Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya jarang sekali menaiki kapal terbang, khususnya untuk ke luar negara. Saya tertanya-tanya, jika tiada air di atas kapal terbang, perlukah saya bertayammum sebagai menggantikan wuduk?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Definisi Tayammum
Tayammum merupakan satu bentuk rukhsah (keringanan) yang Allah SWT berikan kepada mereka yang tidak mampu untuk berwuduk atas sebab-sebab yang tertentu. Tayammum dari segi bahasa bermaksud tujuan. Sementara menurut syara‘ pula adalah menyapukan debu tanah yang suci ke muka dan dua tangan dengan niat dan cara yang tertentu. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/92)
Dalil Pensyariatan Tayammum
Firman Allah SWT:
وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا ۚ وَإِن كُنتُم مَّرْضَىٰ أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِّنكُم مِّنَ الْغَائِطِ أَوْ لَامَسْتُمُ النِّسَاءَ فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا فَامْسَحُوا بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُم مِّنْهُ ۚ مَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيَجْعَلَ عَلَيْكُم مِّنْ حَرَجٍ وَلَٰكِن يُرِيدُ لِيُطَهِّرَكُمْ وَلِيُتِمَّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Maksudnya: “Dan jika kamu Junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib, dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah -debu yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah debu itu. Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi ia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu bersyukur.”
(Surah al-Ma’idah: 6)
Al-Qusyairi dan Ibn ‘Atiyyah berkata bahawasanya ayat ini adalah ayat berkaitan wuduk yang diturunkan bersempena kisah Aisyah R.Anha yang kehilangan rantai pada peperangan Muraisi’ atau peperangan Bani Mustaliq. Menurut Ibn ‘Atiyyah bahawa ayat ini memberikan faedah serta keringanan melakukan tayammum. Perkara penting yang terkandung dalam ayat ini adalah perintah Allah dalam memenuhi tuntutan dan hukum hakam syara‘. Di dalamnya terkandung penyempurnaan rahmat dan keringanan ini adalah sebahagian dari penyempurnaan rahmat. (Lihat al-Jami‘ al-Ahkam al-Quran, 6/80; dan al-Muharrar al-Wajiz, 2/252)
Al-Maraghi turut menyebutkan, apabila kamu mengalami salah satu dari tiga keadaan ini seperti sakit atau dalam perjalanan pemusafiran, atau tidak menemui air sewaktu hendak menyucikan kedua-dua jenis hadas di atas, maka hendaklah kamu mencari debu atau dataran bumi yang suci daripada najis, lalu tepuklah kedua-dua tangan sampai ke pergelangan tangan, dengan adanya kesan debu tersebut.(Lihat Tafsir al-Maraghi 3/1500).
Sehubungan itu, ayat di atas jelas menunjukkan bahawa Allah tidak ingin menyulitkan atau menyusahkan para hamba-Nya dengan membolehkan tayammum bagi orang yang sakit dan di saat ketiadaan air, sebagai menunjukkan keluasan rahmat Allah. Hal ini sebagaimana kaedah fiqh:
الْمَشَقَّةُ تَجْلِبُ التَّيْسِيرَ
Maksudnya: “Kepayahan membawa kepada keringanan.”
Syarat-Syarat Tayammum
Terdapat sepuluh syarat tayammum:
- Hendaklah tayammum dilakukan dengan debu tanah.
- Hendaklah tanah itu bersih.
- Hendaklah tanah itu tidak musta‘mal (telah digunakan).
- Hendaklah tanah tidak bercampur dengan tepung dan seumpamanya.
- Seseorang itu hendaklah berniat menggunakan tanah (untuk tayammum).
- Hendaklah dia menyapu muka dan kedua tangannya dengan dua kali pukulan.
- Hendaklah najis dibersihkan terlebih dahulu.
- Hendaklah berijtihad mencari kiblat sebelum bertayammum.
- Hendaklah bertayammum setelah masuk waktu solat.
- Hendaklah bertayammum untuk setiap fardhu. (Lihat Safinah al-Naja, hlm. 24)
Para ulama’ berbeza pendapat berkenaan apa yang dimaksudkan dengan lafaz sa‘idan tayyiban(صَعِيدًا طَيِّبًا) sebagaimana dalam ayat tayammum di atas. Ada dalam kalangan mereka berpendapat, yang dimaksudkan dengannya adalah tanah semata-mata. Manakala sebahagian lagi berpendapat, ia merujuk kepada segala sesuatu yang ada di atas bumi, termasuklah tanah, batu, pasir, dan batu besar.
Ini jelas sebagaimana dinyatakan oleh al-‘Iraqi dalam Tarh al-Tathrib (2/99) bahawa para ulama berbeza pendapat berkenaan maksud al-Sa‘id (الصَّعِيد) kepada sekurang-kurangnya dua pendapat:
Pendapat pertama, Imam Malik, Abu Hanifah, al-Auza‘i, al-Thauri dan Muhammad bin Jarir al-Tabari berpendapat bahawa al-Sa‘id merujuk kepada permukaan bumi. Justeru, mereka berpendapat, al-Sa‘id adalah semua yang ada di atas permukaan bumi seperti tanah, batu, pasir, batu kerikil, batu kapur, batu arsenik, plaster dan batu marmar.
Pendapat kedua, kebanyakan fuqaha’ dan di antara mereka ialah Imam al-Syafi‘i, Abu Yusuf, Ahmad, Ishaq, Ibn al-Munzir dan Daud al-Zahiri berpendapat bahawa al-Sa‘id merujuk kepada tanah sahaja dan bukannya seluruh juzuk bumi (benda-benda di atas permukaannya).
Selain daripada itu, para fuqaha juga berselisih pendapat berkenaan syarat wujudnya debu pada tanah/benda yang digunakan untuk bertayammum. Mazhab Syafi‘iyyah, Hanabilah, Abu Yusuf dalam kalangan Hanafiyyah dan Ishaq berpendapat, disyaratkan wujudnya debu pada tanah yang digunakan untuk bertayammum, lalu ia melekat pada wajah dan dua tangan. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا فَامْسَحُوا بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُم مِّنْهُ
Maksudnya: “Maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah -debu yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah debu itu.”
(Surah al-Ma’idah: 6)
Ibn Abbas R.Anhuma dalam tafsirannya terhadap ayat ini menyebutkan, al-Sa‘id ialah tanah pertanian iaitu tanah yang murni (tidak bercampur dengan apa-apa). Imam al-Syafi‘i pula menyatakan, al-Sa‘id ialah tanah yang mempunyai debu. Hal ini kerana tidak akan terhasil sapuan dengan sesuatu itu (yakni tanah tersebut) melainkan ia mempunyai debu yang melekat pada tangan. Sekiranya ia adalah tanah yang kasar atau tanah yang melekat-lekat, tidak ada debu padanya, maka tidak sah bertayammum dengannya.
Begitu juga diharuskan untuk bertayammum dengan debu tanah di atas batu besar atau bantal atau pakaian atau tikar atau dinding atau perkakas-perkakas. Mereka juga menyebutkan, jika seseorang menepuk tangannya pada gandum atau barli yang mengandungi debu, atau pada kain hamparan atau pakaian atau kantung atau pelana, dan debu melekat pada tangannya, maka diharuskan untuk bertayammum dengannya. Hal ini kerana mereka tetap menganggapnya sebagai tanah walau di mana pun ia berada, dan tidak ada perbezaan sama ada ia berada di atas tanah atau selainnya. Contohnya, jika seseorang menepuk tangannya pada dinding, atau haiwan, atau pada apa-apa pun, sehingga debu melekat pada tangannya. Ini berdasarkan hadith Abu Juhaim bin al-Harith R.A:
أَقْبَلَ النَّبِيُّ ﷺ مِنْ نَحْوِ بِئْرِ جَمَلٍ فَلَقِيَهُ رَجُلٌ فَسَلَّمَ عَلَيْهِ فَلَمْ يَرُدَّ عَلَيْهِ النَّبِيُّ ﷺ حَتَّى أَقْبَلَ عَلَى الجِدَارِ، فَمَسَحَ بِوَجْهِهِ وَيَدَيْهِ، ثُمَّ رَدَّ عَلَيْهِ السَّلاَمَ
Maksudnya: “Nabi SAW datang dari arah telaga Jamal, lalu seorang lelaki menemuinya dan memberi salam kepadanya. Nabi SAW tidak menjawabnya sehinggalah Baginda pergi ke suatu dinding (dan setelah menepuk ke dinding tersebut), lalu mengusap wajahnya dan kedua tangannya. Kemudian, barulah Baginda menjawab salam (lelaki tersebut).”
Riwayat al-Bukhari (337)
Adapun jika tidak terdapat debu pada benda-benda tersebut yang melekat pada tangan, maka tidak dibolehkan untuk bertayammum dengannya, kecuali menurut Abu Yusuf yang berpendapat bahawa debu itu sendiri tidak mencukupi, sebaliknya mesti ada bersamanya tanah. Hal ini kerana menurutnya lagi, yang diperintahkan untuk bertayammum dengannya adalah tanah yang murni, sedangkan debu pula bukanlah tanah yang murni melainkan ia hanya dianggap sebagai tanah dari satu sudut dan tidak dari sudut yang lain.
Manakala ulama al-Hanafiyyah — kecuali Abu Yusuf — dan al-Malikiyyah pula membolehkan untuk bertayammum dengan batu besar yang tidak ada debu padanya. Begitu juga menurut mereka dibolehkan bertayammum dengan tanah yang melekat-lekat yang tidak ada debu yang melekat pada tangan daripadanya, dan dengan semua jenis tanah. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 31/134-135)
Namun begitu, kami tidak ingin membincangkan isu tayammum ini dengan lebih terperinci daripada apa yang kami telah bahaskan di atas kerana pada kebiasaannya penggunaan debu tanah tidak dibenarkan di dalam kapal terbang atas faktor keselamatan. Mereka yang tetap ingin bertayammum, bolehkah memilih atau berpegang dengan pendapat ulama Hanafiyyah dan Malikiyyah yang membenarkan seseorang untuk bertayammum dengan menepuk batu besar atau seumpamanya sekalipun ia tidak mempunyai debu padanya.
Walau bagaimanapun, pada masa kini, kami melihat bahawasanya sebenarnya tidak timbul lagi isu kesukaran untuk berwuduk dalam kapal terbang. Hal ini kerana kita dibenarkan atau boleh untuk berwuduk dalam kapal terbang dengan menggunakan air yang amat minimum seperti dengan menggunakan semburan melalui spray lalu diratakan dengan menggosok pada anggota wuduk.
Sekalipun begitu, dalam satu-satu suasana yang amat terpencil seseorang itu mungkin menghadapi krisis ketiadaan air dan ketiadaan debu tanah untuk berwuduk atau bertayamum padahal hak kewajipan solat masih belum ditunaikan. Musafir masa kini di atas pesawat udara yang terbang selama berjam-jam lamanya tidak memungkinkan seseorang itu singgah bagi mencari bekalan air atau penggunaan debu tanah. Dalam hal ini, jika sekiranya seseorang itu tidak dapat menggunakan air untuk berwuduk ataupun tayammum, maka ia dianggap termasuk di bawah hukum faqid al-Tahurain (فَاقِدُ الطَّهُورَيْن) iaitu orang yang tidak menjumpai air dan debu tanah untuk bersuci.
Dalam kitab-kitab fiqh yang muktabar, disertakan satu pengecualian khusus dalam suasana tertekan bagi seseorang yang menghadapi krisis ketiadaan air dan debu tanah, iaitu tetap mendirikan solat secara biasa dalam keadaan berhadas kecil.
Dalam erti kata lain seseorang itu tetap mendirikan solatnya tanpa berwuduk atau bertayammum. Akan tetapi keharusan ini bukanlah merupakan suatu ijma‘ dalam kalangan ahli fiqh. Sebahagian daripada mereka berpendapat solat seperti ini adalah tidak sah dan perlu diulangi semula apabila bertemu dengan sumber air atau debu tanah.
Hal ini sebagaimana diterangkan oleh para fuqaha’ bahawa apabila datang situasi ketika mana tidak wujud air mahupun debu tanah, dan ditakuti pula waktu solat akan luput, maka para fuqaha’ telah berbeza pendapat mengenainya.
Di antaranya, Ibn Qudamah menyebutkan dalam kitabnya al-Mughni (1/327-328) bahawa sekiranya tidak ada air atau debu tanah, seseorang itu perlu solat sepertimana keadaannya sahaja (tanpa berwuduk atau bertayammum), dan inilah pendapat al-Syafi‘i.
Dan Abu Hanifah, al-Thauri serta al-Auza‘ie berpendapat, tidak perlu bersolat sehinggalah dia mampu (berwuduk atau bertayammum), kemudian dia perlu qadha’ solatnya kerana solat merupakan ibadah yang tidak boleh tergugur qadha’nya, sepertimana puasa bagi wanita yang haid.
Imam Malik berkata: Dia tidak perlu solat dan tidak perlu menggantikan solat tersebut kerana tidak mampu untuk bersuci (berwuduk dan bertayammum) maka tidak diwajibkan ke atasnya solat sepertimana perempuan yang sedang haid. Ibn ‘Abd al-Barr menyebutkan : Ini adalah riwayat yang mungkar mengenai Imam Malik. Telah disebutkan juga oleh Ashab Imam Malik dengan dua pandangan salah satunya adalah sepertimana pandangan Imam Abu Hanifah dan yang keduanya ialah dia hendaklah solat mengikut hal keadaannya dan hendaklah dia menggantikan semula solat tersebut.
Ibn Qudamah berpendapat sama seperti Imam al-Syafi‘i, dan beliau berhujjah dengan hadith ‘Aisyah R.Anha:
أَنَّهَا اسْتَعَارَتْ مِنْ أَسْمَاءَ قِلاَدَةً فَهَلَكَتْ، فَبَعَثَ رَسُولُ اللهِ ﷺ رَجُلًا فَوَجَدَهَا، فَأَدْرَكَتْهُمُ الصَّلاَةُ وَلَيْسَ مَعَهُمْ مَاءٌ، فَصَلَّوْا، فَشَكَوْا ذَلِكَ إِلَى رَسُولِ اللهِ ﷺ، فَأَنْزَلَ اللهُ آيَةَ التَّيَمُّمِ
Maksudnya: “Beliau meminjam kalung daripada Asma’, lalu kalung tersebut hilang. Oleh itu, Rasulullah SAW mengutus seseorang untuk mencarinya dan dia menemukannya. Kebetulan waktu solat telah pun masuk, tetapi tidak ada bekalan air bersama mereka untuk berwudhu’. Namun, mereka tetap menunaikan solat tanpa berwuduk. Setelah itu, mereka mengadukan peristiwa tersebut kepada Rasulullah SAW. Lalu Allah SWT menurunkan ayat tayammum.”
Riwayat al-Bukhari (336) dan Muslim (367)
Dalam pada itu, Rasulullah SAW tidak mengingkari solat yang para sahabatnya lakukan, dan tidak juga memerintahkan mereka untuk mengulang semula. Ini merupakan dalil bahawa tidak wajib qadha’ solat. Dan disebabkan bersuci itu hanyalah syarat, maka tidak boleh dilewatkan solat ketika ketiadaan wuduk atau tayammum, sepertimana ketiadaan sutrah atau tidak menghadap kiblat.
Apabila jelas penerangan ini, maka orang yang solat tanpa wuduk atau tayammum, kemudian dia mendapati air, tidak wajib ke atasnya untuk mengulangi solat menurut salah satu riwayat dari Imam Ahmad. Dan riwayat lain dari beliau, perlu mengulangi solat tersebut, dan inilah pandangan Mazhab al-Syafi‘i, kerana orang tersebut telah hilang satu syarat solat, umpama orang yang solat dalam keadaan bernajis.
Al-Buhuti berkata: Seseorang yang tidak memiliki air dan tanah, hendaklah dia mendirikan solat fardhu sesuai dengan keadaannya, tanpa menambah lebih dari apa yang memadai. Begitu juga jika ada luka pada tubuh yang tidak memungkinkannya untuk menyentuh kulit dengan air atau tanah, maka dia hendaklah mendirikan solat fardhu sesuai dengan hal keadaannya tanpa perlu mengulanginya. (Lihat al-Minah al-Syafiyat, 1/183)
Justeru, mengikut fatwa kebanyakan ulama, hendaklah seseorang itu solat walaupun tanpa wuduk dan tayammum. Disunatkan untuk qadha’ yakni mengulangi kembali solatnya sebagai langkah berhati-hati, apabila menjumpai air atau debu tanah. Imam al-Bukhari mengemukakan satu tajuk dalam Sahihnya: “Bab Apabila Ketiadaan Air dan Tanah.” Kemudian beliau menyebut riwayat daripada Saidatina ‘Aisyah R.Anha:
أَنَّهَا اسْتَعَارَتْ مِنْ أَسْمَاءَ قِلاَدَةً فَهَلَكَتْ، فَبَعَثَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ رَجُلاً، فَوَجَدَهَا فَأَدْرَكَتْهُمُ الصَّلاَةُ وَلَيْسَ مَعَهُمْ مَاءٌ فَصَلَّوْا، فَشَكَوْا ذَلِكَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ ﷺ فَأَنْزَلَ اللَّهُ آيَةَ التَّيَمُّمِ
Maksudnya: “Bahawasanya beliau telah meminjam daripada Asma’ seutas rantai yang kemudiannya hilang. Lantas Rasulullah SAW menghantar beberapa lelaki untuk mencarinya. Lantas mereka menemuinya. Ketika itu telah masuk waktu solat dan tiada air bersama mereka, lalu mereka solat dalam keadaan begitu. Mereka mengadu hal tersebut kepada Rasulullah, lantas turunnya ayat tayammum.”
Riwayat al-Bukhari (336) dan Muslim (337)
Hadith di atas menerangkan bahawa beberapa orang sahabat telah mendirikan solat tanpa berwuduk dan apabila dikhabarkan perbuatan mereka itu kepada Nabi SAW, baginda mendiamkannya padahal seandainya solat mereka itu adalah tidak sah, sudah pasti akan diperintahkan pengulangannya tanpa berlengah-lengah lagi. Hadith di atas dijadikan dalil bahawa boleh mendirikan solat tanpa wuduk dalam suasana yang terpaksa.
Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: “Ini menjadi dalil bahawa wajib solat bagi yang luput dua alat thaharah dan hendaklah dia solat dengan beriktiqad dengan wajibnya solat dalam keadaan begitu. Jika sekiranya solat ketika itu ditegah, sudah pasti Rasulullah SAW mengingkari perbuatan mereka. (Lihat Fath al-Bari, 1/456)
Syeikh Soleh bin al-‘Uthaimin dalam Fatawa Nur ‘ala al-Darb (8/2) ketika membahaskan tentang hal keadaan tiada air dalam kapal terbang untuk berwuduk, beliau menyatakan : Jika kamu mengetahui bahawa kamu tidak akan sampai ke lapangan terbang sehingga selepas waktu solat, solatlah menurut keadaanmu. Jika ia mungkin dilakukan, solatlah dengan berwuduk, jika tidak, solatlah dengan bertayammum. Jika keduanya sukar untuk dilakukan, solatlah tanpa wuduk mahupun tayammum, tetapi tetap menghadap ke arah kiblat, berdiri, rukuk, dan sujud jika kamu boleh melakukannya. Namun sekiranya terdapat keuzuran maka Allah SWT berfirman:
فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ
Maksudnya: “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.”
(Surah al-Taghabun: 16)
Al-Sa‘di menyebutkan dalam tafsirnya, Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan(1/868), bahawa Allah SWT memerintahkan para hamba-Nya untuk bertaqwa kepada-Nya iaitu dengan mematuhi segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Oleh itu, ayat ini menunjukkan bahawa segala kewajipan yang tidak mampu dilakukan oleh seorang hamba akan gugur daripadanya. Begitu juga, jika seorang hamba itu mampu menunaikan sebahagian kewajipan dan tidak mampu pada sebahagian kewajipan yang lain, maka hendaklah dia menunaikan kewajipan tersebut mengikut kadar kemampuannya dan tergugur daripadanya apa yang dia tidak mampu sebagaimana sabda Nabi SAW:
وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ
Maksudnya: “Apabila aku memerintahkan kamu dengan sesuatu, maka lakukanlah ia mengikut kemampuan kamu.”
Riwayat al-Bukhari (7288)
Alhamdulillah, pengalaman kami ketika menaiki kapal terbang, isu yang dibahaskan di atas dapat diselesaikan dengan kebenaran menggunakan air secara minimum. Justeru, tidak timbul isu faqid al-tahurain kerana boleh menggunakan air untuk berwuduk.
Kapal terbang moden dan besar seperti Boeing 777, 747, 757 dan Airbus 380 serta beberapa jenis yang lain banyak memberi kemudahan ke arah penggunaan air dalam bentuk yang terhad dan minimum.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنَ التَّوَّابِينَ، وَاجْعَلْنَا مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ، وَاجْعَلْنَا مِنْ عِبَادِكَ الصَّالِحِيْنَ
Maksudnya: “Ya Allah, jadikan kami termasuk daripada kalangan orang yang bertaubat. Jadikanlah juga kami termasuk daripada kalangan orang yang bersuci. Dan jadikan juga kami termasuk daripada kalangan hamba-hambaMu yang soleh.”