#7804: Orang yang Disihir Menjadi Imam

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada seorang kawan yang disihir. Dia telah menghafal keseluruhan al-Quran, jadi kadang-kadang kami masih meminta dia untuk menjadi imam. Isunya, adakah orang yang di sihir itu boleh menjadi imam?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

 وَلَا يُفْلِحُ السَّاحِرُ حَيْثُ أَتَىٰ

Maksudnya: Dan tidak akan menang tukang sihir itu, dari mana saja ia datang”.

(Surah Taha: 69)

Ibn Kathir berkata: Sesungguhnya para penyihir itu tidak akan pernah menang, meskipun mereka membawa pelbagai bentuk sihir. Sebab, semua perbuatan mereka dilandaskan di atas kebatilan. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/542)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Sesungguhnya sihir yang mereka ciptakan itu hanyalah tipu muslihat yang sudah diatur dan tipu daya sihir yang tidak nyata. Dan penyihir itu tidak akan menang di mana pun dia berada dan datang. (Lihat Tafsir al-Wajiz, hlm. 429)

Sihir pada asalnya ialah mengubah sesuatu daripada hakikat sebenarnya kepada sesuatu yang lain. Maka, seolah-olah tukang sihir, apabila dia melihat kebatilan dalam rupa kebenaran dan dia memperdayakan sesuatu sehingga kelihatan tidak seperti hakikatnya, ketika itu dia telah melakukan sihir terhadap sesuatu itu dengan mengubahnya daripada keadaan asalnya.

Menurut istilah syara‘ pula, sihir merujuk kepada satu perjanjian antara seorang ahli sihir dan syaitan, di mana ahli sihir itu bersetuju untuk melakukan beberapa perkara yang diharamkan atau amalan syirik sebagai balasan bagi bantuan syaitan kepadanya dan kepatuhan syaitan terhadap apa yang diminta daripadanya. (Lihat Lisan al-‘Arab, 4/348; al-Sarim al-Battar fi al-Tasaddi li al-Saharah al-Asyrar, hlm. 17)

Memahami hakikat sihir ini, maka keadaan orang yang disihir itu boleh jadi berbeza-beza berdasarkan kepada sihir yang ditimpanya. Syeikh Wahid ‘Abd al-Salam Bali di dalam al-Sarim al-Battar fi al-Tasaddi li al-Saharah al-Asyrar, telah membawakan beberapa bentuk sihir dan kaedah-kaedah serta zikir yang boleh diamalkan sebagai ikhtiar untuk mencegah beberapa bentuk sihir yang berbeza. Antara sihir-sihir yang ada; sihir pemisah, sihir pengasih, sihir penyebab khayal, sihir penyebab gila, sihir mengganggu fikiran, sihir penyebab gangguan, sihir penyebab penyakit, sihir penyebab wanita didatangi darah istihadhah dan sihir pelalau. Melihat kepada segala bentuk sihir yang disebutkan ini, ia akan menatijahkan dua keadaan pada orang yang disihir tersebut:

  • Sama ada orang yang disihir itu terkesan pada fikiran warasnya sehingga dia tidak mampu memutuskan kehendak dan pilihan sendiri, seperti sihir penyebab gila dan sihir penyebab khayal, sihir mengganggu fikiran dan lain-lain.
  • Mungkin juga sihir itu tidak memberi kesan pada fikiran warasnya, sepertisihir penyebab gangguan, sihir penyebab wanita didatangi darah istihadhah, dan selainnya.

Sekiranya orang yang disihir itu terkesan pada fikiran warasnya, maka ketika itu kewajipan solat telah gugur darinya kerana dia diumpamakan seperti keadaan orang yang hilang akal. Berakal itu termasuk dalam salah satu syarat mukallaf, kerana suatu perintah itu termaktub apabila adanya daya kefahaman pada seseorang itu. Maka, orang yang hilang akal itu tidak dikategorikan sebagai mukallaf, bahkan mustahil untuk diwajibkan ke atasnya taklif syara‘ dalam keadaan dia tidak memahami sebarang arahan atau larangan. (Lihat Syarh al-Waraqat oleh Ibn Firkah, hlm. 41; al-Bahr al-Muhit, 2/62)

Apabila gugurnya kewajipan solat, maka sudah pasti dia tidak dibenarkan untuk menjadi imam. Jika makmum mengetahui keadaan imam yang hilang akalnya, tetapi masih tetap mengangkatnya sebagai imam, maka solat tersebut terbatal. Fuqaha’ al-Syafi‘iyyah telah membincangkan perihal menjadi imam ini, dan mereka menggariskan bahawa sesiapa sahaja yang telah diketahui terbatal solatnya, seperti gila dan sebagainya, maka tidak sah hukumnya menjadi makmum di belakang lelaki tersebut. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/478)

Akan tetapi, seandainya orang yang disihir itu telah tersedar, yakni akalnya kembali waras, dan dia juga mengetahui masuknya waktu solat, maka ketika itu diwajibkan ke atasnya solat dan dia termasuk dalam kalangan mukallaf. Dalam keadaan ini, lelaki yang disihir itu boleh menjadi imam solat, berdasarkan kaedah:

مَنْ صَحَّتْ صَلَاتُهُ صَحَّتْ إِمَامَتُهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang sah solatnya, sah juga untuk dia menjadi imam solat.” (Lihat Subul al-Salam, 1/373; ‘Aun al-Ma‘bud, 2/214)

Semoga kita diberikan kefahaman yang baik dalam beramal, dan dijauhkan dari ditimpa sebarang ujian yang menghalang kesempurnaan ibadah. Kami akhiri dengan Surah al-Falaq:

قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ (1) مِن شَرِّ مَا خَلَقَ (2) وَمِن شَرِّ غَاسِقٍ إِذَا وَقَبَ (3) وَمِن شَرِّ النَّفَّاثَاتِ فِي الْعُقَدِ (4) وَمِن شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk. (1) Dari bencana makhluk-makhluk yang Dia ciptakan. (2) Dan dari bahaya gelap apabila ia masuk. (3) Dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan). (4) Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya’. (5)”

(Surah al-Falaq: 1-5)

Wallahu a‘lam