#7816: Biografi Ummu Hani’ R.Anha

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan berkenaan biografi Ummu Hani’ R.Anha?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Beliau ialah Ummu Hani’ binti Abu Talib ‘Abd Manaf[1] bin ‘Abd al-Muttalib bin Hasyim, kakak kepada Saidina ‘Ali bin Abi Talib R.A. Ibunya bernama Fatimah binti Asad bin Hasyim bin ‘Abd Manaf. Dikatakan beliau lahir di Makkah sebelum Hijrah lebih kurang 50 tahun dan dia hanya lebih muda daripada Rasulullah SAW hanya beberapa tahun.

Beliau merupakan isteri kepada Hubairah bin Abu Wahb bin ‘Amr bin ‘A’iz bin ‘Imran bin Makhzum. Ummu Hani’ ini merupakan gelaran beliau, adapun nama sebenar beliau telah diperselisihi oleh ulama’. Sebahagian mereka mengatakan bahawa nama beliau adalah Hindun, dan dikatakan juga nama beliau adalah Fakhitah. Antara hujah yang menyokong pendapat bahawa nama beliau adalah Hindun, berdasarkan syair yang didendangkan oleh suaminya Hubairah yang enggan memeluk Islam. Semasa Hubairah lari menuju ke Najran selepas peristiwa pembukaan kota Makkah, dia mendapati isterinya Ummu Hani’ memeluk Islam pada tahun tersebut, seraya dia bersenandung sepertimana yang diriwayatkan oleh Ibn Ishaq:

أَشَاقَتْكَ هِنْدٌ أَمْ أَتَاكَ سُؤَالُهَا                      كَذَاكَ النَّوَى أَسْبَابُهَا وَانْفِتَالُهَا

                      وَقَدْ أَرَّقَتْ فِي رَأْسِ حِصْنٍ مُمَنَّعٍ            بِنَجْرَانَ يُسْرِي بَعْدَ لَيْلٍ خَيَالُهَا

وَعَاذِلَةٍ هَبَّتْ بِلَيْلٍ تَلُومُنِي                       وَتَعْذِلُنِي بِاللَّيْلِ ضَلَّ ضَلَالُهَا

وَتَزْعُمُ أَنِّي إنْ أَطَعْتُ عَشِيرَتِي                     سَأُرْدَى وَهَلْ يُرْدِينِ إلَّا زِيَالُهَا

     فَإِنِّي لَمِنْ قَوْمٍ إذَا جَدَّ جِدُّهُمْ               عَلَى أَيِّ حَالٍ أَصْبَحَ الْيَوْمَ حَالُهَا

                       وَإِنِّي لَحَامٍ مِنْ وَرَاءِ عَشِيرَتِي                 إذَا كَانَ مِنْ تَحْتِ الْعَوَالِي مَجَالُهَا

وَصَارَتْ بِأَيْدِيهَا السُّيُوفُ كَأَنَّهَا                    مَخَارِيقُ وِلْدَانٍ وَمِنْهَا ظِلَالُهَا

                       وَإِنِّي لَأَقْلَى الْحَاسِدِينَ وَفِعْلَهُمْ                          عَلَى اللَّهِ رِزْقِي نَفْسُهَا وَعِيَالُهَا

     وَإِنَّ كَلَامَ الْمَرْءِ فيَ غَيْرِ كُنْهِهِ               لَكَالنَّبْلِ تَهْوِي لَيْسَ فِيهَا نِصَالُهَا

        فَإِنْ كُنْتِ قَدْ تَابَعْتُ دِينَ مُحَمَّدٍ                      وَعَطَّفَتْ الْأَرْحَامَ مِنْكَ حِبَالُهَا

                          فَكُونِي عَلَى أَعْلَى سَحِيقٍ بِهَضْبَةٍ            مُلَمْلَمَةٍ غَبْرَاءَ يَبْسٍ بِلَالُهَا

“Adakah Hindun membuatmu rindu atau kamu mendengar tentangnya?

Begitulah jarak membuat rindu semakin mendalam dan semakin renggang.

Dia berjaga di puncak benteng yang teguh, Dia mencela aku di malam hari, hilanglah kesesatannya.

Dia mendakwa bahawa jika aku menurutkan kaumku,

Aku akan binasa, dan hanya kepergiannya yang akan membinasakan aku.

Sesungguhnya aku dari kaum yang jika mereka bersungguh-sungguh,

Keadaan mereka tetap hebat walau dalam apa jua keadaan hari ini.

Dan aku melindungi kaumku dari belakang,

Ketika berada di bawah tombak-tombak yang tinggi.

Dan pedang-pedang di tangan mereka seakan-akan,

Tongkat-tongkat kanak-kanak, dan bayang-bayangnya.

Sesungguhnya aku benci kepada orang-orang yang dengki dan perbuatannya,

Rezekiku kepada Allah, diri dan keluargaku.

Sesungguhnya kata-kata manusia yang tidak benar,

Seperti anak panah yang melayang tanpa mata.

Jika kamu telah mengikuti agama Muhammad,

Dan menghubungkan silaturahim dari rahimmu.

Maka jadilah kamu di puncak bukit yang tinggi,

Berbatu keras, kelabu dan kering tanpa air.”

(Lihat al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 8/485; al-Isti‘ab fi Ma‘rifah al-Ashab, 4/1963;  al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Hisyam, 2/420-421; al-Raudh al-Unuf, 7/229)

Selain itu, Rasulullah SAW pernah mengunjungi rumah beliau dan menunaikan solat sunat Dhuha sebanyak lapan rakaat pada hari pembukaan kota Makkah tersebut.

Beliau mempunyai empat orang adik-beradik lelaki iaitu Talib yang tidak memeluk Islam dan mati dalam kekufuran, ‘Aqil bin Abu Talib[2], Ja‘far bin Abu Talib[3] dan Ali bin Abu Talib, serta seorang adik-beradik perempuan iaitu Jamanah. Ummu Hani’ merupakan anak perempuan Abu Talib yang paling tua daripada kalangan adik-beradik perempuannya. Saudaranya Ali adalah yang termuda daripada mereka. Ja‘far lebih tua daripada Ali sepuluh tahun, dan ‘Aqil pula lebih tua daripada Ja‘far sepuluh tahun, manakala Talib lebih tua daripada ‘Aqil sepuluh tahun. Hal ini disebutkan oleh Ibn Qutaibah, Abu Sa‘id, dan Abu ‘Amr. (Lihat Kanz al-Durar wa Jami‘ al-Ghurar, 3/134; Subul al-Huda wa al-Rasyad fi Sirah Khair al-‘Ibad, 11/88 dan 11/116; Tarikh al-Khamis fi Ahwal al-Anfus al-Nafis, 1/163).

Perkahwinan dan Akhir Usianya

Hasil perkahwinannya dengan Hubairah, beliau telah dikurniakan beberapa orang anak iaitu ‘Amr bin Hubairah, Ja‘dah, Hani’ dan Yusuf. Disebutkan dalam al-Raudh al-Unuf bahawa Ja’dah merupakan anaknya yang paling tua. Menurut al-Daghuli, anaknya yang bernama Ja‘dah bin Hubairah telah dilantik oleh Ali bin Abu Talib sebagai gabenor di Khurasan.

Ummu Hani’ dikatakan hidup sehingga selepas dari tahun ke-50 hijrah, dan beliau meninggal dunia setelah pemergian Saidina ‘Ali bin Abi Talib R.A. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/312-314; al-A‘lam, 5/126; al-Raudh al-Unuf, 7/109).

Kami katakan bahawa jelas menunjukkan Ummu Hani’ mempunyai usia yang panjang kerana kalau beliau berbeza dengan Rasulullah SAW hanya beberapa tahun, atau mungkin 10 tahun, maka Ummu Hani’ ketika wafatnya mencecah hampir 100 tahun.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

[1] Abu Talib ini merupakan salah seorang dari anak-anak ‘Abd al-Muttalib bin Hasyim, dan beliau juga merupakan pakcik kepada Nabi Muhammad SAW. Abu Talib ini adalah gelaran beliau, manakala nama sebenarnya adalah ‘Abd Manaf. (Lihat Nasab Quraisyoleh Mus‘ab al-Zubairi, hlm. 17; Usd al-Ghabah, 6/404)

[2] Aqil merupakan abang kepada Ali bin Abu Talib. Beliau adalah anak kepada bapa saudara Nabi, Abu Talib, seorang bapa saudara yang mengambil alih peranan sebagai bapa kepada beliau. Nama dan nasab Aqil adalah Aqil bin Abu Talib bin Abd al-Muttalib bin Hisyam bin Abd Manaf bin Qusai. (Lihat al-Tabaqat al-Kubra, 4/31). Beliau adalah seorang Quraisy dari kalangan Bani Hasyim (Lihat al-Jarh wa at-Ta’dil oleh: Abu Hatim, 6/218). Aqil juga adalah saudara sebapa dengan Ja’far bin Abu Talib dan Ali bin Abu Talib. Namun, Aqil adalah yang tertua di antara mereka (Lihat Usd al-Ghabah, 4/61). Aqil dikenali juga dengan nama panggilan Abu Yazid dan ada juga yang menyebutnya sebagai Abu Isa. Ibunya bernama Fatimah binti Asad bin Hasyim bin Abd Manaf bin Qusai. (Lihat al-Tabaqat al-Kubra, 4/31).

[3] Beliau ialah Abu ‘Abdillah Jaafar bin Abu Talib bin ‘Abd al-Muttalib bin  Hasyim bin ‘Abd Manaf bin Qusai al-Hasyimi. Beliau merupakan seorang al-Sayyid, al-Syahid, memiliki keperibadian yang besar dan pemegang panji para Mujahid. Beliau juga merupakan sepupu Rasulullah SAW dan adik beradik kepada Ali bin Abu Talib R.A. Usia Jaafar sepuluh tahun lebih tua daripada Ali, manakala saudaranya yang bernama ‘Aqil lebih tua 10 tahun daripadanya. Jaafar bin Abu Talib, Abu ‘Abdillah al-Hasyimi al-Tayyar, dijamin syurga, memiliki dua sayap di syurga. Beliau adalah orang melakukan dua hijrah iaitu berhijrah ke Habasyah dan berhijrah ke Madinah. Beliau syahid di Mu‘tah ketika hayat Rasulullah SAW sebagai panglima perang pada tahun 8 Hijrah. Beliau merupakan orang yang mirip dengan Rasulullah SAW daripada sudut rupa dan akhlak. Nabi SAW pernah menamakannya dengan nama Abu al-Masakin. (Lihat Ma‘rifah al-Sahabah, 2/511; Siyar A‘lam al-Nubala’, 1/206; Usd al-Ghabah fi Ma‘rifah al-Sahabah, 1/541)