Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Ketika zaman kanak-kanak saya pernah mencuri buku di kedai buku berhampiran rumah saya. Kini, saya telah dewasa dan mula faham hukum dan akibat terhadap perbuatan saya itu. Saya berhasrat untuk pergi berjumpa tuan kedai tersebut. Namun, apabila saya ke sana, didapati kedai tersebut sudah tiada lagi. Apabila saya bertanya, orang-orang di sekitarnya juga tidak dapat mengetahuinya. Jadi, apa yang perlu saya lakukan. Mohon penjelasan.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pada asasnya, Islam melarang umatnya daripada mengambil dan menggunakan sesuatu yang menjadi hak milik orang lain sebelum mendapat keizinan dan kebenaran daripada pemiliknya. Hal ini dapat dilihat melalui firman Allah SWT:
وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Janganlah kamu makan harta orang lain dengan jalan yang batil, dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, dengan maksud agar kamu dapat memakan sebahagian harta orang lain itu dengan jalan berbuat dosa, padahal kamu mengetahui.”
(Surah al-Baqarah: 188)
Dalam isu di atas, tindakan untuk bertaubat daripada dosa yang telah di- lakukan adalah satu perkara yang wajib dan terpuji. Inilah yang ditegaskan oleh Allah SWT melalui firman-Nya:
يَأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَصُوحًا عَسَى رَبُّكُمْ أَن يُكَفِّرَ عنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَرُ يَوْمَ لَا يُخْزِي اللَّهُ النَّبِيَّ وَالَّذِينَ ءَامَنُوا مَعَهُ نُورُهُمْ يَسْعَى بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَبِأَيْمَانِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا أَتْمِمْ لَنَا نُورَنَا وَاغْفِرْ لَنَا إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah dengan ‘Taubat Nasuha’. Mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari ketika Allah tidak menghinakan Nabi dan orang-orang mukmin yang bersama dia, sedang cahaya mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka mengatakan: “Wahai Tuhan kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan ampunilah kami; Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.”
(Surah al-Tahrim: 8)
Meskipun begitu, sekiranya dosa tersebut adalah berhubung dengan manusia yang lain, maka dosa tersebut hanya akan terhapus apabila seseorang telah memohon kemaafan daripada orang yang dizalimi tersebut.
Namun, jika orang yang dicari tersebut tidak ditemui, maka para ulama’ telah menyebut beberapa tindakan yang boleh diambil dalam usaha memulangkan barang kepada pemiliknya. Menurut pandangan Imam al-Ghazali sepertimana dinukilkan oleh Imam al-Nawawi, sesiapa yang menyimpan harta haram (harta yang bukan miliknya, termasuk hutang), maka dia hendaklah bertaubat daripada perbuatannya, dan berlepas diri daripada harta haram tersebut, serta dia hendaklah mencari si pemilik sah harta itu.
Apabila si pemilik sah sudah meninggal dunia, hendaklah harta itu diserahkan kepada ahli warisnya. Namun jika si pemilik sah dan ahli warisnya tidak diketahui juga, hendaklah harta tersebut disalurkan kepada maslahat kaum Muslimin, seperti membina jambatan, masjid, menjaga perbatasan negara Islam dan sektor lain yang bermanfaat untuk seluruh kaum muslimin. Atau boleh juga disumbangkan kepada fakir miskin. (Lihat al-Majmu’ Syarh Muhazzab, 9/351).
Selain itu, disebut dalam kitab Syarh Riyadh al-Salihin, bahawa boleh juga harta yang dicuri tersebut disedekahkan atas nama pemilik harta dengan ikhlas kerana Allah SWT, juga disertakan niat pahala kepada tuannya:
فَتَصَدَّقَ بِهِ عَنْهُ تَخَلُّصًا مِنْهُ، وَاللهُ- سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى- يَعْلَمُهُ وَيُعْطِيهِ إِيَّاهُ
Maksudnya: “Maka disedekahkan atas namanya dengan ikhlas. Dan Allah SWT mengetahui hal ini dan akan menunaikan hal ini dan menunaikan kepada orang tersebut (pemilik harta).” (Lihat Syarh Riyadh al-Solihin, 1/89).
Begitu juga sekiranya ditakdirkan bahawa orang yang dicari tersebut sebenarnya sudah meninggal dunia, maka pohonlah keampunan kepada Allah SWT dengan sebenar-benarnya kerana Dia-lah yang Maha Pengampun atas segala sesuatu.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.”