#7822: Gelaran Kufur

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana perbincangan ulama’ tentang gelaran kufur kepada seseorang?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu firman Allah SWT:

وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Maksudnya: “Dan sesiapa yang mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.

Surah ‘Ali Imran (85)

Imam Abu Hayyan menyatakan, “Semua syariat-syariat yang ada telah ditolak kecuali syariat (Islam) yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW sahaja.” (Lihat Tafsir al-Bahr al-Muhit, 1/310). Menurut Imam al-Sobuni pula, “Sesiapa yang mencari syariat selain syariat Islam, selepas diutuskan Nabi SAW untuk dijadikan syariatnya, maka tidak akan sesekali diterima oleh Allah SWT.” (Lihat Sofwah al-Tafasir, 1/137)

Para ilmuan Islam telah membincangkan beberapa panduan dalam perbahasan takfir atau mengkufurkan seseorang; kerana perbuatan ini merupakan suatu dakwaan yang berat, mengeluarkan seseorang dari neraca keimanan.

Oleh kerana isu takfir ini tidak hanya berlaku di antara orang Islam dan orang bukan Islam semata-mata, bahkan ia terkadang turut berlaku di antara sesama Islam. Terdapat beberapa etika yang digariskan oleh ulama’ untuk dipastikan terlebih dahulu sebelum kita terlanjur melafazkan takfirkepada seseorang yang pada asalnya beragama Islam.

Imam al-Ghazali menyebut dalam Faisal al-Tafriqah (hlm. 28): “Tergesa-gesa dalam mengkufurkan seseorang ini kebiasaannya dari tabiat orang jahil.”

Ibn Hajar al-Haitami pula berkata: “Mufti perlu berhati-hati dalam mengkufurkan seseorang kerana perbuatan tersebut sangat berat, dan mungkin tindakan yang membawa kepada kekufuran itu tidak sengaja dilakukan, terutamanya oleh orang awam.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 9/88)

Kami kemukakan di sini beberapa etika yang digariskan oleh ulama’ Islam, seperti berikut:

  • Pertama: Tidak Mengkafirkan Orang Islam Sesuka Hati

Muslim dilarang untuk melemparkan ucapan ‘Kafir’ kepada Muslim yang lain, kerana perbuatan tersebut telah mengeluarkan seseorang yang beriman dari keimanan. Dalam sebuah hadith, Abu Zar R.A menceritakan bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَرْمِي رَجُلٌ رَجُلًا بِالفُسُوقِ، وَلَا يَرْمِيهِ بِالكُفْرِ، إِلَّا ارْتَدَّتْ عَلَيْهِ، إِنْ لَمْ يَكُنْ صَاحِبُهُ كَذَلِكَ

Maksudnya: “Tidaklah seseorang lelaki menuduh seorang lelaki yang lain dengan kefasikan, dan tidak pula menuduhnya dengan kekufuran, melainkan akan kembali kepadanya (tuduhan-tuduhan itu), jika orang yang dituduh itu tidaklah seperti itu.”

Riwayat al-Bukhari (6045) dan Muslim (61)

Ibn Hubairah ketika menghuraikan hadith di atas berkata: “Padanya terdapat larangan yang keras ke atas mereka yang melemparkan kepada saudara Muslimnya dengan ucapan ‘Kafir’. Hal ini kerana dia yakin bahawa ucapan itu akan kembali kepada dirinya semula jika dakwaan terhadap saudaranya itu tidak benar; maka berwaspadalah bagi sesiapa yang syak wasangka tentang perkara tersebut. Dan begitu juga jika dia menuduh saudaranya sebagai fasik, ucapan tersebut akan kembali kepadanya semula jika saudaranya tersebut tidak seperti yang diucapkan dengan yakin. ” (Lihat al-Ifsah, 2/170)

Ini jelas sebagaimana yang disebutkan dalam hadith ‘Abdullah bin ‘Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

أَيُّمَا رَجُلٍ قَالَ لِأَخِيهِ يَا كَافِرُ، فَقَدْ بَاءَ بِهَا أَحَدُهُمَا

Maksudnya: “Sesiapa sahaja yang berkata kepada saudaranya ‘wahai kafir’, maka ia (dakwaan kafir) akan kembali kepada salah seorang daripada mereka berdua”

Riwayat al-Bukhari (6104) dan Muslim (60)

Melalui hadith ini, Ibn ‘Abd al-Barr mengatakan bahawa ia merupakan peringatan dan larangan dari mengucapkan takfir ini kepada orang lain dari kalangan ahli Kiblat dengan berkata: “Wahai Kafir!” (Lihat al-Tamhid, 14/22)

Bahkan mengkafirkan saudara Muslim yang lain merupakan suatu dosa besar kerana ia diibaratkan seperti membunuh saudara seislam. Disebutkan dalam hadith Thabit bin al-Dahhak R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَمَنْ رَمَى مُؤْمِنًا بِكُفْرٍ فَهُوَ كَقَتْلِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang menuduh orang mukmin sebagai kafir, maka perkara itu seperti membunuhnya.”

Riwayat al-Bukhari (1605)

  • Kedua: Tidak Mengkufurkan Seseorang Kerana Dosa yang Dilakukan

Ibn Abi al-‘Izz al-Hanafi menyebutkan, ramai imam (dalam mazhab fiqh) melarang secara umum dari mengkafirkan seseorang atas perbuatan dosa yang dilakukannya, bahkan turut dikatakan: kita tidak boleh mengkufurkan mereka yang melakukan dosa atas apa jua dosa yang dilakukan, sepertimana yang dilakukan oleh kelompok al-Khawarij. (Lihat Syarh al-Tahawiyyah, 2/433)

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah juga menyebutkan di dalam al-‘Aqidah al-Wasitiyyah (hlm. 113), ahli Kiblat tidak dikafirkan hanya kerana perbuatan maksiat dan dosa besar yang dilakukan, sepertimana yang dilakukan kelompok al-Khawarij, bahkan ukhuwah keimanan itu kekal teguh meskipun ada yang melakukan maksiat. Allah SWT menyebutkan dalam ayat qisas:

فَمَنْ عُفِيَ لَهُ مِنْ أَخِيهِ شَيْءٌ فَاتِّبَاعٌ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh), maka hendaklah orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa).”

(Surah al-Baqarah: 178)

Disebutkan juga dalam firman-Nya:

وَإِن طَائِفَتَانِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اقْتَتَلُوا فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا ۖ فَإِن بَغَتْ إِحْدَاهُمَا عَلَى الْأُخْرَىٰ فَقَاتِلُوا الَّتِي تَبْغِي حَتَّىٰ تَفِيءَ إِلَىٰ أَمْرِ اللَّهِ ۚ فَإِن فَاءَتْ فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا بِالْعَدْلِ وَأَقْسِطُوا ۖ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ ‎﴿٩﴾‏ إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ ‎﴿١٠﴾

Maksudnya: “Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”

(Surah al-Hujurat: 9-10)

Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin berkata, orang Islam di sisi Ahli Sunnah wal Jama‘ah tidak dikafirkan kerana umum perbuatan maksiat dan dosa besar yang dilakukan. Terdapat perbezaan di antara ‘umum sesuatu perkara’ (مُطْلَقُ الشَّيْءِ) dan ‘suatu perkara yang bersifat umum’ (الشَّيْءُ المُطْلَقُ). ‘Suatu perkara yang bersifat umum’ (الشَّيْءُ المُطْلَقُ) bermaksud kesempurnaan sesuatu itu, manakala ‘umum sesuatu perkara’ (مُطْلَقُ الشَّيْءِ) pula merujuk kepada asas sesuatu itu. Orang beriman yang melakukan dosa besar, dia mempunyai ‘umum keimanan’ (مُطْلَقُ الْإِيمَانِ), maka asas keimanan itu sendiri memang wujud dalam dirinya, akan tetapi kesempurnaannya sahaja yang hilang. Perbincangan yang dibawakan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah ini sangat mendalam. (Lihat Syarh al-‘Aqidah al-Wasitiyyah, 2/237)

  • Ketiga: Orang yang Diyakini Keislamannya, Tidak Boleh Dikafirkan Melainkan Jika Diyakini Kekufurannya

Perkara ini telah disebutkan oleh para ulama’ terdahulu, antaranya Ibn ‘Abd al-Barr di dalam al-Tamhid (21/17): “Sesiapa sahaja yang telah tetap keislamannya pada suatu masa tertentu dengan persepakatan kaum Muslimin, lalu dia melakukan dosa atau melakukan suatu takwilan, kemudian kaum Muslimin berselisih tentang terkeluarnya dia dari Islam; maka perselisihan itu memerlukan kepada hujjah kerana ia datang selepas wujudnya persepakatan, dan orang tersebut tidak dihukumkan terkeluar dari keislaman yang telah disepakati melainkan dengan adanya persepakatan lain (atas kekufurannya) atau datangnya dalil sunnah yang tetap tanpa sebarang percanggahan.”

Ibn Nujaim menukilkan dari kitab Jami‘ al-Fusulain bahawa Imam al-Tahawi meriwayatkan dari ashab al-Hanafiyyah: “Seseorang itu tidak terkeluar dari daerah keimanan melainkan dengan perbuatan ingkar yang boleh menyebabkan dia termasuk dalam kekufuran, perbuatan yang diyakini bahawa ia pengingkaran terhadap agama, maka dia ketika itu dihukumkan sebagai kafir. Dan perbuatan yang hanya disyaki bahawa ia pengingkaran terhadap agama, maka orang itu tidaklah dihukumkan sebagai kafir; kerana keislaman yang telah tetap tidak gugur dengan wujudnya syak, dan Islam juga perlu ditinggikan. Seorang alim yang dibawakan kepadanya masalah ini seharusnya tidak tergesa-gesa menjatuhkan hukuman takfir terhadap orang Islam.” (Lihat al-Bahr al-Ra’iq, 5/134)

  • Keempat: Seseorang Itu Dihukum Berdasarkan Zahirnya

Bermaksud, jika pada zahirnya seseorang itu melakukan perbuatan yang menandakan bahawa dia seorang yang beragama Islam serta beriman kepada Allah SWT, maka dihukumkan berdasarkan zahir tersebut bahawa dia seorang Muslim, sehinggalah datangnya bukti yang mengatakan sebaliknya.

Ini merupakan satu kaedah yang makruf dalam ilmu Fiqh dan Usul al-Fiqh, seperti yang disebutkan oleh al-Nawawi, bahawa segala hukum ditentukan berdasarkan apa yang zahir sahaja, dan Allah SWT yang segala urusan-urusan yang rahsia. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 2/107)

Hal yang demikian berdasarkan hadith Abu Sa‘id al-Khudri R.A, Rasulullah SAW bersabda:

إِنِّي لَمْ أُومَرْ أَنْ أَنْقُبَ عَنْ قُلُوبِ النَّاسِ وَلاَ أَشُقَّ بُطُونَهُمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya aku tidak diperintah untuk memeriksa hati manusia dan tidak pula (diperintahkan untuk) membelah perut mereka.”

Riwayat al-Bukhari (4351) dan Muslim (1064)

Allah SWT juga telah menjelaskan perkara ini di dalam firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا ضَرَبْتُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَتَبَيَّنُوا وَلَا تَقُولُوا لِمَنْ أَلْقَىٰ إِلَيْكُمُ السَّلَامَ لَسْتَ مُؤْمِنًا

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu pergi (berperang) pada jalan Allah (untuk membela Islam), maka hendaklah kamu menyelidik (apa jua perkara dengan sebaik-baiknya), dan janganlah kamu (terburu-buru) mengatakan kepada orang yang menunjukkan kepada kamu sikap damai (dengan memberi salam atau mengucap dua Kalimah Syahadat): ‘Engkau bukan orang yang beriman’ (lalu kamu membunuhnya).”

(Surah al-Nisa’: 94)

Al-Tabari menafsirkan ayat di atas seraya berkata, Allah SWT menyampaikan pesan agar orang beriman tidak tergesa-gesa membunuh orang yang diragui keimanannya ketika dalam peperangan, dan jangan mula memerangi untuk membunuh seseorang melainkan diyakini bahawa dia menentang kaum Muslimin, menentang Allah SWT dan juga Rasul-Nya. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 9/70)

Ini juga thabit sebagaimana dalam hadith daripada Anas bin Malik R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ صَلَّى صَلاَتَنَا وَاسْتَقْبَلَ قِبْلَتَنَا، وَأَكَلَ ذَبِيحَتَنَا فَذَلِكَ المُسْلِمُ الَّذِي لَهُ ذِمَّةُ اللهِ وَذِمَّةُ رَسُولِهِ، فَلاَ تُخْفِرُوا اللهَ فِي ذِمَّتِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang menunaikan solat seperti solat kita, berkiblatkan dengan kiblat kita dan memakan sembelihan kita, itulah orang Muslim yang dalam jaminan Allah dan jaminan Rasul-Nya SAW. Maka janganlah kamu khianati jaminan Allah itu.”

Riwayat al-Bukhari (391)

Sekiranya ditimbulkan persoalan, mengapa dikhususkan 3 perbuatan itu sahaja tanpa disebutkan pelbagai rukun serta kewajipan yang lain? Jawapannya, kerana ketiga-tiga perkara yang disebutkan dalam hadith di atas merupakan tanda yang paling jelas, paling agung dan paling cepat untuk seseorang tahu tentang keislamannya. Pada zaman ini, pada kebiasaannya ibadah solat dan pemakanan seseorang itu boleh diketahui, berbeza dengan ibadah puasa dan haji. (Lihat Irsyad al-Sari, 1/411)

  • Kelima: Memastikan Berita Seorang Muslim Keluar dari Islam itu Adalah Benar

Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

(Surah al-Hujurat: 6)

Al-Syaukani menafsirkan, yang dimaksudkan dengan (التَّبَيُّنُ) adalah identifikasi dan menyiasat. Dan antara bentuk al-tathabbut (التَّثَبُّتُ) atau memastikan sesuatu adalah dengan cara penuh toleransi dan tidak tergesa-gesa, merenung suatu perkara yang telah berlaku itu dan perkhabaran yang disampaikan itu sehingga jelas dan terzahir hakikat sebenar. (Lihat Fath al-Qadir, 5/71)

Ibn ‘Abbas R.Anhuma ketika menafsirkan firman Allah SWT:

وَلَا تَقُولُوا لِمَنْ أَلْقَىٰ إِلَيْكُمُ السَّلَامَ لَسْتَ مُؤْمِنًا

Maksudnya: “Dan janganlah kamu (terburu-buru) mengatakan kepada orang yang menunjukkan kepada kamu sikap damai (dengan memberi salam atau mengucap dua Kalimah Syahadat): ‘Engkau bukan orang yang beriman’ (lalu kamu membunuhnya).”

(Surah al-Nisa’: 94)

Beliau berkata:

كَانَ رَجُلٌ فِي غُنَيْمَةٍ لَهُ فَلَحِقَهُ الْمُسْلِمُونَ فَقَالَ: السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ، فَقَتَلُوهُ وَأَخَذُوا غُنَيْمَتَهُ

Maksudnya: “Ada seorang lelaki berada bersama sekumpulan kecil kambing miliknya, lalu beberapa orang muslim mendapatinya, maka dia (pemilik kambing itu) pun mengucapkan: ‘Assalamualaikum.’ Namun mereka (tetap) membunuhnya dan mengambil kambingnya itu. Maka Allah pun menurunkan atas sebab itu (ayat di atas tadi).”

Riwayat al-Bukhari (4591)

Berbeza pula situasinya yang menjadi isu utama perbahasan kajian ini, apabila timbul konflik menamakan seorang bukan Islam itu sebagai ‘Kafir’, maka ia perlu kepada penjelasan yang lebih baik agar keharmonian masyarakat tidak terjejas dengan wujudnya sentimen-sentimen melibatkan kepercayaan mana-mana agama tertentu. Benar, hakikat mereka yang tidak beriman dengan agama Islam atau murtad adalah kafir, akan tetapi ia tidak menjadikan hikmah keharusan untuk kita memanggil mereka sesuka hati dengan panggilan “Wahai Kafir!” Maka, kami cuba meringkaskan penerangan ini kepada dua noktah yang utama:

  • Penggunaan Kalimah ‘Kafir’ Bagi Membezakan Akidah Kepercayaan

Masyarakat Muslim perlu jelas bahawa konteks penggunaan ‘Kafir’ di dalam nas-nas syara‘ bertujuan untuk membezakan antara orang Islam yang mempercayai bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah SWT, dengan mereka yang mengambil selain dari Allah SWT sebagai sembahan.

Beginilah yang dimaksudkan oleh Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, iaitu penggunaan kalimah ‘Kafir’ ini hanya untuk merujuk kepada mereka yang menolak risalah al-Quran yang dibawakan oleh Nabi Muhammad SAW dan agama Islam. Kemudian beliau menegaskan bahawa al-Quran sendiri mendidik masyarakat Muslim untuk tidak berinteraksi dengan orang bukan Islam menggunakan ucapan ‘Kafir.’

Syeikh Muhammad Rasyid Redha menyebutkan: “Lafaz ‘Kafir’ yang disebutkan dalam al-Quran, telah diketahui di sisi fuqaha’ dan ahli Kalam dengan makna yang berlawanan dengan keimanan yang benar menurut syara‘. Kemudian lafaz ini digunakan dalam penulisan kitab moden untuk merujuk kepada kelompok Ateis yang menafikan dan mengingkari kewujudan Allah SWT.” (Lihat Tafsir al-Manar, 7/556)

  • Tidak Menggunakan Kalimah ‘Kafir’ Dalam Konteks Perbualan

Memanggil masyarakat bukan Islam dengan ucapan ‘Kafir’ ketika berbual adalah tidak sepatutnya dilakukan bagi menjaga keharmonian masyarakat sejagat.

Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin ketika ditanya tentang isu memanggil orang bukan Islam dengan panggilan ‘Kafir’, beliau menjawab: “Sebaiknya tidak memanggil mereka dengan ucapan ‘Kafir’; kerana perbuatan ini boleh mendatangkan fitnah dan keburukan. Sebaliknya, katakanlah kepada mereka: ‘Sekiranya kamu tidak bertaubat, maka kamu adalah Kafir.’ Terangkan padanya apa maksud kalimah ‘Kafir’ ini. Adapun memanggil dia dengan menyebut: ‘Wahai Kafir!’ atau yang seumpama dengannya sehingga boleh menimbulkan fitnah, maka saya tidak bersetuju. Segala puji bagi Allah, kita tidak perlu untuk memanggil mereka begitu, dan kita masih boleh untuk bertemu mereka dan mengingatkan: ‘Sesungguhnya perbuatan kamu ini adalah kufur, kembalilah kepada Tuhan dan kepada agama Islam,’ kita perlu menasihatkan mereka.” (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 2/4)

Syeikh Muhammad Rasyid Redha menyebutkan di dalam keratan artikel dari Majalah al-Manar (1/17) yang bertajuk Istilah-istilah Kitab Moden, beliau berpendapat menggunakan kalimah ‘Kafir’ dalam perbualan tidak diharuskan menurut syara‘. Hal ini kerana, pada zaman ini ia dianggap sebagai satu cercaan yang sangat buruk, ibarat panah kehinaan yang sangat melukakan, dan ini adalah perkara yang ditegah oleh syari‘at Islam dengan persepakatan ulama’ Islam. Akan tetapi, ini tidak sewajarnya menjadi penghalang untuk kita menerima konteks penggunaan kalimah ‘Kafir’ pada zaman awal keislaman yang ditujukan kepada setiap agama yang menyelisihi Islam, kerana ia tidak pernah digunakan pada zaman pensyariatan Islam dengan tujuan untuk mencerca. Sebaliknya, ia merupakan lafaz yang paling lunak bagi merujuk kepada setiap agama yang menyelisihi Islam tanpa tujuan mengaibkan atau menghina, apatah lagi ingin mencerca atau menyakitkan yang pastinya bertentangan dengan tujuan pensyariatan serta adab Islam.