#7819: Cara Sedekah yang Diajar oleh Rasulullah SAW

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Jika sekiranya seseorang itu tidak mampu untuk bersedekah, bagaimanakah cara untuk dia bersedekah atau dia memperolehi di sisi Allah SWT sebagai ganjaran sedekah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَمَا أَنفَقْتُم مِّن شَيْءٍ فَهُوَ يُخْلِفُهُ وَهُوَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ

Maksudnya: “Dan apa sahaja yang kamu belanjakan dari sesuatu maka Allah lah yang menggantikannya dan Dia merupakan sebaik-baik pemberi rezeki.”

Surah Saba’ (39)

Al-Tabari ketika mentafsirkan ayat ini berkata: Dan apa sahaja yang kamu belanjakan wahai sekalian manusia pada jalan ketaatan kepada Allah, maka sesungguhnya Allah akan menggantikannya kepada kamu. (Lihat Jami’ al-Bayan, 20/413)

Dalam menjawab persoalan di atas, sebenarnya konsep sedekah yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW amat luas. Bukan hanya terhenti pada harta benda dan wang ringgit semata-mata, tetapi ia melebar kepada dalam sebarang bentuk kebaikan.

Dalam menjawab hal ini, kami kemukakan dua hadith Nabi SAW:

Daripada Abu Zar al-Ghifari katanya:

يَا رَسُولَ اللَّهِ ذَهَبَ أَهْلُ الدُّثُورِ بِالْأُجُورِ؛ يُصَلُّونَ كَمَا نُصَلِّي، وَيَصُومُونَ كَمَا نَصُومُ، وَيَتَصَدَّقُونَ بِفُضُولِ أَمْوَالِهِمْ. قَالَ: أَوَلَيْسَ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لَكُمْ مَا تَصَّدَّقُونَ؟ إِنَّ بِكُلِّ تَسْبِيحَةٍ صَدَقَةٌ، وَكُلِّ تَكْبِيرَةٍ صَدَقَةً، وَكُلِّ تَحْمِيدَةٍ صَدَقَةً، وَكُلِّ تَهْلِيلَةٍ صَدَقَةً، وَأَمْرُ بِالمَعْرُوفِ صَدَقَةٌ، وَنَهْيٌّ عَنْ مُنْكَرٍ صَدَقَةٌ، وَفِي بُضْعِ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيَأْتِي أَحَدُنَا شَهْوَتَهُ وَيَكُونُ لَهُ فِيهَا أَجْرُ؟ قَالَ: أَرَأَيْتُمْ لَوْ وَضَعَهَا فِي حَرَامٍ، أَكَانَ عَلَيْهِ وِزْرٌ؟ فَكَذَلِكَ إِذَا وَضَعَهَا فِي الْحَلَالِ، كَانَ لَهُ أَجْرٌ.

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, orang-orang kaya telah pergi dengan membawa pahala yang banyak, mereka bersolat sebagaimana kami bersolat, mereka berpuasa sebagaimana kami berpuasa dan mereka bersedekah dengan kelebihan harta mereka (sedang kami tidak dapat melakukannya).

Rasulullah SAW bersabda: Bukankah Allah telah menjadikan bagi kamu jalan untuk bersedekah? Sesungguhnya setiap tasbih adalah sedekah, setiap takbir adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, menyuruh kepada yang makruf adalah sedekah, mencegah perkara yang mungkar adalah sedekah dan pada mendatangi isteri kamu (jimak) adalah sedekah.

Mereka bertanya: Ya Rasulullah, adakah sekiranya salah seorang daripada kami mendatangi isterinya (jimak) juga mendapat pahala? Baginda bersabda: Apa pendapat kamu sekiranya dia melunaskan syahwatnya dengan cara yang haram, bukankah dia akan mendapat dosa? Demikianlah halnya jika perkara tersebut diletakkan pada jalan yang halal, maka dia akan mendapat pahala.”

Riwayat Muslim (1006)

Sifat Rasullulah SAW adalah menyelesaikan masalah ummah. Inilah yang dilakukannya kepada para sahabat yang miskin untuk beramal. Bersedekahlah sekiranya mampu, kerana sedekah adalah salah satu cara perhubungan antara manusia yang kaya dengan yang miskin. Sedekah tidak semestinya dengan harta dan wang ringgit, sedekah juga boleh dilakukan dengan amalan ibadat seperti di dalam hadis di atas. Nas di atas juga menunjukkan kefahaman sahabat yang sedekah adalah besar ganjarannya dan jalan menuju ke syurga Allah. Jangan sesekali memandang rendah dan remeh terhadap setiap kebaikan dan kebajikan yang dilakukan. Hal ini kerana setiap kebaikan tersimpan pahala dan rahmat Allah SWT. Sekalipun ia kecil, tetapi ia lebih baik daripada seseorang yang tidak melakukan kebaikan tersebut.

Penilaian sebenar hanya di sisi Allah SWT. Berlumba-lumbalah untuk berbuat kebaikan. Jika sekiranya kita tidak mampu bersedekah kerana kekurangan harta maka lakukanlah kebaikan yang lain seperti zikrullah, amar ma’ruf, nahi mungkar dan lain-lain. Sesungguhnya terlalu banyak nas yang melebihkan zikrullah daripada bersedekah. Jadilah kita sebagai orang kaya yang bersyukur dan orang miskin. yang sabar. Yakin dan percayalah dengan mengikut Hadyu Nabawi kita akan mencapai keredhaan Allah di dalam melayari bahtera kehidupan ini. (Lihat al-Kafi Syarah Hadis 40, hlm. 272-273)

Begitu juga sebuah hadith daripada Sa‘id bin Abu Burdah, daripada bapanya, daripada datuknya, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ صَدَقَةٌ، فَقَالُوا: يَا نَبِيَّ اللَّهِ، فَمَنْ لَمْ يَجِدْ؟ قَالَ: «يَعْمَلُ بِيَدِهِ، فَيَنْفَعُ نَفْسَهُ وَيَتَصَدَّقُ» قَالُوا: فَإِنْ لَمْ يَجِدْ؟ قَالَ: يُعِينُ ذَا الحَاجَةِ المَلْهُوفَ» قَالُوا: فَإِنْ لَمْ يَجِدْ؟ قَالَ: «فَلْيَعْمَلْ بِالْمَعْرُوفِ، وَلْيُمْسِكْ عَنِ الشَّرِّ، فَإِنَّهَا لَهُ صَدَقَةٌ

Maksudnya: “Setiap muslim wajib bersedekah.” Para sahabat bertanya: “Wahai Nabi Allah, bagaimana dengan orang yang tidak mempunyai sesuatu untuk disedekahkan?” Baginda SAW menjawab: “Hendaklah dia bekerja dengan kudratnya, lalu memberikan manfaat kepada dirinya sendiri dan bersedekah.” Mereka kembali bertanya: “Jika tidak mampu?” Baginda SAW menjawab: “Hendaklah mereka menolong orang yang memerlukan lagi dalam kesulitan.” Mereka bertanya lagi: “Jika tidak mampu?” Baginda SAW menjawab: “Maka hendaklah dia mengerjakan kebaikan dan menahan diri daripada berbuat keburukan, kerana sesungguhnya hal itu merupakan sedekah untuknya.”

Riwayat al-Bukhari (1445) dan Muslim (1008)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Seolah-olah mereka memahami konsep sedekah hanya sebagai pemberian harta. Lalu mereka bertanya tentang keadaan orang yang tidak memiliki apa-apa untuk disedekahkan. Oleh itu, Rasulullah SAW menjelaskan bahawa makna sedekah jauh lebih luas daripada sekadar pemberian harta. Termasuk juga memberi pertolongan kepada orang yang berada dalam kesulitan atau mengajak kepada kebaikan.

Ibnu Al-Manayyar berkata: “Menahan diri daripada melakukan perbuatan buruk dianggap sebagai sedekah sekiranya pelakunya berniat mendekatkan diri kepada Allah SWT. Menahan diri daripada perbuatan buruk bukan sahaja memberi kesan kepada diri sendiri, tetapi juga berkaitan dengan orang lain. Dalam hubungan dengan orang lain, seolah-olah seseorang bersedekah kepada individu tersebut dengan menjauhkannya daripada keburukan. Jika keburukan yang dilakukan itu hanya terbatas pada dirinya sendiri, maka itu bermakna dia telah bersedekah kepada dirinya dengan menjauhkan dirinya daripada perbuatan dosa.”

Kemudian dia berkata: “Ungkapan hadis ‘apabila dia tidak mendapatkannya’ tidak menunjukkan susunan perbuatan tertentu. Sebaliknya, ia adalah penjelasan tentang apa yang perlu dilakukan oleh seseorang yang tidak mampu melaksanakan salah satu daripada kebaikan tersebut. Jika dia tidak mampu melaksanakan salah satu daripadanya, maka dia boleh memilih yang lain. Sesiapa yang mampu bekerja dengan kedua tangannya untuk bersedekah, membantu orang yang memerlukan pertolongan, melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar, serta menahan diri daripada perbuatan buruk, maka dia boleh melaksanakan semua kebaikan tersebut.”

Hadis ini menjelaskan bahawa pahala perbuatan baik adalah seumpama pahala sedekah, terutamanya bagi mereka yang tidak mampu bersedekah dengan harta. Selain itu, dapat difahami bahawa bersedekah dengan harta bagi orang yang mampu melakukannya adalah lebih utama berbanding perbuatan yang manfaatnya hanya terhad kepada pelakunya.

Kesimpulannya, kita hendaklah menyayangi segala ciptaan Allah, sama ada yang berbentuk harta atau lainnya. Harta pula merangkumi segala yang diperoleh melalui usaha. Manakala selain harta, ia boleh berupa perbuatan aktif seperti memberi pertolongan atau perbuatan pasif seperti menahan diri daripada perkara-perkara buruk. (Lihat Fath al-Bari, 8/130-131)

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ أَعْطِ مُنْفِقًا خَلَفًا، وَأَعْطِ مُمْسِكًا تَلَفًا

Maksudnya: “Ya Allah! Kurniakanlah kepada pemberi sedekah, gantian. Dan jadikanlah kepada yang kedekut, kehilangan.