#7812: Penentuan Waktu Solat di Atas Kapal Terbang

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana cara penentuan waktu solat di atas kapal terbang?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Ini merupakan salah satu isu utama yang menjadi persoalan ramai pihak, terutamanya mereka yang mungkin baru pertama kali bermusafir menggunakan pengangkutan awam, seperti kereta api, kapal laut, kapal terbang dan lain-lain.

Solat fardhu lima waktu antara salah satu amal ibadah yang telah ditetapkan oleh syara‘ pada waktu-waktu tertentu yang telah ditetapkan. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ كَانَتْ عَلَى ٱلْمُؤْمِنِينَ كِتَـٰبًۭا مَّوْقُوتًۭا

Maksudnya: “Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”

(Surah Al-Nisa’: 103)

Syeikh Mustafa al-Maraghi menyebut bahawa Allah SWT menjadikan waktu solat itu ada waktu yang khusus untuk ditunaikan. Ini bermakna bahawa hukum Allah ini adalah kefardhuan yang mesti dilaksanakan dalam tempoh yang tertentu dengan segera yang mungkin. Antara hikmahnya ialah jika tiada tempoh waktu yang khusus maka manusia pasti tidak akan melakukannya ataupun melakukan dalam keadaan cuai dan leka. (Lihat Tafsir Al-Maraghi, 5/143-144)

Rasulullah SAW telah memperincikan kepada kita bagaimana penentuan waktu solat itu berdasarkan kepada peredaran matahari. Daripada Abdullah bin Amr R.A, Rasulullah SAW bersabda:

وَقْتُ الظُّهْرِ إِذَا زَالَتْ الشَّمْسُ وَكَانَ ظِلُّ الرَّجُلِ كَطُولِهِ مَا لَمْ يَحْضُرْ الْعَصْرُ وَوَقْتُ الْعَصْرِ مَا لَمْ تَصْفَرَّ الشَّمْسُ وَوَقْتُ صَلَاةِ الْمَغْرِبِ مَا لَمْ يَغِبْ الشَّفَقُ وَوَقْتُ صَلَاةِ الْعِشَاءِ إِلَى نِصْفِ اللَّيْلِ الْأَوْسَطِ وَوَقْتُ صَلَاةِ الصُّبْحِ مِنْ طُلُوعِ الْفَجْرِ مَا لَمْ تَطْلُعْ الشَّمْسُ فَإِذَا طَلَعَتْ الشَّمْسُ فَأَمْسِكْ عَنْ الصَّلَاةِ فَإِنَّهَا تَطْلُعُ بَيْنَ قَرْنَيْ شَيْطَانٍ.

Maksudnya: “Waktu solat Zuhur adalah jika matahari telah tergelincir dan bayangan seseorang seperti panjangnya selagimana belum tibanya waktu solat Asar. Waktu solat Asar selagimana matahari belum menguning. Waktu solat Maghrib selagimana warna merah (syafaq) belum menghilang. Waktu solat Isyak sehingga tengah malam, dan waktu solat Subuh bermula terbitnya fajar selagimana matahari belum terbit, jika matahari terbit, maka tahanlah daripada melakukan solat, kerana ia terbit di antara dua tanduk syaitan.”

Riwayat Muslim (612)

Kaedah menentukan waktu solat fardhu ketika berada di atas pesawat ini dapat dipastikan dengan memastikan kedudukan matahari terlebih dahulu. Hal ini kerana, waktu solat ditentukan bergantung kepada peredaran matahari.

Waktu solat Subuh dan Maghrib adalah yang paling mudah untuk ditentukan. Kayu ukur untuk mengetahui waktu Subuh adalah dengan terbitnya matahari, iaitu dengan kemunculan cahaya semasa keberadaan seseorang itu di dalam kapal terbang.

Manakala waktu Maghrib pula ditentukan dengan terbenamnya matahari, semasa cahaya mentari kian menghilang dari pandangan mata penumpang yang berada di dalam kapal terbang.

Adapun waktu solat Zuhur, Asar, dan Isyak agak sukar untuk ditentukan kerana seseorang itu tidak dapat melihat dengan jelas peredaran matahari yang ketika itu berada di atas kapal terbang. Sebagaimana yang disebutkan dalam hadith Rasulullah SAW, waktu Zuhur ditentukan masuknya apabila matahari sedikit tergelincir sedikit dari atas kapal terbang yang dinaiki.

Waktu Asar pula dapat ditentukan apabila matahari sudah mula hendak turun, tetapi belum mula terbenam dan menjadi kekuningan seperti matahari Maghrib. Dan waktu Isyak pula sifatnya lebih panjang berbanding waktu lain. Maka kami mencadangkan agar penumpang menganggarkan tempoh dari 1 hingga 2 jam selepas waktu Maghrib. Hal ini kerana waktu Maghrib tidak panjang, sehinggakan terdapat pandangan yang mengatakan bahawa tempoh waktu solat Maghrib adalah sekadar yang mencukupi untuk menyempurnakan solat 3 rakaat. Adapun waktu Isyak adalah panjang sehingga pertengahan malam, dan Mazhab al-Syafi‘i pula berpendapat sehingga sebelum terbit fajar. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 181)

Kami juga syorkan supaya bertanya kepada anak-anak kapal sama ada pramugara atau pramugari untuk mendapatkan kepastian waktu setempat ketika penerbangan sedang berlaku. Alhamdulillah, kemudahan seperti jam yang menunjukkan waktu setempat serta waktu solat berserta dengan negara, negeri dan ibu negara juga dinyatakan. Antara jam yang disyorkan ialah Jam al-Fajr.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.