Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hadith-hadith yang diriwayatkan oleh Ummu Hani’ R.Anha?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Ummu Hani’ telah meriwayatkan banyak hadith daripada Nabi SAW. Direkodkan bahawa terdapat sebanyak 46 riwayat hadith Nabi SAW yang diterima daripada beliau. Selain itu, di antara ulama yang mengambil riwayat daripadanya, ialah Ja‘dah iaitu anak beliau, maula Ummu Hani’ iaitu Abu Soleh Bazam, Kuraib maula Ibn ‘Abbas, ‘Abd al-Rahman bin Abu Laila, Mujahid bin Jabr, ‘Ata’ bin Abu Rabah, ‘Urwah bin al-Zubair dan ramai lagi.
Antara hadith yang diriwayatkan oleh Ummu Hani’ ialah:
- Hadith Berkenaan Solat Dhuha
Daripada Ummu Hani binti Abi Talib R.Anha menceritakan:
أَنَّهُ لَمَّا كَانَ عَامَ الْفَتْحِ أَتَتِ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمْ وَهُوَ بِأَعْلَى مَكَّة فَقَامَ رَسُوْلُ اللهِ إِلَى غَسْلِهِ فَسَتَرَتْ عَلَيْهِ فَاطِمَةُ ثُمَّ أَخَذَ ثَوْبَهُ وَالْتَحَفَ بِهِ ثُمَّ صَلَّى ثَمَانِيَ رَكَعَاتٍ سُبْحَةَ الضُّحَى
Maksudnya: “Bahawa sesungguhnya tatkala tahun pembukaan kota Mekah, beliau (Ummu Hani) menemui Rasulullah SAW ketika Baginda SAW berada di puncak bukit kawasan Mekah. Lalu Rasulullah SAW pergi mandi dengan dilindungi oleh Fatimah. Kemudian Baginda mengenakan pakaiannya dan terus bersolat Duha sebanyak lapan rakaat.” [1]
Riwayat Muslim (336)
Daripada Ummu Hani’ R.Anha:
أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى يَوْمَ الْفَتْحِ سُبْحَةَ الضُّحَى ثَمَانِيَ رَكَعَاتٍ وَيُسَلِّمُ مِنْ كُلِّ رَكْعَتَيْنِ
Maksudnya: “Bahawa Rasulullah bersolat Duha sebanyak lapan rakaat pada hari pembukaan kota Makkah. Baginda mengucap salam setiap kali selesai dua rakaat.”
Riwayat Abu Daud (1290) dan al-Albani berkata: Hadis ini daif
- Nabi SAW Memberi Jaminan kepada Orang yang Dilindungi oleh Ummu Hani’
Abu Murrah maula Ummu Hani’ binti Abu Talib mengkhabarkan kepadanya, bahawa dia mendengar Umm Hani’ binti Abu Talib berkata:
ذَهَبْتُ إِلَى رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَامَ الفَتْحِ، فَوَجَدْتُهُ يَغْتَسِلُ وَفَاطِمَةُ ابْنَتُهُ تَسْتُرُهُ، قَالَتْ: فَسَلَّمْتُ عَلَيْهِ، فَقَالَ: «مَنْ هَذِهِ؟» فَقُلْتُ: أَنَا أُمُّ هَانِئٍ بِنْتُ أَبِي طَالِبٍ فَقَالَ: «مَرْحَبًا بِأُمِّ هَانِئٍ»، فَلَمَّا فَرَغَ مِنْ غُسْلِهِ، قَامَ فَصَلَّى ثَمَانِيَ رَكَعَاتٍ مُلْتَحِفًا فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ، فَلَمَّا انْصَرَفَ، قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ، زَعَمَ ابْنُ أُمِّي أَنَّهُ قَاتِلٌ رَجُلًا قَدْ أَجَرْتُهُ، فُلاَنَ ابْنَ هُبَيْرَةَ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «قَدْ أَجَرْنَا مَنْ أَجَرْتِ يَا أُمَّ هَانِئٍ». قَالَتْ أُمُّ هَانِئٍ: وَذَاكَ ضُحًى.
Maksudnya: “‘Aku pergi menemui Rasulullah SAW pada tahun pembukaan Makkah. Aku dapati Baginda sedang mandi dan Fatimah puterinya pula sedang melindunginya dengan tabir.’ Umm Hani’ berkata: ‘Aku pun memberi salam kepada Baginda.’ Lantas Baginda bertanya: ‘Siapakah itu?’ Aku menjawab: ‘Saya Umm Hani’ binti Abu Talib.’ Lalu Nabi SAW bersabda: “Selamat datang Umm Hani’.” Setelah selesai mandi, Baginda SAW pun menunaikan solat lapan rakaat dengan berselimutkan sehelai kain sahaja. Setelah Baginda selesai solat, aku berkata: ‘Wahai Rasulullah! Anak ibuku (iaitu Ali bin Abu Talib) mengatakan bahawa dia akan membunuh seorang lelaki yang telah aku lindungi (berikan jaminan perlindungan kepadanya) iaitu Fulan Ibn Hubairah.’ Maka Rasulullah SAW pun bersabda: ‘Kami lindungi orang yang engkau lindungi wahai Umm Hani’.’ Umm Hani’ berkata: ‘Ketika itu adalah bertepatan dengan waktu Dhuha’.”
Riwayat al-Bukhari (357) dan Muslim (336)
- Hadith Isra’ yang Diriwayatkan oleh Ummu Hani’ R.Anha
Dalam Peristiwa Isra’, apabila menjelang pagi hari, Rasulullah SAW lalu menceritakan peristiwa tersebut kepada kaumnya, iaitu apa yang diperlihatkan Allah kepadanya daripada tanda-tanda terbesar yang menunjukkan kebesaran Allah SWT. Mendengarkan cerita itu, kaumnya bertambah tidak percaya, dan semakin menyakiti Rasulullah SAW. Mereka meminta Rasulullah SAW supaya menerangkan bagaimana rupa bentuk Baitul Maqdis. Lalu Allah SWT singkapkan dengan jelas kepada Rasulullah SAW sehingga Rasulullah SAW berupaya menyebut mengenainya dengan tepat. Rasulullah SAW berjaya memberitahu mereka mengenai tanda-tanda kebesaran Allah dan mereka pula tidak mampu untuk menyangkalnya sedikit pun.
Rasulullah SAW menceritakan kepada mereka mengenai rombongan dagang mereka yang ditemuinya semasa Baginda SAW pergi dan balik. Diberitahu bilakah masanya mereka akan sampai. Juga diberitahu mengenai rombongan yang Rasulullah SAW singgahi. Apa yang diberitahu benar-benar telah berlaku. Malangnya, berita itu tidak dapat membawa apa-apa kebaikan kepada mereka melainkan mereka bertambah melarikan diri daripada Rasulullah SAW. Memanglah orang yang zalim itu tidak menghendaki melainkan semata-mata untuk kufur. (Lihat Zad al-Ma‘ad, 1/48).
Ummu Hani’ R.Anha meriwayatkan bahawa: Mereka (kaum Quraisy) bertanya kepada Nabi SAW, “Berapakah pintu tersebut?” Baginda SAW menjawab, “Aku tidak sempat menghitungnya.” Kemudian Baginda diperlihatkan kepadanya lalu Baginda menyebut pintu satu persatu. (Lihat Fath al-Bari, 11/214)
- Hadith Tentang Kelebihan dan Ganjaran Zikir
Muhammad bin ‘Uqbah bin Abi Malik menyampaikan, bahawa Ummu Hani’ berkata:
أَتَيْتُ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، دُلَّنِي عَلَى عَمَلٍ فَإِنِّي قَدْ كَبِرْتُ وَضَعُفْتُ وَبَدُنْتُ، فَقَالَ: كَبِّرِي اللَّهَ مِائَةَ مَرَّةٍ، وَاحْمَدِي اللَّهَ مِائَةَ مَرَّةٍ، وَسَبِّحِي اللَّهَ مِائَةَ مَرَّةٍ خَيْرٌ مِنْ مِائَةِ فَرَسٍ مُلْجَمٍ مُسْرَجٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ، وَخَيْرٌ مِنْ مِائَةِ بَدَنَةٍ، وَخَيْرٌ مِنْ مِائَةِ رَقَبَةٍ.
Maksudnya: “Aku datang menemui Rasulullah SAW dan berkata: Ya Rasulullah, tunjukkanlah kepadaku satu amalan. Sesunggguhnya diriku telah menginjak usia tua dan badanku sudah mula lemah. Lalu Rasulullah SAW bersabda: ‘Bertakbirlah seratus kali, bertahmidlah seratus kali, bertasbihlah seratus kali. Sesungguhnya ganjaran pahala daripada kalimat tersebut lebih baik daripada seratus kuda pilihan yang dipersiapkan untuk jihad fi sabilillah, dan lebih baik daripada seratus ekor unta, serta lebih baik daripada membebaskan seratus hamba’.”
Riwayat Ibn Majah (3810) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (1/514). Dinyatakan sebagai hasan dalam Sahih Ibn Majah (3087)
- Hadith tentang Hidangan dengan Cuka
Daripada Ummu Hani’ binti Abi Talib R.Anha, katanya:
دَخَلَ عَلَىَّ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ : هَلْ عِنْدَكُمْ شَيْءٌ . فَقُلْتُ لاَ إِلاَّ كِسَرٌ يَابِسَةٌ وَخَلٌّ . فَقَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم : قَرِّبِيهِ فَمَا أَقْفَرَ بَيْتٌ مِنْ أُدْمٍ فِيهِ خَلٌّ
Maksudnya: “Rasulullah SAW datang melawatku dan bertanya: ‘Adakah kamu mempunyai sesuatu (makanan)?’ Aku menjawab: ‘Tidak, kecuali hanya cebisan roti kering dan cuka.’ Maka Nabi SAW bersabda: “Bawalah ke mari. Suatu rumah itu tidak ditimpa kefakiran dengan sebab wujudnya hidangan cuka di dalamnya.”
Riwayat al-Tirmizi (1841). Abu ‘Isa berkata: “Ini adalah hadith hasan Gharib ditinjau daripada jalur ini. Kami tidak mengetahuinya daripada hadith Ummu Hani’ kecuali melalui jalur ini.
- Hadith Tentang Bekas Mandi Rasulullah SAW
Daripada Mujahid, daripada Umm Hani’, katanya:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم اغْتَسَلَ هُوَ وَمَيْمُونَةُ مِنْ إِنَاءٍ وَاحِدٍ فِي قَصْعَةٍ فِيهَا أَثَرُ الْعَجِينِ
Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW mandi bersama Maimunah dari sebuah bejana, iaitu sebuah mangkuk yang di dalamnya masih ada kesan adunan roti.”
Riwayat al-Nasa’ie (240) dan Ibn Majah (378). Dinyatakan sebagai sahih dalam Sahih al-Nasa’ie (240)
- Hadith tentang Kambing dan Keberkatannya
Daripada Ummu Hani’, katanya: Rasulullah SAW bersabda:
اتَّخِذُوا الْغَنَمَ فَإِنَّ فِيهَا بَرَكَةً
Maksudnya: “Peliharalah (manfaatkanlah) kambing, kerana padanya terdapat keberkatan.”
Riwayat Ahmad (773) dan al-Tabarani (1039). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya sahih dalam takhrij al-Musnad (27381)
Al-Munawi berkata: “(Ambillah) (اتَّخِذُوا) sebagai petunjuk dan panduan (ternakan kambing). (Ia adalah berkat), iaitu kebaikan dan pertumbuhan kerana kecepatan hasilnya dan banyaknya. Ia melahirkan dua kali setahun dengan kelahiran satu dan dua ekor. Apa yang dimakan darinya adalah apa yang dikehendaki Allah dan muka bumi dipenuhi dengannya. (Lihat Masabih al-Tanwir, 1/88)
Daripada Ummu Hani’, bahawa Nabi SAW bersabda kepadanya:
اتَّخِذِي غَنَمًا يَا أُمَّ هَانِئٍ، فَإِنَّهَا تَرُوحُ بِخَيْرٍ، وَتَغْدُو بِخَيْرٍ
Maksudnya: “Peliharalah kambing wahai Ummu Hani’, kerana ia pergi pada waktu pagi dengan kebaikan dan kembali pada waktu petang dengan kebaikan.”
Riwayat Ahmad (26947). Syeikh Syu‘aib al-Arnaut menyatakan isnadnya sahih.
- Hadith tentang Puasa Sunat dan Pilihan untuk Berbuka atau Tidak
Daripada Ummu Hani’ R.Anha, katanya:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَخَلَ عَلَيْهَا يَوْمَ الْفَتْحِ فَأَتَتْهُ بِشَرَابٍ، فَشَرِبَ مِنْهُ، ثُمَّ فَضُلَتْ مِنْهُ فَضْلَةً فَنَاوَلَهَا فَشَرِبَتْهُ، ثُمَّ قَالَتْ: يَا رَسُولَ اللهِ، لَقَدْ فَعَلْتُ شَيْئًا مَا أَدْرِي يُوَافِقُكَ أَمْ لَا؟ قَالَ: وَمَا ذَاكَ يَا أُمَّ هَانِئٍ؟، قَالَتْ: كُنْتُ صَائِمَةً فَكَرِهْتُ أَنْ أَرُدَّ فَضْلَكَ فَشَرِبْتُهُ، قَالَ: تَطَوُّعًا أَوْ فَرِيضَةً؟ ، قَالَتْ: قُلْتُ: بَلْ تَطَوُّعًا، قَالَ: فَإِنَّ الصَّائِمَ الْمُتَطَوِّعَ بِالْخِيَارِ، إِنْ شَاءَ صَامَ، وَإِنْ شَاءَ أَفْطَرَ
Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW menemuinya ketika peristiwa Pembukaan Kota Makkah. Ummu Hani’ lalu menghidangkan air minuman untuk Baginda, dan Baginda pun meminumnya. Kemudian Baginda memberikan bakinya kepada Ummu Hani’, dan dia pun meminumnya. Setelah itu, dia berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku telah melakukan tindakan yang aku sendiri tidak tahu apakah engkau menyetujuinya ataupun tidak.” Baginda lalu bertanya: “Apakah itu wahai Ummu Hani’?” Ummu Hani’ menjawab: “Sebenarnya, aku sedang berpuasa. Akan tetapi, aku tidak suka jika aku mengembalikan baki (minuman) itu. Oleh itu, aku pun meminumnya.” Baginda bersabda: “Adakah kamu berpuasa sunat atau wajib?” Ummu Hani’ berkata: Aku menjawab: “Puasa sunat.” Baginda bersabda: “Sesungguhnya orang yang berpuasa sunat boleh memilih atau dua pilihan. Jika dia mahu, dia boleh meneruskan puasa. Jika dia mahu juga, dia boleh berbuka.”
Riwayat al-Tirmizi (732), al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra (3303) dan Ahmad (27385). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut menyatakan sanadnya adalah dha‘if dalam takhrij al-Musnad (27385)
- Hadith Tentang Tujuh Kelebihan Quraisy
Daripada Ummu Hani’ bint Abi Talib, katanya: Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى فَضَّلَ قُرَيْشًا بِسَبْعِ خِصَالٍ لَمْ يُعْطِهَا أَحَدًا قَبْلَهُمْ وَلَا يُعْطِيهَا أَحَدًا بَعْدَهُمْ، فِيهِمُ النُّبُوَّةُ، وَفِيهِمُ الْحِجَابَةُ، وَفِيهِمُ السِّقَايَةُ، وَنَصَرَهُمْ عَلَى الْفِيلِ وَهُمْ لَا يَعْبُدُونَ إِلَّا اللَّهَ، وَعَبَدُوا اللَّهَ عَشْرَ سِنِينَ لَمْ يَعْبُدْهُ غَيْرُهُمْ، وَنَزَلَتْ فِيهِمْ سُورَةٌ لَمْ يُشْرِكْ فِيهَا غَيْرَهَمْ لِإِيلَافِ قُرَيْشٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Ta’ala telah memuliakan kaum Quraisy dengan tujuh sifat, yang tidak diberikan pada kaum sebelum dan sesudah mereka. Sesungguhnya pada mereka ada kenabian (iaitu nabi akhir zaman dari kalangan mereka), menjalankan urusan Baitullah dari zaman ke zaman, menjaga urusan memberi minum air kepada orang ramai, diberikan pertolongan atas serangan gajah, mereka tidak menyembah kecuali selain Allah, mereka menyembah Allah selama sepuluh tahun (iaitu dari kalangan mereka yang telah memeluk Islam ketika awal permulaan dakwah di Makkah) di mana ketika itu orang Arab lain tidak menyembah Allah, dan diturunkan pada mereka surah yang tidak disebutkan pada surah itu sesiapa pun selain mereka, iaitu surah al-Quraisy.”
Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (7070)
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”
[1] Imam al-Nawawi berkata: Para ashab kami dan jumhur ulama berdalilkan dengan hadis ini dalam menyatakan istihbab (galakan) melakukan solat dhuha sebanyak lapan rakaat. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 5/233)