Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah nasihat Dato yang boleh diberikan tentang kesalahan yang sering berlaku ketika hari raya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Saidatina Aisyah R.Anha menyatakan:
أَنَّ الْحَبَشَةَ كَانُوا يَلْعَبُونَ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي يَوْمِ عِيدٍ، قَالَتْ: فَاطَّلَعْتُ مِنْ فَوْقِ عَاتِقِهِ، فَطَأْطَأَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْكِبَيْهِ، فَجَعَلْتُ أَنْظُرُ إِلَيْهِمْ مِنْ فَوْقِ عَاتِقِهِ حَتَّى شَبِعْتُ، ثُمَّ انْصَرَفْتُ
Maksudnya: “Orang Habsyah bermain di sisi Rasulullah SAW ketika hari raya.” Kata Aisyah: “Maka aku pun muncul dari atas bahunya, lalu Rasulullah SAW merendahkan bahunya untukku, sehingga aku dapat melihat mereka bermain sampailah aku merasa puas dan kemudian beredar (dari situ).”
Riwayat Ahmad (24296) dan al-Nasa’i (1594). Syeikh Syuaib al-Arna’ut di dalam Takhrij al-Musnad (24296) menyatakan bahawa sanad hadith ini sahih sebagaimana syarat Imam al-Bukhari dan Muslim
Menjadi kelaziman seluruh dunia, Islam akan bergembira dengan kedatangan Aidilfitri setelah sebulan bermujahadah melaksanakan amalan wajib dan sunat. Maka, antara kesalahan adab yang sering berlaku pada hari raya adalah:
Kesilapan Adab Pada Hari Raya
Kami terpanggil untuk menyebut beberapa kesilapan adab yang menyalahi sunnah Rasulullah SAW ketika kita rancak menyambut hari raya. Antara adab tersebut ialah:
- Tidak melakukan solat hari raya dan tidak pergi ke tempat solat, sebaliknya hanya berada di rumah.
- Banyak menonton rancangan televisyen sehingga tiada dalam perancangannya untuk menziarahi sanak saudara. Hal ini semakin membarah kerana tarikan rancangan yang begitu menarik lagi melalaikan.
- Tidak menutup aurat atau berpakaian yang menjolok mata tanpa mengikut syariat Islam.
- Memasang lagu-lagu dan nyanyian hari raya yang kurang sopan dan berlebih-lebihan dalam berhibur atas nama hari raya. Alangkah baiknya jika digantikan dengan alunan zikir, nasyid dan nyanyian sopan yang tidak keterlaluan.
- Pergi beraya di rumah rakan-rakan dalam tempoh masa yang amat panjang sehingga mengganggu tuan rumah.
- Mengkritik makanan yang dihidangkan atau membandingkan kelazatan makanan antara satu rumah dengan rumah yang lain.
- Meminta duit secara berlebih-lebihan sehingga perasaan tuan rumah tertekan dan tidak selesa.
- Bersalam-salaman antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram atau berkumpul setempat sehingga timbul perasaan kurang selesa pada golongan yang beragama.
- Pergi beraya di rumah seseorang sehingga lupa untuk me- nunaikan solat fardhu dan melambatkan solat pada waktunya.
- Lupa menziarahi golongan fakir miskin dan anak yatim, tetapi matlamatnya lebih kepada rumah bangsawan dan hartawan.
- Merayakan hari raya sehingga sebulan dan tidak lagi mampu untuk menunaikan puasa sunat 6 hari dalam bulan Syawal.
- Kurang bersedekah dan memberi bantuan kepada fakir miskin, anak yatim serta mereka yang berada dalam kedaifan.
- Berlebih-lebihan dalam berpakaian sehingga menampakkan kemewahan yang melampau hingga membawa perasaan takabbur, riak dan sombong.
- Berkumpul secara beramai-ramai tanpa faedah dan tidak menghiraukan orang lain.
- Terlupa untuk menziarahi pesakit di hospital atau mereka yang mengharapkan bantuan sebaliknya kita menyibukkan diri dengan kegembiraan yang melampau bersama rakan taulan yang sihat.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلكَ رِضَاكَ وَالجَنَّةَ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ سَخَطِكَ واَلنَّارِ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu keredhaan-Mu dan syurga, dan kami berlindung kepada-Mu daripada kemurkaan-Mu dan neraka.”