#7813: Sifat dan Manaqib Ummu Hani’ R.Anha

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan berkaitan sifat dan manaqib Ummu Hani’ R.Anha?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Berdasarkan pengamatan kami dan juga himpunan daripada nas-nas hadith dan sirah, jelas menunjukkan kepada kita bahawa Ummu Hani’ mempunyai beberapa sifat, akhlak serta mawaqif yang terpuji. Antaranya dikatakan:

  • Beliau seorang wanita yang cantik, berkulit putih dan berketurunan Quraisy serta dalam lingkungan bangsawan Quraisy.
  • Nasab dan keturunannya juga bertemu dengan jalur Rasulullah SAW pada datuknya, ‘Abd al-Muttalib. Maka sudah tentu, ia termasuk dalam nasab yang mulia.
  • Beliau seorang yang tegas dan berani. Mawaqifnya adalah jelas apabila memberi jaminan kepada orang Quraisy yang hendak dibunuh oleh umat Islam. Keberanian ini jelas apabila beliau sendiri mengadu kepada Rasulullah SAW dengan ijarah atau jaminan yang diberikannya sehingga Rasulullah SAW mengiyakan jaminan oleh Ummu Hani’.

Abu Murrah maula Ummu Hani’ binti Abu Talib mengkhabarkan kepadanya, bahawa dia mendengar Umm Hani’ binti Abu Talib berkata: 

ذَهَبْتُ إِلَى رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَامَ الفَتْحِ، فَوَجَدْتُهُ يَغْتَسِلُ وَفَاطِمَةُ ابْنَتُهُ تَسْتُرُهُ، قَالَتْ: فَسَلَّمْتُ عَلَيْهِ، فَقَالَ: «مَنْ هَذِهِ؟»  فَقُلْتُ: أَنَا أُمُّ هَانِئٍ بِنْتُ أَبِي طَالِبٍ فَقَالَ: «مَرْحَبًا بِأُمِّ هَانِئٍ»، فَلَمَّا فَرَغَ مِنْ غُسْلِهِ، قَامَ فَصَلَّى ثَمَانِيَ رَكَعَاتٍ مُلْتَحِفًا فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ، فَلَمَّا انْصَرَفَ، قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ، زَعَمَ ابْنُ أُمِّي أَنَّهُ قَاتِلٌ رَجُلًا قَدْ أَجَرْتُهُ، فُلاَنَ ابْنَ هُبَيْرَةَ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «قَدْ أَجَرْنَا مَنْ أَجَرْتِ يَا أُمَّ هَانِئٍ». قَالَتْ أُمُّ هَانِئٍ: وَذَاكَ ضُحًى.

Maksudnya: “‘Aku pergi menemui Rasulullah SAW pada tahun pembukaan Makkah. Aku dapati Baginda sedang mandi dan Fatimah puterinya pula sedang melindunginya dengan tabir.’ Umm Hani’ berkata: ‘Aku pun memberi salam kepada Baginda.’ Lantas Baginda bertanya: ‘Siapakah itu?’ Aku menjawab: ‘Saya Umm Hani’ binti Abu Talib.’ Lalu Nabi SAW bersabda: “Selamat datang Umm Hani’.” Setelah selesai mandi, Baginda SAW pun menunaikan solat lapan rakaat dengan berselimutkan sehelai kain sahaja. Setelah Baginda selesai solat, aku berkata: ‘Wahai Rasulullah! Anak ibuku (iaitu Ali bin Abu Talib) mengatakan bahawa dia akan membunuh seorang lelaki yang telah aku lindungi (berikan jaminan perlindungan kepadanya) iaitu Fulan Ibn Hubairah.’ Maka Rasulullah SAW pun bersabda: ‘Kami lindungi orang yang engkau lindungi wahai Umm Hani’.’ Umm Hani’ berkata: ‘Ketika itu adalah bertepatan dengan waktu Dhuha’.”

Riwayat al-Bukhari (357) dan Muslim (336)

Menurut penulis Muhammad Ibrahim Salim, Ummu Hani’ dikenali dengan personalitinya yang kuat. Beliau ialah seorang wanita yang melindungi orang yang takut, sama ada dalam Islam atau pada zaman Jahiliyyah. Hal ini dilihat tatkala beliau melindungi dua lelaki dari kaumnya yang telah ditentukan untuk dibunuh. Ketika peristiwa Pembukaan Kota Makkah, apabila Rasulullah sampai di Makkah, dua lelaki dari kaumnya dari Bani Makhzum lari dan masuk ke rumah Abu Talib, adiknya. Dia berkata, “Demi Allah, saya akan membunuh mereka.” Jadi, saya menutup pintu rumah saya pada mereka. Kemudian saya pergi ke Rasulullah dan dia berkata, “Selamat datang, Ummu Hani’, apa yang membawa anda ke sini?” Saya memberitahunya tentang kedua lelaki itu dan tentang Ali. Dia berkata, “Kami telah melindungi siapa yang kamu lindungi, wahai Ummu Hani’, dan kami telah memberikan keamanan kepada siapa yang kamu berikan keamanan, jadi mereka tidak akan dibunuh.”

  • Beliau mempunyai pemikiran yang tajam, cerdik dan termasuk di kalangan wanita yang pintar. Hal ini jelas apabila beliau memberi jawapan berkenaan pinangan Rasulullah SAW selepas Pembukaan Kota Makkah.
  • Beliau amat mencintai Rasulullah SAW dengan cinta yang sebenar berdasarkan keimanan dan hubungan kekeluargaan dengan Baginda Rasulullah SAW. Tambahan lagi, beliau pernah hidup sebumbung dengan Rasulullah SAW semasa Baginda Rasulullah SAW masih kecil selepas kewafatan ‘Abd al-Muttalib yang akhirnya dipelihara oleh bapanya, Abu Talib.
  • Beliau adalah seorang wanita yang amat bertanggungjawab serta sifat keibuan dan kasih sayang kepada anaknya amat ketara. Hal ini berdasarkan jawapannya kepada Rasulullah SAW berkenaan dengan isu peminangan Rasulullah SAW. Daripada Abdullah bin Namir, daripada Isma‘il bin Abu Khalid, daripada ‘Amir bin Syarahil al-Sya‘bi, katanya:

خَطَبَ رَسُولُ اللهِ ﷺ أُمَّ هَانِئٍ فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللهِ، لَأَنْتَ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ سَمْعِي وَبَصَرِي، وَحَقُّ الزَّوْجِ عَظِيمٌ، فَأَخْشَى إِنْ أَقْبَلْتُ عَلَى زَوْجِي أَنْ أُضَيِّعَ بَعْضَ شَأْنِي وَوَلَدِي، وَإِن أَقْبَلْتُ عَلَى وَلَدِي أَنْ أُضَيِّعَ حَقَّ الزَّوْجِ. فَقَالَ رَسُولُ اللهِ ﷺ: إِنَّ خَيْرَ نِسَاءٍ رَكِبْنَ أَعْجَازَ الْإِبِلِ صَالِحُ نِسَاءِ قُرَيْشٍ، أَخْشَاهُ عَلَى وَلَدٍ فِي صِغَرٍ، وَأَرْعَاهُ عَلَى بَعْلٍ بِذَاتِ يَدٍ

Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah meminang Ummu Hani’, lalu beliau berkata: ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya engkau lebih aku cintai dari pendengaranku dan penglihatanku. Hak suami itu amatlah besar, maka aku khuatir sekiranya aku berikan perhatian kepada suamiku, aku akan terlepas pandang sebahagian urusanku serta anakku. Aku juga khuatir sekiranya aku berikan perhatian kepada anakku, aku akan terlepas pandang akan hak suamiku.’ Rasulullah SAW kemudian bersabda: ‘Sesungguhnya sebaik-baik wanita yang menunggang belakang unta adalah wanita yang paling solehah dari kalangan Quraisy. Dia sangat penyayang terhadap anak yang masih kecil dan sangat pandai memelihara harta suami yang ada pada tangannya’.”

Ibn Sa‘d membawakan riwayat ini dalam al-Tabaqat al-Kubra (8/120), manakala al-Albani pula membawakan hadith ini dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah (6/63) dan beliau menilai sanad riwayat ini sebagai sahih, akan tetapi ia adalah mursal. Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani juga menilai sanad riwayat yang dibawa oleh Ibn Sa‘d menerusi jalur ‘Amir bin Syarahil al-Sya‘bi ini sebagai sahih. (Lihat al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 8/485)

Kami katakan, jawapan yang dikemukakan oleh Ummu Hani’ jelas menunjukkan hikmah serta kebijaksanaannya yang menyebabkan Rasulullah SAW faham situasi yang sedang dihadapi oleh Ummu Hani’ sehingga Rasulullah SAW membalasnya dengan kata-kata: “Sesungguhnya sebaik-baik wanita yang menunggang belakang unta adalah wanita yang paling solehah dari kalangan Quraisy. Dia sangat penyayang terhadap anak yang masih kecil dan sangat pandai memelihara harta suami yang ada pada tangannya.”

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”