#7818: Merawat Sifat Bakhil

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana cara terbaik merawat sifat bakhil?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَإِنَّهُ لِحُبِّ الْخَيْرِ لَشَدِيدٌ

Maksudnya: Dan sesungguhnya ia melampau sangat sayangkan harta (secara tamak haloba).

(Surah al-‘Adiyat: 8)

Al-Sabuni berkata bahawa sesungguhnya manusia amat cintakan harta dan loba untuk mengumpulnya. Dengan sebab itu, kecintaan kepada Allah serta syukur atas nikmat-Nya menjadi lemah dan berkurangan. (Lihat Safwah al-Tafasir, 3/567)

Bakhil adalah sejenis kedekut yang tidak lagi melaksanakan titah perintah Tuhan dan Rasul-Nya. Terkadang menyusahkan diri dan keluarganya dengan sikap dan sifat tersebut. Untuk merawat bakhil, pertamanya perlu mengetahui sebab bakhil itu terjadi kerana cintakan harta. Dan ia berpunca dari dua sebab.

Pertama: Cintakan syahwat yang tidak akan sampai kepadanya melainkan dengan harta bersekali dengan panjangnya angan-angan.

Kedua: Ia cintakan harta tersebut. Bahkan ada orang walaupun hartanya mencukupi kehidupannya, tetapim lebihannya yang begitu banyak dan keadaannya yang sudah tua, dan tanpa anak, masih lagi kedekut untuk membelanjakan hartanya.

Hal ini menyebabkan ia tidak mengiizinkan untuk mengeluarkan sekalipun yang wajib sementelahan sedekah yang mungkin memberi manfaat baginya. Dia sendiri tahu jika seiranya dia mati, hartaanya akan diambil oleh musuhnya atau hilang.

Justeru untuk merawat setiap penyakit ini perlu mujahadah melawan dengan melakukan di sebaliknya. Sebagai contoh, cintakan syahwat dengan sifat qana’ah dan sabar. Begitu juga panjangnya angan-angan dengan banyaknya zikir kepada kematian.

Merawat hati yang terpaut dan cintakan pada anak dengan yakin Allah yang mencipyakan anaknya juga menciptakan rezeki untuknya. Begitu juga kerana kasihkan kepada dunia yang melampau pasti akan meerasa berat apabila musibah dengan kehilangannya. Siapa yang mengetahui, binasanya harta, dia tidak akan merasa keluh-kesah. (Lihat Mukhtasar Minhaj al-Qasidin, hlm. 195-196)

Begitu juga, sewajarnya kita melihat contoh yang terbaik, bagaimana pemurahnya para sahabat yang mengikut Rasulullah SAW sehingga sanggup ithar akan dirinya. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A:

أَنَّ رَجُلًا أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلّمَ فَبَعَثَ إِلَى نِسَائِهِ فَقُلْنَ مَا مَعَنَا إِلَّا الْمَاءُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلّمَ مَنْ يَضُمُّ أَوْ يُضِيفُ هَذَا فَقَالَ رَجُلٌ مِنْ الْأَنْصَارِ أَنَا فَانْطَلَقَ بِهِ إِلَى امْرَأَتِهِ فَقَالَ أَكْرِمِي ضَيْفَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلّمَ فَقَالَتْ مَا عِنْدَنَا إِلَّا قُوتُ صِبْيَانِي فَقَالَ هَيِّئِي طَعَامَكِ وَأَصْبِحِي سِرَاجَكِ وَنَوِّمِي صِبْيَانَكِ إِذَا أَرَادُوا عَشَاءً فَهَيَّأَتْ طَعَامَهَا وَأَصْبَحَتْ سِرَاجَهَا وَنَوَّمَتْ صِبْيَانَهَا ثُمَّ قَامَتْ كَأَنَّهَا تُصْلِحُ سِرَاجَهَا فَأَطْفَأَتْهُ فَجَعَلَا يُرِيَانِهِ أَنَّهُمَا يَأْكُلَانِ فَبَاتَا طَاوِيَيْنِ فَلَمَّا أَصْبَحَ غَدَا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلّمَ فَقَالَ ضَحِكَ اللَّهُ اللَّيْلَةَ أَوْ عَجِبَ مِنْ فَعَالِكُمَا فَأَنْزَلَ اللَّهُ…

Maksudnya: “Ada seseorang yang mendatangi Rasulullah SAW (dalam keadaan lapar), lalu Baginda SAW mengirim utusan kepada para isteri Baginda. Para isteri Rasulullah SAW menjawab: “Kami tidak memiliki apa pun kecuali air.” Rasulullah SAW bersabda: “Siapakah daripada kalangan kalian yang ingin menjamu orang ini?” Salah seorang kaum Ansar menjawab: “Saya.” Lalu orang Ansar ini membawa lelaki tadi ke rumah isterinya, (dan) dia berkata: “Muliakanlah tetamu Rasulullah SAW!” Isterinya menjawab: “Kita tidak memiliki apa pun kecuali makanan untuk anak-anak.” Orang Ansar itu berkata: “Siapkanlah makananmu itu, nyalakanlah lampu, dan tidurkanlah anak-anak jika mereka minta makan malam.” Kemudian, wanita itu pun menyiapkan makanan, menyalakan lampu, dan menidurkan anak-anaknya. Dia lalu bangkit, seakan hendak memperbaiki lampu dan memadamkannya. Kedua suami-isteri ini memperlihatkan (kepada para tetamu) seakan-akan mereka sedang makan. Setelah itu mereka tidur dalam keadaan lapar. Keesokan harinya, si suami datang menghadap Rasulullah SAW, Baginda bersabda: “Malam ini Allah tertawa atau takjub dengan perbuatan kamu berdua.” Maka Allah menurunkan (ayat tersebut).”

Riwayat al-Bukhari (3798)

Semoga Allah memberi kebaikan kepada kita semua dan akhirnya jangan lupa untuk berdoa supaya Allah cabutkan daripada kita sifat bakhil ini sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri R.A, katanya: “Rasulullah SAW telah memasuki masjid. Didapati pada waktu tersebut ada seorang sahabat daripada kalangan Ansar – dikatakan beliau adalah Abu Umamah R.A – sedang duduk di sana. Baginda lalu bertanya: “Wahai Abu Umamah, kenapa aku melihat engkau sedang duduk di dalam masjid sedangkan bukan pada waktu solat?” Abu Umamah menjawab: “Dukacita dan hutang menyelubungiku wahai Rasulullah!”

Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Mahukah kamu aku ajarkan kepada kamu satu doa jika kamu membacanya Allah akan menghilangkan rasa dukacitamu dan melangsaikan hutangmu.” Abu Umamah menjawab: “Sudah tentu, wahai Rasulullah.” Maka Baginda bersabda: “Ucapkanlah pada waktu pagi dan petang bacaan ini:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat pengecut dan kedekut. Dan aku berlindung kepada Engkau dari bebanan hutang dan penindasan manusia.”

Abu Umamah RA berkata: “Setelah membaca doa tersebut, Allah menghilangkan kedukaanku dan melunaskan hutangku.”

Riwayat al-Bukhari (6369), Abu Daud (1555), al-Tirmizi (3484), al-Nasa’ie (5449) dan al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (305)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ، وَالأَهْوَاءِ، وَالأَسْوَاءِ، وَالأَدْوَاءِ.

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”