#7809: Isu Rukun Berdiri Betul Ketika Solat di atas Kapal Terbang

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana dengan rukun berdiri betul jika saya hendak solat di atas kapal terbang?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Antara perkara yang diperselisihkan dan menjadi isu dalam hal ini adalah rukun berdiri dalam solat-solat fardhu yang lima sebagaimana perintah jelas dari Allah SWT melalui firman-Nya:

حَـٰفِظُوا۟ عَلَى ٱلصَّلَوَٰتِ وَٱلصَّلَوٰةِ ٱلْوُسْطَىٰ وَقُومُوا۟ لِلَّهِ قَـٰنِتِينَ

Maksudnya: “Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardhu khasnya sembahyang wusta (solat Asar) dan berdirilah kerana Allah (dalam solat kamu) dengan taat dan khusyuk.”

(Surah al-Baqarah: 238)

Merujuk kepada ayat di atas, al-Qurtubi mengatakan, perkataan (حَـٰفِظُوا۟) merujuk kepada suruhan Allah SWT ke atas hambanya supaya memelihara serta menjaga solatnya dengan mengerjakan solat tersebut dalam waktunya dan memenuhi syarat-syaratnya. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 3/212)

Imam al-Nawawi menjelaskan, sekiranya seseorang (yang solat secara berdiri) itu takutkan kesusahan yang kuat atau bertambahnya kesakitan, maka dia boleh untuk solat secara duduk serta tidak perlu untuk mengulanginya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/310)

Begitu juga berdasarkan pendapat yang disebut oleh Imam al-Ramli seperti dinukil oleh Syeikh Hasan bin Ahmad al-Kaf yang menyatakan bahawa dibolehkan untuk seseorang itu solat secara duduk apabila terdapatnya masyaqqah (kepayahan) yang boleh menghilangkan kekhusyukan semasa solat. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 214)

Oleh itu, berdasarkan hadith ini, hendaklah seseorang itu melaksanakan solat dalam apa jua keadaan seseorang sekali pun sakit atau uzur, dan mereka diberikan rukhsah untuk duduk atau berbaring. Kewajipan solat itu tidak luput pada waktu itu dan tidak boleh digantikan pada waktu lain.

Dr Ahmad al-Syarbasi iaitu tokoh fiqh yang masyhur dari Universiti Al-Azhar menegaskan bahawa seseorang itu wajib berusaha untuk solat sesempurna mungkin iaitu dalam keadaan berdiri, rukuk dan sujud dilakukan secara sempurna.

Adapun solat di atas kenderaan dibenarkan sama ada kereta, teksi, bas ekspres, perahu, kapal selam, kapal terbang dan apa jua medium pengangkutan sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah Ibn ‘Umar R.A di mana telah bertanya seorang sahabat kepada Rasulullah SAW: “Bagaimanakah cara saya bersolat dalam perahu? Nabi SAW: Bersolatlah di dalamnya dengan berdiri  kecuali jika engkau takut tenggelam.” (Lihat Nail al-Autar, 2/265-266)

Hadith di atas merupakan dalil yang digunakan untuk mengharuskan bersolat di atas kenderaan, tanpa mengambil kira jenis kenderaan tersebut. Hal ini kerana ‘illah keharusan dalam hadith bukanlah berkenaan hukum perahu, tetapi kebolehan perlaksanaan solat di atas sesebuah kenderaan.

Antara yang dicadangkan: Solat perlu dilakukan secara berdiri, kecuali dikhuatiri akan rebah kerana pening, atau kenderaan yang dinaiki bergoyang, bergoncang dan lain-lain, maka ketika itu dibolehkan untuk duduk.

Dalam sebuah hadith daripada ‘Imran bin Husain R.A, Rasulullah SAW bersabda ketika beliau ingin solat di atas kapal:

صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ

Maksudnya: “Solatlah dalam keadaan berdiri. Jika tidak mampu dalam keadaan duduk. Jika tidak mampu maka solatlah dalam keadaan mengiring.”

Riwayat al-Bukhari (1117)

Akan tetapi jikalau tidak menghadapi kesukaran dan dia bersolat secara duduk di atas kenderaan maka solatnya itu adalah tidak sah kerana dianggap sengaja mengabai serta meremehkan rukun kewajipan solat. Demikian menurut ijma‘ para fuqaha’ Mazhab al-Syafi‘i, al-Maliki, al-Hanbali dan lain-lain. (Lihat Koleksi Hadith-Hadith Hukum oleh Prof. Dr. Hasbi al-Shiddieqie, 4/424)

Imam al-Nawawi mengatakan, umat Islam telah bersepakat bahawa sesiapa yang tidak mampu untuk berdiri di dalam solat fardhu, maka dia boleh melakukannya secara duduk dan solat tersebut tidak perlu diulangi. Demikian juga pahalanya (solat secara duduk) tidak berkurang daripada solat secara berdiri kerana dia diberikan keuzuran. (Lihat  al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/226)

Ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asy‘ari R.A bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا مَرِضَ العَبْدُ، أَوْ سَافَرَ، كُتِبَ لَهُ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا

Maksudnya: “Apabila seorang hamba sakit atau bermusafir maka dituliskan kepadanya  pahala sama seperti yang dia kerjakan ketika mukim dalam keadaan sihat.”

Riwayat al-Bukhari (2996)

Dalam situasi di mana seseorang sedang solat dan pesawat bergoyang sedikit, dibenarkan untuk berpegang atau bersandar pada dinding atau kerusi seketika bagi mengimbangi diri. Hal ini mengingatkan kepada sunnah Rasulullah SAW yang pernah solat dengan bersandarkan tiang ketika beliau dalam usia yang lanjut.

Apabila pesawat mengalami getaran yang kuat, solat boleh dilakukan sambil duduk dengan melakukan rukuk dalam keadaan membongkok dan sujud seperti biasa sehingga ke lantai pesawat. Jika sedang solat berdiri dan pesawat tiba-tiba bergoyang, teruskan solat sambil duduk sehingga selesai tanpa perlu memulakannya semula. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/241-243)

Apabila goyangan pesawat terlampau kuat sehingga mengeluarkan isyarat ‘Pasang tali pinggang keselamatan’ atau ‘Fasten seat belt’, lebih baik untuk duduk terlebih dahulu. Selepas suasana kembali tenang, maka lakukanlah solat tersebut. Memaksakan diri beribadat sehingga menyebabkan kecederaan bukanlah ajaran agama, bahkan ia akan diminta dipertanggungjawabkan jika kecederaan itu menghalang daripada melaksanakan ibadah lain. Jika goyangan pesawat berterusan dan boleh menyebabkan waktu solat terlewat atau terlepas (seperti solat subuh), laksanakanlah  solat secara duduk di tempat duduk.

Jika  tiada tempat untuk solat maka tetaplah bersolat di tempat duduk sendiri dengan sujud dilakukan lebih rendah dari posisi  rukuk. Adapun perintah menghadap kiblat tetap diwajibkan  sebagaimana yang telah  diterangkan sebelum ini.

Alhamdulillah, pengalaman penulis ketika melaksanakan ibadat umrah di kota suci Makkah al-Mukarramah dengan menaiki Saudi Airlines, disediakan di dalamnya tempat solat sama ada untuk berdiri atau duduk. Begitu juga, dari sudut goyangnya amat terkawal dan stabil. Mengambil kesempatan di sini, kami mengucapkan tahniah kepada Saudi Airlines dan mengharapkan syarikat penerbangan yang lain seperti MAS dan Air Asia juga boleh sediakan kemudahan seperti ini jika jarak perjalanan yang jauh.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.