#7803: Tatacara Solat Hari Raya

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah cara untuk melakukan solat sunat hari raya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Solat sunat hari raya adalah solat sunat yang dilakukan sebanyak dua rakaat. Pada rakaat pertama, selepas takbiratul ihram, disunatkan untuk bertakbir sebanyak 7 kali. Pada rakaat kedua pula disunatkan untuk bertakbir sebanyak 5 kali.

Hal ini berdasarkan hadith daripada ‘Amru Bin Syu’aib daripada bapanya, daripada datuknya :

أَنَّ النَّبِيَّ صَلى الله عَليه وسَلم كَبَّرَ فِي عِيدٍ ثِنْتيْ عَشْرَةَ تَكْبِيرَةً سَبْعًا فِي الأُولَى وَخَمْسًا فِي الآخِرَةِ وَلَمْ يُصَلِّ قَبْلَهَا، وَلاَ بَعْدَهَا

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW bertakbir dalam solat Sunat Hari Raya sebanuak 12 kali takbir. Tujuh kali pada rakaat yang pertama dan lima kali pada rakaat yang kedua. Baginda tidak melakukan solat pada sebelum atau selepasnya.”

Riwayat Ahmad (6802)

Dalam riwayat yang lain menyebut:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَبَّرَ فِي الْعِيدَيْنِ فِي الْأُولَى سَبْعًا قَبْلَ الْقِرَاءَةِ وَفِي الْآخِرَةِ خَمْسًا قَبْلَ الْقِرَاءَةِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW melafazkan takbir dalam dua solat  sunat Hari Raya. Pada rakaat pertama, Nabi bertakbir sebanyak tujuh kali sebelum membaca (Al-Fatihah) dan pada rakaat yang kedua, Nabi bertakbir sebanyak lima kali sebelum membaca (Al-Fatihah).”

Riwayat al-Tirmizi (492)

Imam al-Nawawi menjelaskan: “Adapun yang paling sempurna, selepas takbiratul Ihram dibaca Doa Iftitah. Kemudian pada rakaat pertama, melafazkan takbir sebanyak tujuh kali kecuali Takbiratul Ihram dan takbir ketika hendak rukuk. Pada rakaat kedua, melafazkan takbir sebanyak lima kali kecuali takbir ketika bangkit dari sujud dan takbir ketika rukuk.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 5/17)

Tatacara Solat Hari Raya

Solat hari raya dua rakaat dimulakan dengan takbiratul ihram, diikuti dengan doa Iftitah. Kemudian, bertakbir sebanyak 7 kali sambil mengangkat tangan, selari dengan bahu, sebagaimana takbiratul ihram. Hendaklah diselangi di antara sekadar masa satu ayat sederhana dan sunat mambaca tasbih.

Seterusnya, membaca surah Al-Fatihah dan satu surah atau beberapa ayat daripada al-Quran. Selepas takbir ketika bangun pada rakaat kedua, hendaklah bertakbir sebanyak bertakbir sebanyak lima kali sebelum memulakan bacaan dan setiap takbir diselangi dengan tasbih, sebagaimana yang disebutkan tadi.

Rakaat Pertama

  • Berniat di dalam hati untuk mengerjakan solat Hari Raya Aidilfitri atau Aidiladha.
  • Takbiratul Ihram.
  • Doa Iftitah.
  • Takbir tujuh kali dan diselangi dengan mem- baca zikir seperti شتخان الله وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلَا إِلَهَ إِلا اللَّهُ والله أنجبر” )”Subhanallah, walhamdulillah, wa la ilaha illallah, wallahu akbar”) sebanyak tujuh kali.
  • Membaca surah al- Fatihah.
  • Membaca mana-mana surah dalam al-Quran.
  • rukuk
  • iktidal
  • sujud
  • Duduk antara dua sujud.
  • Sujud kali kedua.
  • Bangun untuk rakaat kedua.

Rakaat Kedua

  • Takbir lima kali dan diselangi dengan membaca zikir seperti سُبْحَانَ الله وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلَا إِلَهَ إِلا الله والله أكبر)”Subhanallah, walhamdulillah,wa la ilaha illallah, wallahu akbar”) sebanyak lima kali.
  • Membaca surah Al- Fatihah.
  • Membaca mana-mana surah dalam Al-Quran.
  • rukuk
  • iktidal
  • sujud
  • Duduk antara dua sujud.
  • Sujud kali kedua.
  • Duduk untuk tahiyyat akhir.
  • Memberi salam ke kanan dan ke kiri.

Semua takbir tambahan ini hanyalah sunat sahaja. Jika kita terlupa melakukannya dan kita telah memulai bacaan fatihah, maka sunat takbir tambahan itu akan terluput. Namun, solatnya tetap sah.

Semoga Allah SWT menerima amal ibadat kita. Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”