Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan maksud kufur?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Perkataan al-Kufr (الكُفْرُ) dari segi bahasa merujuk kepada menutup dan menyembunyikan. Ibn Faris menyebutkan, huruf Kaf, Fa’, dan Ra’ adalah asas binaan kalimah yang asal yang merujuk kepada satu makna, iaitu menutup dan menyembunyikan. Dikatakan kepada seseorang yang menutup baju besinya dengan kain: “قد كَفَرَ دِرْعَهُ” (Dia telah menutup baju besinya). Manakala perkataan al-Mukaffir(المكَفِّرُ) adalah: lelaki yang menyembunyikan senjatanya. Selain itu, dikatakan juga petani sebagai kafir (كَافِرٌ) kerana dia menutup atau menyembunyikan biji benih dengan tanah. Ini adalah sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Hadid ayat 20:
أَعْجَبَ الْكُفَّارَ نَبَاتُهُ
Maksudnya: “Para petani berasa takjub dengan hasil yang tumbuh daripadanya.” (Lihat Maqayis al-Lughah, 5/191).
Al-Azhari menyebutkan, kaffarat (الكَفَّارَاتُ) dinamakan sebagai kaffarat kerana ia menghapuskan dosa-dosa, iaitu menutupinya, seperti kaffarah sumpah, kaffarah zihar, dan pembunuhan tidak sengaja. (Lihat Tahzib al-Lughah, 10/114).
Selain daripada itu, kufur adalah lawan kepada iman, dan makna ini diambil daripada (makna asalnya) menutup dan menyembunyikan. Ini adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn Faris bahawa kufur adalah lawan kepada iman. Ia dinamakan sedemikian kerana ia menyembunyikan kebenaran. (Lihat Maqayis al-Lughah, 5/191). Begitu juga Ibn Manzur turut menyatakan bahawa kufur adalah lawan kepada iman. (Lihat Lisan al-‘Arab, 5/144).
Hal ini kerana iman dan kufur adalah dua perkara yang berlawanan. Iman adalah pegangan iktikad yang mutlak (bersungguh-sungguh dan yakin) bahawa Allah SWT adalah Pemilik, Pencipta dan Tuhan sekalian alam, manakala kufur pula adalah menolak kebenaran Islam selepas menganutnya. (Lihat al-‘Aqidah al-Islamiyyah wa Ususuha oleh ‘Abd al-Rahman Hasan Habannakah, hlm. 615).
Justeru, berdasarkan kepada maknanya ini dari sudut bahasa, firman Allah SWT:
فَمَن يَكْفُرْ بِٱلطَّـٰغُوتِ وَيُؤْمِنۢ بِٱللَّهِ فَقَدِ ٱسْتَمْسَكَ بِٱلْعُرْوَةِ ٱلْوُثْقَىٰ لَا ٱنفِصَامَ لَهَا
Maksudnya: “Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan taghut, dan dia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus.”
(Surah al-Baqarah: 256)
Dalam ayat di atas, kufur kepada taghut adalah dengan mengingkari dan menolaknya, serta menjauhkan diri daripadanya. (Lihat al-Asas fi al-Tafsir oleh Sa‘id Hawwa, 1/600), Tafsir al-Fatihah wa al-Baqarah oleh Ibn al-‘Uthaimin, 3/266). Manakala Ibn Kathir pula menyatakan, maknanya adalah seseorang yang meninggalkan sekutu-sekutu dan berhala-berhala, serta segala apa yang diseru kepadanya oleh syaitan berupa peribadatan kepada selain Allah. Pada masa yang sama, dia mengesakan Allah dan melakukan ibadah hanya kepada-Nya serta bersaksi bahawa tidak ada tuhan melainkan Dia (Allah SWT). (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/683).
Selain itu, kufur juga merujuk kepada ingkar, dan makna ini juga diambil daripada (makna asalnya) menutup dan menyembunyikan. Ini adalah seperti yang dinyatakan oleh Ibn Faris bahawa kufur nikmat bermaksud: Ingkar terhadapnya dan menyembunyikannya. (Lihat Maqayis al-Lughah, 5/191). Begitu juga Ibn Manzur ada menyatakan, kufur bermaksud ingkar terhadap nikmat dan ia adalah lawan kepada bersyukur. Ini adalah seperti mana firman Allah SWT dalam surah al-Qasas ayat 48:
إِنَّا بِكُلٍّ كَافِرُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya kami kufur ingkar terhadap Kitab-kitab itu semuanya!”
Perkataan kafirun “كَافِرُونَ” dalam ayat di atas bermaksud jahidun “جَاحِدُونَ” iaitu orang yang mengingkari. (Lihat Lisan al-‘Arab, 5/144).
Justeru, berdasarkan kepada makna ini, firman Allah SWT:
فَاذْكُرُونِي أَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوا لِي وَلَا تَكْفُرُونِ
Maksudnya: “Oleh itu ingatlah kamu kepada-Ku (dengan mematuhi hukum dan undang-undang-Ku), supaya Aku membalasmu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur (akan nikmat-Ku).”
(Surah al-Baqarah: 152)
Al-Qurtubi menafsirkannya dengan menyatakan bahawa iaitu, “Janganlah kamu mengingkari nikmat-Ku dan juga pertolongan-Ku,” maka di sini kufur bermaksud menutupi nikmat, bukan menolak atau mendustakannya. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 2/171).
Firman Allah SWT:
وَضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا قَرْيَةً كَانَتْ آمِنَةً مُّطْمَئِنَّةً يَأْتِيهَا رِزْقُهَا رَغَدًا مِّن كُلِّ مَكَانٍ فَكَفَرَتْ بِأَنْعُمِ اللَّهِ
Maksudnya: “Dan (berhubung dengan hal kaum yang kufur ingkar) Allah memberikan satu contoh: Sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat, kemudian penduduknya kufur akan nikmat-nikmat Allah itu.”
(Surah al-Nahl: 112)
Ayat di atas bermaksud, mereka menolak dan ingkar terhadap nikmat-nikmat Allah yang diberikan kepada mereka. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/608). Maka mereka membalas nikmat tersebut dengan ingkar sebagai ganti bersyukur, dan dengan kemaksiatan sebagai ganti kepada ketaatan. (Lihat Tafsir al-Wasit, 5/688).
Dalam ayat yang lain, dinyatakan mengenai khutbah Iblis di dalam neraka:
إِنِّي كَفَرْتُ بِمَا أَشْرَكْتُمُونِ مِن قَبْلُ
Maksudnya: “Aku tidak pernah bersetuju dengan perbuatan kamu yang menjadikan aku sekutu bagi Allah semasa di dunia dahulu.”
(Surah Ibrahim: 22)
Maknanya, “Sesungguhnya aku mengingkari dan menolak bahawa aku adalah sekutu bagi Allah dalam apa-apa ibadah kamu, yang kamu jadikan aku sebagai sekutu di dalamnya.” (Lihat Jami‘ al-Bayan, 16/560). Padanya mengandungi makna iblis berlepas diri daripada ketaatan orang kepadanya dan juga ikutan orang terhadap apa yang diperintahkan kepada mereka dengannya berupa kekufuran. (Lihat Tafsir al-Baidhawi, 3/197).
Seterusnya, perkataan al-kufr (الكُفْرُ) dari segi istilah pula adalah lawan kepada iman, sama ada dengan hati, lisan atau amalan/perbuatan, baik melakukan sesuatu mahupun meninggalkan sesuatu.
Yang disepakati oleh Ahli Sunnah bahawa Iman adalah keyakinan dalam hati, pengakuan dengan lidah, dan perbuatan dengan anggota badan. Sedangkan kufur adalah lawannya, maka ia juga boleh berlaku dalam hati, seperti mempercayai adanya tuhan lain bersama Allah, atau menolak/mengingkari keesaan Allah, atau membenci Nabi Muhammad SAW atau agama Islam, dan berhukum dengan hukum yang tidak diturunkan oleh Allah SWT di samping meyakini bahawa ia adalah lebih baik daripada hukum syariah atau setara dengannya, atau menganggapnya boleh dilakukan. Manakala melalui ucapan pula boleh berlaku, seperti mengucapkan kata-kata kufur seperti menghina Allah dan Rasul-Nya, atau menghina dan merendah-rendahkan agama, atau meninggalkan dua syahadah. Manakala melalui perbuatan pula boleh berlaku, seperti sujud kepada berhala, atau meninggalkan ibadat-ibadat dan kewajipan-kewajipan dengan keseluruhannya.
Ibn Taimiyyah menyatakan, kekufuran tidak hanya melibatkan penafian. Malah, jika seseorang berkata: Saya tahu bahawa anda benar, tetapi saya tidak akan mengikuti anda. Sebaliknya, saya akan menentang dan membenci anda, maka itu akan menjadi kufur yang lebih besar. Oleh itu, diketahui bahawa iman bukanlah sekadar tentang percaya semata-mata, dan kufur bukanlah sekadar tentang penafian semata-mata. (Lihat Syarh al-‘Aqidah al-Tahawiyyah, oleh Ibn Abi al-’Izz al-Hanafi, 2/472-473)
Sufyan bin ‘Uyainah berkata: Meninggalkan kewajipan dengan menolaknya adalah kafir seperti kafirnya Iblis. Meninggalkannya tanpa pengetahuan, tanpa menolaknya adalah kafir seperti kafirnya ulama Yahudi. (Lihat al-Sunnah oleh Imam Ahmad Ibn Hanbal, 1/347).
Para ulama telah berbeza pendapat dalam mendefinisikan kekufuran. Ibn Hazm menyatakan: Ia adalah menafikan rububiyyah, menafikan kenabian salah seorang nabi dari para nabi yang kenabian mereka disahkan dalam Al-Quran atau menafikan sesuatu yang dibawa oleh Rasulullah SAW yang diakui kebenarannya oleh penolaknya melalui penukilan riwayat secara keseluruhannya, atau melakukan sesuatu yang dibuktikan bahawa tindakan tersebut adalah perbuatan kufur. (Lihat al-Fasl fi al-Milal wa al-Hawa’ wa al-Nahl, 3/118)
Al-Qarafi berkata: Asal kepada kekufuran adalah pelanggaran khas terhadap kesucian rububiyyah, sama ada kerana kejahilan tentang kewujudan Pencipta atau sifat-sifat-Nya yang tinggi. Terjadinya kufur dengan melakukan tindakan-tindakan seperti melempar mashaf dalam kotoran, bersujud kepada berhala, ragu-ragu dalam menghadiri gereja pada hari perayaan mereka dengan berpakaian seperti orang Kristian, serta memperhatikan keadaan mereka secara langsung, atau menolak sesuatu yang telah diketahui dalam agama secara pasti. (Lihat Anwar al-Buruq fi Anwa’ al-Furuq, 4/115-116)
Ibn Taimiyyah mendefinisikannya sebagai: Ketidakpercayaan kepada Allah dan rasul-rasul-Nya, sama ada dengan mengingkari atau tidak, bahkan dengan syak dan keraguan, atau menolak semuanya, sama ada disebabkan oleh iri hati, kesombongan, atau mengikuti beberapa hawa nafsu yang menyimpang dari mengikuti risalah. (Lihat Majmu’ Fatawa, 12/335)
Disebutkan dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah (15/34) Kufur menurut syara’ ialah: Ia adalah penolakan terhadap sesuatu yang secara pasti diketahui sebagai sebahagian daripada agama Muhammad SAW, seperti mengingkari kewujudan Pencipta, kenabian, hukum zina, dan sebagainya. Kufur adalah lebih umum daripada murtad, kerana kufur mungkin kufur asal, tidak seperti murtad.
Kufur ketika dalam bentuk mutlak:
Apabila ungkapan kufur atau al-kufr datang dalam bentuk yang mutlak, maka ia merujuk kepada maknanya dari sudut istilah, iaitu lawan kepada keimanan kepada Allah, Rasul-Nya, dan syariat-Nya. Inilah yang membawa kepada natijah, semua kesan dan hukum kufur di dunia dan akhirat kepadanya. Oleh yang demikian, apabila Nabi SAW mengkhabarkan kepada para sahabat R.Anhum bahawa kebanyakan penghuni neraka adalah daripada golongan wanita dan menjelaskan sebabnya adalah kerana mereka kufur, maka para sahabat bertanya: “Mereka kufur kepada Allah?” Hal ini kerana itulah yang terlintas dalam fikiran mereka apabila ungkapan tersebut diucapkan. Lalu Nabi SAW menjelaskan kepada mereka bahawa maksudnya adalah menolak/mengingkari nikmat suami dan kebaikannya, bukannya menolak/mengingkari keesaan Allah, Rasul-Nya, dan syariat-Nya.
Ini adalah sebagaimana riwayat daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya: Nabi SAW bersabda:
أُرِيتُ النَّارَ فَإِذَا أَكْثَرُ أَهْلِهَا النِّسَاءُ يَكْفُرْنَ. قِيلَ: أَيَكْفُرْنَ بِاللهِ؟ قَالَ: يَكْفُرْنَ الْعَشِيرَ، وَيَكْفُرْنَ الإِحْسَانَ، لَوْ أَحْسَنْتَ إِلَى إِحْدَاهُنَّ الدَّهْرَ ثُمَّ رَأَتْ مِنْكَ شَيْئًا قَالَتْ مَا رَأَيْتُ مِنْكَ خَيْـرًا قَطُّ
Maksudnya: “‘Diperlihatkan kepadaku neraka, rupa rupanya majoriti penghuninya adalah para wanita yang kufur.’ Baginda ditanya: ‘Adakah mereka kufur terhadap Allah?’ Baginda menjawab: ‘Mereka kufur (iaitu tidak berterima kasih atau derhaka) terhadap suami mereka dan terhadap kebaikan yang mereka perolehi. Jika kamu berlaku ihsan terhadap salah seorang daripada mereka (wanita-wanita tersebut) untuk jangka masa yang lama dan wanita itu melihat suatu perkara yang tidak disukai pada diri kamu, dia akan berkata: Aku tidak pernah melihat satu apa kebaikan pun daripada kamu’.”
Riwayat al-Bukhari (29)
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”