Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh ceritakan kisah-kisah salafus soleh yang khusyuk dalam solat mereka?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ ﴿١﴾ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, (1) Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya.”
(Surah al-Mu’minun: 1-2)
Imam al-Qurtubi dalam menjelaskan ayat ini menyebut, khusyuk merupakan perkara di dalam hati. Sekiranya seseorang itu khusyuk ketika solat maka anggota badan juga turut akan khusyuk disebabkan hatinya khusyuk melakukan solat. Imam al-Qurtubi menceritakan seorang ulama ketika melakukan solat, maka ia akan melakukan dengan mengagungkan Allah SWT dengan memalingkan pandangannya daripada sesuatu urusan keduniaan. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 12/103)
Imam Al-Syaukani ketika mengulas ayat ini berkata: Sebahagian ulama memasukkan khusyu’ sebagai sebahagian daripada perbuatan hati seperti perasaan takut dan juga gerun. Manakala sebahagian yang lain mengatakan ia termasuk sebahagian dari perbuatan anggota badan seperti tenang dalam solat, tidak beralih ke sana sini, dan tidak melakukan perkara sia-sia di dalam solat. Dan dari segi bahasa khusyuk bermaksud: Tenang, tawadhu’ (rendah diri), takut, dan juga perasaan hina diri. (Lihat Fath al-Qadir, 1/977).
Berkenaan persoalan di atas, terdapat beberapa kisah salafus soleh yang benar-benar khusyuk ketika solat, antaranya:
- Aisyah R.Anha[1]
Al-Qasim bin Muhammad berkata: Satu pagi, aku bertemu dengan Aisyah R.Anha untuk memberi salam sedang dia melaksanakan solat Dhuha dan membaca ayat:
فَمَنَّ اللَّهُ عَلَيْنَا وَوَقَانَا عَذَابَ السَّمُومِ
Maksudnya: “Maka Allah mengurniakan kami (rahmat dan taufiqNya), serta memelihara kami dari azab neraka.”
(Surah al-Tur: 27)
Dia menangis dan berdoa serta mengulang ayat itu. Aku berdiri sehingga aku bosan sedangkan dia masih dalam keadaan begitu. Justeru, aku pergi ke pasar. Apabila selesai menunaikan hajatku, kemudian aku pulang, dan selesaikan hajatku di rumah. Kemudian aku datang kembali menemui Aisyah R.Anha sedangkan dia masih lagi mengulang ayat itu sambil menangis dan berdoa. (Lihat Tahzib al-Nufus, hlm. 563)
- Al-’Anbas bin Uqbah[2]
Adalah al-Anbas bin Uqbah pernah sujud sehingga burung-burung bertenggek di atas belakangnya seolah-olah ia dinding atau kayu yang sudah mati. (Lihat al-Zuhd oleh Imam Ahmad, hlm. 290)
- Habib bin Abi Thabit[3]
Mengikut cerita Abu Bakar bin Ayyasy Rahimahullah, kalau kamu melihatnya (Habib bin Thabit) nescaya kamu sangka dia mayat, yakni terlalu lamanya ia bersujud. (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 1/182)
- Sufyan al-Thauri[4]
Dikatakan bahawa Sufyan berada di Masjid al-Haram ketikamana dia solat Maghrib, dia sujud satu sujud dan tidak mengangkat kepalanya sehingga seruan azan Isyak kedengaran. (Lihat Hilyah al-Auliya’, 7/57)
- Muslim bin Yasar Rahimahullah[5]
Diriwayatkan beliau sekali-kali tidak berpaling mukanya ketika solat. Kata Maimun bin Hayyan, pernah satu ketika, sebahagian atap masjid runtuh sehingga ahli pasar merasa takut dengan sebab runtuhan tersebut sedangkan Muslim bin Yasar masih di dalam masjid bersolat tanpa mengendah pun apa-apa yang sedang berlaku. (Lihat Hilyah al-Auliya’, 2/290)
- Al-Rabi’ bin Khuthaim[6]
Al-Rabi’ bin Khuthaim adalah seorang tabi’in yang dikenali sebagai seorang yang amat khusyuk dalam solatnya. Pernah seorang lelaki yang kebiasaannya datang awal ke masjid melihat Al-Rabi’ bin Khuthaim sedang sujud.
Lelaki tersebut berkata: “Al-Rabi’ bin Khuthaim jika beliau dalam keadaan sujud sama seperti pakaian yang terlonggok, hingga datang burung-burung menghinggapi di atas tubuhnya.” (Lihat Sifat al-Safwah, 3/39)
- Abu Abdullah al-Marwazi[7]
Abu Bakar Muhammad bin Ishaq menceritakan: “Aku tidak tahu siapakah yang lebih baik solatnya daripada Abu Abdullah al-Marwazi. Telah sampai kepadaku berita bahawa satu ketika terdapat seekor kumbang penyengat yang menyengat dahinya, hingga darah mengalir pada mukanya, namun beliau tidak bergerak sama sekali (Lihat Sifat al-Safwah, 4/130)
- Imam al-Bukhari[8]
Imam al-Bukhari pernah menunaikan solat zohor bersama para sahabatnya. Setelah selesai, Imam al-Bukhari menunaikan pula solat sunnah. Setelah selesai menunaikan solat sunnah Imam al-Bukhari mengangkat hujung baju gamisnya dan bertanya kepada para sahabatnya: “Apakah kamu semua melihat ada sesuatu di sebalik baju gamisku ini?”
Imam al-Bukhari pernah menunaikan solat Zohor bersama para sahabatnya. Setelah selesai, Imam al-Bukhari menunaikan pula solat sunat. Setelah selesai menunaikan solat sunat.
Maka ternyata disebalik kainnya terdapat seekor lebah, dan jelas kelihatan kesan sengatan di kulit Imam al-Bukhari sebanyak 16 atau 17 sengatan. Sengatan tersebut telah menyebabkan bengkak di badan.
Seorang daripada sahabat Imam al-Bukhari pun bertanya: “Mengapa engkau tidak membatalkan solat sejak sengatan pertama engkau disengat?”
Imam al-Bukhari menjawab: “Aku sedang membaca surah, dan aku menginginkan untuk menyempurnakannya!” (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 12/442)
- Urwah bin Zubair[9]
Urwah bin Zubair pernah terkena penyakit akilah pada sebahagian anggota tubuhnya di mana penyakit tersebut dapat merebak seluruh tubuh. Akibatnya, tabib menanda anggota tubuh yang terkena akilah tersebut untuk dipotong sehingga anggota tubuh yang lain tidak dijangkiti. Bayangkan pada waktu itu belum ada ubat penahan sakit yang boleh menghilangkan kesakitan ketika bahagian tubuh dipotong. Lalu beliau berkata kepada tabib untuk menanggungkan sehingga beliau menunaikan solat. Tatkala beliau menunaikan solat barulah kakinya dipotong. Dan beliau tidak merasakan apa-apa pada ketika itu. Ini kerana hatinya sedang sibuk bermunajat kepada Allah. Hati jika sudah disibukkan dengan sesuatu, maka tidak akan ada sesuatu deria yang terkena pada badan. (Lihat Syarh Riyadh al-Solihin, 5/46)
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.
[1] Beliau ialah Aisyah binti Abu Bakar al-Siddiq Abdullah bin Uthman bin ‘Amr bin Ka‘ab bin Sa‘ad bin Taim al-Taimiyyah al-Qurasyiyyah. Ibu beliau bernama Ummu Ruman binti ‘Amir. Beliau dilahirkan empat atau lima tahun selepas Nabi SAW diutuskan sebagai Rasul. Beliau juga termasuk dalam kalangan mereka yang dilahirkan dalam Islam, dan usianya adalah 8 tahun lebih muda daripada Fatimah. (Lihat al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 8/231; Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/139). Aisyah diberikan nama julukan — kunyah — Ummu ‘Abdillah kerana beliau pernah meminta kepada Rasulullah SAW untuk diberikan kunyah kepadanya, dan gelaran itu diberikan kepadanya kerana beliau sangat rapat dengan anak saudaranya yang bernama Abdullah bin Zubair R.A. (Lihat al-Raud al-Unuf, 4/427). Aisyah R.Anha wafat pada malam selasa bersamaan dengan tarikh 17 Ramadhan pada tahun 58 Hijrah. Sebahagian ulama berpendapat, pada tahun 57 Hijrah. Beliau dikebumikan di perkuburan Baqi‘ di Madinah. (Lihat al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 8/235).
[2] Beliau ialah al-‘Anbas bin Uqbah bin Mas’ud al-Kufi.
[3] Habib bin Abi Thabit atau nama sebenarnya Qais bin Dinar, dikatakan juga Qais bin Hind dan kuniyahnya Abu Yahya al-Kufi, maula Bani Asad bin Abd al-‘Uzza. Seorang tabi’in dan perawi hadith Nabi SAW yang thiqah. Meninggal dunia pada tahun 119 H.
[4] Beliau ialah Sufyan Ibn Sa’id Ibn Masruq al-Thauri, dari keturunan Thaur Ibn Abdul Manaf. Beliau mempunyai pelbagai gelaran antaranya; Amirul Mu’minin fi al-Hadith (Pemimpin orang beriman dalam hadis), pemimpin dalam takwa, Al Imam, dan Ketua Para Wali. Beliau dilahirkan di Kufah pada tahun 97 Hijrah. Beliau meninggal dunia di Basrah pada bulan Sya’ban tahun 161 H pada usia 84 tahun. (Lihat Tazkirah Al-Huffaz, oleh al-Zahabi, no. 198)
[5] Beliau ialah Muslim bin Yasar al-Basri. Beliau seorang yang faqih dan ahli zuhud dari kalangan tabi’in. Beliau meninggal dunia pada tahun 100 H.
[6] Beliau ialah al-Rabi’ bin Khuthaim al-Thauri al-Taimi al-Kufi, dan merupakan salah seorang tabi’in. Beliau merupakan murid kepada Abdullah bin Mas’ud R.A. Sejak kecil beliau sudah sudah sangat dikenali sebagai orang yang tekun ibadah. Namanya banyak ditulis dalam lembaran sejarah Islam. Al-Rabi’ sentiasa mengisi malamnya dengan ibadah dalam mendekatkan diri kepada Allah SWT. Beliau adalah orang yang sangat khusyuk dalam solatnya. Beliau meninggal dunia pada tahun 63 H.
[7] Beliau adalah seorang tokoh ulama besar dan ulama mazhab Syafi’i yang bergelar “mujtahid mutlak.” Nama sebenarnya Muhammad bin Nasr bin Hajjaj al-Marwazi. Dikunyah dengan Abu Abdillah al-Marwazi. Berasal dari Marw dan beliau merupakan amir di Khurasan. Lahir pada tahun 202 Hijrah dan meninggal pada tahun 294 Hijrah. Beliau adalah seorang ulama’ bermazhab Syafie.
[8] Nama sebenar beliau adalah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin al-Ju’fiy al-Bukhari. Al-Bukhari adalah nisbah kepada tempat kelahiran beliau iaitu Bukhara yang terletak di Khurasan. Tambahan pula, Bukhara merupakan sebuah bandar lama, luas dan cantik. Kuniyah beliau adalah Abu Abdillah dan beliau terkenal dengan gelaran imam ahli hadith atau amir al-Mu’minin dalam hadith. Beliau lahir pada 194 Hijrah di bandar Bukhara. Antara sanjungan terhadap Imam al-Bukhari adalah:
- Telah berkata Ishak bin Rahawaih rahimahullah: “Wahai sekalian ashab hadith, lihatlah pada pemuda ini dan tulislah (hadith) daripadanya, sesungguhnya jika dia pada zaman Hasan bin Abi al-Hasan al-Basri sudah tentu manusia berhajat pada ilmu hadith dan fiqhnya”.
- Telah berkata Qutaibah bin Sa’id rahimahullah: “Aku melazimi ahli fiqh, ahli zuhud dan ahli ibadah tetapi aku tidak pernah melihat orang seperti Muhammad bin Ismail”.
- Telah berkata Ahmad bin Hanbal rahimahullah: “Khurasan tidak pernah mengeluarkan atau melahirkan insan sehebat Muhammad bin Ismail”.
Imam al-Bukhari meninggal dunia pada malam Aidilftri tahun 256 Hijrah, setelah hidup selama 62 tahun kurang 13 hari.
[9] Urwah bin al-Zubair bin al-‘Awwam lahir pada tahun 23 Hijrah di kota suci Madinah al-Munawwarah. Beliau daripada keturunan sahabat dan keturunan yang mulia. Seorang yang alim termasuk muhaddith dan salah seorang yang digelar 7 ahli feqah Madinah. Meninggal dunia pada tahun 94 Hijrah juga di kota Madinah.