#7806: Isu Menghadap Ke Arah Kiblat Ketika Solat di dalam Kapal Terbang

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana dengan isu menghadap ke arah kiblat ketika melakukan solat di dalam kapal terbang?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Kiblat

Dari sudut bahasa, kiblat bermaksud arah (al-jihah) yang kita solat ke arahnya. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, kiblat bermaksud arah ke Kaabah di Makkah, iaitu arah yang dihadap oleh orang Islam ketika bersembahyang.

Menurut istilah syara‘ pula, ia difahami sebagai Kaabah secara mutlak tanpa mengandungi maksud yang lain.  (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/142)

Tidak ada perselisihan dalam kalangan fuqaha’ bahawa menghadap ke arah Kaabah merupakan syarat sah solat bagi yang berkemampuan. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 32/302)

Dalil Pensyariatan Menghadap ke Arah Kiblat

Perintah menghadap kiblat ketika solat adalah jelas sebagaimana yang warid dalam firman Allah SWT:

قَدْ نَرَىٰ تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِى ٱلسَّمَآءِ ۖ فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةًۭ تَرْضَىٰهَا ۚ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ ۚ وَحَيْثُ مَا كُنتُمْ فَوَلُّوا۟ وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُۥ ۗ وَإِنَّ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْكِتَـٰبَ لَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ ٱلْحَقُّ مِن رَّبِّهِمْ ۗ وَمَا ٱللَّهُ بِغَـٰفِلٍ عَمَّا يَعْمَلُونَ

Maksudnya: “Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah Masjid Al-Haram (tempat letaknya Kaabah) dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka, dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan.”

(Surah al-Baqarah: 144)

Ibn al-Jauzi berkata, sebab turunnya ayat ini adalah, Rasulullah SAW amat suka menghadap ke arah Kaabah. Inilah pendapat al-Barra’, Ibn ‘Abbas, Ibn al-Musayyib, Abu al-‘Aliyah dan Qatadah.

Para ulama’ tafsir berbeza kepada dua pendapat berkenaan sebab mengapa Nabi SAW memilih untuk menghadap ke arah Kaabah berbanding Bait al-Maqdis:

  • Kerana ia merupakan kiblat Nabi Ibrahim A.S. Ini adalah yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.A.
  • Kerana ini berbeza dengan perbuatan orang Yahudi. Inilah pendapat Mujahid. (Lihat Zad al-Masir, 1/141)

Al-Zamakhsyari berpendapat bahawa lafaz ‘قَدْ’ dalam ayat ini menggambarkan banyak. (Lihat al-Kassyaf, 1/144)

Qatadah dan Suddi dan lain-lain berkata bahawasanya Rasulullah SAW kerap kali membolak balik wajah baginda ketika berdoa kepada Allah agar ditukarkan kiblat ke arah Makkah. Mereka berkata baginda membolak balik wajah baginda untuk memohon keizinan Allah di dalam doa. al-Zamakhsyari mengatakan bahawa Baginda memohon kepada Allah untuk ditukarkan kiblat ke arah Kaabah kerana itu merupakan kiblat Nabi Ibrahim A.S.  (Lihat al-Bahr al-Muhit, 2/60)

Kewajiban menghadap kiblat ketika solat ini juga thabit berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا قُمْتَ إِلَى الصَّلَاةِ فَأَسْبِغِ الْوُضُوءَ، ثُمَّ اسْتَقْبِلِ الْقِبْلَةَ فَكَبِّرْ

Maksudnya: “Jika kamu hendak solat maka sempurnakanlah wudhu, kemudian menghadaplah ke kiblat kemudian bertakbirlah”

Riwayat al-Bukhari (6667) dan Muslim (397)

Mencari arah kiblat adalah suatu kewajiban bagi mereka yang mahu mendirikan solat. Pelbagai cara dan kaedah boleh dilakukan bagi menentukan arah kiblat dewasa ini. Tidak tahu bukan lagi alasan kukuh pada zaman kini. Teknologi satelit, kompas, telefon pintar dan sebagainya memungkinkan kita untuk mengetahuinya dengan mudah. Justeru, tidak sah solat seseorang tanpa menghadap kiblat dengan alasan tidak tahu.

Dalam Mazhab al-Syafi‘i, cara-cara mengetahui kiblat mengikut susunan keutamaan itu ada empat, iaitu:

  • Ilmu pengetahuan sendiri yang meyakinkan, seperti orang yang celik melihat ‘ain Kaabah atau orang buta yang memegang Kaabah.
  • Perkhabaran seorang yang terpercaya dengan pengetahuannya.
  • Ijtihad seperti menggunakan kompas dan seumpamanya.
  • Orang yang bertaqlid kepada ijtihad orang lain. (Lihat I‘anah al-Talibin, 1/145)

Walaubagaimanapun, jika tidak dapat berijtihad dan menganggarkan arah kiblat dengan tepat, solat tetap perlu dilaksanakan. Hal ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Amir bin Rabi‘ah daripada bapanya, beliau berkata:

كُنَّا مَعَ النَّبِيِّ ﷺ فِي سَفَرٍ فِي لَيْلَةٍ مُظْلِمَةٍ فَلَمْ نَدْرِ أَيْنَ الْقِبْلَةُ فَصَلَّى كُلُّ رَجُلٍ مِنَّا عَلَى حِيَالِهِ فَلَمَّا أَصْبَحْنَا ذَكَرْنَا ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ ﷺ فَنَزَلَ‏:‏ ‏(‏فَأَيْنَمَا تُولُّوا فَثَمَّ وَجْهُ الله‏)

Maksudnya: “Kami dahulu bersama Nabi SAW dalam sebuah permusafiran di malam hari yang gelap-gelita. Maka kami tidak mengetahui di mana arah kiblat. Maka setiap orang dari kami solat menurut keyakinan masing-masing. Kemudian pada waktu paginya, kami menceritakannya kepada Nabi SAW, maka turunlah ayat: ‘Ke arah mana pun kamu menghadap, maka disitulah wajah Allah’.”                                                                                                    

Riwayat al-Tirmizi (345)

Berdasarkan kepada hadith di atas, para fuqaha’ telah bersepakat bahawa solat tetap wajib dilaksanakan walaupun tidak menghadap kiblat. Walau bagaimanapun, status hadith di atas dinilai dha‘if dan menurut Mazhab al-Syafi‘i solat yang telah dilakukan menghadap ke arah kiblat yang salah, solat tersebut wajib diqadha’ semula. Ianya dipetik daripada Minhaj at-Thalibin, dimana sesiapa solat (ke arah kiblat) berdasarkan ijtihad, kemudian dia mendapat tahu bahawa kiblat itu salah, maka dia wajib qadha’ solatnya, menurut pendapat yang lebih kuat. Dan ketika dia tahu kesalahannya ketika sedang solat, dia wajib mengulangi semula solatnya. (Lihat Minhaj at-Talibin, 1/158)

Menurut Muhammad al-Zuhaili, bagi umat Islam yang berada jauh dari Kaabah atau mereka yang terhalang terus daripada melihat Kaabah, hal demikian tidak memudaratkan solat jika posisi mereka agak ke kanan sedikit atau ke kiri sedikit dari ‘ain Kaabah. Hal ini kerana, kesilapan tersebut tidaklah terlalu jauh, selagi mana tidak melencong dari arah Kaabah. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/215-216)

Alhamdulillah, pengalaman penulis juga khususnya kapal terbang Arab Saudi pada jarak jauh seperti perjalanan antara Kuala Lumpur ke Jeddah, kapal terbang tersebut mempunyai ruang khusus tempat solat dan sentiasa menunjukkan ke arah kiblat. Alhamdulillah, hal ini dapat diselesaikan untuk menghadap ke arah kiblat. Pihak pramugara dan pramugari memberi kerjasama dalam penentuan arah kiblat. Tambahan pula, zaman sekarang ini, ada jam yang menunjukkan ke arah kiblat termasuk handphone yang canggih dan terkini, mempunyai aplikasi kiblat.

Bagi penumpang  yang ingin menunaikan solat sunat di dalam pesawat, dia boleh solat di mana-mana posisi tanpa perlu menghadap kiblat. Ini kerana telah disebutkan dalam hadith bahawa Nabi SAW solat di atas kenderaannya di mana Baginda menghadap ke arah tempat yang dituju ketika dalam permusafiran.

Bagi solat fardhu pula, adalah penting untuk menghadap kiblat dan melakukan rukuk serta sujud jika tiada halangan untuk melakukannya. Bagi yang mampu melakukannya dalam pesawat, dia boleh menunaikan solat di dalam pesawat tersebut. Jika waktu solat yang seharusnya dilakukan di dalam pesawat boleh dijamakkan waktu solat seterusnya, sebagai contoh, jika waktu zuhur, maka solat zuhur boleh ditangguhkan untuk disempurnakan bersama solat Asar, atau jika waktu solat maghrib semasa dalam pesawat, solat itu boleh ditangguhkan untuk disempurnakan bersama solat Isyak.

Penumpang boleh bertanya kepada juruterbang atau pramugari pramugara untuk mengetahui arah kiblat. Selepas pesawat stabil dalam penerbangan, dia boleh menunaikan solat secara berdiri dengan  menghadap kiblat. Jika terdapat keuzuran dalam melakukan perkara tersebut dan mampu untuk  menta’khirkan solat selepas mendaratnya pesawat maka lakukanlah yang sedemikian. Namun jika sebaliknya, Dia hendaklah solat mengikut keadaannya dalam pesawat. Solatnya tetap sah kerana Allah tidak membebani seseorang melampaui kemampuannya.

Alhamdulillah, apa yang dicadangkan di atas adalah amat praktikal berdasarkan pengalaman penulis ketika menaiki kapal terbang Arab Saudi menuju ke Riyadh pada bulan Ramadhan yang lepas, 1442 Hijrah.

Kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.”