beliau hilang sabar, mengambil alat seperti pisau dan memotong kedua-dua tangannya sehingga beliau mati. Setelah itu, Tufail bin ‘Amr bermimpi melihatnya yang mana didapati keadaannya baik, tetapi tangannya dikelubungi, lantas Tufail bertanya kepadanya: ‘Apakah yang Tuhan engkau lakukan kepada engkau?’ Maka lelaki tersebut menjawab: ‘Allah SWT telah mengampuniku dengan sebab hijrahku kepada Nabi-Nya SAW.’ Kemudian beliau bertanya lagi: ‘Kenapa aku melihat engkau menutup kedua-dua tangan engkau?’ Beliau menjawab: ‘Dikatakan kepadaku, ‘Kami tidak akan membaiki daripada engkau, apa yang telah engkau rosakkan.’’ Setelah itu, Tufail menceritakan mimpi tersebut kepada Rasulullah SAW. Maka, Rasulullah SAW: ‘Ya Allah, ampunilah kedua tangannya.’”
Riwayat Muslim (116)
Mulla Ali al-Qari menukilkan daripada al-Turibisyti, katanya: Hadith ini walaupun ia disebut mimpi, sahabat tersebut diperlihatkan untuk pertimbangan tentang apa yang hendak ditafsirkannya. Sesungguhnya Nabi SAW mendoakan: “Ya Allah, ampunilah kedua tangannya.” Hadith ini menunjukkan bahawa azab itu tidak kekal pada orang yang benar-benar datang dengan syahadatain (yakni benar-benar berada dalam akidah Islam) sekalipun dia membunuh dirinya sendiri, kerana Nabi SAW mendoakan orang yang melakukan jenayah pada diri sendiri dengan keampunan, sedangkan tidak boleh pada hak Nabi SAW untuk meminta keampunan bagi mereka yang diwajibkan kekal dalam azab setelah Baginda dilarang daripadanya. (Lihat Mirqah al-Mafatih, 6/263)
Keterangan Dalil:
Hadith di atas menunjukkan bahawa siapa yang menggunakan sebahagian anggotanya untuk didermakan atau lainnya, maka dia dibangkitkan pada hari kiamat dalam keadaan kurang anggota tersebut sebagai suatu pembalasan.
- Daripada Asma’ binti Abu Bakar R.Anhuma, katanya:
جَاءَتِ امْرَأَةٌ إلى النبيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقالَتْ: يا رَسولَ اللهِ، إنَّ لي ابْنَةً عُرَيِّسًا أَصَابَتْهَا حَصْبَةٌ فَتَمَرَّقَ شَعْرُهَا أَفَأَصِلُهُ، فَقالَ: لَعَنَ اللَّهُ الوَاصِلَةَ وَالْمُسْتَوْصِلَةَ
Maksudnya: “Seorang perempuan datang kepada Baginda SAW seraya bertanya: ‘Wahai Rasulullah! Saya mempunyai seorang anak perempuan yang baru berkahwin, tetapi telah terkena satu penyakit pada tubuhnya yang menyebabkan rambutnya gugur atau menjadi pendek, boleh atau tidak aku menyambungkannya?’ Baginda menjawab: ‘Allah melaknat orang yang menyambung rambut dan minta disambung.’”
Riwayat Muslim (2122)
Imam al-Nawawi dalam syarahnya menyebut: Hadith ini jelas menunjukkan bahawa haram melakukan penyambungan rambut dan laknat kepada penyambungnya dan juga yang meminta untuk disambungkan secara mutlak. Ini merupakan pendapat yang zahir dan terpilih. Ulama dalam mazhab kami (mazhab Syafi‘i) memperincikan bahawa sekiranya yang disambungkan itu rambut manusia, maka ia haram tanpa ada khilaf padanya sama ada ia ialah rambut lelaki atau perempuan, ataupun mahramnya dan suaminya dan juga selainnya. Tidak ada perbezaan pendapat dalam hal ini berdasarkan umum hadith ini kerana haram untuk mengambil manfaat daripada rambut manusia dan seluruh juzuk daripada tubuh badannya disebabkan oleh kemuliaannya. Bahkan, rambut, kuku dan juzuk daripada tubuhnya mesti ditanam. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/103-104).
Keterangan Dalil:
Hadith di atas menunjukkan bahawa haram bagi seorang wanita mengambil manfaat dari rambut orang lain. Justeru, tegahan daripada mengambil manfaat bahagian anggota manusia yang lain lebih kuat.
- Daripada Buraidah R.A, katanya:
كانَ رَسولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إذا أَمَّرَ أَمِيرًا على جَيْشٍ، أَوْ سَرِيَّةٍ، أَوْصاهُ في خاصَّتِهِ بتَقْوى اللهِ، وَمَن معهُ مِنَ المُسْلِمِينَ خَيْرًا، ثُمَّ قالَ: اغْزُوا باسْمِ اللهِ في سَبيلِ اللهِ، قاتِلُوا مَن كَفَرَ باللَّهِ، اغْزُوا وَلا تَغُلُّوا، وَلا تَغْدِرُوا، وَلا تَمْثُلُوا
Maksudnya: “Apabila Rasulullah SAW melantik seorang pemimpin atau panglima tentera, pasti diwasiatkannya secara khusus supaya bertakwa kepada Allah dan juga tentera yang bersama dengannya supaya melaksanakannya dengan kebaikan. Kemudian Baginda bersabda: ‘Berperanglah dengan nama Allah pada jalan Allah, perangilah siapa yang kufur dengan Allah, berperanglah tanpa melakukan tipu daya dan menghina serta mencincang musuh…’”
Riwayat Muslim (1731)
Keterangan Dalil: Hadith di atas menunjukkan bahawa haram mencincang atau memotong. Hal ini bukan semata-mata dikhususkan kepada haiwan, akan tetapi termasuk juga tubuh badan manusia.
- Ummul Mukminin Aisyah R.Anha, katanya: Rasulullah SAW bersabda:
كَسْرُ عَظْمِ الْمَيِّتِ كَكَسْرِ عَظْمِ الْحَىِّ فِي الإِثْمِ
Maksudnya: “Memecahkan tulang si mati sama seperti memecahkan tulang orang hidup pada hukum berdosanya.”
Riwayat Abu Dawud (3207), Ibn Majah (1616), Ahmad (24739) dan al-Baihaqi (7329)
Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menjelaskan: “Dapat diambil iktibar daripada hadith ini bahawasanya pengharaman seseorang muslim ke atas saudaranya ketika meninggal dunia sama seperti halnya ketika hidup.” Beliau turut menyebut: “Diambil juga faedah daripada hadith ini, bahawa sesungguhnya kehormatan seorang Mukmin kekal selepas kematiannya, sebagaimana kehormatannya semasa hidupnya. (Lihat Fath al-Bari, 9/142).
Keterangan Dalil:
Hadith di atas menunjukkan bahawa orang yang hidup diharamkan memecah dan merosakkan tulangnya. Begitu juga memotong sebahagian anggotanya. Hal yang sama juga berlaku kepada si mati.
- Ibn Abbas R.Anhuma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لا ضَرَرَ ولا ضِرارَ
Maksudnya: “Tiada kemudaratan dan tiada yang memudaratkan.”
Riwayat Ibn Majah (2341); Ahmad (5/327); al-Daraqutni (4/228); Imam Malik (2/746) dalam al-Muwatta’.
Imam Ibn Daqiq al-‘Id menyebut, bahawa al-Mahasini berkata: “Yang dimaksudkan dengan merugikan adalah melakukan sesuatu yang bermanfaat bagi dirinya, tetapi menyebabkan orang lain mendapatkan mudarat.” Ini adalah pendapat yang benar. (Lihat Syarh al-Arba‘in al-Nawawiyyah fi al-Ahadith al-Sahihah al-Nabawiyyah, hlm. 83).
Sebahagian ulama berkata: “Yang dimaksud dengan kamu membahayakan iaitu engkau merugikan orang yang tidak merugikan kamu. Sedangkan yang dimaksudkan saling merugikan iaitu engkau membalas orang yang merugikan kamu dengan hal yang tidak setara dan bukan untuk membela kebenaran.” (Lihat al-Kafi Syarah Arba‘in al-Nawawi, hlm. 302).
Keterangan Dalil:
Hadith di atas menunjukkan bahawa memotong anggota seseorang untuk tabarru’ atau derma kepada yang lain sudah pasti memberi mudarat kepada yang dipotong. Justeru, ia termasuk dalam umum larangan dan haram perbuatannya.
- Jabir R.A meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:
ابدَأ بنفسِكَ فتصدَّق عليها، فإن فَضلَ عن نفسِكَ شيءٌ فلأَهْلِكَ، فإن فضلَ شيءٌ فلِذَوي قرابتِكَ، فإن فَضلَ عن ذَوي قرابتِكَ شيءٌ فَهَكذا وَهَكذا
Maksudnya: “Mulakanlah dengan dirimu, kemudian sedekahlah. Jika ada lebihan, maka untuk keluarga kamu, dan jika ada baki, maka untuk sanak saudara kamu. Dan jika melebihi kaum kerabatmu sesuatu, maka begitulah seterusnya…”
Riwayat Muslim (997) dan al-Nasa’i (2546)
Keterangan Dalil: Nabi SAW meletakkan tertib dalam pembahagian harta dan keperluannya yang mana bermula daripada jiwanya, kemudian isterinya dan anaknya, seterusnya kaum kerabat. Justeru, tidak harus seseorang mengorbankan hak dirinya untuk orang lain. Ini dalam bab nafkah, apatah lagi dan lebih aula dalam bab membinasakan dirinya untuk menghidupkan orang lain. Inilah yang diperintahkan kepada kita untuk mengikut nas syarak. (Lihat Naqlu wa Zira’ah al-A’dha’ al-Adamiaholeh Dr. al-Sukkari, hlm. 119)
Ketiga: Dalil Akal
Mereka berdalilkan dengannya dari beberapa aspek dan sudut. Di antaranya:
Keterangan Pertama: Di antara syarat sah tabarru‘ (menghadiahkan atau menderma), barang atau sesuatu yang hendak diberikan itu adalah hak miliknya yang hakiki. Oleh itu, manusia tidak memiliki dirinya sendiri secara hakiki. Justeru, tidak sah seseorang itu untuk mendermakan organnya mengikut syarak.
Keterangan Kedua: Menolak mafsadah merupakan maksud syarak. Dalam tabarru‘ yang mana mafsadah amat besar berbanding maslahat. Hal ini kerana membatalkan manfaat daripada jasad yang dipindahkan anggotanya. Bahkan kadang-kadang boleh membawa kepada binasa atau paling kurang sukar melaksanakan ibadat dan kewajipan. (Lihat Naql wa Zira‘ah al-A‘dha’ al-Adamiah oleh Dr. al-Sukkari, hlm. 110).
Keterangan ketiga: Qiyas. Dikemukakan di sini dua bentuk qiyas:
- Penghormatan harta lebih ringan berbanding penghormatan jiwa. Nabi SAW memerintahkan supaya memelihara daripada rasuah manusia. Justeru, lebih utama untuk dipelihara organ mereka. (Lihat Naql wa Zira‘ah al-A‘dha’ al-Adamiah, 118-119).
- Tidak harus memotong anggota dan organ manusia sebagaimana tidak harus memotong sebahagian anggota manusia kerana ia termasuk sebahagian anggota jasad. Ini dikuatkan lagi dengan hukum asal dalam kaedah yang masyhur:
الأَصْلُ فِي الأَبْضَاعِ التَّحْرِيمُ
Maksudnya: “Asal pada kemaluan adalah haram.” (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 32/93)
Keempat: Dalil daripada al-Qawaid al-Fiqhiyyah
Terdapat beberapa dalil yang diambil daripada al-Qawaid al-Fiqhiyyah, antaranya:
Kaedah Pertama:
الضَّرَرُ لاَ يُزَالُ بِالضَّرَرِ
Maksudnya: Kemudharatan tidak boleh dihilangkan dengan kemudharatan. (Lihat Qawaid al-Fiqh oleh al-Mujaddidi al-Barkati, hlm. 59)
Kaedah Kedua:
الضَّرَر لَا يُزَال بِمِثْلِهِ
Maksudnya: “Kemudharatan itu tidak boleh dihilangkan dengan (kemudharatan) yang seumpama dengannya.” (Lihat Syarh al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah, hlm. 195-196).
Keterangan Dalil: Dua kaedah di atas mengandungi tegahan daripada menghilangkan kemudharatan dengan seumpamanya. Inilah yang terjadi dalam isu pemindahan organ, yang mana kemudharatan daripada seseorang dihilangkan, tetapi akan berlaku kemudharatan kepada penderma organ. (Lihat Syarh al-Qawa‘id al-Fiqhiyah oleh al-Zarqa’, hlm. 141; Qawa‘id al-Fiqh oleh al-Mujaddidi, hlm. 88; Qadaya Fiqhiyah Muasirah oleh Syeikh Muhammad Burhanudin al-Sambuhli, hlm. 61).
Kaedah Ketiga:
مَا جَازَ بَيْعُهُ جَازَ هِبَتُهُ وَمَا لَا فَلَا
Maksudnya: “Apa yang harus untuk dijual, maka harus juga untuk dihadiahkan. Dan apa yang tidak harus untuk dijual, maka hukumnya juga adalah tidak harus untuk dihadiahkan.” (Liha al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 469).
Keterangan Dalil: Mereka sepakat bahawa anggota manusia tidak harus dijualnya dan kaedah menunjukkan bahawa apa yang tidak harus dijual, begitu juga tidak harus dihebahkannya. Justru, tidak harus tabarru‘ atau derma anggota manusia sama ada semasa hidup atau selepas mati.
Kami juga ada menulis berkenaan isu ini dalam eBook bertajuk Transplantasi Rahim: Isu dan Hukumnya.[4]
Setelah menekuni dalil-dalil tersebut, kami lebih cenderung kepada pendapat yang kami nyatakan sebelum ini dan tarjih kami sebagai pendapat yang paling asah iaitu keharusan pemindahan organ. Ini berdasarkan dalil-dalil yang dikemukakan oleh para ulama’ yang mengharuskannya.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.
Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”
Nota hujung:
[1] Melalui risalahnya: “Manusia tidak memiliki jasadnya, justeru bagaimana mungkin dia mendermakan anggotanya atau menjualnya?” Kenyataan ini telah disiarkan melalui akhbar Jaridah al-Liwa’ al-Islami (bil. 226, Khamis, 27 Jamadil Akhir 1407 H.
[2] Lihat https://binothaimeen.net/content/8307. Diakses pada 8 Ogos 2022.
[3] Lihat Ahkam al-Jirahah al-Tibbiyyah, hlm. 354-355.
[4] Untuk bacaan lanjut, boleh dapatkan di pautan berikut: https://play.google.com/store/books/details?id=WXgfEQAAQBAJ